Lapan Plot Cubaan Bunuh Adolf Hitler

0
5035
views
Besuch Mussolinis bei Hitler im Führerhauptquartier Wolfsschanze bei Rastenburg (Ostpreußen) unmittelbar nach dem Attentatsversuch vom 20. Juli 1944. Besichtigung der zerstörten Baracke (ganz rechts. Dolm. Dr. Paul Schmidt)

Bila mana Adolf Hitler (dikatakan) membunuh diri dengan menembak dirinya sendiri, apa yang dilakukan beliau memenuhi hasrat semua pembunuh yang gagal dalam cubaan bunuhnya. Sepanjang hayat beliau, Hitler menjadi sasaran plot pembunuhan sama ada dari kerajaan asing sehinggalah musuh politiknya sendiri. Kebanyakan plot tersebut gagal kerana faktor masa atau nasib tidak menyebelahi mereka. Di sini, saya ingin sentuh beberapa plot pembunuhan yang dirancang mereka ke atas Hitler.

1. Pergaduhan Dewan Bir Munich (1921)

20 tahun sebelum Perang Dunia Kedua meletus, seorang radikal muda dan belum dikenali umum membuat ucapan panas di Dewan Bir Hofbrauhaus, sebuah dewan bir terkenal di Munich ketika itu pada bulan November 1921. Individu yang mengungkapkan terma-terma berapi inilah Hitler. Dan ucapannya pada ketika itu bukan saja disaksikan oleh ahli-ahli parti Nazi yang baru ditubuhkan malah disaksikan oleh ahli-ahli Sosial Demokrat, komunis dan parti-parti lain. Seperti kita ketahui, retorik Hitler begitu panas dan pedas sehingga mencetuskan huru-hara dalam dewan dan pergaduhan dalam kalangan penonton yang mabuk. Di sebalik kekecohan itu, sekumpulan individu tidak dikenali mengeluarkan pistol dan menembak beberapa das peluru pada podium speaker. Semua tembakan yang dilepaskan tidak mengenai Hitler dan beliau meneruskan ucapan selama 20 minit sebelum polis tiba. Cubaan bunuh ini meningkatkan lagi kesungguhan beliau pada perjuangan Nazi. Dua tahun selepas itu, Dewan Bir Burgerbraukeller menjadi saksi kepada permulaan ‘Beer Hall Putsch’, cubaan rampasan kuasa yang meletakkan dirinya menjadi tumpuan ramai dan dihukum penjara selama lima tahun.

2. Plot Cubaan Bunuh Maurice Bavaud (1938)

Antara motif Bavaud ialah Hitler jelmaan iblis yang perlu dihapuskan

Pada lewat tahun 1938, seorang pelajar teologi Switzerland bernama Maurice Bavaud menyakinkan dirinya bahawa Hitler ialah jelmaan Iblis di atas muka bumi ini yang patut dihapuskan. Bavaud membeli sepucuk pistol dan mula mengintai pergerakan Hitler di Jerman. Bavaud cuba mengatur pertemuan dengan Die Fuhrer tetapi menyedari ianya tidak akan berhasil, beliau menyertai orang ramai menyaksikan Hitler berarak di jalan-jalan Munich bagi mengenang ulangtahun ‘Beer Hall Putsch’. Bila Hitler sampai pada bahagian di mana Bavaud berada, dia bersedia mengeluarkan pistol dan melepaskan tembakan. Tetapi pada masa itu juga, sebelum sempat Bavaud berbuat demikian, orang ramai mengangkat lengan mereka sebagai tanda tabik hormat Nazi sekaligus menghalang pandangannya. Sedar cubaan bunuhnya tidak akan berhasil dan bimbang peluru ditembak terkena orang-orang tak bersalah, Bavaud tidak meneruskannya dan melarikan diri. Dalam perjalanan ke Perancis melalui keretapi, dia ditahan oleh Gestapo kerana menggunakan tiket palsu dan hasil pemeriksaan, Gestapo turut menemui sepucuk pistol dan peta ke rumah percutian Hitler. Semasa disoal siasat (diseksa) oleh Gestapo, dia mengaku merancang plot cubaan bunuh ke atas Hitler. Berikutan itu pada Mei 1941, Bavaud dipancung sehingga mati melalui gilotin di Penjara Plotzensee, Berlin. Sehari sebelum hukuman, Bavaud menulis kepada ibu bapanya, “Saya mahu menangis tetapi saya tak boleh. Saya rasa hati saya hancur.”

3. Rampasan Kuasa Dan Bunuh (1938)

Oster tidak teragak-agak mahu membunuh Hitler kiranya Die Fuhrer mengheret Jerman kembali ke kancah perang.

Pada tahun 1938, Pengarah Pejabat Perisikan Tentera Jerman, Hans Oster merancang bukan saja untuk membunuh Hitler tetapi juga merampas kuasa daripada Parti Nazi. Alasan Oster, tindakan Hitler yang mahu mengawal Czechoslovakia boleh mengheret Jerman kembali ke kancah perang dunia. Dengan 60 pegawai jadi sebahagian daripada rancangan rampasan kuasa ini, ramai berbeza pendapat bagaimana menguruskan Hitler selepas rampasan kuasa berlaku. Sebahagian mahukan beliau dihukum bunuh, ada yang mahukan Hitler diisytiharkan sebagai gila. Bagi Oster sendiri, beliau memilih membunuh Hitler dalam keadaan Die Fuhrer cuba lari dari tahanan. Namun, konspirasi tersebut tamat begitu saja berikutan Perjanjian Munich yang memberi peluang kepada Jerman mengambil alih wilayah Sudetanland, seterusnya membawa kepada penawanan keseluruhan Czechoslovakia. Ahli-ahli konspirasi terpaksa mendiamkan diri kerana menyangka krisis sudah berakhir. Dan bila perang berkecamuk, ahli-ahli konspirasi mengalami kesukaran untuk bergabung semula. Bagi Oster sendiri, pada April 1945, beliau digantung sampai mati bersama ahli teologi, Reverend Dieter Bonhoeffer dan bekas ketua Perkhidmatan Perisikan Jerman (Abwehr), Jeneral Wilhelm Canaris.

4. Bom Dewan Bir Georg Elser (1939)

Georg Elser, si tukang kayu yang hampir membunuh Hitler dengan kesungguhan dan kebijaksanaan.

Georg Elser ialah seorang tukang kayu dan komunis yang sangat memusuhi Nazisme. Dia menjangkakan sekiranya rejim yang diketuai Hitler ini dibiarkan berleluasa, Jerman akan musnah angkara perang dan kemelesetan ekonomi. Atas sebab itu, Elser mula membina sebuah bom dengan tempoh pemasanya ialah 144 jam. Selepas bom tersebut siap, dia berpindah ke Munich dan menyusup masuk dalam Dewan Bir Burgerbraukeller setiap malam untuk menebuk sebuah lubang pada sebatang tiang batu sebagai tempat bom dipasang. Selepas beberapa minggu, dia berjaya memasang bom tersebut dan menetapkan tempoh ia meletup pada 8 November 1939, pada jam 9.20 malam, semasa di pertengahan ucapan Hitler. Nampak sempurna tetapi nasib tidak menyebelahi Elser. Ini kerana akibat cuaca buruk dan mahu kembali ke Berlin secepat mungkin untuk memantau operasi perang Jerman, Hitler meminda waktu ucapannya pada pukul 8 malam. Ucapan Hitler berakhir pada 9.07 malam dan lima minit selepas itu, letupan bom meruntuhkan tiang dan sebahagian daripada bumbung jatuh ke bahagian podium speaker. Bom Elser membunuh lapan orang dan mencederakan puluhan yang lain tetapi Hitler bukan sebahagian daripada senarai tersebut. Bagi beliau, terselamat daripada cubaan ini petanda Tuhan ada perancangan besar untuknya. Bagi Georg Elser pula, pada malam yang sama, dia ditahan Gestapo semasa cuba menyeberangi Switzerland dan mengaku plot tersebut selepas pelan bomnya dijumpai. Pada tahun-tahun berikutnya, dia ditahan dalam kem tahanan di Sachsenhausen dan Dachau sebelum dihukum tembak sampai mati oleh tentera Schutzstaffel pada hari-hari terakhir perang.

 

5. Menyihir Hitler (1941)

Penulis dan pengamal ilmu hitam, William Seabrook dan sebilangan rakan-rakannya berkumpul di sebuah kabin di Maryland untuk satu parti hex. Sebelum upacara dimulakan, mereka minum rum, memalu gendang dan cuba memanggil dewa-dewa pagan untuk membunuh Hitler. Sebuah patung dipakaikan uniform Nazi dan pada ketika itu, ahli-ahli membaca mantera, “Kamu ialah Hitler! Hitler ialah kamu!” Kemudian Seabrook mengetuai pengikutnya menyeru dewa pagan Istan untuk memindahkan luka patung tersebut pada Hitler sementara mereka meludahnya, “Kami menyumpah kamu!” Dengan paluan gendang semakin kuat, semua ahli mengetuk paku pada jantung patung tersebut. Seabrook memancung patung tersebut dengan kapak dan menanam kepala tersebut sedalam mungkin agar ia dimakan cacing. Namun, ia sama sekali tidak memberi kesan kepada Hitler. Bagi William Seabrook pula, selepas bergelut dengan masalah alkohol, membunuh diri pada September 1945.

6. Bom Brandi Henning Von Tresckow (1943)

Pada 13 Mac 1943, Hitler melawat pos Smolensk di Eastern Front untuk melihat keadaan tentera Wehrmacht di barisan hadapan. Salah seorang pegawai di pos tersebut, Jeneral Henning von Tresckow merancang untuk menembak mati Hitler semasa sesi makan tengah hari bersama sekumpulan pegawai tentera lain. Bagaimanapun, Field Marshall Gunther von Kluge menasihatkan Tresckow untuk menghentikan rancangan mereka atas alasan Jerman masih belum bersedia untuk menerima dan memahami rampasan kuasa yang dilakukan. Namun, itu tidak menghalang beliau memilih rancangan kedua iaitu memasang bom dalam bungkusan dua botol brandi Cointreau. Seperti yang dipaparkan dalam filem Valkyrie (2008), Tresckow menyerahkan bungkusan tersebut kepada salah seorang ahli rombongan Hitler, Kolonel Heinz Brandt dan menyatakan dua botol brandi tersebut ialah hadiah kepada Kolonel Helmut Stieff. Beliau dan rakan konspirasi, Fabian von Schlabrendorff menyangka bom tersebut meletup dan Hitler bersama rombongannya mati. Namun, rancangan mereka gagal selepas mendapat berita pesawat Die Fuhrer berjaya mendarat di Berlin. Panik, Tresckow menghubungi Brandt dan memberitahu bungkusan yang diberinya bungkusan yang salah. Schlabrendorff pergi pejabat Hitler untuk mendapatkan semula bom tersebut dan selepas pemeriksaan, mendapati fius bom tersebut tidak berfungsi.

7. Pengebom Bunuh Diri (1943)

Seminggu selepas insiden bom brandi, Tresckow merancang satu lagi cubaan bunuh ke atas Hitler. Kali ini, beliau mencadangkan kepada ahli-ahli konspirasi untuk menggunakan taktik pengebom bunuh diri. Dan seorang ahli bernama Rudolf von Gersdorff menawarkan diri untuk melakukannya. Pada 15 Mac 1943, Hitler dijadualkan melawat pameran senjata dan bendera Soviet yang dirampas dari Barisan Timur (Eastern Front). Malangnya, Gertsdorff dan para pegawai Nazi lain terpaksa menanti beliau berjam-jam sebelum akhirnya muncul untuk sesi lawatan. Bukan itu saja, seorang pegawai mengumumkan Die Fuhrer hanya memperuntukkan lapan minit untuk sesi lawatan pameran. Menggunakan statusnya sebagai Jeneral, beliau cuba merapatkan dirinya dengan Hitler dan memanjangkan sesi lawatan. Namun, bagai menyedari ada sesuatu tidak kena atau hanya sekadar mengambil angin, Hitler keluar menggunakan pintu tepi dan Gertsdorff segera ke tandas untuk mematikan fius bom yang dihidupkan sebelum itu.

8. Valkyrie (1944)

Operasi Valkyrie ialah pelan kontigensi yang digunakan Hitler atau kepimpinan tertinggi Nazi yang boleh diisytiharkan pada masa darurat. Tujuannya ialah mengekalkan ketenteraman awam dan mengelakkan situasi rampasan kuasa. Pelan ini digunakan penentang-penentang Nazi untuk melakukan rampasan kuasa dan pada masa sama, membunuh Hitler. Pindaan pelan dibuat oleh Jeneral Henning von Tresckow (isteri dan setiausahanya menderaf teks Hitler mati dibunuh) dan Jeneral Friedrich Olbricht. Selepas Kolonel Claus von Stauffenberg dilantik sebagai Ketua Staf untuk Jeneral Friedrich Fromm, ketua Unit Tentera Simpanan, beliau menambahbaik pindaan yang dibuat pada pelan tersebut. Sekiranya operasi ini berjaya, mereka boleh berunding dengan pihak Bersekutu dan menamatkan terus perang yang berlanjutan.

Cubaan pertama dimulakan pada 7 Julai 1944 di mana Jeneral Helmut Stieff seharusnya membunuh Hitler pada satu pertunjukan uniform baru di Istana Klessheim, Salzburg. Namun, Stieff membatalkan cubaan tersebut kerana tidak sanggup membunuh Die Fuhrer. Ini mendorong Stauffenberg menggalas dua tanggungjawab, membunuh Hitler dan menguruskan plot rampasan kuasa di Berlin. Pada 14 Julai, cubaan bunuh kali kedua dilakukan Stauffenberg semasa menghadiri satu mesyuarat bersama Hitler di Wolf’s Lair. Seperti mana dalam filem Valkyrie, Stauffenberg terpaksa membatalkan serangan kerana antara syarat serangan yang dipersetujui ahli-ahli konspirasi ialah ketiga-tiga Hitler, Heinrich Himmler dan Hermann Goring dihapuskan pada masa yang sama. Dan ini disahkan dengan ketiadaan Himmler dalam mesyuarat tersebut walaupun seperti diketahui, Himmler jarang terlepas sebarang mesyuarat ketenteraan. Keesokan harinya, selepas mendapati syarat yang dikenakan telah digugurkan, Stauffenberg cuba membunuh beliau dengan meletakkan beg berisi bom dalam bilik mesyuarat Hitler. Namun cubaan tersebut terpaksa dibatalkan pada saat akhir kerana semasa dalam mesyuarat, Hitler dipanggil keluar. Untuk mengelak bom tersebut dijumpai, Stauffenberg segera mengalihkan bom sebelum ditemui oleh pihak keselamatan.

Pada 20 Julai 1944, Stauffenberg kembali ke Wolf’s Lair dengan membawa dua bungkusan letupan plastik. Bagaimanapun, kecederaan lama semasa berkhidmat bersama Afrika Korp menyebabkan hanya satu bom saja yang dapat diaktifkan. Bom yang diisi dalam beg bimbit itu kemudian diletakkan di bawah meja dan hampir dengan kedudukan Hitler. Tak lama selepas itu, beliau keluar atas alasan nak menjawab panggilan telefon. Beberapa minit kemudian, bom tersebut meletup dan membunuh empat individu termasuk Kolonel Heinz Brandt yang tidak sengaja mengalihkan beg bimbit tersebut jauh sedikit daripada Hitler. Tindakan Brandt walaupun mengorbankan nyawanya tetapi secara tidak langsung berjaya menyelamatkan nyawa Hitler. Lebih 20 lagi termasuk Die Fuhrer cedera dalam insiden tersebut.

Figure 4: Kedudukan semua pegawai Nazi dan Hitler semasa letupan bom berlaku. Sumber: http://worldwartwo.filminspector.com/2017/05/
Hitler meninjau kemusnahan bilik mesyuarat Wolf’s Lair akibat letupan bom Stauffenberg.

Operasi Valkyrie yang seharusnya digerakkan untuk meneruskan plot rampasan kuasa dan membuat rundingan dengan pihak Bersekutu hancur bila mana berita Hitler terselamat tersebar di serata negara termasuk Berlin. Akibatnya, lebih empat ribu individu dihukum bunuh termasuk Stauffenberg dan Olbricht sementara tujuh ribu lagi ditahan di kem-kem tahanan. Pegawai tinggi kehormat seperti Erwin Rommel pula yang menyokong konspirasi atau disyaki menyokong diberi pilihan dimalukan di Mahkamah Rakyat atau bunuh diri melalui sianida atau pistol. Bagi Hitler sendiri, beliau menganggap cubaan ini petanda Tuhan melindunginya tetapi ia turut menambah paranoia dan keinginannya untuk mengasingkan diri daripada khalayak umum. Dan ini berterusan sehinggalah beliau (dikatakan) membunuh diri pada 30 April 1945.

Stauffenberg merupakan individu yang paling hampir membunuh Hitler.

Struktur Kepimpinan Baru Jerman Sekiranya Operasi Valkyrie Berjaya:

1. Ludwig Beck (Presiden).
2. Carl Goerdeler (Canselor Jerman (Reich Jerman))
3. Wilhelm Leuschner (Naib Cancelor)
4. Paul Lobe (Presiden Reichstag (Parlimen Jerman))
5. Julius Leber/Eugene Bolz (Menteri Dalam Negeri)
6. Friedrich Werner von der Schulenburg/Ulrich von Hassell (Menteri Luar)
7. Ewald Loeser (Menteri Kewangan)
8. Friedrich Olbricht (Menteri Perang/Setiausaha Negara sebagai calon selain Claus von Stauffenberg)
9. Erwin von Witzleben (Menteri Pertahanan)
10. Hans Oster (Presiden Mahkamah Agung Tentera)
11. Hans Koch (Presiden Mahkamah Agung)
12. Bernhard Letterhaus (Menteri Pembinaan Semula/Menteri tanpa portfolio jika tidak dipilih)
13. Karl Blessing (Menteri Ekonomi/Presiden Bank Jerman)
14. Paul-Lejeune Jung (Menteri Ekonomi)
15. Andreas Hermes (Menteri Pertanian)
16. Josef Wirmer (Menteri Kehakiman)
17. Henning von Tresckow (Ketua Polis Jerman)

Sumber:

1. Andrews, Evan. (2015). History.com. 6 Assassination Attempts on Adolf Hitler. http://www.history.com/news/history-lists/6-assassination-attempts-on-adolf-hitler

2. Oliver, Mark. (2017). Listverse.com. Top 10 Failed Plots to Assassinate Adolf Hitler. http://listverse.com/2017/06/11/top-10-failed-plots-to-assassinate-adolf-hitler/

3. Crawshaw, Steve. (1994). The Independent. The German Who Bombed Hitler. http://www.independent.co.uk/life-style/the-german-who-bombed-hitler-when-a-plot-to-kill-hitler-failed-50-years-ago-retribution-fell-swiftly-1412687.html

4. Braw, Elisabeth. (2014). Newsweek. The Families Who Tried to Kill Hitler. http://www.newsweek.com/2014/08/15/look-behind-plot-kill-hitler-263200.html

 

Previous articleDangal (2016): Filem Amir Khan Yang Mengangkat Status Wanita
Next articleKesan Gejala Buli Dan Apa Kita Perlu Buat
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here