Kongsi Basikal

0
439
views

Saya melihat rakyat Malaysia semakin aktif dengan aktiviti berbasikal, sehinggakan tumbuh kedai yang menjual basikal yang harganya mencecah puluhan ribu ringgit sebuah, diimport dari pengeluar basikal terkemuka Eropah dan Asia Timur.

Kelab-kelab berbasikal juga semakin bercambah, samada mengikut negeri, komuniti kejiranan, daerah, pekan-pekan dan pertubuhan bukan kerajaan selain syarikat swasta mahupun agensi kerajaan masing-masing ada kelab berbasikal mereka yang tersendiri.

Ini menampakkan yang rakyat Malaysia semakin cakna darihal perkara aktiviti sihat dan pada masa sama ia dapat menyumbang kepada pengurangan pembebasan gas rumah hijau yang mana kita lihat sekarang memberikan impak yang sangat buruk kepada iklim global.

Aktiviti berbasikal di hujung minggu seperti yang dikelolakan oleh pihak DBKL saya lihat perlu diperluas lagi, dengan menetapkan sistem Kongsi Basikal yang mana ia menjadi asas kepada memupuk komuniti menggunakan kenderaan tersebut dan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan bermotor terutama di bandar-bandar utama yang kita lihat sekarang sangat sesak. Sistem Kongsi Basikal ini sudah sedia ada wujud di kota-kota metropolitan utama dunia seperti Amsterdam dan Vancouver mahupun Shanghai yang mana dewan bandaraya mereka memperkenalkan sistem yang dikelola oleh syarikat swasta yang mana sewaan basikal dibuat di lokasi-lokasi strategik berhampiran terminus atau stesen transit rel atau bas, dan pembayaran dibuat secara debit atau menggunakan sistem yang serupa dengan sistem Touch N Go dengan stesen basikal ini ditempatkan dengan meluas dan kedudukannya yang startegik dengan tempat tumpuan utama penduduk bandaraya seperti pusat kewangan, pusat budaya dan lokasi-lokasi sub urban yang merupakan bandar-bandar satelit.

Kota raya seperti Rotterdam saya lihat sangat mesra basikal (mungkin faktor cuaca dingin adalah penyumbang utama) dimana keutamaan diberikan kepada pengguna basikal, dengan sistem transit pengangkutan awam juga terletak dalam jarak berbasikal dan anda boleh membawa basikal anda bersama jika menaiki tren ataupun bas dan trem, malahan laluan berbasikal juga wujud secara meluas dan mereka hanya menggunakan basikal biasa dan tidak perlu membeli basikal jenis mountain bike yang berharga puluhan ribu.

Kita sedia maklum Kuala Lumpur sendiri sudah mempunyai laluan berbasikalnya yang tersendiri tetapi kenapa hanya gunakan ia dihari minggu sedangkan ia boleh digunakan setiap hari. Kita patutnya tidak menghadkan pengunaan sistem berbasikal hanya pada hari cuti dan hari minggu dan seharusnya meluaskan ia pada hari-hari bekerja. Gerakan NGO dan usaha komuniti setempat yang mempromosikan pengunaan basikal sebagai satu bentuk pengangkutan dan riadah ini sepatutnya di ikuti sebagai satu contoh yang baik.

Kebergantungan kepada kenderaan bermotor sebenarnya satu langkah yang tidak “sustainable” kepada alam sekitar dan iklim, dimana jumlah pembebasan gas hijau dan pengeluaran karbon yang tinggi bukan sahaja menyesakkan laluan dan lebuhraya tetapi juga menurunkan kualiti udara yang seterusnya mengakibatkan wujudnya persekitaran yang tidak sihat. Ia juga tidak mampan bilamana keperluan memperbesarkan jalanraya dan lebuh raya tetap tidak menyelesaikan permasalahan kesesakan lalulintas dan seterusnya tidak mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau serta pembebasan karbon.

Jadi kami melihat, satu langkah dalam mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan bermotor adalah dengan memperkenalkan sistem Kongsi Basikal dikawasan yang mempunyai hubungan sistem pengangkutan awam yang sangat trampil, mewujudkan zon bebas kenderaan bermotor dan mewajibkan pengunaan basikal persendirian untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain, pengenalan cukai karbon dan cas karbon bagi pengguna kenderaan bermotor yang memasuki zon bebas kenderaan bermotor tersebut, selain mewujudkan infrastruktur yang mesra pengguna basikal.

Ini tidak semestinya perlu dilaksana oleh kerajaan pusat. Ia boleh dilaksana oleh pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri, malah ia boleh dilaksana oleh bandar-bandar satelit yang berhubung dengan kawasan perumahan baharu seperti di Seri Iskandar atau di kawasan komuniti perumahan yang sudah sedia ada wujud dengan pembangunan sekitar dan mempunyai infrastruktur pengangkutan awam seperti kawasan Setiawangsa mahupun Wangsa Maju dan kawasan ini sudah mempunyai laluan berbasikal. Subang Jaya juga memperlihatkan inisiatif pihak berkuasa tempatan untuk mewujudkan laluan berbasikal malah Kuala Lumpur, ibu kota kita menerusi DBKL bakal 2 menetapkan laluan berbasikal khusus. Tidak lupa usaha kerajaan Negeri Selangor yang mahu setiap majlis perbandaran untuk mewujudkan laluan berbasikal masing-masing.Apa yang diperlukan adalah anda dan basikal anda.

Waqaf Saham

Usaha pihak sukarelawan, kelab dan peminat basikal sedikit sebanyak mengerakkan usaha pihak berkuasa untuk mewujudkan infrastruktur sedemikian.

Untuk memperluas dan memupuk lagi pengunaan basikal secara harian, pengenalan pengecualian cukai untuk pembelian dan sengaraan basikal boleh diperkenalkan atau insentif atau pengecualian cukai bagi inisiatif hijau oleh orang perseorangan dimana ini secara tidak langsung menguntungkan mereka sendiri yang berinisiatif mahu mengurangkan kesan karbon mereka sendiri.

Bayangkan, berapa banyak yang dapat kita jimatkan wang dari segi pembelian petrol dan hanya menumpukan kepada pengunaan sistem transit massa dan berbasikal malah mendapat pengecualian cukai dan insentif lagi. Dalam situasi ekonomi yang tidak menentu sekarang saya melihat alternatif sebegini sangat menguntungkan kita dan alam sekitar pada masa sama kerana inisiatif sebegini tidak perlukan gerakan dari kerajaan atau badan berwajib tapi bermula dengan perubahan dari kita sendiri.

Melihat dari sudut kos efektif berbasikal berbanding kenderaan bermotor saya mendapati bahawa dengan berbasikal kita :

1.tidak perlu membayar cukai jalan
2.tidak perlu menanggung kos bahan api
3.kos sengaraan yang lebih rendah berbanding kenderaan bermotor
4.tidak melibatkan pengunaan tol – hanya jaringan sistem pengangkutan awam
5.tiada kos dan cas tempat letak kenderaan

Jika setiap seorang dari kita memulakan inisiatif berbasikal ini, dan dengan perkumpulan jumlah kelab berberbasikal yang kini semakin berkembang luas saya pasti ia dapat sekurang-kurangnya dilaksana pada peringkat komuniti kecil seperti kawasan perumahan atau bandar satelit dan kemudian ia dapat berkembang ke bandar-bandar besar jika kesatuan berbasikal dapat menekan pihak pemerintah untuk menyediakan infrastruktur yang berkaitan. Pada masa sama ia menguntungkan alam sekitar kita.

Sudah sampai masanya kita bergerak kearah inisiatif hijau dan mesra alam dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil yang jelas tidak mampan.

Untuk menunggu kenderaan elektrik, ia bakal mengambil masa yang lebih panjang kerana ketiadaan infrastruktur untuk mengecas sumber kuasa bateri dan mungkin kita perlu menunggu Elon Musk untuk betul-betul menguasai perusahaan kenderaan elektrik serta sumber kuasa baterinya matang baharulah kita dapat betul-betul meninggalkan bahan api fosil.

Tapi sementara itu, tidak salah untuk berbasikal kerana ia menjimatkan wang, menyihatkan tubuh badan dan mesra dengan alam sekitar kita.

Apa pendapat anda?

Adakah anda merasakan komuniti anda mampu untuk beralih dari kebergantungan kepada bahan api fosil dan kenderaan bermotor kepada sistem pengangkutan yang lebih mesra alam?

Adakah anda mempunyai idea yang lebih mampan dan lebih baik untuk dikongsikan?

Nyatakan pendapat anda diruangan komentar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.