Apabila membicarakan tentang dunia perfileman Melayu, tidak lengkap rasanya jika tidak memperkatakan tentang seorang seniwati pujaan ramai iaitu Latifah Omar. Latifah Omar (nama sebenarnya Fatimah binti Omar) dilahirkan pada 26 Mac 1939 di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Pada tahun 1948, Latifah Omar mengikut ibunya Rahmah, berpindah ke Singapura. Pada tahun 1953, beliau telah memasuki pertandingan Ratu Cantik Singapura serta dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama.

Beliau membuat penampilan pertama di layar perak seawal usia 14 tahun sebagai pelakon tambahan menerusi filem Dahlia di bawah arahan B.S. Rajhans yang menjalani penggambaran sekitar tahun 1953. Filem terbitan Keris Film Productions ini mula ditayangkan pada 1 April 1954.

B.S. Rajhans (kanan) sedang memberi tunjuk ajar kepada Latifah Omar semasa penggambaran filem Dahlia. Gambar Milik: Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik

Latifah Omar kemudiannya beralih angin ke Malay Film Productions (MFP) di Jalan Ampas. Filem pertama beliau bersama MFP ialah Kerana Kau arahan K.R.S. Sastry yang terbit pada tahun 1953. Peranan beliau di dalam filem tersebut juga sebagai pelakon tambahan.

Nama Latifah Omar mula dikenali ramai apabila diperkenalkan melalui filem Panggilan Pulau arahan S. Ramanathan dengan memegang watak seorang gadis pulau yang bernama Melati pada tahun 1954. Di dalam filem itu, beliau bergandingan dengan P. Ramlee yang juga merupakan kekasihnya di luar set penggambaran.

Percintaan Latifah Omar dengan P. Ramlee bermula sejak hari pertama beliau menjejakkan kaki ke studio MFP. Perkara ini telah disahkan sendiri oleh sahabat baik P. Ramlee iaitu Abdullah Hussain. Akan tetapi, percintaan dua bintang kesayangan ramai ini tidak kesampaian dan terputus di tengah jalan.

Di studio MFP Jalan Ampas, Latifah Omar telah berlakon di dalam 8 buah filem. Selepas Kerana Kau dan Panggilan Pulau, beliau berlakon pula di dalam filem Merana (1954) arahan B.N. Rao, Insan (1955) arahan K.M. Basker, Empat Isteri (1955) arahan B.S. Rajhans, Bernoda (1956) arahan S. Ramanathan, Menyerah (1956) arahan K.M. Basker dan Putera Bertopeng (1957) arahan K.M. Basker.

Pada penghujung tahun 1957, Latifah Omar berhijrah ke studio Cathay-Keris Film (CKF) yang juga merupakan pesaing sengit kepada MFP dalam industri perfileman Melayu ketika itu. Penghijrahan beliau ke CKF adalah berikutan penerimaan notis pemberhentian kerja berkuat kuasa selama sebulan selepas beliau menamatkan penggambaran filem Putera Bertopeng. Ia dipercayai berpunca daripada berlakunya pertikaian di antara beliau dengan pihak pengurusan MFP yang memarahinya kerana tidak menghadiri sebuah majlis yang berkaitan dengan filem.

Kemarahan pihak pengurusan MFP jelas digambarkan melalui filem Putera Bertopeng apabila nama Latifah Omar tidak tercatat pada credit title sedangkan beliau merupakan pelakon utamanya.Penghijrahan Latifah Omar ke CKF ketika itu diikuti dengan nama-nama besar yang lain seperti Nordin Ahmad, Siti Tanjong Perak dan Mariam.

Filem pertama yang dilakonkan oleh Latifah Omar di CKF berjudul Selendang Delima (1958) yang diarahkan oleh K.M. Basker. Seterusnya, beliau diberikan peranan utama di dalam filem seram yang berjudul Serangan Orang Minyak (1958). Kehebatan lakonannya mula terserlah pada tahun berikutnya apabila beliau membintangi filem Raden Mas (1959) di bawah arahan L. Krishnan dan Bawang Puteh Bawang Merah (1959) arahan S. Roomai Noor. Menerusi filem inilah nama Latifah Omar mula mengecap kemasyhuran sebagai seorang pelakon wanita yang berkaliber.

Pada tahun 1960, Latifah Omar telah digandingkan dengan pelawak S.M Wahid atau lebih dikenali sebagai Wahid Satay di dalam sebuah filem komedi yang berjudul Che Mamat Parang Tumpol. Filem ini telah berjaya memenangi Best Comedy Award di Festival Filem Asia Pasifik ke-8 di Manila, Filipina.

Latifah Omar bersama trofi Best Comedy Award yang dimenangi menerusi filem Che Mamat Parang Tumpol di Festival Filem Asia Pasifik ke-8 di Manila. Gambar milik: Mohd Danial Abd Aziz

Ketika berkhidmat di CKF jugalah Latifah Omar telah menemui pasangan serasi beliau di dalam seni lakonan iaitu seniman Nordin Ahmad. Gandingan mantap Latifah Omar bersama Nordin Ahmadlah yang paling mendapat tempat di hati peminat. Malah para pengarah di CKF sering berebut-rebut untuk menggandingkan Latifah Omar dan Nordin Ahmad di dalam filem-filem arahan mereka. Mereka telah digandingkan sebagai hero dan heroine di dalam filem Hang Jebat (1961) arahan Hussain Haniff, Laila Majnun (1962) arahan B.N. Rao, Lanchang Kuning (1962) arahan M. Amin, Chuchu Datok Merah (1963) arahan M. Amin, Gul Bakawali (1963) arahan B.N. Rao, Patong Chendana (1965) arahan M. Amin dan yang terakhir Gurindam Jiwa (1966) arahan M. Amin.

Latifah Omar dan Nordin Ahmad telah digelarkan sebagai “Loving Couple on Silver Screen” kerana keserasian mereka membawa watak-watak romantik di layar perak. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa gandingan mantap Latifah Omar dan Nordin Ahmad tidak dapat ditandingi oleh mana-mana pelakon sehingga ke hari ini.

Latifah Omar dan Nordin Ahmad yang sering digelarkan sebagai “Loving Couple on Silver Screen”

Antara filem-filem lain yang dilakonkan oleh Latifah Omar di CKF ialah Sumpitan Rachun (1961) arahan L. Krishnan, Jalak Lenteng (1961) arahan Salleh Ghani, Gado-Gado (1961) – berperanan sebagai cameo – arahan S. Roomai Noor, Chelorong Cheloreng (1962) arahan S. Roomai Noor, Bayangan Di Waktu Fajar (1963) arahan Usmar Ismail, Rumah Itu Dunia Aku (1963) arahan M. Amin, Kalong Kenangan (1964) arahan Hussain Haniff, Wan Perkasa (1964) arahan Nordin Ahmad, Kaseh Ibu (1965) arahan Nordin Ahmad, Chinta Kaseh Sayang (1965) arahan Hussain Haniff, Ikan Emas (1965) arahan M. Amin dan Naga Tasek Chini (1966) arahan Nordin Ahmad.

Setelah tamat kontrak bersama CKF pada tahun 1966, Latifah Omar telah mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada dunia perfileman. Namun pada tahun 1971, P. Ramlee telah berjaya memujuknya untuk berlakon di dalam filem Putus Sudah Kaseh Sayang (1971) di Merdeka Film Studio (MFS) di Kuala Lumpur. Inilah satu-satunya filem lakonan beliau di MFS dan kali yang pertama selepas 17 tahun, beliau berpasangan semula dengan P. Ramlee. Ketika selesai penggambaran filem inilah beliau menerima perkhabaran bahawa seniman Nordin Ahmad telah meninggal dunia di Hospital Besar Singapura akibat demam kuning pada 15 Jun 1971.

Latifah Omar berlakon filem kali terakhir di dalam kariernya pada tahun 1973 menerusi filem Hati Batu arahan M. Amin di CKF. Filem ini juga merupakan filem terakhir yang diterbitkan oleh CKF sebelum ianya menggulung tikar buat selama-lamanya.

Selepas penutupan studio CKF, Latifah Omar telah membuat keputusan untuk meninggalkan dunia perfileman. “Saya mengucapkan selamat tinggal kepada dunia filem Melayu,” ujar Latifah Omar. Beliau ternyata berpegang kepada ikrar tersebut untuk tidak berlakon lagi walaupun mendapat tawaran lakonan daripada beberapa pihak. Latifah Omar telah berkahwin sebanyak 3 kali sepanjang hidupnya. Beliau banyak menghabiskan masa untuk menguruskan urusan rumah tangganya.

Sepanjang penglibatan beliau dalam dunia perfileman, Latifah Omar telah membintangi sebanyak 35 buah filem. Beliau yang pernah berkhidmat di ketiga-tiga studio — Malay Film Productions, Cathay-Keris Film & Merdeka Film Studio — telah menjadi salah seorang primadona filem Melayu yang paling berpengaruh. Beliau seringkali membawa watak perempuan yang ditindas, didera dan penyayang sangat meninggalkan kesan di hati penonton yang bersimpati dengan lakonannya.

Pada 9 Jun 2013, Latifah Omar meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada usia 74 tahun akibat penyakit kanser usus. Beliau kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Kuala Lumpur. Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

 

Sumber:

1. Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik

2. Latifah Omar Klasik Fan Club

3. Filem Klasik Malaysia oleh Mustafar AR

4. Daftar Filem Melayu (1933-1993) oleh Jamil Sulong, Hamzah Hussin dan Malik Mokhtar (FINAS, 1993)

5. Jejak Terbilang oleh Aimi Jarr (FINAS, 2007)

6. Filem-Filem P. Ramlee oleh Mustafar AR & Aziz Sattar (MZA Terbit, 2008)

7. Kisah Hidup Seniman Agung P. Ramlee oleh Abdullah Hussain (DBP, 2015)


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang peminat sejarah filem tanah air. Suka menonton filem-filem Melayu hitam putih, terutama sekali arahan Hussain Haniff dan M. Amin.

Leave A Reply