Komik Juga Merupakan Sebuah Sastera!

0
1340
views

Saya sedikit kelat membaca beberapa komen berbaur mengkritik apabila ada beberapa penulis The Patriot menulis mengenai manga dan anime dan kaitannya dengan falsafah. Benar kita tak boleh lari dari kritikan. Namun ianya perlulah berasas dan bukan berdasarkan sentimen peribadi. Dari pemerhatian saya dan beberapa admin lain sejak TP melancarkan laman web baru komen-komen sedemikian sudah menjadi semakin kerap. Disyaki ianya berasal dari pembaca-pembaca baru TP yang mungkin tidak tahu tatacara dan adap interaksi di laman Facebook TP sehingga ia kerap menjadi punca perbalahan dalam ruangan komen antara pembaca-pembaca TP.

Kami ada membaca komen-komen dari pembaca setia TP sejak 2013 apabila mereka mengadu masalah ini pada kami. Ada antara mereka mengatakan TP dulu tempat berkongsi pendapat antara pembaca dengan cara yang bertamadun, bukannya tempat tunjuk hero dan berdebat. Kami juga sebenarnya cukup tidak suka perkara seperti ini berlaku kerana selama ini kami cukup menekankan adap interaksi dalam halaman Facebook TP. Namun apabila anda berhadapan dengan ribuan komen maka usaha untuk moderasi komen itu menjadi amat sukar. Kami masih lagi cuba mencari mekanisme yang berkesan untuk situasi ini buat sementara ini. Jika dulu yang komen itu dalam lingkungan puluh sahaja yakni bersaiz bilik darjah. Namun kini kita pada tahap ribuan yang bersaiz satu fakulti universiti!

Berbalik pada topik, benar kami memahami yang bahawa ada yang berpendapat komik, animasi dan filem bukan satu bentuk sastera. Dalam konteks tradisionalnya ada benarnya pendapat itu. Sastera tradisional secara amnya hanya merangkumi novel, cerita pendek dan sajak puisi sahaja. Atau jika anda ingin menjadi ultra tradisional mungkin hanya kitab lama dan hikayat silam sahaja layak digelar sastera. Namun dalam cabang sastera seperti mana cabang ilmiah lain ianya juga tidak terhad pada perubahan. Sastera juga menjalani proses pemodenan sehingga ianya melahirkan bentuk-bentuk sastera yang baru seperti komik, animasi dan filem. Satu ketika dahulu berita dan artikel akhbar contohnya tidak diiktiraf sebagai salah satu cabang penulisan sastera juga. Namun di bawah konteks moden ianya telah diiktiraf. Begitu juga penerimaan komik sebagai bentuk sastera.

Dari segi pengiktirafan, anugerah Pulitzer merupakan anugerah yang dianggap paling berprestij dalam bidang sastera. Adalah perlu untuk anda tahu bahawa Pulitzer pernah menganugerahkan satu komik sebagai pemenang anugerah mereka! Novel tersebut yang bernama Maus yang dilukis oleh seorang kartunis bernama Art Spiegelman telah menerima anugerah tersebut pada tahun 1992. Pulitzer sudah lama mengiktiraf komik dari segi sastera dengan anugerah khas untuk komik editorial surat khabar sejak 1922. Bagi mereka yang tidak tahu apa itu komik editorial surat khabar dalam bahasa mudahnya ianya merupakan komik seperti Senyum Kambing dan Mamak Cyber dalam akhbar Utusan Malaysia. Namun begitu Maus merupakan komik penuh pertama yang berjaya memenangi Pulitzer.

Senyum Kambing merupakan satu contoh komik editorial surat khabar. Sumber: Utusan.          
Muka hadapan komik MAUS.

Terdapat juga beberapa komik yang memenangi anugerah lain yang bernama anugerah Hugo yang merupakan anugerah paling berprestij di dunia bagi karya yang jatuh dalam genre sains fiksyen. Hugo juga seperti Pulitzer pada asalnya hanya memberi anugerah pada karya berbentuk penulisan seperti novel sahaja. Namun pada tahun 1988 komik Watchmen hasil karya Alan Moore dan Dave Gibbons berjaya memecah rekod apabila menjadi komik pertama memenangi anugerah Hugo. Ada sebab mengapa jika anda berbicara mengenai komik dari barat di forum-forum internet komik Watchmen akan menjadi satu komik yang paling kerap disebut. Dan ada sebab juga mengapa peminat tegar komik Marvel amat lemau mendengar orang lain menyebut nama Watchmen kerana Watchmen diterbitkan oleh DC .

Waqaf Saham

Muka hadapan komik Watchmen.

Karya tempatan kita juga tidak kurang hebatnya dalam penerimaan anugerah. Datuk Mohammad Nor Khalid atau nama penanya Lat juga menerima anugerah dengan karyanya Kampung Boy. Beliau secara spesifiknya menerima Hadiah Budaya Asia Fukuoka pada tahun 2002 yang merupakan anugerah yang berasal dari Jepun. Anugerah Hadiah Budaya Asia Fukuoka merupakan anugerah yang dikhaskan pada individu  dan pertubuhan yang menyumbang dalam memelihara atau membentuk kebudayaan Asia. Ianya bukan anugerah untuk komik secara khusus. Namun kejayaan Datuk Lat memenangi hadiah tersebut merupakan bukti kukuh yang komik mampu menjadi medium falsafah dan sastera yang amat berkesan dalam konsep kebudayaan.

Watak utama komik “Kampung Boy” yang dikenali sebagai Mat.

Dari segi silibus pendidikan Malaysia pula jangan terkejut jika saya beritahu sudah ada usaha untuk mengiktiraf komik sebagai satu bentuk medium sastera. Terdapat beberapa karya klasik Bahasa Inggeris yang pada asalnya dalam bentuk novel namun telah diterbitkan semula dalam bentuk komik sebagai salah satu buku teks untuk silibus pendidikan Bahasa Inggeris. Cuba anda rujuk dan tanya adik atau anak anda jika anda tidak percaya. Usaha ini sudah lama sebenarnya dicadangkan. Ini kerana pada peringkat universiti tempatan pelajar-pelajar jurusan TESL (Teaching English as a Second language) telah lama didedahkan yang bahawa bentuk sastera tidak hanya terhad kepada bentuk sastera tradisional semata.

Namun mereka tidak mempunyai banyak peluang untuk mengajar mengenai medium sastera yang seperti itu kerana sumber pengajaran dan masa adalah terhad. Saya sebagai seorang bekas pelajar TESL masih ingat lagi bagaimana dalam subjek Literature and Media amat-amat membuka mata saya tentang bentuk-bentuk sastera moden. Saya ketika itu sama juga seperti anda tidak mengangap yang bahawa komik, filem dan lain-lain sebagai salah satu bentuk sastera.

Namun perkara yang mengubah persepsi saya ketika itu ialah bagaimana alat analisis-analisis sastera yang digunakan pada novel dan cerita pendek seperti graf plot, gaya bahasa dan juga latar masa dan tempat boleh digunakan sebagai alat analisis komik. Jika cara analisisnya adalah sama maka ianya bermakna suka atau tidak suka atau apa pun sentimen yang anda ada tentang sesuatu perkara itu, ianya adalah sebuah medium sastera hakta komik sekalipun! Biarpun saya tidak menamatkan ijazah TESL saya kerana bertukar pada jurusan undang-undang namun isi kandungan subjek Literature and Media masih lagi kekal dalam ingatan saya kerana subjek itu benar-benar mengubah perspektif hidup saya mengenai sastera.

Saya telah menyebut di bahagian atas mengenai bagaimana alat analisis sastera antara novel dan komik adalah sama yang menyebabkan komik boleh didefinisikan sebagai medium sastera. Namun bagaimana pula jika masih ada yang menolak atas sentimen tertentu seperti tradisionalis tegar aliran sastera?

Ianya bergantung pada tahap disiplin ilmu seseorang itu. Kita boleh tidak menyukai sesuatu perkara dalam perihal akademik. Namun kita tidak boleh menolak tanpa asas dan menggunakan sentimen semata. Kerana perbuatan berat sebelah sedemikian merupakan satu bentuk pengkhianatan akademik yang nyata secara data empirikal. Seperti juga dalam isu sejarah. Kita boleh tidak menyukai fakta yang bahawa nenek moyang kita pernah menganut agama lain selain Islam.

Namun kita tidak boleh menidakkan fakta tersebut dari segi akademik. Ini kerana dari segi rasionalisasinya ianya boleh membawa maksud kita menidakkan jasa agamawan Islam yang berusaha keras mengislamkan nenek moyang kita satu ketika dahulu jika kita mengangap bahawa fakta itu tidak wujud atas dasar sentimen peribadi. Yang mana perkara seperti itu jelas salah dalam etika disiplin sejarah. Begitu juga isunya dalam perihal medium moden sastera ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.