Ketahuilah Perihal Nenek Moyangmu!

0
5775
views

Setiap manusia yang lahir di dunia ini mempunyai dua jurai salasilah utama iaitu jurai salasilah daripada sebelah ibu dan ayah. Setiap manusia dan hidupan lain seperti haiwan yang wujud sehingga kini merupakan hasil kesinambungan daripada proses pensenyawaan antara dua jenis jantina iaitu lelaki atau jantan dan perempuan atau betina. Malah tumbuhan juga memiliki dua jenis jantina tersebut terutamanya tumbuhan berbunga. Al-Qur’an menjelaskan bahawa setiap makhluk diciptakan berpasangan (Surah Yasin, ayat 36). Malah semua perkara mempunyai pasangannya: siang dan malam, positif dan negatif, baik dan buruk, hidup dan mati. Prof. Syed Naquib al-Attas pernah menyatakan bahawa kita tidak akan benar-benar tahu tentang suatu perkara selagi kita tidak mengetahui sifat lawannya.

Berbalik kepada soal manusia diciptakan secara berpasangan, tiada seorangpun manusia di dunia yang wujud tanpa melalui ibu dan bapa, tetapi dalam hal ini terdapat pengecualian terhadap beberapa individu dalam sejarah manusia. Sebagai seorang yang beragama terutamanya penganut agama-agama samawi seperti Yahudi, Kristian dan Islam, kita meyakini bahawa semua umat manusia itu adalah keturunan daripada dua individu iaitu Nabi Adam dan isterinya, Hawa (Eve). Mereka diciptakan oleh Tuhan tanpa melalui ibu dan bapa kerana mereka adalah permulaan kepada perkembangan keturunan umat manusia. Makhluk bukannya Tuhan yang bersifat sedia ada wujud tanpa permulaan. Bahkan golongan ateis juga mempercayai kewujudan alam semesta ini daripada tiada kepada ada. Terdapat seorang lagi individu yang diyakini oleh umat Islam dan Kristian yang lahir tanpa melalui bapa iaitu Nabi Isa (Jesus). Konsep kelahiran baginda tanpa melalui bapa berlainan antara ajaran Islam dan Kristian, tetapi itu bukanlah berkenaan topik yang ingin dibincangkan. Apa yang mahu ditekankan di sini ialah kewujudan kita adalah mustahil tanpa melalui ibu dan ayah mengikut hukum alam yang telah ditetapkan oleh Tuhan sejak azali.

Jetpack Langkawi

Sebagai umat Islam, mengetahui salasilah keluarga merupakan satu keperluan dalam hidup ini terutamanya dalam soal hubungan mahram, harta pusaka dan nikah. Ini kerana di dalam al-Qur’an dan hadith, Allah SWT menyenaraikan beberapa orang wanita yang haram dikahwini dan pembahagian harta pusaka menurut ilmu fara’id. Bagaimana kita hendak mengaplikasikan hukum tersebut sekiranya kita tidak mengenali siapa datuk dan nenek kita, siapa ibu dan bapa kandung kita, siapa ibu susuan kita, siapa adik beradik susuan kita, siapa ibu dan ayah tiri kita, siapa anak-anak saudara kita dan seterusnya. Memelihara nasab adalah kewajipan terhadap setiap umat Islam. Al-Qur’an ada mengajar kita suatu doa yang diucapkan oleh Nabi Ibrahim yang wajar diamalkan oleh umat Islam (Surah al-Furqan, ayat 74). Doa tersebut memohon agar Allah SWT mengurniakan kita pasangan yang baik dan zuriat keturunan yang soleh dan solehah. Dalam suatu hadith, Rasulullah SAW mengajar kita kriteria memilih pasangan hidup dalam kalangan wanita iaitu berdasarkan kecantikannya, keturunannya, hartanya dan agamanya, dan baginda menegaskan bahawa agama adalah kriteria yang paling utama dalam soal pemilihan tersebut, pada masa yang sama baginda tidak mengenepikan soal keturunan, iaitu daripada keturunan orang yang baik-baik. Jelaslah disini, Islam mewajibkan umatnya supaya mengetahui dan mengambil berat nasab keturunan kita.

Dalam al-Qur’an, Allah SWT sering merujuk umat manusia sebagai “Ya Bani Adam!” (Wahai anak-anak Adam!) dan gelaran “Ya Bani Isra’il!” (Wahai anak-anak Israel!) yang merujuk kepada bangsa Yahudi. Dalam Bible pula, terutamanya dalam Buku Genesis, 1 Chronicles, Matthew dan Luke padat dengan maklumat senarai salasilah para nabi dan pelbagai bangsa. Bahkan salasilah Nabi Isa sehingga Nabi Adam ada tercatat di dalam Bible.

Dalam sejarah, bangsa Yahudi dan Arab adalah antara bangsa yang pakar dan amat mementingkan soal nasab bangsa mereka. Sahabat Rasulullah SAW, Abu Bakar as-Siddiq adalah antara salah seorang sahabat yang pakar dalam salasilah bangsa Arab terutamanya kabilah Quraisy. Rasulullah SAW sendiri memiliki beberapa gelaran yang berdasarkan nasab keturunan seperti ‘Adnani, al-Quraisyi, al-Hasyimi dan Abu al-Qasim. Bangsa Yahudi boleh dikatakan bangsa dan agama eksklusif, iaitu mereka tidak berminat untuk menyebarkan agama Yahudi kepada bangsa lain.

Antara alasan negatif yang biasa diberikan oleh orang kebanyakan mengenai kajian salasilah keluarga sendiri ialah:

“Bukankah kita semua keturunan daripada ibu dan ayah yang sama iaitu Nabi Adam dan Hawa, jadi kenapa susah-susah nak jejak salasilah?”

“Bukan ada kepentingan pun, banyak lagi benda lain nak buat.”

“Nak tuntut bahagian harta pusakalah tu.”

“Buat apa nak tahu cerita-cerita orang dahulu? fokus pada kehidupan kau sekarang ni, perkara yang lepas biar lepas, jangan dikenang.”

“Bukankah umat Islam semuanya bersaudara?”

“Dalam kubur malaikat tak tanya kita keturunan siapa, mereka tanya amalan kita.”

Anak: “Ayah, pak cik tu siapa?”

Ayah: “Dia saudara kita, Pak Cik Seman”

Anak: “Saudara belah mana?”

Ayah: “Entah, arwah nenek kamu kata saudara, adalah hubungan bau-bau bacang dengan kita, yang penting dia saudara kita.”

Tidak dinafikan bahawa semua manusia berasal daripada ibu dan ayah yang sama iaitu Nabi Adam dan Hawa, tetapi jalannya berbeza-beza. Firman Allah SWT di dalam al-Qur’an:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” Surah al-Hujurat, 49:13.

Jelas dalam ayat al-Qur’an di atas bahawa manusia diciptakan, berketurunan daripada pelbagai bangsa dan bersuku-puak. Tujuan kita menjejak salasilah kita ialah supaya kita mengenali asal-usul keturunan kita. Kemungkinan hasil kajian tersebut akan memeranjatkan seperti contohnya kita orang Melayu ada darah Cina, atau orang India ada darah Jepun atau orang Iban ada darah British. Contohnya tokoh-tokoh negarawan kita sendiri seperti Tunku Abdul Rahman ada darah Siam, Tun Abdul Razak dan anaknya Dato’ Seri Mohd. Najib ada darah Bugis, Tun Hussien Onn ada darah Turki, Dr. Mahathir ada darah India dan Tun Abdullah Ahmad Badawi ada darah Arab. Tetapi mereka semua dikategorikan sebagai orang Melayu disebabkan mereka ada keturunan Melayu, beragama Islam, bahasa ibunda mereka bahasa Melayu dan mereka mengamalkan budaya dan adat Melayu. Ini adalah konsep bangsa Melayu menurut istilah perlembagaan Malaysia.

Melalui kajian salasilah, kita dapat mengetahui sifat-sifat fizikal yang kita warisi daripada nenek moyang kita seperti berkulit putih atau gelap, bermata sepet, bermata biru, berhidung mancung dan lain-lain lagi. Dalam ayat al-Qur’an di atas juga menjelaskan bahawa tujuan kita mengenali antara satu sama lain bukan untuk banding-membanding siapa yang lebih baik fizikalnya atau kedudukannya atau pangkatnya atau hartanya, kerana mereka yang paling mulia pada pandangan Tuhan ialah manusia yang paling bertakwa atau mereka yang paling baik amalannya. Oleh itu, tujuan utama kita menjejak salasilah keluarga bukanlah untuk berbangga-bangga sehingga merendahkan-rendahkan orang lain atau untuk menuntut sebarang takhta raja atau kedudukan dalam masyarakat, tetapi untuk mengetahui asal-usul diri, mengenali saudara-mara dan untuk mengerat dan menjaga hubungan silaturrahim.

Dalam satu artikel yang bertajuk “Why is Geneology is Important” dalam sebuah laman web berkenaan kajian salasilah iaitu Geneology in Time Magazine (pautan: http://genealogyintime.com/articles/why-genealogy-is-important.html), penulis artikel tersebut telah menggariskan sebanyak 22 sebab manusia perlu mengkaji salasilah keluarganya. Antaranya:

1. Mengesahkan kisah-kisah berkenaan keluarga – iaitu untuk menentukan sejauh mana kebenaran dakwaan-dakwaan yang selalu diceritakan berkenaan nenek moyang mereka.

2. Tokoh-tokoh ternama – iaitu untuk mengetahui jika salasilah mereka benar-benar ada kena mengena hubungan dengan tokoh-tokoh ternama pada masa silam atau pada masa kini.

3. Peristiwa bersejarah – iaitu untuk mengetahui lebih lanjut tentang penglibatan nenek moyang mereka dalam peristiwa-peristiwa bersejarah yang pernah berlaku pada zaman mereka.

4. Mengenalpasti penyakit warisan – iaitu untuk mengetahui sejarah perubatan keluarga yang diwarisi melalui genetik.

5. Menjejak pewarisan keluarga – iaitu usaha untuk menjejak waris-waris keluarga yang benar-benar berhak mewarisi sesuatu seperti kedudukan dan harta pusaka.

6. Potret keluarga – iaitu untuk menjejak hubungan salasilah seseorang yang menyerupai rupa paras dan fizikal seseorang sebagaimana yang terlukis atau tergambar pada potret keluarga mereka suatu masa dahulu.

7. Menjejak ibu bapa kandung – iaitu usaha untuk mencari kembali ibu bapa kandung kepada anak angkat yang dipelihara oleh keluarga angkatnya sejak bayi.

8. Bukti ibu bapa kandung – iaitu pengesahan melalui ujian DNA bahawa seseorang itu benar-benar anak kandung ibu bapanya.

9. Keperluan agama – Bagi penganut Kristian aliran Mormon (Gereja Jesus Christ of Latter-day Saints), hubungan kekeluargaan penting dalam ritual keagamaan mereka. Bagi umat Islam pula, seperti yang telah diterangkan sebelum ini hubungan kekeluargaan amat penting dalam hal nikah dan fara’id.

10. Sejarah masyarakat – iaitu untuk mendokumentasikan sejarah pembentukan sesebuah masyarakat, suku kaum, kabilah dengan merekodkan perihal keluarga-keluarga yang terlibat dalam pembentukan awal komuniti mereka dan pengaruh mereka dalam komuniti tersebut.

11. Sejarah tokoh – iaitu untuk mengkaji lebih mendalam salasilah keturunan seseorang tokoh yang berpengaruh seperti kerabat diraja.

12. Memelihara warisan kaum kerabat – iaitu untuk mengetahui dan mewarisi legasi, pekerjaan khusus dan ilmu pengetahuan warisan keluarga daripada datuk dan nenek, ibu dan bapa serta saudara mara setelah kematian mereka.

13. Memahami penulisan diari nenek moyang – iaitu untuk mengetahui sejarah dan pengalaman hidup mereka melalui catatan penulisan yang ditinggalkan oleh mereka.

14. Nama – iaitu untuk mengetahui perihal individu (mungkin nenek moyang atau saudara mara) yang nama kita dinamakan sempena nama mereka.

15. Menyambung hubungan kekeluargaan – iaitu untuk merapakan hubungan kekeluargaan dengan saudara-mara jauh.

16. Legasi keluarga – iaitu untuk menyampaikan dan meninggalkan legasi, perjuangan kepada generasi seterusnya.

Pada pemerhatian penulis, amat jarang dilihat bangsa Melayu (orang kebanyakan) merekod nasab keturunan mereka. Biasanya paling minimum orang biasa cuma akan mengetahui nasab mereka sehingga nama datuk mereka sahaja. Ini kerana mereka menganggap perkara tersebut tiada kepentingan buat mereka kecuali dalam hal harta pusaka atau terdapat tokoh-tokoh tertentu dalam senarai nenek moyang mereka. Terdapat tiga golongan manusia yang amat menjaga salasilah keturunan mereka lebih daripada kebanyakan manusia yang lain. Mereka ialah:

1) Keturunan Ahlul-Bayt Rasulullah SAW seperti keluarga al-Attas, al-Haddad, al-Jufri dan al-Sagof (al-Saqqaf). Keturunan Rasulullah SAW yang berkembang luas pada masa kini hanya melalui anak perempuan baginda iaitu Fatimah az-Zahrah dengan suaminya yang juga sepupu baginda iaitu Ali bin Abu Talib. Melalui kedua-dua orang anak mereka yang juga cucu baginda iaitu Hasan dan Hussin keturunan mereka tersebar di seluruh dunia.

Bagi masyarakat Islam Syi’ah, terutamanya golongan Alawi, mereka terlalu mengagungkan keturunan Hussin terutamanya kedua belas-dua belas orang tokoh imam sehingga berfahaman dan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam sebenar. Di kepulauan Alam Melayu, golongan keturunan Ahlul-Bayt ini dikenali sebagai golongan pendakwah dan beberapa orang dalam kalangan mereka dihormati oleh masyarakat Melayu sebagai seorang yang alim dan warak. Dalam sejarah bangsa Melayu, terdapat juga dalam kalangan mereka yang menjadi pengasas atau sultan pertama dalam kesultanan Melayu seperti Kesultanan Pontianak dan terdapat juga darah mereka bercampur dengan darah kerabat diraja dalam banyak kesultanan. Golongan keturunan Ahlul-Bayt amat menjaga nasab mereka dalam bentuk catatan dan nama.

2) Pewaris sultan dan kerabat diraja. Kesultanan Melayu sama seperti pemerintahan monarki di negara-negara lain iaitu pewarisan takhta mengikut keturunan. Bukan semua sultan atau raja dikurniakan zuriat dan bukan semua zuriat atau putera raja layak diwariskan takhta. Oleh itu, takhta kerajaan boleh berpindah kepada jurai keturunan kaum kerabat yang lain seperti adinda atau ayahanda saudara atau anakanda saudara sultan. Kedaulatan seseorang raja atau sultan juga bergantung kepada salasilah keturunannya.

Dalam manuskrip-manuskrip hikayat Melayu seperti Sulalatus-Salatin dan Tuhfat an-Nafis, kedua-dua orang pengarangnya menghubungkan keturunan Raja-Raja Melayu dengan beberapa orang tokoh pemerintah pada zaman silam seperti Raja Iskandar dari Rom (menurut kepercayaan umum, Iskandar Rom atau Alexander The Great, pemerintah Yunani, adalah individu yang sama dengan seorang raja yang beriman dikenali sebagai Zulqarnain di dalam al-Qur’an). Pengarang Tuhfat an-Nafis pula menyatakan bahawa keturunan Raja-Raja Bugis berasal daripada seorang ratu Bugis bernama Sitti Malangkik yang didakwa berketurunan Ratu Balqis pada zaman Nabi Sulaiman. Ini bertujuan untuk mengangkat kedaulatan dan kedudukan Raja-Raja Melayu. Oleh itu, rekod salasilah amat diutamakan dalam institusi monarki dan kesultanan terutamanya berkenaan pewarisan takhta.

3) Keturunan tokoh pemimpin, pahlawan dan ulama seperti Tok Kenali, Hang Tuah, Megat Terawis, Mat Kilau. Kebiasaannya mereka akan mengadakan perhimpunan besar-besaran secara berkala untuk merekod hal ehwal kelahiran dan kematian kaum kerabat mereka.

Berdasarkan pengalaman penulis, terdapat banyak cara dalam usaha mengkaji dan menjejak salasilah keluarga kita:

1) Nama keluarga / pangkal nama. Bagi masyarakat Melayu, penggunaan nama keluarga hanya pada keturunan tertentu seperti Ahlul Bayt, kerabat diraja dan pembesar seperti Raja, Tengku, Teuku, Ungku, Wan, Nai, Che, Megat, Mior, Daeng, Long, Dayang, Awang, Nik, Syarifah, Syed, Pengiran dan Abang. Bagi mereka yang terdapat pada pangkal nama mereka dan pangkal nama bapa atau ibu mereka nama-nama awalan di atas, maka kemungkinan besar, seseorang itu berketurunan individu-individu penting semasa zaman dahulu atau keluarga mereka berasal daripada etnik masyarakat tertentu.

Kebiasaannya, setiap nama keluarga di atas mempunyai persatuan keluarga mereka sendiri dan mereka merekod dan menyimpan salasilah keluarga besar mereka untuk tujuan rujukan. Masalah pencarian nama keluarga ini ialah terdapat juga nenek moyang mereka yang berketurunan tokoh tertentu tetapi membuang nama keluarga mereka dalam nama mereka sendiri bertujuan untuk penyamaran atau merendah diri. Kebanyakan nama keluarga Melayu di atas diwarisi daripada generasi sebelah ayah. Oleh itu, jika seorang wanita berketurunan tertentu dan mempunyai nama keluarga seperti di atas berkahwin dengan lelaki kebanyakan yang tiada nama keluarga, maka anak mereka tidak mewarisi nama keluarga ibunya. Seperti contoh, Tun Dr. Mahathir, beliau tidak mewarisi pangkal nama “Wan” daripada ibu beliau kerana ayahnya bukan daripada keturunan yang sama. Pada masa kini, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah melarang penamaan anak dengan nama-nama keluarga di atas sekiranya bapa bayi tersebut bukan berasal daripada keturunan keluarga tersebut. Banyak bangsa di dunia yang menggunakan nama keluarga (surname) seperti bangsa Eropah dan Cina. Sebagai contoh keluarga Brooke di Sarawak. Ini memudahkan mereka mengenali keluarga besar mereka berdasarkan nama keluarga masing-masing. Kebiasaannya, nama keluarga diwarisi oleh keturunan sebelah lelaki atau suami. Bahkan di Barat terutamanya di Amerika Syarikat, rakyat mereka di sana boleh merujuk nama dan tarikh lahir mereka atau tarikh kematian bapa, ibu, datuk dan nenek moyang mereka di arkib kerana setiap rekod berkenaan kelahiran individu dicatat dalam akhbar harian mereka.

2) Rekod/catatan/diari/buku salasilah keluarga. Catatan peribadi merupakan sumber primer yang amat penting dalam mengkaji sejarah. Kebiasaannya, salah seorang anggota keluarga yang paling tua akan merekod carta salasilah ketika beliau masih hidup, kemudian salasilah tersebut akan dikembangkan pula oleh anaknya atau anak saudaranya dan begirulah seterusnya. Walaupun catatan salasilah keluarga secara turun temurun merupakan sumber yang paling sahih, tetapi sumber ini amat sedikit diamalkan oleh masyarakat Melayu terutamanya pada masa kini. Jika ada sekalipun, catatan daripada nenek moyang terdahulu tidak dijumpai, tidak dipelihara atau tidak dipedulikan oleh generasi pada masa kini.

3) Dokumen rasmi. Satu lagi sumber paling sahih dalam menjejak maklumat salasilah keluarga ialah dokumen peninggalan nenek moyang seperti kad pengenalan, surat beranak, surat nikah, sijil kematian, permit mengubur, kad polis, tentera, surat tanah, rekod perubatan dan catatan pada foto lama. Jikalau perlu, rujuk pada pihak Arkib Negara, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Pejabat Tanah kerana kadang-kadang mereka masih ada menyimpan dokumen berkaitan. Walau bagaimanapun, rekod-rekod pada institusi kerajaan tersebut mempunyai batas had masanya. Sebagai contoh, JPN hanya mempunyai rekod seawal tahun 1918 sahaja. Itupun bukan semua rekod disimpan dan hanya pihak polis sahaja yang diberi kuasa merujuk rekod-rekod awal tersebut. Menurut maklumat yang diterima oleh penulis daripada pegawai JPN, permohonan untuk mendapatkan maklumat seseorang hanya boleh dimohon oleh anak kandungnya atau ibu bapa kandungnya sahaja. Sekiranya cucu atau cicit ingin mendapatkan maklumat mengenai datuk atau nenek moyang mereka, sekurang-kurangnya sijil kematian mereka (sekiranya masih ada dalam simpanan rekod JPN), maka permohonan perlu dibuat melalui khidmat peguam.

Rekod di Arkib Negara Pusat atau cawangan negeri pula boleh dijejaki seawal abad ke-19. Kebiasaannya, rekod dalam Arkib Negara yang boleh dirujuk berkaitan maklumat nenek moyang ialah rekod institusi kerajaan jika mereka pernah bekerja dalam institusi tersebut seperti Kerajaan Persekutuan, Pejabat Setiausaha Negeri, Pejabat Daerah dan Sanitary Board Kuala Lumpur.

4) Temu bual. Ini merupakan satu lagi cara mudah untuk menjejak salasilah keluarga. Temu bual dengan ahli keluarga dan saudara mara tua yang masih hidup. Mereka mungkin masih tinggal berkelompok di kawasan tanah pusaka dan mungkin juga mereka semua tinggal berselerakan di pelbagai negeri di Malaysia. Mereka mungkin sempat lahir dan membesar ketika nenek moyang kita masih hidup. Walau bagaimanapun, kebiasaannya golongan tua telah uzur atau mengalami masalah ingatan. Mereka mungkin cuma mengingati nama panggilan nenek moyang tanpa mengetahui nama sebenar mereka seperti Tok Din, Nek Siah, Mak Ngah Hawa dan sebagainya. Rujuk silang dengan saudara mara yang lain untuk mengesahkan maklumat tersebut dan untuk mengetahui nama sebenar mereka.

Penggunaan nama panggilan kekeluargaan Melayu seperti “Tok Long,” “Mak Ngah,” “Tok Usu,” boleh memberi petunjuk tentang kedudukan mereka dalam adik-beradik mereka seperti “Long” merujuk pada abang yang sulung, “Ngah” merujuk pada adik yang kedua, “Tok Usu” menandakan beliau ialah adik yang bongsu dan seterusnya. Berkaitan dengan maklumat mengenai tahun kelahiran, perkahwinan atau kematian nenek moyang, sekiranya saudara mara tua tidak dapat mengingati tarikh tertentu, maka tanya kepada mereka peristiwa yang berlaku sekitar tahun tersebut seperti zaman pemerintahan (sultan, menteri besar, perdana menteri), bencana alam (banjir besar, tanah runtuh), peperangan (zaman penaklukan Jepun, komunis) atau sesuatu peristiwa besar yang lain (merdeka, kematian tokoh tertentu, filem). Daripada peristiwa-peristiwa tersebut, dapatlah kita menganggarkan sekitar tahun bila kelahiran atau kematian nenek moyang kita. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci, jangan hanya merujuk pada jurai keluarga kita sahaja, rujuk juga dengan jurai keluarga yang lain, seperti jurai keturunan adik-beradik moyang kita yang lain yang berkongsi nenek moyang yang sama.

Mungkin ada maklumat lain atau pusaka nenek moyang yang tidak diketahui oleh jurai keturunan yang lain. Daripada temu bual ini jugalah, kita akan dapat mengetahui beberapa konflik yang pernah menyebabkan perpecahan dalam kalangan keluarga nenek moyang kita mungkin disebabkan peperangan, pembahagian tanah pusaka, sehingga mereka membawa diri ke tempat lain. Jika boleh, buat rakaman video temu bual tersebut sebagai rujukan dan tontonan semula pada masa akan datang.

5) Ziarah kubur. Kubur merupakan salah satu bukti kewujudan nyata seseorang manusia itu di muka bumi ini. Maklumat tentang nenek moyang dapat diperoleh melalui catatan pada batu nisannya seperti nama penuh, tarikh lahir dan tarikh kematian. Kadang-kadang sifat fizikal kubur dan batu nisan juga kita dapat mengetahui status mereka ketika masih hidup. Walau bagaimanapun, banyak kubur terabai sehingga tidak dapat dikesan kerana telah lama tidak diziarahi oleh waris mereka oleh sebab mereka tidak tahu di mana letaknya kubur tersebut. Tidak banyak perkuburan di Malaysia yang menyimpan rekod mereka yang dikebumikan. Salah satunya ialah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Rekod berkenaan siapa yang dikebumikan, tarikh bila dikebumikan, penyebab kematian, siapa yang melaporkan kematian dicatatkan dalam buku catatan tersebut sejak tahun 1942 masih lagi disimpan oleh pihak Malay Agricultural Settlement (MAS). Badan yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal tanah di Kampung Baru, Kuala Lumpur tersebut berpejabat di Jalan Hamzah, Kampung Baru. Kebanyakan perkuburan lama berselerakan dan agak memakan masa untuk mencari dari satu kawasan ke satu kawasan yang lain. Walau bagaimanapun, terdapat juga kawasan perkuburan yang bersistem, iaitu setiap kubur berbaris, bernombor dan berkelompok mengikut masa.

Sebagai contoh, dalam satu kawasan perkuburan, terdapat kelompok kubur fasa pertama, iaitu mereka yang dikebumikan di kawasan tersebut adalah kelompok generasi pertama yang dikebumikan, mungkin daripada waktu pembukaan awal kawasan tersebut dibuka sehinggalah lima tahun kemudian. Fasa kedua pula adalah kawasan lain yang menempatkan generasi kedua yang dikebumikan dari tahun sekian ke tahun sekian. Sekiranya kita dapat mengetahui anggaran tahun kematian nenek moyang kita meninggal dunia dan mereka dikebumikan di kawasan perkuburan bersistem seperti itu, maka, skop pencarian boleh dikecilkan kepada kawasan tertentu. Terdapat juga beberapa kawasan tanah perkuburan lain yang dibuka kerana tanah perkuburan sebelumnya tiada lagi ruang. Sebagai contoh, Tanah Perkuburan Islam Simpang Lima di Klang menempatkan kubur sejak awal tahun 1900 lagi. Sekitar tahun 1992-1993, apabila tiada lagi ruang untuk dikebumikan, maka kawasan kubur baharu berpindah ke kawasan Tanah Perkuburan Lipat Kajang yang dibuka seawal tahun 1992-1993. Apabila kawasan tanah perkuburan di sana telah penuh sekitar tahun 2007, maka Tanah Perkuburan Islam Selat Klang pula menjadi kawasan perkuburan baharu bagi penduduk Bandar Klang sehingga kini. Semakin terperinci kita dapat tahu mengenai tarikh kematian dan tempat pengebumian nenek moyang kita, semakin kecil skop pencarian kubur mereka. Walau bagaimanapun, disebabkan faktor usia dan cuaca, kebanyakan catatan pada batu nisan kubur lama menjadi amat sukar dibaca kerana terbiar dan tidak diketahui oleh warisnya. Tanya juga penggali kubur atau bekas penggali kubur di kawasan tanah perkuburan tersebut kerana mereka lebih mengetahui kedudukan-kedudukan kubur di tempat tersebut. Usahalah untuk menjejak dan menziarahi kubur nenek moyang kita.

6) Ziarah tempat asal. Bangsa Melayu terkenal sebagai masyarakat perantau dan masyarakat maritim yang hebat. Kepulauan Alam Melayu (Asia Tenggara) merupakan ‘rumah besar’ bagi bangsa Melayu. Oleh itu penghijrahan pelbagai etnik Melayu (Jawa, Bugis, Minang, Banjar, Aceh) ke pelbagai tempat di Kepulauan Alam Melayu merupakan suatu perkara biasa pada zaman dahulu. Tidak terkecuali nenek moyang kita. Dapatkan maklumat mengenai tanah asal kelahiran nenek moyang kita. Jika mereka merupakan peneroka awal dan penduduk asal kawasan tersebut, lebih mudah untuk mendapatkan maklumat mengenai mereka. Jika mereka dikatakan berasal daripada tempat lain, maka pergilah ke tempat tersebut untuk menanyakan penduduk tempatan terutamanya golongan tua jikalau ada di antara mereka yang merupakan waris nenek moyang kita. Analisis keadaan politik dan keadaan semasa ketika zaman itu yang mempengaruhi penghijrahan atau pekerjaan nenek moyang kita. Cara begini memerlukan usaha, masa, kewangan dan komitmen yang banyak, tetapi jika kita dapat menjumpai saudara jauh dan maklumat nenek moyang kita, ianya merupakan kepuasan yang tidak boleh diperoleh dengan harta benda.

7) Carian maklumat melalui internet dan media sosial. Cara ini merupakan cara yang paling mudah dan boleh dilakukan sekarang. Walau bagaimanapun, kebiasaannya maklumat tersebut amat sukar diperolehi terutamanya jika kita bukan daripada keturunan tokoh-tokoh tertentu. Walaupun begitu, kita boleh memulakan sendiri pencarian tersebut dengan membuat akaun Facebook, menulis blog, membuka akaun Geni (laman web salasilah), dan mencipta laman web yang memasukkan maklumat nenek moyang kita supaya mereka yang lain dapat menjejak salasilah keluarga yang sama.

Sekiranya tiada seorangpun nenek-moyang atau saudara-mara kita yang merekodkan salasilah, maka kitalah yang perlu memulakannya. Setelah mendapat semua maklumat salasilah yang diperlukan, maka bolehlah kita merekodkannya sebagai catatan bertulis sebagai rujukan pada masa akan datang. Dalam mencatat rekod berkenaan salasilah keluarga, terdapat beberapa langkah:

1) Memilih cara catatan. Catatan boleh dilakukan dengan tulisan tangan menggunakan pen di atas kertas yang bersaiz besar ataupun taip menggunakan komputer riba. Penulis mencadangkan supaya menaip di dalam komputer riba kerana simpanan di dalam komputer riba boleh dibaiki dan dicetak salinannya berulang kali. Kita boleh menaipnya menggunakan Microsoft Office Word atau Microsoft Office Excel. Walau bagaimanapun, sekiranya rangka salasilah kita besar kerana membabitkan keluarga yang ramai disebabkan masing-masing memiliki ramai anak, maka penulis mencadangkan rangka salasilah tersebut dirangka menggunakan perisian komputer Adobe Photoshop. Microsoft Word untuk catatan perincian segala maklumat manakala Adobe Photoshop pula ialah untuk rangka salasilah.

2) Merangka salasilah asas. Salasilah asas ialah keluarga yang hanya terdiri daripada ayah, ibu dan adik-beradik. Catatkan nama penuh, tarikh lahir dan tarikh meninggal dunia pada rangka salasilah tersebut. Boleh juga masukkan gambar mereka. Kemudian dalam catatan berasingan catatkan perincian mereka seperti tempat lahir, pendidikan, pekerjaan, tarikh perkahwinan dan tempat tinggal. Jika ayah atau ibu pernah berkahwin lain, maksudnya kita mempunyai ibu tiri atau ayah tiri dan adik-beradik tiri, maka masukkan sekali dalam rangka salasilah tersebut. Rangka dengan jelas supaya pembaca dapat mengetahui mereka berlainan ayah atau ibu. Adik-beradik tiri bermaksud seibu tetapi tidak sebapa. Adik-beradik yang berlainan ibu tetapi bapa yang sama tidak dipanggil adik-beradik tiri. Jika terdapat adik-beradik angkat, boleh juga masukkan nama mereka dalam rangka salasilah tersebut tetapi dengan garisan putus-putus untuk menunjukkan bahawa mereka tidak mempunyai pertalian darah. Rangka salasilah biasanya daripada atas ke bawah. Sekiranya kita dan adik beradik kita telah berkahwin masukkan nama pasangan dan anak-anak.

3) Merangka “batang pokok.” Penulis membahagikan rangka salasilah kepada tiga bahagian utama, iaitu batang pokok, dahan dan ranting. “Batang pokok” merupakan bahagian utama salasilah iaitu ayah, ibu, datuk dan nenek sebelah ayah dan ibu, moyang lelaki dan perempuan sebelah ayah dan ibu, buyut lelaki dan perempuan sebelah ayah dan ibu dan begitulah seterusnya. Ringkasnya, mereka adalah ibu bapa kepada nenek moyang kita. Mereka adalah orang-orang yang paling penting dimasukkan di dalam rangka salasilah. Catatkan segala maklumat berkenaan mereka yang kita boleh perolehi. Menurut Prof. Syed Naquib al-Attas, kebiasaannya, dalam satu abad, seramai empat generasi boleh dilahirkan iaitu anak sehingga ke moyang. Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian, terdapat juga individu dalam masyarakat Melayu dahulu yang mempunyai dua nama. Satu nama lahir yang diberikan oleh kedua ibu-bapanya, satu lagi nama panggilan. Ini kerana terdapat satu kepercayaan adat dalam masyarakat Melayu, bayi atau budak kecil boleh menunjukkan kesesuaian dengan nama yang diberikan kepadanya. Jika bayi atau budak kecil tersebut tidak sihat seperti demam berpanjangan, maka dipercayai bahawa nama tersebut tidak bersesuaian dengannya. Nama asal tersebut tetap akan dikekalkan dalam dokumen rasmi tetapi budak tersebut akan dipanggil dan dikenali dengan nama lain sehingga dewasa. Keadaan yang sama juga berlaku sekiranya budak tersebut dipelihara sebagai anak angkat. Keluarga angkat akan memberi nama yang lain kepada anak angkat tersebut tetapi nama asalnya tetap dikekalkan. Oleh itu, kita ada dapati ada dalam kalangan nenek moyang kita mempunyai dua nama, contohnya Ahmad @ Ali. Tiga perkara yang wajib ada pada carta salasilah ialah nama sebenar (sertakan sekali nama kedua / nama panggilan), tarikh kelahiran dan tarikh kematian.

4) Merangka “dahan”. “Dahan” merupakan adik beradik kepada ibu bapa kita, adik beradik kepada datuk dan nenek kita, adik beradik kepada moyang lelaki dan perempuan kita dan seterusnya. Ringkasnya, mereka merupakan ibu dan bapa saudara, datuk dan nenek saudara, moyang saudara dan seterusnya.

5) Merangka “ranting”. “Ranting” merupakan anak-anak dan keturunan adik beradik ibu dan ayah kita, keturunan adik beradik datuk dan nenek kita, keturunan adik beradik moyang kita dan seterusnya. Ringkasnya, perhubungan kita dengan mereka ialah sepupu, dua pupu, tiga pupu dan seterusnya. Biasanya, hubungan saudara yang lebih daripada dua pupu dianggap sebagai saudara jauh.

6) Penulis lebih suka membahagikan carta salasilah kepada empat bahagian berasingan iaitu jurai salasilah datuk sebelah ayah, nenek sebelah ayah, datuk sebelah ibu dan nenek sebelah ibu. Pembahagian sebegini dapat mengecilkan carta salasilah terutamanya jika melibatkan keluarga yang begitu ramai selain mudah menunjukkannya kepada saudara-mara yang berkaitan sama ada sebelah ayah atau ibu.

7) Mencetak carta dan catatan salasilah. Setelah selesai merangka sebuah carta salasilah yang diketahui dan catatan salasilah yang lengkap, tibalah masa untuk mencetaknya. Catatan salasilah boleh dicetak menggunakan kertas bersaiz A4 biasa dan dijadikan sebuah buku, manakala carta salasilah pula lebih sesuai dicetak menjadi ‘bunting’ atau ‘banner.’ Boleh juga carta salasilah yang besar dicetak atas sekeping kertas bebas asid bersaiz besar seperti A1 atau A0 dan dilaminasi (laminated) atau digulung dan disimpan di dalam sarung pelan (blueprint carrying case) seperti yang digunakan oleh arkitek. Semua cetakan tersebut sama ada dalam bentuk buku, ‘bunting,’ ‘banner,’ atau kertas besar yang dilaminasi perlu disimpan dan dipelihara daripada cuaca dan serangga perosak. Jangan gunakan sebarang clip besi atau stapler kerana karat besi akan mempengaruhi keadaan kertas. Untuk simpanan carta dan catatan salasilah asal yang disimpan di dalam komputer riba, adalah lebih baik membuat beberapa salinan dan menyimpannya di tempat-tempat yang lain seperti di dalam emel, DVD, pemacu keras (pen-drive) dan cakera keras mudah-alih (portable/external hard drive). Sentiasa kemaskini carta dan catatan salasilah sekiranya ada maklumat baharu. Bagi sesiapa yang memiliki kemahiran komputer, semua maklumat ini boleh dijadikan filem dokumentari yang menarik dan disimpan di dalam DVD.

Usahalah untuk menjejaki salasilah kita. Tujuan utamanya ialah untuk mengetahui asal usul diri kerana manusia akan hilang arah, bersifat sombong dan hidup dalam kejahilan sekiranya seseorang itu tidak mengetahui asal-usul dirinya. Lihat bagaimana nasib masyarakat Melayu di negara-negara Indo-China (Thailand, Kemboja, Vietnam) yang semakin hilang identiti dan sejarah mereka di bumi tersebut. Ibarat pokok, sekalipun dicantas semua daunnya dan ditebang dahan-dahannya masih boleh tumbuh semula daun-daunnya, tetapi jika pokok tersebut dimusnahkan akarnya walaupun tidak diusik daun-daunnya pokok tersebut akan mati. Akar dan batang pokok tersebut umpama identiti diri manusia. Tidak perlu ada nenek moyang daripada kalangan kerabat raja atau tokoh-tokoh masyarakat untuk mengkaji salasilah. Hasil usaha keras daripada penemuan-penemuan tersebut akan mendatangkan kepuasan dalam diri yang tidak mampu diperoleh melalui harta. Melalui hasil kajian latar belakang nenek moyang kita seperti pekerjaan mereka, kepakaran mereka, penghijrahan mereka, kedudukan mereka dan pengaruh mereka, kita akan mengetahui mengapa dan bagaimana sejarah keluarga boleh mempengaruhi keadaan kita pada masa kini. Kita tidak boleh memilih keluarga yang mana kita ingin dilahirkan di dunia ini, semuanya ketentuan Tuhan sejak azali, oleh itu kita wajib bersyukur kepada Tuhan atas nikmat kehidupan yang dikurniakan dan kita perlu menghargai jasa dan pengorbanan kedua-dua ibu bapa kita yang berjuang bersusah payah melahirkan dan membesarkan kita.

Jika nenek moyang kita adalah tokoh-tokoh ternama, janganlah berlagak sombong kerana tidak semestinya kita mewarisi ketokohan mereka, tetapi jadikan ketokohan nenek moyang kita sebagai motivasi harian kepada kita untuk mencapai kejayaan yang lebih baik di dunia dan di akhirat. Jika nenek moyang kita adalah orang-orang terhina dalam masyarakat, buktikan bahawa kita tidak mewarisi sifat buruk mereka, malah kita boleh jadi insan yang jauh lebih baik daripada mereka dan jadikan kisah mereka sebagai iktibar kepada diri sendiri dan anak cucu. Menyambung silaturrahmi dan mengeratkan ukhuwwah juga adalah salah satu tujuan utama dalam menjejak salasilah. Boleh jadi jiran sebelah rumah atau keluarga dari negara lain adalah saudara jauh kita yang kita tidak ketahui. Paling penting, sebagai umat Islam, sentiasa doakan ibu bapa dan nenek moyang kita yang muslim supaya diampunkan dosa mereka dan sejahtera di alam sana kerana salah satu amalan pahala yang tidak akan putus diterima oleh seseorang muslim walaupun beliau telah meninggal dunia ialah doa daripada anak-anaknya, warisnya, saudaranya dan sekalian kaum muslimin dan muslimat.

p/s: Artikel ini ditulis berdasarkan pengamatan, pengalaman peribadi penulis sendiri dan perkongsian ilmu daripada rakan-rakan penulis sepanjang usaha untuk menjejak salasilah keluarga penulis sendiri. Oleh itu, tiada rujukan daripada buku ilmiah atau artikel jurnal disertakan dalam artikel ini melainkan sebuah artikel daripada sebuah laman web yang disebutkan di atas. Rujuk al-Qur’an, hadith, Bible, Kitab Sulalatus-Salatin dan Tuhfat al-Nafis untuk mengetahui ayat dan kisah berkaitan. Berkenaan sumber daripada Prof. Syed Naquib al-Attas, penulis menghadiri syarahan beliau sekitar tahun 2015 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur. Maklumat berkenaan Arkib Negara Malaysia dan JPN di atas diperoleh oleh penulis daripada kedua-dua pihak tersebut. Rujuk Arkib Negara Malaysia Kuala Lumpur dan JPN Pusat untuk maklumat lebih lanjut dan untuk mengetahui sebarang perubahan polisi mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.