Lagu-Lagu Sejarah, Kebudayaan Dan Patriotik Dalam Tamadun Rumpun Melayu

0
2105
views

Manusia secara fitrahnya sukakan nyanyian dan muzik yang bertujuan untuk hiburan terutamanya golongan muda. Tidak kiralah lagu tersebut bergenre nasyid, klasik, blues, balada, pop, hip hop, jazz, R&B mahupun rock, ianya bergantung kepada zaman, citarasa dan suasana seseorang pendengar. Perkembangan industri muzik antarabangsa mahupun tanah air mampu mempengaruhi gaya hidup, gaya fesyen dan kebudayaan sesebuah masyarakat. Tidak seperti politik, industri muzik seakan tiada sebarang sempadan geo-politik, kita boleh mendengar segala jenis macam lagu antarabangsa tidak kira dari negara mana di corong-corong radio dan televisyen. Ini kerana secara umumnya, citarasa pendengar tidak bergantung pada lirik lagu, tetapi lebih kepada kerancakkan muzik dan kesedapan gaya bahasanya. Oleh sebab itulah, kita mampu menghafal lagu-lagu Bollywood, Latin, Korea malah Arab tanpa mengetahui maksud liriknya.

Penulis melihat industri muzik di rantau Asia Tenggara terutamanya dalam kalangan rumpun bangsa Melayu berkembang luas tanpa sempadan negara. Kita boleh mendengar lagu-lagu nyanyian artis-artis Indonesia, Singapura, Brunei malah Filipina setiap hari di radio dan televisyen. Malah ada banyak juga lagu kolaborasi antara artis daripada negera-negara tersebut. Ini kerana kita berkongsi rumpun bangsa dan bahasa yang sama. Lagu adalah susunan kata untuk menceritakan sesuatu diiringi dengan rentak muzik. Oleh itu, boleh dikatakan lagu berkembang melalui pantun, syair, seloka, gurindam dan sajak. Dalam konteks masyarakat Melayu dan etnik-etnik bumiputera di Malaysia, setiap negeri mempunyai dialek bahasa dan identiti kenegerian mereka tersendiri. 13 negeri bermaksud 13 dialek bahasa utama, belum masuk lagi pecahan dialek pelbagai suku kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak. Setiap negeri mempunyai jenis lagu tradisional mereka sendiri seperti ghazal bagi masyarakat Melayu Johor, Dikir Barat bagi masyarakat Melayu Kelantan, Boria bagi masyarakat Melayu Pulau Pinang, Dondang Sayang bagi masyarakat Melayu Melaka dan banyak lagi.

Jika disebut lagu rakyat masyarakat Sarawak, lagu rakyat mereka yang sering diingati oleh penulis ialah Lagu Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang, “Penjaga Gunung Negeri Sarawak.” Lagu tersebut mengisahkan kisah lagenda berkenaan dua orang puteri yang jelitawan dari negeri kayangan turun ke muka bumi untuk ditugaskan menjaga negeri masing-masing. Tetapi, disebabkan salahfaham antara mereka berdua sehingga perkelahian mereka setiap hari menyebabkan kucar-kacir keadaan negeri masing-masing, maka mereka berdua disumpah oleh dewa negeri kayangan menjadi gunung dan pulau. Gunung Santubung, Pulau Kera dan pulau-pulau di sekitarnya di Sarawak dikaitkan dengan kisah lagenda tersebut. Lagu tersebut dinyanyikan dalam bahasa Melayu dialek Sarawak.

Lagu rakyat masyarakat Sabah yang terngiang-ngiang di kepala penulis pula ialah Lagu Jambatan do Tamparuli. Menurut rakan-rakan Sabah penulis, lagu tersebut dalam dialek Kadazandusun iaitu etnik bumiputera majoriti di negeri Sabah. Jambatan gantung tersebut memang wujud dan Tamparuli merupakan nama sebuah tempat di daerah Tuaran, Sabah. Lagu ini mengisahkan tentang seseorang yang memakai kasut tinggi sedang menyeberangi jambatan tersebut dan secara tiba-tiba kasut tingginya terlucut dan terjatuh ke dalam sungai. Kemudiannya, pada hari rabu, beliau mencari kasut tinggi lain di merata kedai di pasar Tamu dan membeli yang baharu.

Selain lagu Jambatan do Tamparuli dalam dialek Kadazandusun, lagu Tinggi-Tinggi Gunung Kinabalu dalam dialek Melayu Sabah juga merupakan antara lagu rakyat yang popular bagi masyarakat Sabah. Lagu rakyat tersebut menceritakan mengenai gunung tertinggi di Malaysia dan juga di Asia Tenggara iaitu Gunung Kinabalu di Sabah. Turut dinyatakan juga nama tempat dan perayaan masyarakat pribumi di Sabah seperti Kundasang, Pasar Tamu, Tamparuli dan Pesta Kaamatan. Walaupun lirik lagu ketiga-tiga lagu tersebut nampak ringkas, tetapi ketiga-tiga lagu tersebut mengingatkan rakyatnya dan orang luar tentang mercu tanda dan kebudayaan di negeri mereka

Perkara yang sama juga dalam lagu-lagu rakyat di Semenanjung Malaysia yang merujuk kepada tempat-tempat bersejarah. Lagu Tanjung Puteri misalnya menyebut beberapa nama tempat penting dan bersejarah di negeri Johor terutamanya di sekitar ibu negeri Johor Bahru seperti Tambak Johor, Tanjung Puteri, Pantai Lido, Istana Hinggap di Kuala Danga, Tanjung Sekijang, Stulang dan Pusara (Kubur) Si Bongkok.

Lagu Cempaka Sari yang popular dinyanyikan oleh Allahyarham Tan Sri S.M Salim pula mengisahkan berkenaan pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain iaitu Sultan Perak ke-15 (sekitar abad ke-18) yang berpusat di Pulau Cempaka Sari, di daerah Perak Tengah pada masa kini, sebelum pusat pemerintahan berpindah pula ke Pulau Indera Sakti.

Terdapat juga lagu rakyat berkenaan alat permainan tradisional seperti Dikir Barat Wau Bulan. Wau Bulan adalah salah satu permainan tradisional masyarakat Melayu di Kelantan. Antara penyanyi dikir barat yang pernah aktif dan masih aktif yang penulis minati ialah Cikgu Naim dan Halim Yazid.

Di negeri Terengganu, lagu Ulek Mayang yang berunsur mistik amat dikenali sebagai salah satu lagu rakyat masyarakat Melayu Terengganu. Lagu asalnya berkenaan pemujaan tujuh orang puteri (bunian). Dikatakan pada masa kini, tiada lagu tersebut dinyanyikan dengan lirik asal sepenuhnya. Hanya disebutkan berkenaan puteri kedua, keempat, keenam dan ketujuh sahaja dalam lagu tersebut. Tidak dapat dipastikan sejauhmana kesahihannya, tetapi lagu tersebut sememangnya berunsur mistik. Selain itu, lagu Itik Gembo-Gembo juga adalah lagu rakyat dialek Terengganu yang popular.

Di negeri Kedah, lagu Seloka Negeri Kedah Mai Cek Mai amat popular dinyanyikan dalam dialek Kedah bertujuan untuk mengundang orang luar supaya melawat negeri Kedah. Dalam lagu tersebut dinyatakan nama-nama tempat menarik di Kedah seperti Kepala Batas, Kayu Hitam, Pekan Rabu dan Pulau Langkawi.

Antara lagu rakyat yang popular di negeri Pahang ialah lagu Puteri Walinong Sari yang pernah dinyanyikan oleh Dato’ Siti Nurhaliza. Lagu tersebut berdasarkan kisah lagenda masyarakat Pahang berkenaan Puteri Wanang Sari atau Walinong Sari dari negeri kayangan yang terkenal dengan kecantikannya dan ketangkasannya dalam seni silat dan bermain senjata. Puteri tersebut dikatakan tinggal di puncak Gunung Tahan yang terletak di negeri Pahang. Selain itu, lagu Makwe Koi (Teman Wanita Saya) adalah lagu dialek Pahang yang diminati oleh penulis.

Penulis amat menyukai lagu rakyat berjudul Kurik Kundi nyanyian Dato’ Siti Nurhaliza. Lagu tersebut berkenaan keindahan bahasa Melayu, ketinggian budi pekerti dan kepentingan memelihara adat. Terdapat enam dialek negeri di Malaysia dalam lirik lagu tersebut iaitu dialek Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Kelantan, Sabah dan Sarawak. Lagu bergenre irama Malaysia tersebut memaparkan identiti rakyat bumiputera di Malaysia secara umum dari segi dialek bahasa.

Jika di Kepulauan Sumatera pula, terdapat sebuah lagu baharu bergenre hip hop yang menghimpunkan tujuh dialek bahasa Melayu di Kepulauan Sumatera terutamanya di wilayah Aceh yang berjudul Piasan Raya. Lagu ciptaan seorang penyanyi hip hop anak muda Aceh iaitu Ilman Macbee tersebut dinyanyikan oleh lapan orang penyanyi hip hop tempatan yang menyanyikan dialek masing-masing iaitu dialek Aceh, Aceh Rayeuk, Aneuk Jamee, Melayu Tamiang, Gayo, Kleut Raya dan dialek Alas. Lagu tersebut menceritakan berkenaan semangat penyatuan masyarakat Aceh yang terdiri daripada pelbagai suku kaum. Antara tokoh Aceh yang disebut dalam lagu tersebut ialah Teuku Umar dan Cut Nyak Dhien, kedua-dua mereka merupakan tokoh pahlawan yang pernah memimpin rakyat Aceh menentang penjajahan Belanda.

Waqaf Saham

Selain itu, Ayam Den Lapeh (Ayam Saya Terlepas) amat sinonim dengan lagu rakyat masyarakat Minangkabau di Sumatera Barat. Di Malaysia, lagu ini dipopularkan oleh Binuanita Negara, Anita Sarawak. Lagu dalam dialek Minang ini menceritakan berkenaan seseorang yang menyesal kerana kehilangan empat ekor ayamnya yang terlepas. Mungkin ada maksud tersirat disebalik lagu tersebut. Dalam lagu tersebut juga dinyatakan beberapa nama tempat dan istana di sekitar Sumatera Barat seperti Paya Kumbuh, Pandai Sikek, Batu Sangkar, Baso, Biaro dan Istana Pagar Ruyung.

Bagi masyarakat Jawa pula, lagu Kondangan (Menghadiri Majlis Kahwin) dalam dialek Jawa pastinya lagu yang amat sinonim dengan majlis perkahwinan. Di Malaysia, lagu ini dipopularkan oleh Wak Mustar. Selain itu, lagu La Obe dalam dialek Bawean (Boyan) yang dipopularkan oleh penyanyi tahun 1960-an iaitu Kassim Selamat merupakan antara lagu rancak zaman Pop Yeh Yeh yang sedap didengari walaupun penulis sendiri tidak faham maksud lirik lagu tersebut.

Lagu Lancang Kuning adalah lagu rakyat yang popular bagi masyarakat Melayu Riau. Lancang Kuning merupakan sejenis kapal layar masyarakat Melayu. Lagu ini mengisahkan berkenaan beberapa aspek dalam pelayaran seperti waktu pelayaran, haluan kapal, kecekapan nakhoda mengemudi kapal, tali kemudi kapal dan kekuatan kapal dalam mengharungi badai ombak. Masyarakat Melayu sememangnya amat terkenal sebagai bangsa maritim yang hebat. Salah satu aspeknya ialah pada pembuatan kapalnya dan salah satu jenis kapal pelayaran bangsa Melayu yang terkenal ialah Lancang Kuning. Di Malaysia, lagu ini dipopularkan oleh Dato’ Jamal Abdillah.

Selain daripada lagu-lagu kenegerian dalam kalangan rakyat, terdapat ramai penyanyi tersohor Malaysia mempunyai lagu-lagu berunsur kenegerian, sejarah dan patriotik. Untuk lagu berunsur sejarah, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee sendiri pernah mencipta dan menyanyikan lagu berunsur sejarah seperti Negeri Melaka yang merupakan lagu pembukaan berbentuk syair dalam filem Hang Tuah (1956) lakonannya. Beliau dan isterinya, Binuanita Allahyarham Pn. Sri Saloma juga pernah menyanyikan lagu berjudul Joget Malaysia. Lagu yang berbentuk pantun empat kerat tersebut adalah soal jawab berkenaan nama negara, tarikh kemerdekaan dan ibu negara Malaysia. Allahyarham Dato’ Syarifah Aini juga mempunyai sebuah lagu berunsur sejarah iaitu sebuah lagu berkenaan kata-kata keramat Laksamana Hang Tuah yang berjudul Takkan Melayu Hilang di Dunia.

Pada tahun 1980-an dan awal tahun 1990-an, perkembangan industri muzik rock memuncak di Malaysia. Pada era tersebut, ramai kumpulan rock tempatan lahir dan mereka menghasilkan banyak lagu dan album bergenre rock. Menariknya, terdapat beberapa kumpulan rock di Malaysia mempunyai lagu berunsur sejarah. Bumiputera Rockers (BPR), sebuah kumpulan rock yang pernah menjadi finalis dalam Anugerah Juara Lagu keempat pada tahun 1990 mempunyai sebuah lagu sejarah bergenre rock yang berjudul 1511. Lagu tersebut mengisahkan tentang detik-detik serangan bala tentera Portugis ke atas Kota Melaka pada tahun 1511. Selain itu, kumpulan rock Rusty Blade juga mempunyai sebuah lagu berunsur sejarah yang berjudul Jasa Tok Janggut yang mengisahkan kepahlawanan dan kekebalan tokoh pejuang Melayu di negeri Kelantan iaitu Tok Janggut. Kumpulan rock Rajawali pula mempunyai sebuah lagu rock berkenaan kisah lagenda Mahsuri di Pulau Langkawi yang berjudul Sumpahan Suci.

Pada era 1990-an, terdapat sebuah kumpulan penyanyi wanita di Malaysia iaitu kumpulan Feminin yang mempunyai sebuah lagu bergenre hip-hop berjudul Al-Kisah Sejarah Melayu yang menceritakan berkenaan sejarah bangsa Melayu sebagai bangsa pelayar yang hebat dan antara tokoh pelayar Melayu yang disebutkan ialah Panglima Awang. Lagu tersebut turut menyelitkan lirik berkenaan Lancang Kuning, salah sebuah kapal layar bangsa Melayu yang masyhur.

Untuk lagu-lagu dialek kenegerian di Malaysia, Blues Gang adalah kumpulan muzik yang mempunyai beberapa buah lagu dialek Negeri Sembilan bergenre muzik blues seperti Apo Nak Dikato dan Jumpa Kawan Lamo. Artis Malaysia lain yang amat sinonim dengan lagu-lagu dialek Negeri Sembilan pada masa kini seperti Dato’ Hattan dan Waris dalam lagu-lagu mereka seperti Biso Bonar dan Gadis Jolobu. Tidak dilupakan juga dua orang penyanyi tempatan yang mempunyai banyak lagu-lagu dialek Negeri Sembilan iaitu Ally Noor dan Mastura Ismail. Allahyarham Mohd. Yusof Abdul Hamid (Mr. Os) pula amat dikenali sebagai seorang pelawak dan penyanyi yang banyak menyanyikan lagu-lagu dialek Perak. Lagu dialek Perak nyanyiannya yang popular ialah Deghoyan dah Berbunge (Pokok Durian Dah Berbunga). Selain itu, Kumpulan Iklim yang diasaskan dan dianggotai oleh anak-anak jati Terengganu mempunyai sebuah lagu dialek Terengganu yang popular berjudul Ganu Kite.

Antara lagu dialek kenegerian yang menjadi siulan golongan muda di Malaysia pada hari ini ialah lagu Kumpulan Khalifah yang berjudul Hang Pi Mana, lagu nasihat dalam dialek Kedah bergenre rock. Begitu juga lagu-lagu Waris dalam dialek Negeri Sembilan yang bergenre hip hop seperti Rembau Most Wanted. Dalam lagu Rembau Most Wanted, ada disebutkan nama kedua belas-dua belas suku keturunan masyarakat Melayu Negeri Sembilan dan struktur pemerintahan mereka daripada Raja sehingga Anak Buah. Lagu dialek Sabah yang popular pada masa kini di Malaysia pula seperti lagu Pakai Buang nyanyian Stacy dan lagu Anak Kampung nyanyian Jimmy Palikat. Keempat-empat buah lagu dialek kenegerian ini sering menjadi siulan dan seringkali diputarkan di radio-radio kerana selain berentak rancak, lagu-lagu mereka juga menepati jiwa dan citarasa muzik golongan muda pada masa kini.

Untuk lagu-lagu berunsur patriotik pula, Allahyarham Sudirman Hj. Arshad amat sinonim dengan lagu-lagu patriotik Malaysia. Lagu nyanyiannya yang berjudul 31 Ogos adalah lagu wajib yang akan berkumandang di corong-corong radio dan televisyen apabila menjelangnya hari kemerdekaan negara pada setiap tahun. Satu lagi lagu patriotik beliau yang amat dikenali berjudul Warisan iaitu berkenaan tanah air. Allahyarham Sudirman juga pernah menyanyikan sebuah lagu yang berjudul Bapak iaitu lagu yang didedikasikan kepada Bapa Kemerdekaan negera, iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. Di Malaysia, terdapat banyak lagu-lagu berkenaan pengorbanan golongan tentera, askar, polis dan pejuang tanah air seperti lagu Inilah Barisan Kita, Perwira nyanyian Allahyarham Pn. Sri Saloma, Si Baju Hijau nyanyian Sanisah Huri dan Darah Satria, lagu pembukaan dalam filem Darah Satria (1983) arahan Seniman Allahyarham Dato’ Aziz Sattar. Lagu Bahtera Merdeka nyanyian Aishah yang mendayu-dayu sememangnya akan menimbulkan perasaan sayu tetapi bersemangat patriotik apabila mendengarnya.

Pada masa kini di Malaysia, lagu-lagu patriotik sering berkumandang di radio dan televisyen sepanjang tahun silih berganti mengikut tema terutamanya pada bulan kemerdekaan seperti lagu Sehati Sejiwa, Jalur Gemilang, Keranamu Malaysia dan banyak lagi. Terdapat juga lagu berunsur patriotik yang sering didendangkan untuk menaikkan semangat atlet-atlet negara dalam pertandingan sukan antarabangsa seperti lagu Standing in The Eyes of The World nyanyian Ella dan lagu Fikirkan Boleh. Bahkan, bagi setiap negeri di Malaysia, terdapat juga moto atau lagu bagi sorakan pasukan bola sepak negeri masing-masing dalam dialek negeri masing-masing seperti “Pulun Kedah Pulun,” “Hobin Jang Hobin,” “Gomo Kelate Gomo,” “Hogoh Pahang Hogoh,” dan “Gegau Melaka Gegau.”

Lagu-lagu yang tersenarai di atas adalah antara lagu rakyat, kenegerian, sejarah dan patriotik yang diketahui oleh penulis. Pastinya banyak lagi lagu-lagu rumpun bangsa Melayu dalam kategori-kategori tersebut yang popular tidak diketahui oleh penulis terutamanya di Kepulauan Borneo dan di Timur Kepulauan Indonesia yang amat kaya dengan kepelbagaian dialek tempatan. Mungkin juga ada lagu-lagu rakyat saudara-saudara kita di negara-negara Indo-China, Sri Lanka bahkan Afrika Selatan yang tidak kita ketahui. Mungkin para pembaca boleh berkongsi maklumat di ruangan komen.

Oh ya, terdapat sebuah lagu dalam bahasa Tagalog (Filipino) nyanyian seorang penyanyi Filipina, Freddie Aguilar yang berjudul “Anak” yang amat popular suatu ketika dahulu sehingga diterjemahkan dan dinyanyikan semula dalam 26 bahasa antarabangsa termasuklah bahasa Melayu. Di Malaysia, lagu tersebut telah dipopularkan oleh Kumpulan Carefree. Lagu sedih tersebut menceritakan berkenaan pengorbanan ibu dan ayah melahirkan dan membesarkan anak mereka. Apa yang menariknya, tajuk lagu tersebut dalam bahasa Tagalog iaitu “Anak” juga bermaksud anak, sama seperti bahasa Melayu. Terdapat juga perkataan “mata” dalam lirik agu tersebut yang juga membawa maksud yang sama dalam bahasa Melayu. Ini kerana bahasa Tagalog juga termasuk dalam rumpun keluarga besar bahasa Austronesia.

Lagu adalah antara cara yang paling mudah dan popular dalam memperkenalkan dan mempelajari bahasa atau dialek sesuatu kaum terutamanya lagu-lagu yang menepati citarasa muzik golongan muda masa kini. Lagu juga berperanan besar dalam menjadikan fakta sejarah dan kisah-kisah rakyat mudah diingati. Malah lagu dialek kenegerian adalah sebahagian daripada identiti negeri masing-masing selain lagu rasmi negeri sendiri. Media elektronik seperti radio dan televisyen juga memainkan peranan penting dalam menjadikan sesebuah lagu itu tular dalam kalangan rakyat. Lagu berunsur sejarah dilihat kurang diminati oleh kebanyakan golongan muda mungkin disebabkan kebanyakan lagu tersebut tidak menepati citarasa pendengar pada masa kini atau kurang diketengahkan oleh media-media massa. Lagu seperti Rembau Most Wanted dan Piasan Raya merupakan antara lagu contoh terbaik bagi penulis yang menepati citarasa golongan muda pada masa kini kerana kerancakan muziknya tetapi pada masa yang sama kedua-dua lagu tersebut turut menyelitkan unsur sejarah dan semangat penyatuan dalam lirik mereka.

Lagu berunsur sejarah juga boleh dijadikan lagu tema (soundtrack) filem dan drama berunsur sejarah, lagenda atau kebudayaan yang berkaitan dengan lagu tersebut supaya lebih mudah diingati. Kita perlu menyokong penuh usaha dalam mengangkat, memelihara, memperbanyakkan, memperbaharui dan mempopularkan lagu-lagu dialek kenegerian yang berunsur sejarah dan kisah-kisah lagenda tidak kira genre muziknya kerana semua itu adalah sebahagian daripada warisan kebudayaan berharga yang akan kita akan wariskan kepada anak-cucu kita.

 

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.