Kesultanan Riau-Lingga, Pusat Kegemilangan Institusi Keilmuan Dan Persuratan Melayu Pada Akhir Abad Ke-19 Dan Awal Abad Ke-20

2985
views
Sultan Riau pada 1880 bersama kerabat diraja

Tamadun Alam Melayu-Islam amat kaya dengan khazanah manuskrip-manuskripnya daripada manuskrip Aqa’id an-Nasafi yang dipercayai dikarang sekitar akhir abad ke-16 sehinggalah manuskrip-manuskrip Melayu yang dikarang pada awal abad ke-20. Terdapat puluhan ribuan buah manuskrip Melayu dalam pelbagai bidang keilmuan masih tersimpan dan terpelihara di Perpustakaan Negara Malaysia, Singapura, Indonesia bahkan di Eropah terutamanya di United Kingdom dan Belanda. Bangsa Melayu sememangnya bangsa yang berpengetahuan tinggi dan tidak lekang dengan penulisan-penulisan manuskrip. Pada akhir abad ke-19, Kesultanan Riau-Lingga mula muncul sebagai pusat perkembangan institusi keilmuan dan persuratan Melayu. Sebelum huraian lebih lanjut berkenaan perkara tersebut, penulis akan menerangkan serba ringkas kedudukan geografi dan sejarah berkenaan Kesultanan Riau-Lingga.

Bangunan Syarikat Percetakan al-Ahmadiah Press yang terletak di Jalan Sultan, Singapura.

Pengasasan Kesultanan Riau-Lingga

Jajahan takluk Kesultanan Riau-Lingga merangkumi gugusan kepulauan yang terletak di selatan Singapura dan juga selatan Selat Melaka. Gugusan kepulauan tersebut terdiri daripada Pulau Penyengat, Pulau Bintan, Pulau Lingga, Pulau Karimun Besar, Pulau Karimun Kecil, Pulau Singkep, Pulau Ungaran dan pulau-pulau kecil di sekitarnya. Kepulauan Riau-Lingga dahulunya pernah berada di bawah pemerintahan empayar Kesultanan Melaka dan kemudiannya diwarisi oleh Kesultanan Johor. Ada juga sumber menyebutnya sebagai Kepulauan Lingga-Riau. Apapun, Lingga dan Riau kedua-duanya pernah dijadikan pusat pentadbiran Sultan Johor dan Yang Dipertuan Muda semasa zaman empayar kerajaan Johor-Riau-Lingga-Pahang.

Peta kedudukan gugusan Kepulauan Riau-Lingga

Konflik yang menyebabkan bermulanya keretakan dalam Kesultanan Johor-Riau bermula selepas kemangkatan Sultan Mahmud Shah III pada tahun 1812. Baginda mempunyai dua orang putera iaitu Tengku Hussien (Tengku Long) iaitu putera yang sulung dan Tengku Abdul Rahman iaitu putera yang bongsu. Yang Dipertuan Muda Johor ketika itu iaitu Raja Ja’afar telah menggunakan pengaruhnya yang kuat dalam Kerajaan Johor (menurut Tuhfat al-Nafis, perlantikan Tengku Abdul Rahman adalah berdasarkan wasiat ayahandanya) dengan menabalkan Tengku Abdul Rahman sebagai Sultan Johor yang baharu dengan gelaran Sultan Abdul Rahman Muadzam Shah. Tindakan mengenepikan kedudukan Tengku Hussien sebagai pewaris takhta yang sepatutnya telah menyebabkan penentangan Tengku Hussien dan bonda tirinya, Raja Hamidah terhadap pertabalan tersebut. Walau bagaimanapun, usaha mereka tidak berjaya kerana pihak Belanda mengiktiraf pertabalan Sultan Abdul Rahman walaupun tanpa Regalia Diraja yang dilarikan oleh Raja Hamidah. Regalia Diraja tersebut akhirnya berjaya dirampas oleh pihak Belanda.

Atas pujukan daripada Temenggung Johor dan pihak Inggeris, Tengku Hussien bersetuju untuk ditabalkan sebagai Sultan Johor di Singapura dengan gelaran Sultan Hussein Shah. Dengan pertabalan tersebut, maka Kesultanan Johor-Riau ketika itu mempunyai dua orang sultan adik-beradik. Keadaan bertambah teruk apabila Inggeris dan Belanda menandatangani satu perjanjian di London pada 17 Mac 1824 yang membahagi-bahagikan negeri-negeri jajahan mereka di Timur. Mereka telah menetapkan bahawa Singapura dan negeri-negeri ke atas (utara) termasuklah Tanah Besar Johor adalah di bawah naungan Inggeris, manakala negeri-negeri di bawah (selatan) Singapura termasuklah Kepulauan Riau-Lingga berada dalam jajahan Belanda. Dalam pertukaran tersebut juga, pentadbiran negeri Melaka diberikan kepada Inggeris dan sebagai pertukarannya, Inggeris menyerahkan pentadbiran Bengkahulu kepada Belanda. Dengan termeterainya perjanjian tersebut, maka secara rasminya Kepulauan Riau-Lingga yang pernah menjadi pusat pentadbiran utama Kesultanan Johor berpecah dengan Kerajaan Johor.

Daripada peristiwa tersebut, terbentuklah satu Kesultanan baharu iaitu Kesultanan Riau-Lingga yang mana sultan pertamanya ialah Sultan Abdul Rahman Muadzam Shah, manakala Yang Dipertuan Mudanya yang pertama ialah Raja Ja’afar. Ini menandakan berakhirnya pemerintahan dinasti Yang Dipertuan Muda Bugis dalam Kesultanan Johor setelah enam orang Yang Dipertuan Muda Bugis pernah berpengaruh dalam kesultanan tersebut termasuklah Raja Ja’afar sendiri. Jawatan Yang Dipertuan Muda Bugis masih diteruskan dalam Kesultanan Riau-Lingga. Sementara Kesultanan Johor, takhta sultannya diteruskan kepada Sultan Hussien Shah yang bersemayam di Kampung Gelam, Singapura. Begitulah bagaimana kewujudan Kesultanan Riau-Lingga yang pernah menjadi sebahagian daripada Kesultanan Johor. Perubahan sempadan ini (Malaysia-Indonesia) berterusan sehingga kini.

Kesultanan Riau-Lingga memerintah selama 87 tahun sehinggalah penjajah Belanda memakzulkan Sultan Riau-Lingga yang terakhir, Sultan Abdul Rahman Muadzam Shah II, secara paksa pada tahun 1911. Walaupun terdapat usaha oleh kerabat diraja Riau-Lingga mendapatkan suaka daripada Kerajaan Uthmaniyyah dan Jepun, namun usaha tersebut tidak berjaya. Seramai lima orang sultan pernah memerintah kerajaan tersebut sepanjang zaman pemerintahan Kesultanan Riau-Lingga. Selepas pemansuhan kesultanan tersebut oleh penjajah Belanda, ramai kerabat diraja Riau-Lingga melarikan diri dan menetap di Singapura. Kepulauan Riau-Lingga dan Singapura berkembang sebagai pusat percetakan dan penerbitan karya-karya ilmiah terutamanya bidang persuratan dan kesusasteraan Melayu semasa zaman pemerintahan Kesultanan Riau-Lingga, bahkan legasi rantau tersebut sebagai pusat persuratan dan kesusasteraan Melayu diteruskan oleh waris-waris kerabat diraja Riau-Lingga walaupun selepas pemansuhan kesultanan tersebut.

Kesultanan Riau-Lingga sebagai pusat institusi keilmuan dan persuratan Melayu:

Kesultanan Riau-Lingga sememangnya amat dikenali sebagai pusat intelektual, kebudayaan, persuratan dan kesusasteraan Melayu-Islam di nusantara pada abad ke-19 M. Prof. Dr. Farid M. Onn, seorang sarjana dalam bidang linguistik dari Universiti Kebangsaan Malaysia pernah menulis tentang zaman kegemilangan Kerajaan Riau-Lingga:

“Apa yang telah dihuraikan secara ringkas di atas membayangkan suatu bibit kegemilangan peradaban persuratan Melayu-Islam, yang kalau kita andaikan sebagai sebentuk cincin berlian dikelilingi intan permata yang bergemerlapan, kita dapat merasakan kegemilangan pusat kebudayaan dan persuratan di Johor-Riau pada abad ke-19 M itu sebagai berlian yang memancar di kelilingi permata kegemilangan tradisi Melayu-Islam di tempat-tempat lain, seperti Aceh, Palembang, Brunei, Banjarmasin, Pattani, dan Melaka. Dengan kata lain, Kerajaan Johor-Riau ketika itu memainkan peranan amat penting menjadi pusat serta nadi inspirasi kepada kegiatan-kegiatan bahasa dan persuratan Melayu-Islam di beberapa daerah lain di Kepulauan Nusantara.”

“Kepentingan dan kegemilangan Johor-Riau terus menjadi kunci keteguhan pancaran dunia Bahasa Melayu yang secara aktif merealisasikan pemupukan bahasa Melayu sebagai bahasa kesatuan di kepulauan Melayu. Tegasnya, bahasa Melayu Johor-Riau yang digunakan bagi menghasilkan karya-karya dan penulisan-penulisan lain itu menjadi begitu dikenali, dan dengan sendirinya, bahasa tersebut makin meluas penggunaannya, bukan sahaja tertumpu di daerah pesisir Pulau Sumatera Barat dan di Semenanjung Tanah Melayu, bahkan juga ke beberapa daerah di Pulau Jawa, Kalimantan dan Sulawesi, sehinggalah ke Patani.”

Di Riau-Lingga sendiri semasa akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, terdapat beberapa perpustakaan dan syarikat penerbitan dan percetakan karya-karya ilmiah yang dibangunkan oleh kaum kerabat diraja Riau-Lingga. Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga terakhir iaitu Raja Muhammad Yusuf sendiri mempunyai sebuah perpustakaan yang tersimpan pelbagai kitab dalam bahasa Arab yang dipesannya dari Mesir dan India dan digunakan oleh para pelajar Madrasah al-Mu’allimin al-‘Arabiyyah di Pulau Penyengat. Pada tahun 1880 M bersamaan tahun 1298 H, Raja Ali Kelana, Raja Khalid Hitam dan pelajar-pelajar Sheikh Ahmad al-Fatani di Riau telah menubuhkan sebuah organisasi Islam bernama Jami’ah ar-Rusydiyyah atau Rusydiyyah Klab yang aktif menulis dan menerbitkan banyak buku-buku Islam. Syed Sheikh al-Hadi, salah seorang tokoh Gerakan Kaum Muda yang terkenal di Tanah Melayu pernah dilantik menjadi ketua kelab tersebut.

Al-Maktabah wa al-Matba’ah al-Ahmadiyyah atau al-Ahmadiyyah Press pula merupakan sebuah syarikat percetakan yang terkenal di Singapura yang ditubuhkan pada hari Jumaat, 3 Disember 1920 M, bersamaan 20 Rabi’ul Awwal 1339 H. Ianya merupakan cawangan daripada Syarkah al-Ahmadi & Co. Midai yang ditubuhkan pada tahun 1906 M oleh golongan intelektual kaum kerabat diraja Riau-Lingga seperti Raja Haji Ahmad ibni Raja Haji Umar Tengku Endut, Raja Haji Ali ibni Raja Muhammad (Tengku Nong), Raja Haji Idris ibni Tengku Endut, Raja Haji Ja’afar ibni Tengku Endut dan Raja Haji Muhammad ibni Raja Ali. Sepanjang syarikat percetakan tersebut beroperasi, banyak karya-karya ilmiah hasil tulisan kaum kerabat diraja Riau-Lingga telah dicetak dan diterbitkan.

Selain itu, terdapat ramai juga cendikiawan dalam kalangan kaum kerabat diraja Riau-Lingga seperti Raja Ali Haji ibni Raja Ahmad. Antara karyanya yang masyhur dalam bidang sejarah ialah Kitab Tuhfat al-Nafis. Sebenarnya Kitab Tuhfat al-Nafis pada mulanya ditulis oleh ayahandanya, Raja Ahmad Engku Haji Tua. Ianya dikenali sebagai Tuhfat al-Nafis versi pendek. Kemudian, karya agung tersebut ditambah, dibaikpulih dan diperbaharui oleh beliau dan ini mewujudkan Tuhfat al-Nafis versi panjang. Tuhfat al-Nafis (atau lebih tepat ‘at-Tuhfah an-Nafisah’) dalam bahasa Arab bermaksud ‘Hadiah yang berharga (The Precious Gift)’. Bagi penulis, mungkin ‘hadiah’ tersebut merupakan ‘sejarah warisan’ nenek moyang kepada generasi akan datang supaya ianya sentiasa diingati dan dijadikan pengajaran. Kitab sejarah yang dikarang pada tahun 1860-an ini secara terperincinya menceritakan sejarah perjalanan pemerintahan dinasti Yang Dipertuan Muda Bugis dalam Kesultanan Johor dan Riau-Lingga pada abad ke-18-19 M menurut perspektif pihak Bugis. ‘Silsilah / Salasilah Melayu dan Bugis’ (1860-an) juga merupakan karya sejarahnya yang amat dikenali.

Dalam bidang bahasa, karya agungnya yang paling masyhur ialah ‘Kitab Pengetahuan Bahasa’ yang ditulis pada tahun 1858 M / 1275 H di Riau tetapi percetakannya dilakukan di Singapura oleh al-Ahmadiah Press kira-kira 70 tahun kemudian iaitu pada tahun 1929 M / 1348 H. Walaupun begitu, ejaannya masih dikekalkan dalam bentuk asal. Karya agung ini merupakan kamus monolingual Bahasa Melayu bertulisan jawi. Di bawah judul utama kitab itu diberi keterangan “iaitu Kamus Loghat Melayu, Pahang, Johor dan Riau-Lingga.” Raja Ali Haji tidak sempat menyiapkan karya tersebut secara keseluruhan, hanya sampai huruf “cha” sahaja iaitu abjad Jawi yang keenam. Ia merangkumi 465 halaman dan 32 halaman awalnya mengandungi keterangan tentang tatabahasa Arab yang cuba diterapkan dalam Bahasa Melayu.

Selain itu, ‘Kitab Bustan al-Katibin li as-Sibyan al-Muta’allimin’ atau hanya dipanggil ‘Bustan al-Katibin’ juga merupakan karyanya yang masyhur dalam bidang bahasa. Kitab ini ditulis di Riau pada tahun 1850 M / 1267 H. Judul kitab ini dari segi bahasanya bermaksud ‘Taman Jurutulis bagi Kanak-Kanak yang Hendak Belajar’. Kitab ini merupakan antara ensiklopedia panduan tatabahasa Melayu terawal ditulis.

Buku ‘Syair Gurindam Dua Belas’ juga merupakan salah satu karya Raja Ali Haji yang terkenal dalam bidang kesusasteraan. Karya ini dikarang pada tahun 1847 M / 1264 H dengan menggunakan tulisan Jawi. Sesuai dengan judulnya, karya ini mengandungi dua belas fasal yang kesemuanya berkaitan dengan persoalan ibadat, peri kehidupan perseorangan, kewajipan seorang raja, kewajipan anak kepada orang tuanya, tugas orang tua terhadap anaknya, dan tatacara hidup bermasyarakat.

Dalam bidang politik dan ketatanegaraan pula, antara karya agung Raja Ali Haji yang terkenal dalam bidang ini ialah ‘Thamarat al-Muhimmah Diyafah li al-Umara’ wa al-Kubara’ li Ahl al-Mahkamah’ atau hanya dipanggil ‘Thamarat al-Muhimmah’. Judul tersebut bermaksud ‘Perkara-Perkara Penting yang Perlu Diperhatikan Oleh Para Pemerintah dan Para Pembesar Sebagai Ahli Mahkamah.’ Karya ini ditulis pada tahun 1857 M, tetapi dicetak pada tahun 1886 M iaitu selepas kira-kira 13 tahun pengarangnya meninggal dunia, di Pejabat Kerajaan Lingga. Sebagai seorang bangsawan dan penasihat kepada pemerintah, beliau telah menyeru supaya golongan itu membaiki diri mereka agar dapat menjalankan pentadbiran dengan baik. Karya yang mengandungi tiga bab dan 17 fasal ini sebenarnya ditujukan kepada golongan atasan termasuk raja, menteri dan hakim mahkamah. Karya ini dijadikan salah satu rujukan penting dalam penggubalan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 oleh Sultan Sir Abu Bakar.

Karya Raja Ali Haji yang bertajuk ‘Muqaddimah fi Intizam al-Waza’if al-Mulk’ pula merupakan risalah yang dihadiahkannya kepada Yang Dipertuan Muda Raja Ali ibni Raja Ja’afar sebagai panduan dan nasihat memerintah kepada beliau. Risalah ini diterbitkan oleh Pejabat Kerajaan Lingga pada tahun 1887 M / 1304 H, kira-kira 14 tahun pengarangnya meningkat dunia.

Raja Ali Haji juga ada menulis beberapa karya syair yang berunsurkan keagamaan seperti ‘Syair Suluh Pegawai atau Syair Hukum Nikah’, ‘Syair Siti Sianah’, dan ‘Syair Sinar Gemala Mastika Alam’. ‘Syair Suluh Pegawai’ merupakan penerangan lengkap tentang selok-belok perkahwinan dalam syariat Islam, tetapi dalam bentuk syair. Walaupun terdapat banyak kitab-kitab fiqh yang terkenal yang menerangkan hukum nikah kahwin, tetapi bentuk syair adalah cara paling mudah dan menghiburkan untuk menyampaikan pengajaran kepada para pembaca dan pendengar. Jika ‘Syair Suluh Pegawai’ lebih memberi nasihat kepada kaum lelaki, ‘Syair Siti Sianah’ pula memberikan nasihat kepada kaum wanita, yang bukan sahaja menyentuh bab perkahwinan tetapi bab-bab syariat seperti wuduk, solat, haid, puasa dan zakat. ‘Syair Gemala Mastika Alam’ pula menceritakan tentang kisah maulud nabi S.A.W.

Banyak lagi karya-karya Raja Ali Haji dalam pelbagai bidang. Bukan setakat beliau sahaja, malah ahli keluarganya juga ramai penulis seperti Raja Ahmad ayahandanya yang mengarang kitab Tuhfat al-Nafis (versi pendek), adinda Raja Ali Haji yang bernama Raja Salehah yang mengarang ‘Syair Sultan Abdul Muluk’, Raja Safiyah, puteri Raja Ali Haji yang mengarang ‘Syair Kumbang Mengindera’, Raja Hasan, putera Raja Ali Haji yang mengarang ‘Syair Burung’, Raja Kalthum, seorang lagi puteri Raja Ali Haji yang mengarang ‘Syair Saudagar Bodoh’, dan Raja Khalid Hitam, cucunda Raja Ali Haji yang mengarang ‘Syair Perjalanan Sultan Lingga.’ Ini membuktikan mereka adalah keluarga intelektual.

Raja Ali Kelana ibni YDPM Raja Muhammad Yusuf al-Ahmadi juga merupakan salah seorang kerabat Yang Dipertuan Muda yang banyak menyumbangkan jasa mengembangkan bidang persuratan Melayu-Islam di Riau-Lingga. Beliau merupakan Timbalan Yang Dipertuan Muda terakhir sebelum Kesultanan Riau-Lingga dimansuhkan oleh penjajah Belanda. Beliau juga merupakan seorang penulis yang aktif. Antara hasil karyanya ialah:

1) ‘Pohon Perhimpunan Pada Menyatakan Peri Perjalanan’ yang dikarang pada tahun 1896 M / 1313 H. Ianya merupakan laporan perjalanan Raja Ali Kelana bersama wakil Belanda membuka Pulau Tujuh. Dicetak oleh Maktabah wa al-Matba’ah ar-Riauwiyyah, Pulau Penyengat pada tahun 1897 M / 1315 H.

2) ‘Perhimpunan Pelakat’ yang dikarang pada tahun 1899 M / 1316 H. Kandungannya mengenai peraturan yang telah dimasyarakatkan antara kerajaan Riau-Lingga dengan wakil Belanda daripada tahun 1286 – 1307 H. Dicetak oleh Maktabah wa al-Matba’ah ar-Riauwiyyah, Pulau Penyengat pada tahun 1307H.

3) ‘Bughyah al-‘Ani fi Hurufi al-Ma’ani’ yang tidak diketahui tarikh penulisannya. Karya ini membicarakan mengenai tatabahasa Bahasa Melayu. Dicetak oleh Matba’ah al-Ahmadiyyah pada tahun 1922 M / 1341 H.

4) ‘Rencana Mudah Pada Mengenal Diri yang Indah’ yang dikarang pada tahun 1926 M / 1344 H. Kandungannya mengenai ilmu tasawwuf dalam bentuk soal jawab. Dicetak oleh Matba’ah al-Ahmadiyyah pada tahun 1344 H.

5) ‘Kesempurnaan yang Lima Bagi Islam Menerima’ yang dikarang pada tahun 1926 M / 1344 H. Kandungannya berkenaan ilmu Fardhu Ain. Dicetak oleh Maktabah wa Matba’ah al-Ahmadiyyah pada tahun 1345 H.

6) ‘Kumpulan Ringkas; Berbetulan Lekas Pada Orang Yang Pantas; Dengan Fikiran yang Lintas’. Ianya merupakan himpunan syair tentang sejarah.

Selain itu, Rusydiyyah Klab yang ditubuhkan oleh Raja Ali Kelana, Raja Khalid Hitam dan para pelajar Sheikh Ahmad al-Fatani banyak mencetak dan menerbitkan karya-karya agama Islam dan ajaran-ajaran dalam Tareqat Naqsyabandiyyah. Antara karya mereka ialah :

1) ‘Risalah al-Fawa’id al-Wafiat fi Syarah Ma’ana at-Tahiyyah’ yang dicetak oleh Matba’ah al-Ahmadiyyah, Pulau Penyengat pada tahun 1894 M / 1312 H. Secara umumnya, risalah setebal 16 halaman ini membincangkan tentang makna di sebalik terjemahan bacaan tahiyyat dalam solat.

2) ‘Kaifiyyah az-Zikr ‘ala Tariqah an-Naqsyabandiyyah’ yang mengandungi zikir-zikir tareqat tersebut dan salasilah tareqat tersebut di Riau.

3) ‘Khutbah Jumaat.’

4) ‘Kanun Riau-Lingga.’

Begitu banyaknya hasil-hasil karya ilmiah yang dihasilkan oleh kaum kerabat Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga. Tetapi, bukan kaum kerabat sahaja, malah beberapa orang Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga sendiri turut menyumbangkan beberapa karya ilmiah seperti Yang Dipertuan Muda Raja Ali ibni Raja Ja’afar (YDPM kelima) yang mengarang ‘Syair Nasihat’. Yang Dipertuan Muda Raja Haji Abdullah (YDPM kesembilan) turut mengarang beberapa karya seperti ‘Syair Madi’, ‘Syair Kahr Masyhur’, ‘Syair Syarkan’, dan ‘Syair Encik Dosaman’.

Menurut Raja Hamzah Yunus, seorang sejarawan dan budayawan Riau yang juga merupakan Ketua Pusat Maklumat Kebudayaan Melayu-Riau, dalam satu tulisannya menyatakan bahawa Bahasa Melayu Riau yang berkembang di Kepulauan Riau-Lingga semasa zaman pemerintahan Kesultanan Riau-Lingga terutamanya bahasa lisan di istana-istana Lingga adalah puncak bahasa percakapan orang Melayu ketika itu. Sastera lisan dan bertulis berkembang pesat di kepulauan tersebut. Bersyair, pembacaan sejarah dan hikayat, berzanji, maulud-marhaban, zikir, muzakarah dan perbincangan agama merupakan kegiatan awam yang biasa dilihat dalam kalangan masyarakat awam Riau-Lingga ketika itu.

Oleh kerana kekuatan kedudukan Bahasa Melayu di Riau-Lingga, maka Republik Indonesia telah mengambil keputusan memilih satu sahaja daripada ratusan dialek bahasa masyarakat pribuminya untuk dijadikan sebagai bahasa kebangsaannya, dan Bahasa Melayu Riau telah terpilih dan diikrarkan dalam suatu upacara Sumpah Pemuda pada tahun 1928 M. Dalam Kongress Bahasa Indonesia yang diadakan di Medan pada tahun 1954, sekali lagi rakyat Indonesia melafazkan “bahawa bahasa asal Indonesia ialah Bahasa Melayu, dasar Bahasa Indonesia ialah Bahasa Melayu, yang disesuaikan dengan pertumbuhannya dalam masyarakat.” Walaupun ketika Sumpah Pemuda 1928 itu, penutur Bahasa Melayu belum mencapai 15 % daripada jumlah kira-kira 45 juta orang rakyat, namun penerimaannya secara spontan, dan pembinaan serta perkembangannya yang amat mengagumkan, sehingga Bahasa Melayu tersebut atau dinamakan sebagai Bahasa Indonesia menjadi bahasa politik dan bahasa perjuangan untuk menuntut kemerdekaan.

Walaupun Kesultanan Riau-Lingga telah dimansuhkan oleh penjajah Belanda pada tahun 1911 M, tetapi legasi kaum kerabat diraja Riau-Lingga yang mereka tinggalkan berupa hasil-hasil persuratan dan kesusasteraan Melayu-Islam tetap diteruskan oleh badan-badan ilmiah yang ditubuhkan oleh mereka seperti Perpustakaan Yang Dipertuan Muda al-Ahmadi, Rusydiyyah Klab, Matba’ah ar-Riauwiyyah, Matba’ah al-Ahmadiyyah di Pulau Penyengat dan al-Ahmadiah Press di Singapura. Badan-badan tersebut giat menghasilkan tokoh-tokoh penulis Riau yang berkualiti seperti Abu Muhammad Adnan, H. Ibrahim, Sayyid Syarif Abdullah az-Zawawi, Raja Aisyah binti Sulaiman, Raja Muhammad Said bin Muhammad Tahir, Badriah binti Muhammad Tahir, Raja Jumaat bin Muhammad Said, Haji Ja’afar bin Abu Bakar Lingga, Muhammad Husin al-Riauwi dan ramai lagi.

(PERHATIAN: Sebahagian besar isi kandungan artikel ini adalah perkongsian ringkasan yang diambil daripada isi kandungan buku latihan ilmiah Sarjana Muda penulis sendiri. Untuk mengetahui lebih lanjut dan rujukan penuh berkenaan tajuk ini, rujuk latihan ilmiah tersebut di Universiti Malaya Kuala Lumpur).

Rujukan:

Raja Ali Haji, diselia oleh Virginia Matheson Hooker, Tuhfat al-Nafis, Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1998.

Muhammad Hafiz Samsudin, “Sejarah Pengaruh Dinasti Yang Dipertuan Muda Bugis dalam Kesultanan Johor dan Riau-Lingga Pada Abad ke-18-19 M,” Latihan Ilmiah Ijazah Sarjana Muda seliaan Dr. Nurulwahidah Fauzi, Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2013.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here