Dalam tempoh seminggu, filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan terus membuat kutipan tinggi di pawagam. Difahamkan, kutipan pecah panggungnya (box office) sudah mencecah RM18 juta sekaligus mengalahkan filem Barat paling popular tahun 2022, Top Gun: Maverick. Di sebalik populariti filem Melayu ini dalam kalangan rakyat Malaysia, hakikatnya ia masih belum balik modal.

Mengarutlah! Takkanlah dengan kutipan tinggi sebegitu rupa, itu masih dianggap masih belum pulang modal? Tetapi ia bukan omong kosong. Dan rungutan sebegini mengingatkan kita kepada satu lagi filem paling laris di Malaysia pada 2018, Hantu Kak Limah.

Hantu Kak Limah yang mendapat sentuhan Mamat Khalid berjaya meraih kutipan sebanyak RM38 juta di pawagam. Ia merupakan satu pencapaian membanggakan buat krew produksi dan para pelakon seperti Datuk Awie, Zul Ariffin, Uqasha Senrose dan Kak Limah sendiri iaitu Delimawati.

Tetapi tidak lama selepas itu, timbul rasa tidak puas hati krew dan pelakon filem terhadap penerbit Astro Shaw dan Infinitus Gold itu. Mereka mendakwa pihak penerbit telah memberi bonus yang terlalu sedikit kepada semua pihak yang terlibat. Bagi mereka, dengan pemberian bonus sebegitu rupa, ia seolah-olah memperlekeh usaha keras semua pihak yang menjayakan penggambaran filem berkenaan.

Salah seorang yang paling terasa sudah pastinya Datuk Awie. Beliau yang memegang peranan Husin dari Zombi Kampung Pisang hingga Hantu Kak Limah merasakan dirinya tertipu dengan pemberian bonus ‘kacang’ itu. Malah, vokalis kumpulan Wings itu sudah membayangkan filem tersebut sebagai filem terakhir Kampung Pisang yang menampilkan watak Husin semasa ditemubual pada akhir tahun 2018.

Perkara sama turut ditegaskan oleh Kak Limah sendiri, Delimawati. Walaupun tahu bonus yang diterima tidak banyak, pelakon berusia 64 tahun itu berharap bonus yang diagihkan bersesuaian dengan hasil titik peluh mereka.

Ini kerana berlakon merupakan punca rezekinya selama ini dan pemberian sebegitu seolah-olah memijak maruahnya sebagai pelakon. Seperti Datuk Awie, Delimawati juga sudah membayangkan untuk tidak lagi berlakon sebagai Kak Limah sekiranya filem baru itu dikendalikan oleh produksi yang sama.

Susulan ketidakpuasan hati yang timbul, Astro Shaw dan Infinitus Gold tampil dengan satu kenyataan bagi menjernihkan keadaan. Mereka menyatakan walaupun meraih kutipan pecah panggung yang tinggi, pihak penerbit perlu menolak cukai hiburan sebanyak 25%. Setelah itu, mereka perlu membahagikan hasil kutipan tiket dengan pemilik-pemilik pawagam dengan kadar 60%:40%.

Kalau berminat untuk mendalami ilmu alam Melayu, anda dialu-alukan beli buku Lipur Lara Alam Melayu melalui https://shopee.com.my/Lipur-Lara-Alam-Melayu-i.238336777.21315815920

60% di sini ialah bahagian yang diterima pemilik pawagam dengan 40% lagi merupakan bahagian penerbit. Setelah itu, daripada 40%, mereka perlu menolak semua perbelanjaan termasuk kos produksi dan pemasaran sebelum mengetahui jumlah sebenar keuntungan filem yang dihasilkan. Dari situ, barulah pihak penerbit dapat mengagihkan bonus kepada semua pelakon dan krew produksi.

Ini baru terpakai untuk Hantu Kak Limah. Dengan mengambil kira sambutan hangat orang ramai terhadap filem Mat Kilau, tidak terkejut filem terbitan Skop Production dan Studio Kembara itu boleh mengatasi kutipan RM38 juta Hantu Kak Limah.

Jika itu berlaku, peratusan pembahagian kadar keuntungan penerbit dan pemilik pawagam akan berubah mengikut minggu tayangan iaitu 50:50 (minggu pertama), 55:45 (minggu kedua), 60:40 (minggu ketiga) dan 65:35 (minggu keempat). Perubahan kadar tersebut menjadi tetap sehingga sesebuah filem, dalam kes ini Mat Kilau selesai ditayangkan di pawagam.

Duti hiburan dan peratusan kadar pembahagian keuntungan pemilik pawagam dan penerbit bakal menentukan jumlah sebenar keuntungan filem Mat Kilau.

Jadi, apakah ini bermakna keuntungan yang diterima penerbit Mat Kilau tidak seberapa selepas mengambil kira duti hiburan sebanyak 25% dan kadar pembahagian keuntungan pemilik pawagam dan penerbit? Malangnya, jawapan tersebut adalah ya. Dengan mengambil kira dua faktor ini, maka jumlah sebenar wang kutipan pecah panggung dalam tangan penerbit-penerbit Mat Kilau ialah RM4.5 juta. Dengan kos produksi mencecah RM8 juta, nak dapat balik modal bukan sesuatu yang mudah.

Dan hal ini merungsingkan pembikin-pembikin filem negara selama bertahun-tahun terutama soal duti hiburan. Ramai menyifatkan duti hiburan 25% yang dikenakan ketika ini terlalu tinggi. Malah, ramai pembikin filem percaya kadar duti tersebut merupakan yang tertinggi di Asia dan dunia.

Isu duti hiburan yang terlalu tinggi sudah lama disuarakan oleh pembikin dan penerbit filem negara termasuk Datuk Yusof Haslam.

Tambah memeningkan kepala, kadar cukai hiburan negeri-negeri di Malaysia berbeza sekitar 20-25%. Hanya Sabah saja yang tidak mengenakan duti hiburan. Ini sama sekali berbeza dengan Singapura yang mengenakan duti hiburan sekitar 7%, Dengan kadar duti yang tinggi, nak dapat untung pun susah apatah lagi nak bayar duti kepada kerajaan.

Duti hiburan bukan satu-satunya isu yang membelenggu penerbit-penerbit filem mendapatkan keuntungan. Satu lagi faktor yang mengurangkan keuntungan mereka ialah pengenalan Skim Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) pada 2010. Sebelum ITFC diperkenalkan, duti hiburan yang dibayar akan dikembalikan semula oleh kerajaan kepada penerbit-penerbit filem menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Tetapi ITFC menyaksikan perkara tersebut tidak berlaku.

Mengikut skim ITFC, sesebuah filem yang meraih kutipan pecah panggung tertentu akan mendapat bayaran insentif berdasarkan kutipan filem mereka. Secara ringkasnya, filem yang meraih kutipan pecah panggung sehingga RM2 juta akan dibayar ITFC sebanyak RM200,000.

Sementara filem yang meraih RM2-RM4 juta akan mendapat 10% daripada kutipan filem mereka dengan filem mengutip RM4-RM6 juta akan mendapat 5% daripada kutipan filem. Bagaimanapun, tiada sebarang bayaran buat filem yang membuat kutipan melebihi RM6 juta. Kononnya dengan ITFC, ia dapat menggalakkan penerbit-penerbit filem menghasilkan lebih banyak filem. Tetapi dengan mengambil kira situasi pembikin filem negara hari ini, ITFC lebih banyak menyusahkan daripada membantu.

3 buku terbaru kami untuk PBAKL dah pun mula dijual di Shopee, ayuh segera dapatkan di: https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Mungkin sudah tiba masanya Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mempertimbang cadangan menghapuskan ITFC dan duti hiburan. Kalau tak boleh hapuskan duti hiburan sekalipun, kurangkan pada kadar yang lebih munasabah dan bersifat menang-menang kepada industri perfileman negara.

Yang untung pun orang ramai dan negara. Kalau ini pun susah nak buat, lambatlah orang filem kita raih untung walaupun raih kutipan pecah panggung berpuluh juta ringgit. Dan jangan terkejut, akan ada ulangan episod krew dan pelakon jauh hati disebabkan bonus tak seberapa tanpa mengetahui impak duti hiburan dan kadar pembahagian keuntungan pemilik pawagam dan penerbit terhadap keuntungan filem.

Sebut pasal merajuk, rajuk Husin dan Kak Limah tidak bertahan lama. Kedua-duanya kembali ke Kampung Pisang sebagai pelakon undangan khas menerusi minisiri Kampung Pisang Bersiri-siri terbitan Astro yang ditayangkan pada tahun lepas.

RUJUKAN

Rostam, A. (2022, 28 Jun). ‘Mat Kilau belum balik modal’ – Mawi. Harian Metro.

Azizan, A. (2022, 29 Jun). ‘Mat Kilau’ Grosses RM18 Million in 5 Days But Yet To Cover Its 8 Million Budget, Here’s Why. World of Buzz.

Mohd Sallehuddin, S. (2022, 11 Januari). Kaji semula duti hiburan. Berita Harian.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply