Dalam artikel lepas, kita sudah berbicara panjang lebar tentang definisi buli, beza buli dengan ragging, jenis buli dan apa punca mereka menjadi pembuli. Kita sangka buli ini bersifat mudah seperti ABC tetapi hakikatnya, ia sebenarnya jauh lebih rumit dan memberi kesan buruk bersifat jangka panjang. Dalam siri terakhir buli, saya bukan saja akan sentuh kesan buli kepada mangsa dan pelaku tetapi juga beberapa tragedi dan kaedah menangani gejala buli.

Siapa sangka, jika gejala buli ini dibenarkan berleluasa untuk jangka masa panjang, mangsa mengalami masalah Post Traumatic Stress Disorder (PTSD), masalah psikologi yang dialami veteran-veteran perang. Walaupun secara umum, kita semua tahu PTSD berlaku bila mana si penghidap mengalami satu peristiwa besar yang mengancam nyawanya, berdasarkan definisi terbaru Diagnostic and Statistic Manual, Complex PTSD boleh juga berlaku sekiranya si penghidap mengalami siri peristiwa kecil tetapi berterusan seperti buli. Analisis menunjukkan bila masalah buli berlaku, si penghidap merasakan diri mereka tidak berdaya dan terperangkap serta tidak tahu apa solusi terbaik untuk keluar. Dan ianya boleh menjadi lebih buruk bila mana penjaga, ibu bapa atau guru bercerita atau enggan bertindak atas alasan kejadian tersebut hanya akan menguatkan fizikal si penghidap.

Selain PTSD, mangsa buli turut berpotensi mengalami sindrom seperti pengasingan diri, enggan hadir ke sekolah atau universiti, kemerosotan prestasi pelajaran, masalah tidur, kemurungan, panas baran, terlalu risau dan keinginan untuk membunuh diri. Bagi yang membaca, anda mungkin kata semua sindrom ini adalah mustahil tetapi tanyalah sesiapa yang pernah mengalaminya, apakah mereka juga ada tanda-tanda sebegini? Saya teringat ada satu insiden semasa di sekolah rendah, saya dibuli sehingga ke satu tahap saya tidak mahu datang ke sekolah. Ini bukan khayalan tetapi tanda-tanda ini dikenalpasti oleh pakar-pakar psikologi bertauliah. Pendek kata, semua tanda yang dinyatakan ini betapa besar kerosakan yang dilakukan si pembuli kepada mangsanya sehingga merosakkan potensi individu tersebut untuk jangka masa panjang. Kerosakan ini bukan saja dari segi potensi tetapi juga kerugian dari sudut ekonomi dan sosial individu tersebut dan negara. Dan anda masih kata buli itu bersifat remeh?

Bila bicara tentang tragedi yang berlaku kerana buli, sebenarnya terlalu banyak insiden yang berlaku di luar sana. Cuma kita sama ada masih bersikap acuh tak acuh atau masih terikat stigma budaya berkenaan buli. Begini sajalah, anda ada adik, anak atau anak saudara berusia 13 tahun? Dan anda mengasihi mereka seperti menatang minyak yang penuh. Namun, bolehkah anda bayangkan bahawa anak tersebut, insan yang tidak berdosa itu mengambil nyawanya sendiri kerana tidak tahan dibuli? Ini bukan cerita imaginasi tetapi tragedi yang dialami Mike dan Pam Urry selepas anak mereka, Steven membunuh diri kerana tidak tahan dibuli. Sementara Amanda Todd, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun membunuh diri atas sebab sama. Sebulan sebelum kejadian tersebut berlaku, mendiang memuatnaik kisahnya dalam video berdurasi sembilan minit bertajuk Amanda Todd’s Story: Struggling, Bullying, Suicide and Self-Harm di YouTube. Di Malaysia sendiri, Allahyarham Zulfarhan dan mendiang Nhaveen mati akibat buli. Berapa ramai lagi manusia jadi seperti mangsa-mangsa yang saya nyatakan di sini sebelum kita akhirnya sedar buli tidak membawa apa-apa kecuali kemudaratan?

Gejala buli bukan saja membawa kerosakan kepada mangsanya tetapi juga kepada si pembuli itu sendiri. Jika tidak didakwa atas tuduhan jenayah, mereka berhadapan potensi cemuhan masyarakat selain ancaman daripada mangsa mereka yang bertindak balas. Ini bukan khayalan tetapi ia benar-benar berlaku. Pada tahun 1999, dua orang pelajar Sekolah Tinggi Columbine menembak mati 13 orang pelajar dan guru serta mencederakan 23 orang pelajar. Bagi kes Allahyarham Zulfarhan dan mendiang Nhaveen, berapa ramai yang diheret ke muka pengadilan atas dakwaan bunuh dan penderaan? Kerana turutkan rasa, sudahlah masa hadapan tergadai begitu saja. Negara tidak dapat memanfaatkan kebijaksanaan, kemahiran dan umur mereka untuk pembangunan dan kemajuan untuk dekad-dekad seterusnya. Sementara bagi keluarga pula, mereka terpaksa menanggung aib yang perlu dihadapi untuk tahun-tahun mendatang. Dan anda masih kata buli itu bersifat baik?

Jika anda merasakan diri anda dibuli, terdapat beberapa langkah perlu diambil:

1. Jika anda berada dalam situasi anda mungkin dibuli, segera jauhkan diri daripada situasi tersebut. Percayalah, bila anda melakukannya, si pembuli atau kumpulan pembuli tidak punya alasan untuk membuli atau mendekati diri anda.

2. Jika perlu, ambil kelas seni mempertahankan diri seperti silat, taekwando atau karate. Bila anda ada asas seni mempertahankan diri, anda mampu menangani ancaman fizikal oleh si pembuli atau kumpulan pembuli. Selain itu, ia juga menyuntik keyakinan diri dalam kehidupan seharian.

3. Beritahu guru atau kaunselor tentang situasi yang dialami anda. Selagi anda tidak menyatakan diri anda mangsa buli, bagaimana mereka dapat membantu anda. Tidak perlu takut dengan label kaki report atau pembodek cikgu sebab pada akhirnya, anda melakukannya kerana anda bimbang keselamatan diri sendiri dan orang lain. Dan siapa tahu, dengan aduan tersebut, anda sebenarnya mewujudkan suasana sekolah yang lebih baik.

4. Jika anda merasakan anda dibuli secara dalam talian, laporkan terus kepada pihak berkuasa atau pentadbir laman sesawang. Walaupun tindakan ini tidak menghentikan terus serangan, sekurang-kurangnya anda bersikap tegas dan enggan tunduk kepada pembuli-pembuli ini. Dan jika ada rekod menunjukkan mereka mengugut atau mengancam anda, mereka boleh ditahan dan didakwa di mahkamah atas dakwaan mengugut.

5. Buat tak endah saja kelompok sebegini terutama pembuli dalam talian. Ini kerana bila anda berbuat demikian, mereka menjadi kelu dan tidak dapat berbuat apa-apa kerana pada anda, tindakan dan kata-kata mereka tidak akan melukakan anda.

6. Dapatkan sokongan daripada rakan-rakan. Jika kita bergerak dalam berkumpulan, peluang kejadian buli berlaku akan berkurangan secara drastik. Ini kerana bagi pembuli, jika mereka tetap melakukannya, sudahlah perbuatan mereka disaksikan ramai orang dan jika ia sampai ke tangan guru disiplin atau pensyarah, peluang mereka untuk kekal amat tipis.

7. Bagi ibu bapa, jika mengesyaki anak anda terlibat dalam gejala buli, adakan sesi perbincangan yang jujur dan terbuka dengan mereka. Perkara terakhir yang perlu dihadapi anda ialah anak anda berahsia berkenaan perkara ini dan enggan bercerita dengan sesiapa.

8. Ibu bapa juga perlu tahu selok-belok laman media sosial untuk elak gejala buli terutama buli secara dalam talian. Hari ini, golongan remaja menggunakan laman media sosial secara terbuka tanpa memikirkan kesan atau akibat di kemudian hari. Sekiranya anda tahu berkenaan ini, sekurang-kurangnya anda boleh mengambil tindakan proaktif bagi membantu anak anda tidak lagi dibelenggu oleh gejala buli.

Sumber:

1. Columbine School Shooting: When Bullying Goes Too Far. https://nobullying.com/columbine-school-shooting/

2. Hewitt, Jonathan. (2012). His Name Was Steven: A 13-Year Old Victim of Bullycide. http://www.huffingtonpost.com/jonathan-hewitt/bullying_b_1968592.html

3. Klik Dengan Bijak. www.klikdenganbijak.my

4. Babbel, Susanne. (2011). Child Bullying’s Consequence: Adult PTSD. https://www.psychologytoday.com/blog/somatic-psychology/201103/child-bullyings-consequence-adult-ptsd


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply