Di negara kita, sajian ini dapat ditemui di kawasan petempatan keturunan Jawa, khususnya di Selangor dan Johor – selalu dihidangkan dalam majlis kenduri.

Di Jawa, ia dipanggil Jenang Abang (Bubur Merah) dan Jenang Putih (Bubur Putih). Sebagai perlambangan fikir dan fungsi mengikat masyarakat, Bubur Merah Putih turut menjadi salah satu nasihat tanpa lisan dalam aspek keseluruhan hidup di alam nyata – kelahiran, berkhatan, perkahwinan dan kematian.

Terdapat pelbagai makna diberikan padanya:

Pertama: Menurut Meilawati, warna merah (dicampur dengan gula melaka) pada Bubur Merah itu melambangkan ibu, manakala putih melambangkan bapa. Merah pada ibu ialah darah merahnya (juga berkaitan dengan benihnya – sel wanita di dalam cecair merah) manakala putih pada bapa ialah darah putihnya, yang melalui tulang belakang dan sum-sum (juga berkaitan dengan benihnya – sel laki-laki di dalam cecair putih).

Kesatuan cinta ibu dan ayah inilah yang memulakan kehidupan lahiriah. Maka sebab itu sajian ini penting dalam istiadat menyambut kelahiran dan perkahwinan.

Kedua: Menurut Asmiyati, warna merah itu ialah peringatan kepada ibu bapa supaya sentiasa memaafkan kesalahan anak. Manakala putih, adalah harapan supaya ibu bapa sentiasa mengiringkan doa restu.

Dalam istiadat menyambut kelahiran Jawa (sempena ‘puputan’ yakni selepas diputuskan tali pusat) satu lagi hidangan yang mengiringi Bubur Merah Putih ialah ‘Jenang Baro-baro’, (rupanya lebih kurang) melambangkan ‘penghormatan’ (tribute) pada air ketuban (liquor amnii – putih) dan uri (placenta – merah) yang dianggap sebagai ‘saudaranya’ kerana keduanya menyertai kandungan hingga kelahiran.

Ketiga: Menurut Romi (dalam wawancaranya bersama masyarakat di Jawa Tengah), Bubur Merah Putih merupakan perlambangan nasihat dalam pergaulan. Dalam hal ini, ia menjadi satu peringatan dalam keraian supaya sentiasalah menghormati saudara yang tua dan muda:

“Jenang Abang Putih ….ngormati marang sedulur enom lan tuwa.”

Keempat: Menurut Herliyan, sajian ini dalam istiadat ‘Sedekah Bumi’ (masyarakat Jawa Tengah di Desa Bagung) – acara gotong-royong membersihkan sumur manakala jamuan diniatkan pada sedekah fakir miskin – Bubur Merah merupakan lambang ingatan agar berbakti pada jalan Nabi Muhammad, manakala Bubur Putih membawa makna mereka yang meninggal dunia tidak akan putus amalnya. Bersempena dengan amalan gotong royong dan sedekah ini, maka difungsikan Bubur Merah Putih ini sebagai peringatan kepada masyarakat agar lunaskan hutang selagi hidup kerana setelah pergi, keluarga yang akan menanggungnya.

Kelima: Ada beberapa lagi makna yang berbeza mengikut kawasan dan istiadat tertentu, misalnya ia dijadikan lambang ‘luahan’ pengharapan agar penyaji dapat peroleh keselamatan (disebut Jenang Sengkolo – sengkolo bermaksud malapetaka). Sebagai makluman, bukanlah bubur itu yang menjadi alat, sebaliknya doa selamat bersama keluarga, saudara mara dan masyarakat tempatan dalam istiadat itu yang diutamakan.

Bubur Merah juga melambangkan jasmani, manakala putih melambangkan rohani. Dipanjatkan doa agar beroleh kesejahteraan jasmani dan rohani, dunia dan akhirat.

Rumusnya, kita mungkin tertanya bagaimakah maknawi ini berfungsi, yang barangkali canggung dan tidak relevan peranannya. Sebetulnya, ia adalah soal perkongsian kod bahasa dan makna. Hanya di kalangan masyarakat yang mengerti akan ‘bahasa bubur’ ini, apabila mengamalnya, mendapat fungsi maknawi komunikasi tanpa lisan ini.

Dari segi pengikat kemasyarakatan, bubur ini (beserta sajian-sajian lain yang menyertainya) adalah sebahagian alat dalam gotong-royong. Untuk menyediakan segala sajian kenduri, ia melibatkan kerjasama, hubungan erat kemasyarakatan dan kemesraan. Sebagai penghubung silaturrahim, Bubur Merah Putih sebagai sajian khusus keraian, hadir dengan sifat istimewa (jarang diperolehi) dan dijadikan hadiah penghargaan oleh tuan rumah kepada yang membantu (token of appreciation).

– Hamdi Hanapi –

Rujukan:

1. Avi Meilawati, 2012. SYMBOLISM AS GUIDANCE TO LIVE A NEW LIFE IN JAVANESE CULTURE (A SEMIOTIC ANALYSIS). 1st Mae Fah Luang University International Conference.

2. Indah Aswiyati, 2015. MAKNA DAN JALANNYA UPACARA ‘PUPUTAN’ DAN ‘SELAPANAN’ DALAM ADAT UPACARA TRADISIONAL KELAHIRAN BAYI BAGI MASYARAKAT JAWA. Jurnal Holistik (No. 16). Manado: Universitas Sam Ratulangi.

3. Herliyan Bara Wati, 2013. PENGARUH DAN NILAI-NILAI PENDIDIKAN UPACARA SEDEKAH BUMI TERHADAP MASYARAKAT DESA BAGUNG SUMBERHADI KECAMATAN PREMBUN KABUPATEN KEBUMEN. Jurnal Program Studi Pendidikan Bahasa dan Sastra Jawa (Vol 2: No. 4). Jawa Tengah: Universitas Muhammadiyah Purworejo.

4. Khazin Mohd Tamrin, 1987. ORANG JAWA DI SELANGOR: PENGHIJRAHAN DAN PENEMPATAN 1880-1940. Kuala Lumpur: DBP.

5. Lovendah Helmy Tiyumida, 2009. SYMBOLS AND CHANGES IN INFANT’S CARE UNTIL SELAPAN AGE IN KAMPONG KARANG MENJANGAN SURABAYA. Indonesian Journal of Social Science (Vol. 1: No. 2). Surabaya: Universitas Airlangga

6. Rini Widastuti & Aris Wuryantoro, 2015. SYMBOLS USED IN ‘LARUNGAN’ AT NGEBEL LAKE PONOROGO REGENCY. Prosiding PESAT Universitas Gunadarma 20-21 Oktober 2015.

7. Romi Taufiqoh, 2012. SAJEN PETURON DALAM UPACARA MANTEN DI DESA ROWODADI KECAMATAN GRABAG KABUPATEN PURWOREJO JAWA TENGAH. Tesis Ijazah Sarjana. Yogyakarta: Universitas Negeri Yogyakarta.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang penyelidik dan penulis bebas yang mengkagumi kehalusan fikir orang-orang Melayu.

Leave A Reply