Deoband merupakan salah sebuah bandar di daerah Saharanpur yang terletak di Uttar Pradesh. Tidak lama selepas peristiwa Dahagi 1857 yang mengorbankan banyak nyawa berakhir, sebuah maktab telah didirikan di Masjid Chattah Deoband oleh beberapa orang pengasas iaitu Hafiz Sayyid Abid Hussain, Maulana Mahtab Ali dan Sheikh Nihal Ahmad. Hal ini menjadikan asas penubuhan tapak Madrasah Darul Ulum Deoband kemudiannya. Maktab ini secara perlahan-lahan telah berjaya menarik minat masyarakat Islam sama ada dari kawasan yang berhampiran mahupun dari luar wilayah untuk mendalami ilmu-ilmu yang diajarkan di maktab ini.

Walau bagaimanapun, tenaga sebenar di sebalik penubuhan Madrasah Darul Ulum di Deoband ialah Maulana Muhamad Qasim Nanawtawi, salah seorang tokoh penting sewaktu peristiwa Dahagi 1857, terutama pembabitannya di Shimli. Pembabitan Maulana Muhamad Qasim Nanawtawi ini dengan Madrasah Deoband bermakna perjuangannya telah beralih daripada mengangkat senjata kepada penggunaan pena serta daya intelektual.

Selain Maulana Muhamad Qasim Nanawtawi, terdapat beberapa ulama lain yang juga memainkan peranan yang penting seperti Maulana Zulfiqar Ali, Maulana Rashid Ahmad Gangohi, Maulana Muhd Yaqub Nanautawi dan Maulana Rafi’ al-Din. Madrasah Darul Ulum ini telah ditubuhkan pada 13 Mei 1866.

Penubuhan Madrasah Darul Ulum Deoband sebenarnya dituruti penubuhan madrasah-madrasah di tempat lain di Uttar Pradesh ini seperti di Muradabad, Naginah (Bignore) dan sebagainya. Antaranya termasuklah Madrasah Mazahir-e ‘Ulum di Saharanpur dan Buland Shahar serta Madrasah Thana Bhavan. Meskipun demikian, madrasah-madrasah ini sering sahaja merujuk serta menjadikan Madrasah Deoband sebagai pusat perjalanan mereka. Madrasah Deoband ditanggapi sebagai mother-institution.

Madrasah ini telah mencapai perkembangan yang tersendiri yang mampu mengisi keinginan mendapatkan sistem pendidikan Islam yang disifatkan sebagai “asli”. Telah berlaku pertambahan pelajar serta tenaga pengajar di Madrasah ini. Misalnya, pada tahun 1866, terdapat 78 orang pelajar dengan enam orang tenaga pengajar sahaja, namun pada tahun 1887, terdapat peningkatan seramai 14 orang tenaga pengajar dan 215 orang pelajar.

Pada prinsipnya, penubuhan madrasah ini tidak sekadar menandakan perkembangan yang penting dalam konteks pendidikan Islam di negara India, malah membuka satu ruang perkembangan pemikiran Islam. Antara matlamat utama penubuhan madrasah ini termasuklah menjadi pusat yang mempertahankan ajaran Islam, terutama daripada pengaruh luar yang mampu menjejaskan kesuciannya.

Selain itu, penubuhan Madrasah Deoband juga berkait rapat dengan keinginan Muhamad Qasim Nanawtawi untuk meneruskan usaha yang pernah dilakukan oleh Shah Waliullah dengan memberikan penekanan kepada elemen-elemen tradisi, berbeza daripada aliran yang ditekankan di Aligarh yang dikatakan menekankan elemen spekulasi keagamaan.

Pada teorinya, golongan yang menyokong aliran ini berpendapat bahawa kaedah tradisi sebagaimana yang diamalkan oleh Madrasah Deoband sangat penting dalam mempertahankan tradisi Islam yang sedang mengalami ancaman daripada perkembangan zaman.

Masyarakat Islam dikatakan secara mudah sahaja akan dapat menerima pendidikan moden yang berasaskan sains rasional (ma’qulat) di institusi pendidikan yang terdapat di India, namun sangat sukar untuk mempelajari sains tradisi Islam (manqulat) dan ini bermakna bahawa Madrasah Deoband merupakan antara pusat pendidikan yang mampu memberikan ruang tersebut kepada masyarakat Islam.

Ulama Deoband turut memberikan panduan praktik dalam kehidupan seharian terhadap masyarakat Islam. Golongan utama yang bertanggungjawab menubuhkan madrasah ini percaya bahawa ini merupakan satu-satunya cara yang ada yang dapat mempertahankan nilai-nilai Islam. Penekanan madrasah ini ialah ilmu-ilmu berkaitan agama Islam, terutamanya dalam pengajian al-Quran dan hadis (manqulat).

Selain itu, ilmu rasional (ma’qulat) seperti undang-undang, logik dan falsafah turut diajarkan. Bahasa Inggeris tidak dipentingkan, malah tidak termasuk dalam sukatan pembelajaran di madrasah ini sehingga tahun 1903. Walau bagaimanapun, hal ini tidak mendapat sambutan yang baik daripada pelajar kerana masih terdapat tanggapan yang kuat bahawa mempelajari bahasa ini akan mendedahkan serta memudahkan pelajar-pelajar ini untuk menganut agama Kristian.

Dari sudut yang lain pula, penekanan yang diberikan kepada pengajian agama ini telah menyebabkan pelajar-pelajar madrasah Deoband berasa bahawa mereka mempunyai kedudukan yang lebih tinggi dari sudut spiritual berbanding dengan pelajar-pelajar yang menerima pendidikan di institusi-institusi “sekular” yang lain. Jika bahasa Inggeris tidak dititikberatkan oleh madrasah ini, bahasa Urdu menerima layanan yang sebaliknya kerana diberikan penekanan.

Madrasah Deoband mempertahankan bahawa bahasa Urdu haruslah menjadi antara bahasa yang diajarkan di madrasah dan kemudian dipopularkan penggunaannya. Selain itu, kesemua pelajar di madrasah ini adalah pelajar lelaki kerana wanita dianggap tidak sesuai untuk melanjutkan pelajaran, terutama dilihat dari sudut moral. Pada tahap awal penubuhannya, jangka masa selama 10 tahun diperlukan bagi seseorang pelajar untuk menamatkan pengajiannya di madrasah ini, namun kedudukannya telah dikurangkan kepada enam tahun sahaja.

Pengasas Madrasah Darul Ulum Deoband ini turut menjelaskan bahawa terdapat beberapa prinsip asas yang seharusnya diikuti dan menjadi pegangan madrasah. Pertama, fungsi serta perjalanan madrasah haruslah tidak sama sekali mengambil bantuan atau sebarang bentuk sumber kewangan daripada kerajaan, sebaliknya haruslah bergerak daripada sumbangan penderma.

Kedua, sumbangan pula boleh dibuat dalam pelbagai bentuk sama ada dari segi kewangan, sumber makanan, tenaga, material dan sebagainya. Dan yang ketiga, moral serta pencapaian akademik merupakan keutamaan yang harus diberikan kepada para pelajar.

Fasa pertama perkembangan Madrasah Deoband ini berakhir dengan kematian Maulana Muhamad Qasim Nanawtawi pada 15 April 1880. Tempat beliau telah diambil alih oleh Maulana Rashid Ahmad Gangohi. Beliau telah menekankan perkembangan ajaran tarekat seperti aliran Chistiyah, Qadiriyah, Naqshabandiyah dan Suhrawardiyah. Meskipun demikian, sufi aliran Chisti lebih dominan jika dibandingkan dengan aliran lain. Selain itu, kebanyakan ulama yang terbabit dalam Madrasah Darul Ulum Deoband ini sebenarnya mempunyai pertalian antara satu sama lain.

Sekiranya tidak disebabkan  pertalian darah ini akan diikat oleh pertalian perkahwinan. Keadaan ini secara langsung telah “menyempitkan” ruang pemikiran Deoband. Kemudian Maulana Rashid Ahmad Gangohi pula meninggal dunia pada tahun 1905 dan tempat beliau diambil alih oleh Maulana Mahmud Hasan Deobandi yang juga dikenali sebagai Sheikh-ul Hind.

RUJUKAN:

Azharudin Mohamed Dali. 2015. Sejarah Islam Di India: Abad ke-8 hingga Abad ke-20. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Darul Uloom Deoband – Wikipedia

Artikel dikirimkan oleh Farah el-Farhah untuk The Patriots. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Leave A Reply