Kisah Persahabatan Usman Awang Dengan P. Ramlee

0
1913
views

Persahabatan di antara Usman Awang dengan P. Ramlee mula terjalin pada tahun 1951 ketika Usman Awang dan Jamil Sulong berhijrah ke Singapura untuk mencari pekerjaan. P. Ramlee sendiri pernah menggalakkan Usman Awang untuk menjadi bintang filem semasa beliau mendapat panggilan uji lakon (screen test) di Malay Film Productions.

Di akhir tahun 1960-an dan awal 1970-an, P. Ramlee boleh dikatakan berada di dalam keadaan yang tertekan kerana filem-filem dan lagu-lagu ciptaannya agak kurang mendapat sambutan, berbanding karyanya ketika di Singapura.

P. Ramlee lebih banyak termenung dan kuat menghisap rokok untuk mencari ketenangan. Dalam masa yang sama, beliau sering ke pejabat Utusan Melayu yang terletak di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur untuk bertemu dengan Osman Abadi dan Aimi Jarr yang bertugas di sana.

Pada suatu hari, P. Ramlee pergi berjumpa Aimi Jarr yang ketika itu menjadi pengelola majalah Utusan Filem & Fesyen di pejabatnya dengan wajah yang ceria. Aimi Jarr bertanyakan kepada P. Ramlee adakah beliau membawa perkhabaran yang baik. P. Ramlee dengan senang hati berkata,

“Ada satu berita baik yang abang nak ceritakan kepada kau. Satu hasrat lama abang baru tercapai,” kata P. Ramlee sambil tersenyum lebar. “Dari dulu lagi abang hendak Usman Awang tulis lirik untuk lagu ciptaan abang. Sekarang ini Usman dah setuju nak tulis lirik lagu abang!” ujar P. Ramlee lagi.

Menurut Aimi Jarr, keindahan kata bual untuk filem dan susunan kata lirik lagu memang menjadi keutamaan P. Ramlee dalam menghasilkan filem-filem bercorak kemasyarakatan dan lagu-lagu romantik.

P. Ramlee sering berkata kepada Aimi Jarr, “Jiwa abang belum terasa puas sebelum dapat seorang sasterawan ternama seperti Usman Awang menulis kata bual, atau sekurang-kurangnya menulis lirik untuk lagu-lagu ciptaan abang.”

Akhirnya, terciptalah lagu yang berjudul “Uda dan Dara” hasil karya Usman Awang sebagai penulis lirik dan melodinya ciptaan P. Ramlee sendiri. Lagu tersebut telah dinyanyikan secara berduet oleh P. Ramlee dengan isterinya, Saloma. Ketika itu, Usman Awang bertugas sebagai editor di Bahagian Pengarang, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Namun, gandingan mereka berdua tidak dapat diteruskan kerana P. Ramlee telah meninggal dunia secara mengejut pada 29 Mei 1973. Usman Awang sebagai seorang sahabat sempat menuliskan sebuah sajak yang bertajuk “Arca dan Puisi” untuk mengenang pemergian seniman agung itu.

Arca dan Puisi

(Untuk Seniman P. Ramlee)

Bila lahad terbuka dan keranda diturunkan, berakhirlah satu kehidupan insan. Di sini perbatasan dunia fana dan alam baka di sini palang pintu hayat perhentian penghabisan yang meletakkan batu tanda sebuah pusara.

Waqaf Saham

Kini tanah Ampang laksana pelabuhan sepi kerana kapal telah bertolak. Alun sedu bergelombang di teluk hati yang kasih, dan nanti riaknya bakal mengecil jua di samudera waktu. Begitulah keranda berangkat sebelum senja ketika, begitu pulalah terdengar suara dan bicara di mana-mana menyebut namanya.

Tapi siang akan memanjat jua dan malam bakal rebah di kaki subuh: hari baru datang lagi membebani manusia atas nama kehidupan. Lalu sedu tidak lagi bergetar, suara pujian pun semakin pudar.

Segalanya laksana bunga ditaburkan di rumah perhentian hayat, lupalah pada segala sengketa, malah tiada sezarah pun titik hitam cacat cela, kerana memang demikianlah kehidupan ini berlangsung; ketika jantung tidak lagi berdenyut dan luka tidak lagi bisa, suara kagum terdengar penuh memuja. Dia yang pergi bukan lagi menjadi saingan sesiapa!

Seorang seniman telah berangkat, yang tinggal dan kekal ialah pohon seninya yang bakal berdiri di tengah jantung seribu kota dan desa. Dan seorang seniman tidak wujud di ruang kosong, ia bernafas dalam rongga masyarakat bangsanya. Maka jika kewujudannya dalam kehidupan yang disusun di atas nilai ringgit dan darjat, dia selalunya menjadi laksana ladang getah yang memberikan susu untuk kekayaan segolongan kecil manusia. Dan pohon getah itu akan ditoreh tiap subuh sehingga tiada lagi darah putihnya mengalir. Tiada siapa pun pernah mendengar suara dan tangisan kepedihan pohon getah – selain angin, burung-burung, matari dan seniman yang tajam inderanya.

Begitulah terjadi di depan mata kita, seorang seniman yang telah mengabdikan puluhan tahun usianya, bakat seninya dan titis peluhnya kepada sebuah syarikat. Maka ketika jasadnya terbujur, dia ‘dihargai’ seribu ringgit cuma oleh syarikat yang dimakmurkannya.

Jika kita dapat merasakan pedih perihnya seniman yang berjasa itu diperalatkan oleh golongan yang memeras tenaga dan bakat seninya, dan kita bangun menghadapi dan menentang penindasan ini, kita bukan saja telah memberikan erti kepada seniman yang kita sayangi, malah membela seniman muda yang sedang tumbuh dan yang bakal lahir nanti.

Ini bukan sekadar persoalan sosial-budaya, tetapi menjadi persoalan ekonomi dan politik. Dan itulah pokoknya apabila kita mahu menjadi bangsa yang pandai berterima kasih dan benar-benar menyayangi senimannya, tidak dengan sedu sedan emosi dan air mata.

Kini tirai telah turun, lagu dan piano tidak lagi berbunyi, tepukan gemuruh penonton kian sepi di pentas yang telah padam lampunya.

Usman Awang,
1973

Sumber:

1. Allahyarham Aimi Jarr

2. Puisi-Puisi Pilihan Usman Awang (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987)

3. Biografi Usman Awang: Seorang Penyair, Sebuah Benua Rusuh (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006)

4. P. Ramlee Erti Yang Sakti (MPH Publishing, 2011)

5. Yayasan Usman Awang

6. Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik

7. Dato’ Ahmad Fauzee Samad

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.