Melayu Islam Dan Asia Tenggara

0
949
views

“… Bahawa penduduk Perlak pada asalnya menyembah berhala, tetapi melalui pergaulan dengan saudagar – saudagar Arab yang sentiasa datang ke sini dengan kapal mereka, mereka semua telah memeluk agama Muhammad. Tetapi ini terbatas kepada penduduk kota sahaja. Mereka yang di gunung – gemunung terus hidup seperti haiwan”.[ Polo, Marco, 1958. The Travels of Marco Polo. London: Penguin Book, hal.253.]

Ketika pada tahun 1292 dalam suatu pelayaran dari negeri China ke pulau – pulau yang terdapat di bahagian timur Laut Mediterranean, pengembara Itali Marco Polo telah membuat catatan yang disertakan di atas. Islam didapati sampai ke rantau Asia Tenggara melalui jalan laut dan disebarkan oleh para ahli sufi dan para pedagang. Kaedah penyebaran yang mesra rakyat serta tidak berlandaskan penyerangan tentera telah membuatkan ramai penduduk tempatan untuk memluk Islam dengan rela tanpa sebarang jenis paksaan. Secara umumnya, penerimaan Islam dalam masyarakat Asia Tenggara didahului oleh golongan istana diikuti para pembesar tempatan dan seterusnya masyarakat pedagang yang menginap di sekitar kota – kota perdagangan.

Jika dikaji secara teliti, kebanyakan teks – teks sejarah tempatan membuktikan bahawa Islam berkembang di rantau ini secara aman. Antara teks sejarah tempatan yang dikenal pasti sebagai bahan sokongan yang membuktikan teori perkembangan Islam secara aman di rantau ini adalah Sejarah Islam dan Babad Tanah Jawi. Pelbagai riwayat dalam kedua – dua teks sejarah tempatan ini merakamkan kaedah – kaedah penyebaran agama Islam yang dilaksanakan secara strategik oleh para pedangan yang turut bertindak sebagai pendakwah berdasarkan budaya dan suasana tempatan.

Misalnya, Sejarah Melayu menceritakan kisah bagaimana masyarakat Sumatera telah diIslamkan oleh Sultan Muhammad yang ketika itu merupakan raja negeri Muktabar. Dikatakan bahawa Sultan Muhammad telah bertindak untuk turun takhta semata – mata untuk menyebarkan ajaran agama Islam menggunakan gelaran Fakir Muhammad. Malah, baginda turut dipercayai sebagai orang yang berperanan dalam mengIslamkan Merah Silu serta menobatkan beliau sebagai Raja Pasai atas gelaran Malikus Salleh. Beliau bersama ananda baginda dan nakhodanya yang bernama Sheikh Ismail telah berlayar dari Makkah untuk melaksanakan kegiatan dakwah mereka di rantau ini.

Berikut adalah petikan dari Sejarah Melayu yang menceritakan peranan serta kejayaan mereka dalam kegiatan menyerabarkan agama Islam di rantau ini :

“… maka sampailah mereka kepada sebuah negeri Fasuri namanya; maka orang negeri Fasuri itupun masuk Islam… maka berlayar pula mereka itu; beberapa lama sampai kepada sebuah negeri pula, Lamiri namanya. Maka orang Lamiri pun masuk Islam… Maka Fakir Muhammad pun naik kapal lalu berlayar pula. Maka jatuh ke negeri Perlak. Maka mereka itupun diIslamkan oleh Fakir Muhammad… Maka oleh Fakim Muhammad Merah Sil itu diIslamkan dan diajarkan kaliman syahadat … dan Merah Silu itupun dirajakan maka dinamai Sultan Malikus Salleh… Adapun yang besar di dalam negeri Semudra itu dua orang … Keduanya itu masuk Islam… Maka Sheikh Ismail pun berlayar kembali ke Makkah dan fakir itu tinggal di negeri Semudra akan menetapkan agama Islam isi negeri itu”.[ Shellabear, G.G. (ed.) 1975. Sejarah Melayu. Petaling Jaya: Penerbitan Fajar Bakti, hal. 40 – 42.]

Babad Tanah Jawi pula meriwayatkan kisah seorang sultan di negeri Arab yang menghantar adiknya, Syeikh Ibrahim ke Pulau Jawa untuk “mengIslamkan penduduknya menurut syariat Nabi Muhammad”.[ Soewito Santoso (terjemahan) 1970. Babad Tanah Jawi. Surabaya: P.T. Citra Jaya Murti, hal. 71] Raja Cempa telah dimohon oleh Syeikh Ibrahim untuk memeluk Islam lalu baginda pun bersetuju. Kemudian, Raja Cempa bertindak untuk kawinkan puterinya bersama Syeikh Ibrahim. Hasil perkhawinan itu lahirnya Raden Rahmat yang seterusnya telah dihantar ke Majapahit lalu diangkat sebagai Sunan Ngampel, pemimpin orang Islam. Kedua – dua Syeikh Ibrahim mahupun anaknya, Raden Rahmat dikatakan melaksanakan strategi penyebaran dakwah yang sangat adil. Syeikh Ibrahim dikatakan berpegang pada pendirian bahawa sesiapa yang ingin memeluk Islam perlulah dengan sukarela tanpa sebarang paksaan manakala Raden Rahmat pula di Majapahit melaksanakan perintah bahawa rakyat kerajaan Majapahit boleh memeluk agama Islam, asal tidak ada paksaan.

Kedua – dua teks sejarah tempatan ini jelas membuktikan bahawa penyebaran ajaran agama Islam di rantau ini terjadi secara aman tanpa sebarang bentuk kekerasan mahupun paksaan terhadap penduduk. Pandangan yang dikemukan oleh sarjana barat, T.W. Arnold dalam The Preaching of Islam pula menegaskan semula kedudukan teori ini. Beliau berpandangan bahawa “ada bukti yang cukup kukuh yang menunjukkan usaha dakwah secara aman damai untuk menyebarkan agama Islam sejak 600 tahun yang terdahulu. Dakwah dan ajakan, bukan paksaan dan kekerasan yang menjadi ciri utama proses penyebaran ini”.[ Arnold, T.W., 1984. The Preaching of Islam. Delhi: Renaissance in Publishing House, hal. 363.]

Secara umumnya, kaedah penyebaran Islam secara damai dan secara berperingkat berdasarakan budaya dan suasana tempatan yang dilaksanakan oleh para pedangan dan pembesar ketika itu telah sedikit sebanyak memberi kesan pada jiwa penduduk rantau ini. Dengan kaedah penyebaran ajaran agama Islam yang strategik bersertakan kehadiran kumpulan – kumpulan manusia yang menganuti agama lain atas urusan perdagangan dan sebagainya telah secara jelas membentuk jiwa masyarakat Asia Tenggara yang kosmopolitan, yang terbuka serta bertolak ansur. Apabila wujudnya keadaan sebegini, maka secara tidak langsung terlahir suatu simbiosis antara penganut Islam dan penganut bukan Islam dalam rantau ini yang membenarkan mereka untuk saling hormat – menghormati lalu merealisasikan kewujudan suatu masyarakat majmuk yang mampu hidup aman dan damai.

Kedatangan Islam ke rantau Asia Tenggara seolah – olah membawa suatu nafas baharu ke dalam suatu rantau yang mempunyai pengaruh ajaran Hindu – Buddha yang kuat. Selain kaedah penyebaran yang strategik, ajaran itu sendiri telah membawa suatu perubahan yang cukup bermakna bagi penduduk rantau ini. Hasil daripada proses tersebut, rantau Asia Tenggara kini menjadi antara rantau yang mempunyai kadar kepelbagaian yang tinggi. Proses Islamisasi yang dilakukan telah membawa beberapa perubahan yang cukup besar dalam rantau ini, biarlah dalam konteks politik / pemerintahan, ekonomi mahupun sosial. Namun, pelaksanaan proses tersebut sehingga kini tidak secara langsung mahupun tidak langsung menganggu hak seseorang individu yang beragama bukan Islam. Perkara ini merupakan suatu dinamik yang tidak dapat dijumpai di rantau – rantau lain.

Dari segi politik / pemerintahan, kedatangan Islam telah membawa perubahan yang cukup besar dalam sistem pemerintahan beraja yang terdapat di rantau ini. Antara perkara utama yang terjadi adalah penggunaan gelaran Sultan bagi menggantikan gelara Raja yang sedia ada. Walaupun bidang kuasa seseorang Sultan itu masih sama dengan Raja, namun dari segi konteks kerajaan Islam ia telah mengukuhkan kedudukan kerajaan itu sendiri kerana melalui tindakan tersebut, sesebuah kerajaan telah mengiktirafkan dirinya sebagai kerajaan Islam lalu secara langsung menjadi setaraf dengan kerajaan – kerajaan Islam lain yang sedia ada, khususnya dalam rantau ini sendiri. Selain itu, perkara tersebut turut menjadi titik permulaan kepada pemupukan hubungan persaudaraan dalam bentuk diplomasi antara kerajaan – kerajaan Islam yang di rantau ini bagi kepentingan bersama.

Proses ini berlaku apabila seseorang Raja diIslamkan lalu menggunakan kuasa yang sedia ada untuk melaksanakan undang – undang serta yang selaras dengan syariat Islam. Pertama, pengIslaman seseorang Raja itu sendiri sudah bermakna bahawa kebanyakan penduduk yang bernaung di bawah Raja tersebut akan memeluk Islam. Seterusnya, pelaksanaan undang – undang berlandaskan syariat Islam pula mengangkat lagi kedudukan kerajaan tersebut sebaagai sebuah kerajaan Islam. Hukum Kanun Melaka yang diperkenalkan oleh Sultan Muzaffar Shah merupakan antara undang – undang yang dilaksana berlandaskan syariat Islam. Undang – undang tersebut didapati efiesien dalam membantu proses tata urus kerajaan kerana sifatnya yang sangat komprehensif serta merangkumi pelbagai perkara seperti jenayah, kecurian, pembunuhan, urusan pernikahan, perniagaan dan pembahagiaan harta pusaka. Dengan kewujudan suatu sistem undang – undang yang adil serta komprehensif, maka kerajaan – kerajaan di rantau ini berjaya mengecapi suatu suasana yang kondusif bagi pembangunan masyarakat. Suasana terurus tanpa sebarang bentuk kacau – bilau ini telah membenarkan peningkatan kadar perdagangan, peningkatan gaya hidup masyarakat serta memupuk perpaduan yang utuh dalam kalangan penduduk rantau ini.

Dengan adanya kelahiran suatu suasana yang progresif melalui perubahan pada elemen politik / pentadbiran dalam rantau ini, masyarakat di rantau ini mula merasai pembagunan ekonomi yang memberangsangkan. Walaupun, Asia Tenggara pada sebelum kedatangan Islam pun sudah menjadi suatu hub – ekonomi antarabangsa, namun kedatangan Islam telah sedikit sebanyak mengubah landskap perdagangan lalu meningkatkan lagi kadar perdagangan antarabangsa yang dilakukan. Dengan pelaksanaan undang – undang yang berlandaskan syariat Islam, sesebuah kerajaan akan secara langsung melahirkan sebuah sistem ekonomi yang bebas daripada elemen – elemen negatif seperti riba, tipu, peras dan penindasan. Ini pula secara tidak langsung, meningkatkan sumber pendapatan yang diraih bukan sahaja oleh masyarakat tempatan maka para pedangang. Suasana perdagangan yang adil serta telus tanpa sebaarang bentuk penindasan ini telah menarik minat lebih ramai pedadangan dari pelbagai rantau di dunia untuk datang lalu berdagang di Asia Tenggara. Secara langsung ini telah memberangsangkan kadar pembagunan ekonomi tempatan lalu memberi keuntangan yang sangat besar kepada kerajaan dan penduduk rantau ini.

Pembagunan ekonomi yang progresif serta adil ini telah memastikan kemelut – kemelut sosial seperti kemiskinan dan penyelewengan dapat diatasi secara strategik. Secara umumnya, kadar pembagunan ekonomi yang membarangsangkan ini hanya menjadi realiti kerana pelaksanaan kuasa menggubal dasar yang sedia ada secara efektif serta adil.

Selaras dengan perkembangan suasana politik dan ekonomi yang kondusif, penduduk – penduduk di rantau ini mula mengalami perubahan dari aspek sosial. Kedatangan Islam ke rantau ini bukan sekadar berjaya melahirakan suatu kuasa politik – ekonomi yang progresif, namun turut melahirkan sebuah masyarakat yang intelek. Sultan – sultan serta para pembesar mula membuka institusi – institusi pendidikan dalam bentuk pondok di kawasan – kawasan tertentu bagi membolehkan masyarakat setempat mendapat pendedahan mengenai ilmu – ilmu berkaitan agama Islam. Selain itu, rumah ulama dan tempat beribadat turut dijadikan pusat penyebaran ilmu agama.

Walaupun, kajian – kajian terbaharu membuktikan bahawa penduduk di sekitar rantau Kepulauan Melayu telah pun mempunyai ilmu / kemahiran tertentu yang sangat hebat dalam beberapa bidang seperti pembuatan kapal, peleburan besi dan berlayar namun nafas intelek yang dijana hasil kemasukan ajaran agama Islam ke dalam rantau ini membawa perkembangan intelek penduduk rantau ini ke peringkat yang lebih tinggi. Misalnya di Acheh, terdapat perkhidmatan pendidikan yang jauh lebih tersusun dengan peringkat pembelajaran rendah (rangkang), menengah (muenasah) dan pengajian tinggi (Jamiah Bait Rahman).

Dengan perkembangan pendidikan yang begitu drastik, perubahan – perubahan sosial mula menapak secara jelas dalam masyarakat rantau ini. Pendidikan mahupun ilmu yang dikatakan sebagai jalan menuju kepada kebenaran menurut Teori Falsafah Pendidikan Islam yang dikemukakan Profesor Dr. Syed Muhammad Naqib Al – Attas, mula memertabatkan lagi kedudukan penduduk rantau ini. Misalnya, perkembangan berlaku secara jelas dalam bidang kesusateraan Melayu. Kelahiran tokoh – tokoh kesusateraan awal Melayu seperti Tun Sri Lanang, Shamsudin al – Sumaterani dan Abdul Rauf Singkel merupakan bukti keberkesanan sistem pendidikan yang dilaksanakan setelah kehadiran Islam di rantau ini. Sifat – sifat keilmuan yang ditekankan dalam ajaran agama Islam ini telah secara langsung menjadi pemangkin kepada kelahiran tokoh – tokoh kesusteraan dan cendekiawan Melayu yang pula menyumbang sedikit sebanyak dalam perkembangan Bahasa Melayu di rantau ini. Golongan – golongan terpelajar inilah yang pada mula – mulanya berusaha untuk bukan sekadar menterjemah karya – karya ketamadunan Islam juga menulis serta menyebarkan pelbagai idea – idea baharu bagi menyedarkan masyarakat Melayu di rantau ini mengenai kepentingan ilmu. Kesan daripada kelahiran golongan sebegini dapat dilihat sehingga ke hari ini secara berperingkat dari semasa ke semasa. Misalnya, gerakan intelektual Melayu yang dipelopori Syed Syeikh Al – Hadi dan kaum muda sebelum Perang Dunia Pertama dan seterusnya gerakan intelektual Melayu pasca kemerdekaan yang dipelopori Yang Mulia Profesor DiRaja Ungku Aziz, Profesor Dr. Syed Naquib Al – Attas dan Profesor Dr. Syed Hussein Al – Attas. Gelombang keintelektualan ini seterusnya dipelopori oleh Dr. Syed Husin Ali, Anwar Ibrahim dan lain – lain. Begitu besar peranan kehadiran Islam dalam perkembangan Intelektual Melayu yang sehingga ke hari ini dapat dilihat kesinambungannya walaupun merentasi beberapa zaman.

Tidak dapat dinafikan bahawa kehadiran Islam di rantau Asia Tenggara merupakan suatu peristiwa yang cukup bermakna bagi penduduk rantau ini. Sedikit demi sedikit perubahan terlaksana bagi memartabatkan lagi kedudukan penduduk di sekitar Kepulauan Melayu setelah kehadiran Islam. Kini, ratusan tahun setelah kehadiran Islam ke rantau ini, rantau Asia Tenggara menjadi rantau yang cukup unik berdasarkan kepelbagaian kepercayaan, budaya dan latar belakang penduduk. Namun, sifat – sifat kesederhanaan dan tolerasi yang berakar daripada ajaran agama dan budaya masing – masing berjaya menyatupadukan kita semua serta seterusnya melahirkan sebuah masyarakat majmuk yang progresif serta dinamik.

Walaupun terdapat beberapa sarjana orientalis yang menyatakan bahawa sikap masyarakat Islam di rantau ini hanya timbul berdasarkan suata penghayatan meraka yang dangkal terhadap ajaran Agama Islam itu sendiri, dengan kenyataan bahawa Islam itu hanya menjadi suatu agama luaran yang tidak memberikan sebarang kesan terhadap sejarah pembagunan masyarakat setempat, Profesor Dr. Syed Naquib Al – Attas melalui kajiannya terhadap peranan Islam dalam sejarah dan kebuayaan Melayu telah membuktikan bahawa penerimaan ajaran agama Islam merupakan suatu peristiwa yang cukup bermakna kepada penduduk rantau Kepulauan Melayu ini. Berikut adalah petikan ucapan beliau pada tahun 1972 yang membuktikan pandangan beliau:

“Banyak sarjana telah memperkatakan bahawa Islam itu tiada meresap ke dalam struktur masyarakat Melayu – Indonesia; hanya tipis kesannya di atas jasad Melayu, laksana pelitur di atas kayu, yang andaikata dikorek sedikir akan terkupas lalu menonjolkan ke – Hinduan dahulu, ke – Buddhaan dahulu, animisme dahulu. Namun pada pendapat saya faham demikian itu tiada benar dan hanya berdasarkan pandangan sempit yang kurang teliti lagi angan – angan belaka … Dari sumber – sumber kesusateraan Melayu yang berunsurkan intelektualisme dan rasionalisme Islam pada abad keenam belas dan ketujuh belas, terbayang pada pandangan akal gambaran perubahan mendalam yang telah berlaku terhadap jiwa masyarakat Melayu: kecapi yyang belum pernah terpetik melagukan irama falsafah murni kini berlanggam diiringi seruling tasawwuf menyuarakan bisikan fikiran dan perasaan haalus – luhur”.[ Al – Attas, Syed Muhammad Naquib, 1972. Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur: IBKKM, hal. 23 – 24.]

Sebegitu besarlah peranan kehadiran Islam dalam rantau ini khususnya jikalau dilihat dari prespektif masyarakat Melayu. Penerimaan masyarakat Melayu terhadap Islam itulah menjadi titik permulaan kepada kelahiran sebuah masyarakat Melayu yang progresif serta dinamik.

-Mathis-

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.