KORUPSI. WANG KOPI. MAKAN SUAP. Apa jua jenis terma yang anda gunakan, semuanya kembali semula pada satu perkara iaitu rasuah. Dan topik ini menjadi tumpuan semua orang terutama netizen tanpa mengira warna kulit, agama atau fahaman politik. Dan kebiasaannya, yang menjadi sasaran mereka ialah ahli politik sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri, pegawai agensi atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC), anggota keselamatan dan penguatkuasa.

Percayalah sekiranya ada kepentingan politik dalam isu sebegini tak kira anda berhaluan kanan, kiri atau bersikap berkecuali, maka lidah tidak henti akan mengata pihak-pihak terlibat. Tak percaya? Saya teka ini antara dialog yang anda biasa dengar di kedai makan, pejabat, masjid/surau atau di rumah:

“Parti A tak boleh harap. Tak cekap langsung tangani soal ketirisan dan rasuah dalam negara.”

“Parti B jangan harap nak menanglah masa pilihan raya akan datang. Kata dalam manifesto nak perangi rasuah tapi dia pun buat juga!”

“Dua-dua parti dua kali lima. Pantang nampak duit, dia sapu terus!”

Ya, semua orang pernah melakukannya termasuk saya sendiri. Cuma satu soalan, dalam kesibukan kita membedil ketidakcekapan entiti-entiti ini, pernahkah kita periksa integriti diri kita sendiri? Sempurna sangatkah diri kita dalam soal ini sehingga kita boleh mendabik dada mengatakan tidak pernah terlibat dengan rasuah? Kita mahu berbicara tentang rasuah tetapi sekiranya kita sendiri enggan berlaku jujur atau amanah dalam soal pekerjaan dan pengurusan organisasi, maka apakah kita sedar kita juga mengamalkan korupsi dalam kehidupan sendiri?

Di sini, saya senaraikan beberapa perbuatan yang berlaku dalam kehidupan seharian kita. Duhai teman, apakah kita benar-benar jujur dan amanah seperti yang anda sangka?:

– Jumpa duit di tepi jalan atau tempat awam dan simpan dalam poket daripada serahkan kepada pihak berkuasa atau pihak yang jaga kemudahan berkenaan. Alasan boleh buat untuk isi minyak atau beli kredit telefon bimbit, bukan buat makan sampai jadi sebahagian daripada darah daging.

– Bila ditahan atau disaman polis atau penguatkuasa agensi kerajaan, cuba tawar duit kopi untuk bantu lepaskan diri.

– Beri resit dan tuntutan palsu.

– Beri surat sakit (MC) palsu.

– Gagal jaga kesihatan diri.

– Memandu secara merbahaya di jalan raya.

– Tidak memenuhi janji terutama dengan anak-anak.

– Gagal memenuhi tuntutan nafkah pada keluarga.

– Gagal menjaga kebersihan terutama kebersihan alam sekitar.

– Curi tulang semasa bekerja.

– Gagal penuhi tuntutan syarak seperti solat, puasa, zakat dan haji.

– Tawar duit kopi/hadiah/pakej percutian/perempuan untuk percepat proses pendaftaran/kelulusan.

Bukankah Allah dan Rasul-Nya mengingatkan kita akan bahaya perbuatan ini? Lihat dalil-dalil di bawah:

a) Firman Allah s.w.t dalam ayat 188, Surah Al-Baqarah, “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

b) Hadis-hadis Nabi s.a.w yang melarang keras perbuatan sebegini. Antaranya, Nabi s.a.w bersabda, “Allah melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan orang yang menjadi perantara antara kedua-duanya.” (Riwayat Ahmad) Dalam satu hadis lain yang diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi rahimhullah, baginda melaknat pemberi dan penerima rasuah dalam soal penetapan keputusan (pemerintahan dan kehakiman). Satu lagi hadis lain yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad rahimahullah menyatakan hadiah yang diberi kepada penguasa adalah haram dan rasuah yang diterima hakim itu membawa kepada kekufuran.

Kenapa saya tekankan soal ini kepada orang ramai (termasuk diri sendiri) yang jadi punca kepada budaya korupsi di negara ini? Sikap individu seperti kita ini yang membentuk sebuah masyarakat di mana apa saja kita lakukan termasuk perbuatan tidak jujur sebegini menjadi teladan kepada generasi akan datang. Suka atau tidak, sikap sebeginilah yang melahirkan generasi dan masyarakat yang korup. Bila ini berlaku, maka kebarangkalian lahirnya individu bergelar pemimpin, pegawai dan cendekiawan yang korup juga tinggi. Dan ini boleh membawa kepada pelbagai gejala dalam negara seperti keruntuhan sistem ekonomi, jenayah berleluasa dan wujudnya ketidakadilan dalam masyarakat. Maka bagaimana sesebuah negara itu mahu mencapai status negara yang baik yang mendapat rahmat dan keampunan di sisi-Nya berdasarkan firman-Nya dalam ayat 15, Surah Saba’, “Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’, satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): “Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!”

Para ulama mensyarahkan makna negeri yang baik ini kepada beberapa bahagian:

– negeri yang seimbang antara kebaikan alam sekitar dengan kebaikan akhlak penduduknya.

– negeri di mana penduduknya subur dan makmur tetapi tidak pernah lupa mengucapkan syukur.

– negeri yang seimbang antara kebaikan dari segi rohani dan jasmani penduduknya.

– negeri yang aman dari sebarang bentuk permusuhan sama ada dari dalam atau luar.

– negeri di mana ia diperintah oleh pemerintah yang adil dan soleh sementara penduduknya bersikap patuh dan hormat.

– negeri yang maju dari segi ilmu sama ada dari segi duniawi mahupun ukhrawi.

– negeri di mana wujudnya hubungan harmoni antara pemerintah dan penduduk. Harmoni di sini ialah wujudnya ruang dari segi nasihat dan teguran antara kedua-dua belah pihak dalam soal kebenaran dan kesabaran.

Kalau benda sebegini kecil kita mahu terus memandang enteng, maka bersediakah kita andai benda-benda ini akan kembali menghantui kita pada masa akan datang? Saya tutup dengan satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. Pada suatu ketika, Nabi s.a.w bersama sekumpulan sahabat dalam satu majlis. Seorang Badwi datang kepada baginda dan bertanya, “Bilakah berlakunya hari kiamat?” Nabi s.a.w tidak menjawab pertanyaan tersebut dan menyambung perbualan baginda bersama para sahabat lain sehingga ada beranggapan baginda tidak mendengar atau tidak suka dengan pertanyaan tersebut. Setelah selesai diskusi baginda dengan para sahabat, Nabi s.a.w memanggil lelaki tersebut dan menjawab soalannya, “Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah hari kiamat!” Lelaki itu bertanya lagi, “Bagaimana amanah itu disia-siakan, Ya Rasulullah?” Baginda menjawab, “Apabila sesuatu perkara diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah hari kiamat!” (Riwayat Tirmidzi)

Apakah kita mahu menunggu benda-benda kecil ini bertukar menjadi kanser dalam masyarakat atau mahu diubah sebelum terlambat? Tepuk dada, tanya diri kita.

SUMBER:

1. Usman Rozali, Abu Abdillah Arief B. (2010). Al-Manhaj. Siapakah Yang Layak Diberi Amanah. https://almanhaj.or.id/2711-siapakah-yang-layak-diberi-amanah.html

2. Portal 1Klik. (2011). Rasuah Amalan Terlarang Di Sisi Agama. http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/agama/9552-rasuah-amalan-terlarang-di-sisi-islam.html

3. Musyafa LC. (2016). Al-Manhaj. Baldatun Thayyibatun Wa Rabbun Ghafur. https://almanhaj.or.id/4276-baldatun-thayyibatun-wa-rabbun-ghafur.html

4. Che Ahmad, Mohd Shah. (2017). Utusan Malaysia. DIDIK JIJIK ‘NAJIS’ RASUAH. http://www.utusan.com.my/rencana/agama/didik-jijik-najis-rasuah-1.497544


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply