“Kita patut tukarkan ibadah Korban kepada berikan biasiswa kepada pelajar. Kenapa? Sebab Korban dah lari makasid (tujuannya).”

Pertama, sukanya aku nak cakapkan bahawa dalam Islam, maqasid (tujuan) bagi maliyah (harta) adalah berbeza. Dan setiap satunya, memiliki peranan-peranan tertentu dalam Islam. Misalnya, bagi Zakat Fitrah tujuannya agar fakir miskin memiliki makanan untuk sambut Raya Puasa. Maqasid untuk Korban pula ialah fakir miskin memiliki makanan untuk sambut Raya Haji.

Dan ada banyak juga perkara-perkara yang kita tak nampak dalam ibadah korban haiwan ini sebab kita hanya nampak beragama semata-mata untuk “hapuskan kemiskinan”, sedangkan Islam lebih besar daripada itu.
Sebab tu orang suruh masa Korban tu joinlah melapah, menumbangkan lembu, kambing. Kau akan dapati bahawa betapa besarnya pengajaran yang kau akan dapat daripada aktiviti ini.

Misalnya, lagi-lagi untuk masyarakat moden, kita semua ramai-ramai bergotong-royong sembelih dan melapah daging. Daripada ini, kau akan dapat banyak manfaat. Kalau sebelum ni kau sibuk bekerja, tak hiraukan sekeliling, tapi kali ni kau boleh rapatkan hubungan dengan jiran-jiran, kau kembali bermasyarakat, dan silaturahim pun jadi rapat. Institusi keluarga kembali diperkukuhkan, institusi bermasyarakat kembali dipasakkan kembali.

Contoh hujah anti-korban berfalasi biasiswa.

Bayangkan tengah lapah daging sama-sama, tumbangkan lembu pun bersama, mengedarkan ke masyarakat pun bersama daging-daging korban itu. Tak akan tak nampak keindahan ibadah korban ini lagi? Mungkin bagi kau, JIRAN, BERMASYARAKAT, KELUARGA ni bukan benda besar. Tapi bagi kami masyarakat Konservatif, tiga perkara ini ialah tonggak ummah. Rosak tiga ini, rosaklah ummah. Dan menjaga masyarakat, kejiranan ialah satu perkara yang dituntut dalam Islam.

Sabda nabi: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.” [Riwayat Muslim]

Sebab itu perintah dalam Al-Quran bukanlah berkaitan membantu orang miskin sahaja, tetapi JIRAN. Lihat ayat dibawah:

“Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, JIRAN TETANGGA YANG DEKAT DAN JIRAN TETANGGA YANG JAUH, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.” (al-Nisa’: 36)

Ibadah KORBAN HAIWAN itu satu ibadah. Ibadah KORBAN tu membantu orang miskin. IBADAH KORBAN itu membuatkan kau membantu orang miskin mengharungi satu lagi hari raya, hari kebesaran dalam Islam dengan perut yang terisi. Dan tanyalah kepada sahabat-sahabat yang tumbangkan lembu, yang tumbangkan kambing, kalau kalian tak nak percaya pada aku. Masa dok lapah daging, masa dok tumbangkan semua ini bukan untuk diri kita, kita diajar untuk ada rasa empati kepada orang miskin yang hanya mampu merasianya setahun sekali.

Cuba sertai mereka masa mereka edarkan daging-daging korban itu kepada yang memerlukan. Cuba tatap video rakaman orang-orang Islam di Afrika, Indo-China, tanah Arab yang sedang dalam perang, betapa mereka menangis kesyukukuran, dan sangat menanti hari raya Aidiladha ini. Kalian terlalu lama bersemayam jadi T20 wahai Bangsar Bubble, Murtadin, Liberal dan woke-woke sekalian, sampai tak memahami apa yang dibawah ini fikirkan.

Dan hujah yang paling kuat aku boleh gariskan dalam hal KORBAN HAIWAN ini ialah sebab ini ialah perintah ALLAH. Seperti mana taatnya Ibrahim agar leher anak lelakinya disembelih, maka seperti itulah harus taatnya kita disuruh korbankan kibas, lembu, unta dan kambing. Dan… jangan ulangi perbuatan Bani Israel. Ketika ALLAH suruh mereka cari lembu betina, mereka suka sangat menyukarkan perintah ALLAH dengan mempersoalkan benda bukan-bukan.

Ketika Nabi Musa menyampaikan perintah ALLAH supaya disembelih seekor lembu betina, mereka pula mempersoalkan setiap perintah nabi, yang mendapat wahyu sampaikan ALLAH tegur dalam Al-Quran.

“Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu,” (Surah al-Maidah, ayat 101)

Kedua, maqasid yang tujuannya membangunkan ekonomi umat Islam, membantu lebih besar keseluruhan masyarakat terletak pada ibadah lain seperti Zakat Harta dan juga Wakaf. Contoh seperti zakat ini, saya suka petik pada zaman Saidina Umar Abdul Aziz.

Baitulmal ketika dibawah pemerintahannya sangat hebat pengurusannya. Perlu tahu, antara dana yang masuk ke baitulmal ketika itu ialah zakat, usyur, jizyah, kharaj/cukai tanah, satu perlima hasil rampasan perang dan fa’i. Pertambahan jumlah zakat yang memasuki baitulmal berlaku berikutan pertambahan pendapatan dari sektor perniagaan, perdagangan dan pertanian. Dan untuk memastikan pendapatan daripada zakat terus meningkat, apa yang khalifah buat ialah projek-projek pembangunan ekonomi dan pengalakkan perniagaan oleh masyarakat.

Bermain falasi dengan kemiskinan kononnya zaman khilafah diromantiskan.

Misalnya, Umar melaksanakan projek pembangunan kemudahan awam seperti jambatan, jalan raya, perigi-perigi dan sistem saliran. Dan bagi memastikan tanah-tanah ini dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya, pelbagai projek membabitkan sistem pengairan dan jalan-jalan bagi memudahkan proses membawa hasil tanaman digerakkan. Ini penting kerana untuk untuk untuk memastikan infrastruktur yang wujud, mesra pedagang, dan juga mampu meningkat produktiviti pertanian agar nanti semuanya mampu disumbangkan sebagai zakat harta untuk kerajaan.

Pemansuhan beberapa cukai perniagaan juga mendorong ramai orang zimmi dan mawali berkeinginan mengembangkan perniagaan mereka. Ini membawa kepada pertambahan dana usyur dan seterusnya pertambahan dana baitulmal semasa era baginda yang disumbangkan melalui zakat harta.

Antara polisi menarik melibatkan para pedagang, para pedagang yang menginap di rumah tumpangan, mereka boleh menetap selama sehari semalam tetapi boleh dipanjangkan kepada sehari sekiranya tidak sihat untuk meneruskan perjalanan. Pedagang-pedagang yang kehilangan barang dagangan atau ditimpa musibah bencana alam/jenayah turut dibantu di mana kerugian mereka dijamin baitulmal.

Jika mereka mengalami masalah muflis, hutang mereka akan diselesaikan oleh baitulmal.Ini merupakan salah satu dari galakan Umar kepada golongan ini agar tidak mudah berputus asa lebih-lebih lagi kepada yang masih hijau dalam dunia perniagaan.

Kenali banyak benda baharu tentang junjungan besar kita iaitu Muhammad SAW, Nabi Allah dan RASULULLAH sendiri melalui pautan:
https://shopee.com.my/The-Patriots-Muhammad-Dakwah-dan-Diplomasi-i.238336777.4838248189

Khalifah juga menghapuskan cukai-cukai yang dianggap membebankan golongan tani. Berdasarkan analisis Umar, kebanyakan tanah yang diusahakan terbiar begitu saja kerana beban cukai yang ditanggung golongan tani. Kerana bimbang dikenakan denda atau hukuman lebih berat, mereka lebih suka menjualnya daripada menanggung beban cukai.

Umar juga bertanggungjawab menggerakkan dasar mengusahakan tanah terbiar dengan menggalakkan orang ramai membuka tanah baru untuk tujuan pertanian atau pembangunan. Selain memansuhkan cukai-cukai, baginda juga mewujudkan pinjaman kepada golongan tani yang mahu memajukan kebun mereka dan hanya mengenakan cukai kepada tanah yang menghasilkan pendapatan.

Umar juga melarang tanah wakaf dimiliki oleh sesiapa saja dan seharusnya dimanfaatkan untuk kegunaan orang Islam. Jika ada tanah terbiar tanpa diketahui siapa pemiliknya, ia akan diambil alih oleh gabenor wilayah untuk tujuan pertanian atau pembangunan dan hasilnya akan disalurkan kepada baitulmal. Hasil kepada polisi ekonomi untuk mengkayakan masyarakat, agar dana-dana zakat dapat disumbangkan kepada Baitulmal, sampai satu masa, ada anekdot menarik yang dicatatkan.

“Aku dihantar Umar bin Abdul Aziz untuk mengutip zakat di Afrika. Selepas aku mengumpulnya, aku merancang untuk mengagihkannya kepada golongan fakir miskin. Tetapi aku tidak menjumpai satu orang pun. Ini kerana pada era Umar, baginda telah menjadikan semua orang kaya. Akhirnya, aku putuskan untuk menggunakan dana zakat untuk membeli dan membebaskan hamba-hamba.” – Yahya bin Said, salah seorang gabenor yang berkhidmat semasa era Umaiyyah.

Jadi, apa pengajaran yang kita boleh dapat? Sistem zakat harta, Baitulmal itu dapat berfungsi dengan baik kalau diuruskan tanpa korupsi, telus dan bersih. Bukanlah bermaksud bila kita petik dari sejarah, kita nak beromantism, tetapi kita nak ambil pengajaran. Bukankah itu tujuannya kita belajar dari sejarah? Pengajarannya Islam dah ada system terbaik seperti Zakat Harta dan Baitulmal sebagai langkah terbaik, yang dah terbukti mampu membasmi kemiskinan! Tak cukup dengan Zakat Harta, aku suka petik mengenai Wakaf untuk rujukan kita. Untuk Wakaf, kita ambil daripada zaman Uthmaniyyah.

Allah S.W.T. berfirman dalam surah Ali Imran ayat, ke-92 yang bermaksud:
“Kamu tidak akan sampai ke kemuncak kebaikan, sehingga kamu menginfakkan harta yang paling kamu cintai. Dan apa jua yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

Kepada yang tidak mengetahui, definisi Wakaf menurut Kamus Dewan, sesuatu yang diberikan untuk kegunaan orang ramai (sebagai derma) atau diuntukkan bagi keperluan yang berkaitan dengan agama Islam, seperti mendirikan masjid atau membina madrasah untuk kegunaan orang ramai.

Dalam sejarah, antara fasa paling awal Wakaf sebagai senjata umat Islam ialah daripada kisah saidina Uthman yang membeli sebuah perigi daripada Yahudi yang suka menindas umat Islam. Hasil daripada pembelian perigi itu, umat Islam berjaya menguasai ekonomi Madinah, dan Yahudi yang menindas umat Islam terpaksa akur dengan penguasaan ekonomi umat Islam. Dalam banyak fasa-fasa sejarah Islam, Uthmaniyyah paling terkedepan memanfaatkan konsep Wakaf dalam membangunkan ekonomi umat Islam.

“Disebabkan wakaf, seorang lelaki dalam Daulah Uthmaniyah boleh dilahirkan dalam rumah wakaf, tidur dalam buaian wakaf, diberi makan dengan harta wakaf, belajar di sekolah wakaf dan membaca buku wakaf. Kemudian setelah dewasa, beliau mengajar di sekolah wakaf, menerima gaji dari harta wakaf dan apabila meninggal dunia dia diletakkan dalam keranda wakaf dan dikebumikan dalam tanah Wakaf.” – Ahmet Akgündüz

Bukan institusi Pendidikan seperti sekolah, hidup para ilmuwan sahaja yang menjadi antara wakaf umat Islam. Misalnya, hospital ketika era Uthamniyah turut menjadi bahan wakaf. Institusi wakaf kesihatan pula dikenali sebagai darul syifa’. Biasanya dibina sekali berdekatan masjid dan sekolah.

Rawatan percuma diberikan kepada rakyat yang kurang berkemampuan. Bukan kerajaan sahaja yang membina hospital, malah golongan kaya turut membina hostipal wakaf. Antara contoh hospital dalam sejarah yang merupakan sebahagian daripada program wakaf ialah Zeynap-Kamil membina hospital wakafnya pada tahun 1875. Bukan sahaja hospital umum, malah ada ‘hospital pakar’ yang khusus bagi wanita dan kanak-kanak sahaja. Hamidiye Etfal Hastahane-i Âlisi adalah contoh hospital kanak-kanak yang khas datang daripada amalan berwakaf penduduk Uthmaniyah sama ada pihak kerajaan atau orang kaya pada zaman itu.

Antara binaan Wakaf lain yang terkenal adalah sadaka taşı (batu amal). Atau bahasa mudahnya tabung tunai yang dibina daripada batu. Biasanya diletakkan di perkarangan masjid. Fungsinya mudah, orang yang mahu sedekah masukkan duit dari atas, yang memerlukan akan ambil di bawahnya. Yang mengambil pula tahu untuk mengambil sekadar keperluannya dan memikirkan yang dibelakang.

Situasi yang sama dapat dilihat pada kedai-kedai makanan seperti kedai roti zaman Uthmaniyyah dulu. orang kaya akan membeli roti dari tuan kedai kemudian roti itu akan digantung untuk keperluan orang yang kelaparan. Betapa hebatnya umat Islam mengaplikasikan Wakaf dalam kehidupan, sehingga mampu untuk mereka memiliki pendidikan, perubatan, malahan makanan percuma untuk dikongsikan dengan fakir miskin.

Sekarang pertanyaan aku, apakah bercerita mengenai kejayaan Wakaf dan juga Zakat di atas sebagai meromantismkan sejarah? Apakah kamu wahai para woke-woke, SJW, Liberal, Kiri dan seangkatan dengannya, mahu menafikan fungsi Zakat Harta dan Wakaf? Kalau masih berdegil, aku nak tunjukkan antara kejayaan Wakaf di zaman moden tau.

JCorp ialah contoh syarikat gergasi yang menjadikan amalan wakaf sebagai sebahagian daripada tanggungjawab korporat mereka. Salah satu pencapaian cemerlang JCorp kepada masyarakat melalui pendekatan wakaf bagi memenuhi keperluan golongan miskin dan yang memerlukan telah dilaksanakan melalui pembinaan rangkaian Klinik Waqaf An-Nur dan Hospital Waqaf An-Nur. Sehingga kini rangkaian Klinik Waqaf An-Nur mempunyai 22 buah rangkaian klinik iaitu 7 di Johor termasuk Hospital Waqaf klinik di Pasir Gudang, 2 di Seremban, 8 di Selangor, 2 di Sarawak dan selebihnya di Perak. Kelantan dan Pulau Pinang.

Semenjak dibuka kepada orang ramai sehingga Mei 2016 rangkaian Klinik Waqaf An-Nur di seluruh negara telah merawat lebih dari 1,317,371 pesakit dari semua lapisan masyarakat yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama. Di peringkat klinik pesakit hanya dikenakan bayaran minima sebanyak RM5.00 bagi setiap rawatan, termasuk ubatan. Semua klinik-klinik Waqaf An-Nur dilengkapkan dengan Pusat Dialisis untuk memenuhi keperluan pesakit buah pinggang pada kadar bayaran RM90.00.

Sebenarnya banyak lagi manfaat sistem Baitulmal dan juga Wakaf di Malaysia. Artikel ni akan jadi berjela-jela panjang. Aku akui bahawa sistem masih belum sempurna, dan banyak lagi penambahbaikkan boleh kita fokuskan bersama.

Aku, kau, dan kita semua harus bersama-sama duduk untuk fikirkan cara untuk sempurnakan sistem Baitulmal dan Wakaf kita agar jadi sempurna seperti zaman Umar Abdul Aziz dan juga Uthamniyyah dahulu.

Bukannya tiba-tiba dua sistem yang terbukti keberkesanannya tidak disempurnakan, kita beralih ke ibadah lain yang maqasidnya dalam Islam bertujuan lain, sedangkan ibadah yang maqasid untuk membangun dan membantu ekonomi umat Islam, kita abaikan begitu sahaja.

Kami juga ada karya-karya fiksyen khas untuk para peminat pelbagai genre. – https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

Leave A Reply