Sebut saja zirafah, ramai pengkaji biologi menyifatkan ia sebagai satu contoh evolusi. Mengikut teori, zirafah mempunyai leher panjang bertujuan mendapatkan makanan pada bahagian tinggi pokok. Dengan leher sebegitu, ini memberi kelebihan besar kepada haiwan berkenaan. Tetapi analisis terbaru fosil nenek moyang zirafah, Discokeryx xiezhi mendedahkan ia berlaku kerana saling berlawan untuk mendapatkan pasangan.

Mengikut analisis beberapa fosil Discokeryx yang diterbitkan dalam jurnal Science, haiwan ini mempunyai perisai tulang persis cakera pada bahagian atas kepalanya. Ia diliputi oleh lapisan perlindungan keratin – tisu sama pada tanduk haiwan seperti kerbau dan biri-biri jantan. Apabila keratin semakin besar, lapisan yang lebih tua akan ditolak keluar sekaligus membentuk cakera kepala yang tebal.

Model komputer kepala dan leher Discokeryx. Sumber: Wang et al., Science (2022)

Cakera ini dipasak pada tulang vertebra leher yang tebal. Bila Discokeryx mula menanduk sesama mereka, tulang vertebra ini akan dikunci pada garisan tegak lurus sekaligus menjadikan cakera itu sebagai kayu pelantak versi dunia haiwan.

Discokeryx jantan menggunakan bahagian ini untuk berlawan dengan Discokeryx lain bagi mendapatkan pasangan untuk mengawan. Ini sama seperti zirafah jantan moden yang bersaing dengan zirafah jantan lain dengan melagakan leher sesama mereka bagi merebut zirafah jantina.

Mungkin ada menganggap tindakan haiwan saling menanduk kepala lawan ini sebagai sesuatu yang baru. Tetapi hakikatnya, ia sudah lama wujud dan dilihat cara terbaik untuk menyelesaikan konflik. Dinosaur seperti Pachycephalosaurus diketahui mempunyai tengkorak yang tegap. Sementara haiwan lain seperti ikan paus dan sumpah-sumpah/kameleon juga diketahui suka menanduk sesama mereka.

Menggunakan model komputer, pasukan pengkaji membina model kepala dan leher Discokeryx dan membandingkannya dengan haiwan-haiwan moden seperti lembu jantan dan kambing biri-biri gunung. Dapatan model komputer mendapati tengkorak haiwan tersebut mampu menyerap lebih banyak tandukan dan jauh lebih baik dalam melindungi otaknya berbanding haiwan-haiwan moden.

Antara haiwan lain yang wujud di Lembangan Junggar kira-kira 17 tahun lalu selain Discokeryx. Sumber: Wang et al., Science (2022)

Fosil nenek moyang zirafah ini ditemui oleh sekumpulan pakar paleontologi diketuai figura dari Muzium Sejarah Alam Semulajadi Amerika Syarikat, Jin Meng pada 1996 di satu kawasan singkapan berbatu di barat laut China. Kawasan tersebut dikenali sebagai Lembangan Junggar di mana 17 juta tahun lalu, ia merupakan satu kawasan hutan-savana yang menjadi habitat mamalia besar seperti Amphicyon (anjing dengan ciri gabungan beruang dan anjing) dan Platybelodon (gajah dengan gading berbentuk penyodok).

Discokeryx dilihat lebih mirip kepada satu lagi ahli keluarga Giraffidae, okapi. Okapi atau zirafah Congo atau zirafah belang merupakan spesies haiwan yang endemik di kawasan hutan sekitar Republik Demokratik Congo (DRC).

Disebabkan persaingan sengit bagi mendapatkan pasangan untuk mengawan, penyelidik dari Institut Ornitologi Afrika FitzPatrick, Universiti Cape Town, Robert Simmons percaya ia merupakan pendorong utama untuk Discokeryx berevolusi. Idea ini menjadi asas hipotesis teori “leher untuk mengawan”.

Mengikut teori hipotesis, pada satu ketika sepanjang sejarah evolusinya, zirafah yang mempunyai leher panjang dan berurat mendominasi pertarungan bagi mendapatkan pasangan. Kejayaan zirafah ini mengawan mendorong ia berevolusi termasuk mempunyai leher yang lebih panjang. Teori “leher untuk mengawan” dicadangkan buat kali pertama oleh Simmons dan ahli zoologi dari Institut Ekologi Etosha, Namibia, Lue Scheepers pada 1996 dalam jurnal The American Naturalist.

Bagaimanapun, Simmons mengingatkan leher panjang zirafah boleh saja terbentuk bukan saja oleh faktor persaingan tetapi juga untuk mendapatkan makanan. Penemuan fosil Discokeryx mungkin tidak menyelesaikan debat sama teori “leher untuk mengawan” munasabah atau tidak. Tetapi dengan lebih banyak penemuan fosil nenek moyang zirafah pada masa akan datang, ia diharap dapat merungkai bagaimana leher zirafah moden terbentuk seperti disaksikan hari ini.

The Patriots berada di PBAKL 2022 bermula 3 June sehingga 12 June. Jumpa di sana!

RUJUKAN

Tamisiea, J. (2022, 2 Jun). Giraffes May Be Long-Necked for Fights, Not Just Food. New York Times.

Lanese, N. (2022, 2 Jun). Short-necked giraffe relative discovered in China. It used its helmet head to bash rivals. Live Science.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply