Pada tahun 1989 pelukis komik tersohor di Malaysia, Lat (kini Datuk) telah menerbitkan sebuah novel grafik yang berjudul Mat Som. Novel grafik ini telah diterbitkan melalui syarikat penerbitannya sendiri iaitu Kampung Boy Sdn. Bhd. Sambutan terhadap novel grafik ini adalah sangat menggalakkan sehingga pihak Strawberry FTV Sdn. Bhd. berminat untuk mengadaptasinya untuk dijadikan sebuah filem pada tahun 1990. Mat Som juga dikatakan antara salah satu masterpiece ciptaan Lat selain Kampung Boy, Town Boy, Keluarga Si Mamat dan sebagainya.

Pencipta karya Mat Som, Datuk Lat
(Sumber Foto: The A-List SG)

Filem Mat Som ditayangkan setahun selepas novel grafiknya dipasarkan. Hatta Azad Khan (kini Prof. Dr.) telah dilantik untuk mengarahkan filem ini. Filem ini menampilkan pelakon-pelakon hebat seperti Imuda sebagai Mat Som, Tiara Jaquelina sebagai Yam, Zami Ismail sebagai Mat Top (bapa Mat Som), Ahmad Busu sebagai So’ud, Adibah Amin sebagai Mak Tom, Mohamad Abdullah sebagai Leman, Pyanhabib sebagai Pyan dan lain-lain.

Mat Som ialah sebuah kisah fiksyen yang dibuat dalam suasana sebenar Kuala Lumpur sekitar tahun 1980-an. Di sini kita dapat melihat cara penduduk di kota sewaktu itu menjalani kehidupan seharian. Mat Som mengisahkan seorang pemuda yang bekerja sebagai penulis sambilan di sebuah syarikat akhbar yang berada dalam keadaan tersepit. Beliau runsing apabila menerima surat daripada bapanya yang ingin benar menjodohkannya dengan Wan Faridah, anak jirannya dahulu. Kehidupan Mat Som di Kuala Lumpur tidaklah begitu baik. Dia menumpang tinggal di rumah rakan sekampungnya, So’ud dan tidak ada pendapatan yang tetap. Mat Som sebenarnya ingin mendekati Yam, seorang gadis cantik yang tinggal di sebelah rumahnya. Namun, dia agak kurang berkeyakinan untuk menegur Yam.

(Sumber Foto: novel grafik Mat Som)

PERBEZAAN NOVEL GRAFIK DENGAN FILEM

  • Mat Som perlu melintasi parit besar di hadapan rumahnya dengan meniti sebatang kayu setiap kali pergi dan pulang kerja di dalam novel grafik tetapi di dalam filem tidak ada.
  • Di dalam novel grafik, Mat Som bermonolog dengan berkata “Ini zaman mikrochip mana ada orang kahwin pilihan orang tua?”. Tetapi di dalam filem ia menjadi “Ini zaman komputer mana ada orang kahwin pilihan orang tua?”
  • Terdapat dinding pemisah di tempat tidur Mat Som dan So’ud di dalam novel grafik tetapi tiada di dalam filem.
  • Selepas peristiwa bateri kereta Volkswagen milik Leman, Mat Som duduk bercangkung dan Leman duduk di tempat duduk penumpang hadapan untuk berehat seketika. Tetapi di dalam filem, Mat Som yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan sedang Leman berdiri di tepi tingkap keretanya.
  • Mat Som pergi mengikut Leman mengambil baju kot yang ditempah untuk majlis perkahwinannya selepas itu. Tetapi di dalam filem, mereka pergi mengambil baju kot selepas Mat Som menerima cek bayaran rencananya.
  • Malam baca puisi telah diadakan di tengah padang dalam novel grafik. Manakala di dalam filem pula diadakan di dalam dewan tertutup.
  • Usman Awang tidak membaca puisi di dalam novel grafik tetapi di dalam filem beliau telah membaca puisinya yang berjudul “Bagaimana Kalau…”
  • Mat Som pulang ke kampung tanpa disuruh oleh sesiapa di dalam novel grafik. Di dalam filem, So’ud yang menyuruh agar Mat Som pulang ke kampung untuk berbincang dengan keluarganya tentang soal perkahwinan.
  • Ketika hendak ke pekan, Mat Som menunggang motosikal di dalam novel grafik tetapi di dalam filem Mat Som hanya membonceng di belakang.
  • Ibu dan bapa Mat Som datang ke Kuala Lumpur selepas Mat Som mendapat kerja sebagai pemberita di dalam filem. Di dalam novel grafik tidak ada babak itu.
  • Kereta Volkswagen Leman rosak ketika Mat Som dan So’ud pulang daripada majlis perkahwinannya di dalam filem sedangkan di dalam novel grafik ia tidak rosak.
  • Ketika dalam perjalanan pulang dari majlis perkahwinan itu, Mat Som telah terserempak dengan Yam di bandar lalu meminta So’ud pulang terlebih dahulu di dalam novel grafik. Di dalam filem pula, Mat Som telah pulang ke rumah terlebih dahulu meninggalkan So’ud di tepi jalan kerana Yam sedang menunggunya di rumah.
  • Di dalam novel grafik, Mat Som dan Yam pergi menonton konsert Sweet Charity dan berdiri di tepi pentas. Di dalam filem pula, Mat Som dan Yam menonton konsert Wings di bawah pentas sahaja.
Poster filem Mat Som
(Sumber Foto: Hamzah Hussin)

FAKTA

  • Setakat ini (2017), inilah satu-satunya filem Malaysia yang diadaptasi daripada sebuah novel grafik.
  • Imuda memegang dua peranan di dalam filem ini sebagai Mat Som dan Mat Top (semasa muda).
  • Lat dan Hafsham turut membuat cameo di dalam filem Mat Som sebagai penceramah bimbingan agama (Lat) dan tetamu di majlis keramaian (Hafsham).
  • Antara penyair yang diundang khas untuk berlakon di dalam filem ini ialah Usman Awang, Latiff Mohidin, T. Alias Taib dan Abdul Ghafar Ibrahim (AGI).
  • Filem Mat Som telah memenangi Anugerah Lakon Layar Terbaik (Hatta Azad Khan) dan Pelakon Komedi Terbaik (Zami Ismail) di Festival Filem Malaysia ke-9 yang telah diadakan pada 2 Jun 1991.
  • Penggambaran filem ini dibuat di sekitar bandaraya Kuala Lumpur, Bangi, Kajang dan Dengkil, Selangor.
  • Penggambaran babak kapal korek telah dilakukan di Dengkil. Pada pertengahan tahun 1990-an, banyak operasi kapal korek telah diberhentikan. Kini, satu-satunya tinggalan kapal korek yang boleh dilihat ialah di Tanjung Tualang, Perak.
  • Khidmat pasukan bomba telah digunakan untuk menghidupkan babak hujan di dalam filem. Dua jentera bomba digunakan untuk menyemburkan air.
  • Filem Mat Som telah ditayangkan semula pada 27 Mac 2010 di Panggung Coliseum, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur bersempena Program Merakyatkan Filem anjuran FINAS. Imuda, Zami Ismail dan Ahmad Busu turut diundang ke program tersebut untuk sesi autograf bersama peminat.
Poster Program Merakyatkan Filem Mat Som (Sumber Foto: Wikipedia)

Sumber:

  • Memoir Hamzah Hussin: Dari Keris Filem ke Studio Merdeka (Penerbit UKM, 1997)
  • Mat Som oleh Lat (Berita Publishing Sdn. Bhd., 2006)
  • Lat: My Life and Cartoons by Mohamad Nor Khalid (EDM, 2017)
  • Imuda tidak lagi sunyi (artikel Utusan Malaysia, 2 April 2010)
  • Filem.com

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang peminat sejarah filem tanah air. Suka menonton filem-filem Melayu hitam putih, terutama sekali arahan Hussain Haniff dan M. Amin.

1 Comment

Leave A Reply