Kes Aneh Kim Whim: Wanita Yang Terpadam

7032
views

6 Oktober 1962, seorang kanak kanak perempuan yang berumur 9 tahun sedang dikejarkan ke hospital dengan cemas. Dia mengalami sesak nafas, batuk dan demam yang sangat teruk. Setibanya di hospital, paramedik cuba untuk memberikan rawatan awal untuk menstabilkan keadaan anak gadis ini.

Hasil rawatan awal menunjukkan kanak kanak ini menghidapi jangkitan bakteria Staphylococcus aureus. Namun, bukan di situ penamat diagnosis penyakit yang dihidapi kanak kanak ini (yang baru mencecah tinggi 132cm). Kaji selidik terhadap darahnya menunjukkan sel darah putihnya berada pada tahap jauh di bawah paras normal.

Hal ini membuatkan kanak kanak ini terdedah kepada jangkitan, kerana sistem imun badan tidak mampu untuk melawan pathogen. Penghasilan sel darah putih tidak berjalan lancar seperti normal. Ini merupakan kes pertama bagi penyakit myelokathexis; penyakit yang mana paras sel darah putih di dalam aliran darah kurang daripada paras normal sejak lahir. Punca penyakit diklasifikasikan sebagai idiopatik; iaitu tidak mempunyai punca yang jelas.

Pagi 2014,

seorang wanita bernama Kim Whim mengejutkan 2 anak perempuannya, masing masing berumur 23 dan 21 tahun. Kim Whim nekad dengan keputusan yang telah dibuatnya. Dia harus bergerak cepat. Temu janji telah dibuat.

Setelah mereka semua bersiap sedia, Kim Whim memandu dan membawa anak anaknya ke National Institute of Health (NIH). Ketibaan mereka disambut beberapa pegawai bertugas dan membawa mereka terus ke makmal NIH.

Kim Whim telah membuat temu janji untuk meminta saintis saintis di NIH untuk memeriksa dia dan kedua dua anaknya. Kedua dua anaknya menghidap penyakit yang membuatkan kulit mereka ditumbuhi ketumbuhan. Hasil ujian lanjut menunjukkan mereka mempunyai keadaan panleukopenia dan hypogammaglobulinemia (kekurangan kesemua jenis gamma globulin, termasuk antibodi yang bertanggungjawab dalam sistem imun). Simptom ini merupakan simptom penyakit WHIM (warts, hypogammaglobulinemia, immunodeficiency dan myelokathexis).

Kedua dua anak Kim mempunyai simptom sama yang pernah berlaku kepada kanak kanak berumur 9 tahun pada 1962. Kejadian ini tidaklah sesuatu yang pelik, kerana hasil soal selidik selanjutnya mendapati bahawa Kim merupakan kanak kanak daripada kes tahun 1962 itu. Namun, apa yang peliknya ialah, Kim langsung tidak menunjukkan walau satu pun tanda tanda ataupun simptom simptom yang jelas tentang penyakit yang pernah dihidapinya. Malah, mengikut keterangan Kim, dia sudah sembuh untuk tempoh masa selama 20 tahun.

Hal ini merupakan sesuatu yang sangat pelik, kerana adalah agak mustahil untuk penyakit misteri ini hilang begitu sahaja. Malah ia merupakan penyakit yang diwarisi. Adakah Kim mempunyai saka dan benda itu diwariskan kepada anak anaknya?

NIH akhirnya mengambil keputusan untuk menghapuskan Kim dan memadam beliau daripada kehidupan masyarakat atas kerana kebimbangan NIH bahawa berkemungkinan besar Kim merupakan seorang alien.

Okay, okay maaf. Daripada bahagian saka itu cerita ini sudah lari sebenarnya. Izinkan saya bergurau sebentar ya. Tetapi kehairanan saintis NIH terhadap keadaan terkini Kim memang tiada keraguan keatasnya. Kerana untuk penyakit WHIM sembuh begitu sahaja, bukanlah satu perkara yang mudah untuk diterima para pengkaji yang telah lama berkecimpung dalam kajian penyakit WHIM.

Sebelum saya meneruskan cerita ini, adalah penting (rasanya) untuk saya menjelaskan sesuatu fakta yang saya sengaja sembunyikan untuk menyedapkan cerita. Nama sebenar Kim Whim di dalam cerita ini tidak pernah diketahui, kerana di dalam jurnal dan laporan kajian semua merujuk Kim sebagai pesakit WHIM-09. Namun Jennifer Doudna di dalam bukunya yang bertajuk “A Crack In Creation” merujuk kepada pesakit ini dengan nama Kim. Jadi untuk memudahkan cerita saya mengambil keputusan untuk mengikut jejak langkah Doudna untuk mengekalkan nama Kim, ditambah dengan nama penyakit sebagai nama akhir watak ini.

Okay sambung cerita. Kim yang kini berumur 58 tahun menyatakan bahawa beliau sudah bebas daripada penyakit WHIM selama 20 tahun. Ini bermakna penyakit Kim sudah sembuh sejak beliau berumur 38 tahun.

Gambar : Kanan merupakan tangan Kim (WHIM-09) menunjukkan tangan dan kulit yang bebas daripada ketumbuhan. Manakala kiri menunjukkan ketumbuhan pada tangan anaknya yang berumur 23 tahun (WHIM-11). Ketumbuhan pada anaknya yang berumur 21 tahun (WHIM-10) tidak ditunjukkan. Gambar hak milik PubMed Central.

Tidak seperti tahun 1962, kini, penyakit ini dinamakan WHIM dan tidak lagi dikategorikan sebagai idiopatik. Hal ini demikian kerana punca penyakit ini dapat ditentukan terhasil daripada mutasi keatas beberapa gen. Namun, mutasi terhadap gen CXCR4 merupakan faktor utama yang menyumbang kepada kejadian penyakit WHIM. Ketumbuhan tersebut terhasil daripada jangkitan virus papilloma manusia (HPV).

Saintis saintis di NIH mengambil sampel sel daripada badan Kim dan menjalankan pembacaan genom terhadapnya. Hasil bacaan genom Kim menunjukkan satu kejadian yang lebih pelik daripada fakta bahawa Kim telah sembuh. Mutasi kepada gen CXCR4 masih lagi wujud dalam sel somatik Kim, namun, gen CXCR4 yang termutasi dalam sel darah putih Kim TELAH HILANG! Ia seakan akan dipadam daripada kewujudan.

Gambar : Model 3D protein CD184, protein yang akan dihasilkan apabila gen CXCR4 diterjemahkan. Gambar hak milik S. Jähnichen.

Kim merupakan contoh mozaik genetik, yang mana sesuatu hidupan mempunyai 2 ataupun lebih jenis genotype dalam satu organisme. Ini bermakna terdapat 2 atau lebih genom yang berbeza di dalam satu individu.

Kim menyatakan dia pernah melalui beberapa pembedahan dan mendapat dermaan darah. Jadi berbekalkan data ini saintis saintis di NIH cuba mencari petunjuk kemungkinan kimera allogeneik telah berlaku. Keadaan kimera allogeneik berlaku apabila terdapatnya perpindahan DNA secara melintang daripada satu individu/organisme kepada individu/organisme yang lain. Sel yang mendapat dermaan DNA ini ditermakan sebagai kimera kerana mempunyai sebahagian DNA daripada individu lain.

Namun, tiada tanda tanda darah Kim melalui proses pembentukan kimera allogeneik. Ini membuatkan pencarian penerangan bagaimana penyakit Kim boleh sembuh secara tiba tiba menemui jalan buntu. Walaupun begitu, saintis di NIH tidak berputus asa dan merangka langkah kajian seterusnya.

Saintis NIH menjalankan kajian sitogenetik terhadap sel sumsum tulang Kim. Mereka mendapati bahawa kromosom nombor 2 mempunyai kromatid yang jauh lebih pendek daripada homolognya. Timbul pula persoalan di manakah perginya kromosom yang hilang ini?

Saintis saintis di NIH berpendapat bahawa Kim telah mengalami proses kromothripsis, proses yang mana berlakunya pemadaman gen dan menyusunan semula gen dalam sesebuah kromosom dalam satu masa yang singkat. Proses kromothripsis ini sebenarnya proses yang baru ditemukan pada tahun 2011. Kebiasaannya, kromothripsis akan menyebabkan pelbagai masalah dan menghasilkan kanser. Logiklah, jikalau sebahagian besar kod pengaturcaraan sesuatu perisian dipadam dan dirombak semula, sudah tentu perisian tersebut tidak akan berfungsi dengan baik, malah lebih mendatangkan masalah yang tidak diingini.

Gambar : Model ringkas menunjukkan bagaimana kromothripsis berlaku. Setiap bahagian allel dalam rantaian kromosom dipecahkan dan disusun semula melalui sambungan hujung ke hujung. Namun pemadaman, dan pelbagai proses mutasi seperti penyongsangan boleh berlaku sebelum sambungan dibuat. Gambar hak milik Macmillan Publisher Limited.

Namun itu bukan apa yang berlaku kepada Kim. Hasil pemadaman besar besaran terhadap kromosom nombor 2 dan penyusunan semula gen dalam kromosom tersebut menyembuhkan Kim daripada penyakit WHIM. Hal ini sangat memeranjatkan para saintis, kerana kromothripsis berlaku dengan cara yang mendatangkan kesembuhan, bukan menghasilkan masalah. Malah, bagaimana Kim masih hidup dengan pemadaman sebahagian besar gen dalam kromosom nombor 2? Sebanyak 164 gen pada kromosom nombor 2 terpadam hasil proses kromothripsis. Walaupun hanya kehilangan satu gen mampu mendatangkan pelbagai jenis penyakit, ini lagikan kehilangan 164 gen.

Gambar menunjukkan kesemua 23 pasangan kromosom homolog daripada sel sumsum tulang Kim. Pada kromosom kedua, salah satu kromatidnya jauh lebih pendek. Ini merupakan lokasi kromothripsis yang terjadi pada Kim. Gambar hak milik PubMed Central.

Kim memenangi kesemua loteri takdir apabila penyakit WHIM disembuhkan dengan cara ini. Loteri pertama, kromothripsis berlaku dan memadam gen CXCR4 yang termutasi. Kedua, ia perlu berlaku dengan hasil di mana tidak ada gen lain yang penting terhadap badan terganggu oleh pemadaman tersebut (hanya berlaku pada sel darah putih, dan tidak melibatkan gen gen yang penting;terutamanya dalam kelangsungan sel darah putih). Loteri ketiga, kromothripsis berlaku kepada sel tunjang hematopoietik.

Loteri ketiga ini sangat penting kerana proses inilah yang menjadi penjelasan utama bagaimana Kim dapat sembuh daripada penyakit WHIM. Jika kromothripsis CXCR4 termutasi berlaku pada sel darah putih biasa, hanya sel darah putih tersebut yang bebas penyakit WHIM. Dan setelah sel darah putih itu mati, tiada perubahan lanjut berlaku terhadap status penyakit WHIM Kim. Kim akan masih menghidap penyakit ini.

Namun, kromothripsis yang berlaku terhadap sel tunjang hematopoietik membuatkan setiap sel darah putih yang terhasil daripadanya juga bebas mutasi tersebut. Akhirnya melalui pemilihan semulajadi, sel tunjang hematopoietik memulihkan kembali populasi sel darah putih yang tidak mempunyai gen CXCR4. Namun sel limfosit Kim masih mempunyai gen heterozygous CXCR4. Keturunan sel myeloid Kim sembuh, namun keturunan sel lymphoid masih mempunyai gen CXCR4.

Gambar : Garisan kuning menunjukkan kawasan yang terpadam melalui proses kromothripsis pada sel tunjang hematopoietik Kim. Gambar hak milik PubMed Central.

Keadaan kesihatan Kim satu kejadian yang ajaib. Kim mempunyai leukositosis dengan bilangan neutrofil dan monosit yang agak tinggi (2 kali paras normal). Tetapi keadan ini agak ringan dan tidak menjejaskan kesihatan Kim.

Kini, saintis saintis NIH cuba untuk meniru kromothripsis yang berlaku pada Kim untuk diaplikasikan dalam terapi gen. Proses terapi gen kromothripsis ini berpotensi untuk merawat penyakit genetik seperti WHIM, dan penyakit kanser. Kim menjadi bukti hidup proses kromothripsis ini mampu merawat dan menyembuhkan penyakit.

WHIM-09, wanita yang terpadam sebahagian besar kromosomnya, masih hidup sihat hingga sekarang.

Kejadian mutasi, perubahan kepada genetik sesebuah organisme merupakan satu proses yang kelihatan rawak. Tetapi sebagai seorang muslim, kepercayaan kepada tuhan yang “omnipotent” atau serba berkebolehan, sudah tentu hal seperti ini tidak terkecuali daripada bidang kawalanNya.

Atheis seringkali menggunakan mutasi sebagai mekanisme dadu yang mengatur kebarangkalian kejadian organisme biologi. Dan mengatakan mutasi merupakan dalang “the blind watchmaker”. Namun, pada fahaman saya, mutasi merupakan mekanisme yang dicipta tuhan untuk membenarkan organisme beradaptasi dan berubah mengikut ketentuannya. Kebarangkalian itu ada, namun jalan yang pasti telah ditetapkan tuhan. Setiap percaturan adalah hasil jalan yang ditentukan tuhan.

Evolution is there, but it’s certainly is not blind, because the path it takes was determine by volitious God, Allah

Rujukan:

McDermott, D., Gao, J., Liu, Q., Siwicki, M., Martens, C., Jacobs, P., Velez, D., Yim, E., Bryke, C., Hsu, N., Dai, Z., Marquesen, M., Stregevsky, E., Kwatemaa, N., Theobald, N., Long Priel, D., Pittaluga, S., Raffeld, M., Calvo, K., Maric, I., Desmond, R., Holmes, K., Kuhns, D., Balabanian, K., Bachelerie, F., Porcella, S., Malech, H. and Murphy, P. (2015). Chromothriptic Cure of WHIM Syndrome. Cell, 160(4), pp.686-699.

Krill, C., Smith, H. and Mauer, A. (1964). Chronic Idiopathic Granulocytopenia. New England Journal of Medicine, 270(19), pp.973-979.

Stephens, P., Greenman, C., Fu, B., Yang, F., Bignell, G., Mudie, L., Pleasance, E., Lau, K., Beare, D., Stebbings, L., McLaren, S., Lin, M., McBride, D., Varela, I., Nik-Zainal, S., Leroy, C., Jia, M., Menzies, A., Butler, A., Teague, J., Quail, M., Burton, J., Swerdlow, H., Carter, N., Morsberger, L., Iacobuzio-Donahue, C., Follows, G., Green, A., Flanagan, A., Stratton, M., Futreal, P. and Campbell, P. (2011). Massive Genomic Rearrangement Acquired in a Single Catastrophic Event during Cancer Development. Cell, 144(1), pp.27-40.

Themeli, M., Waterhouse, M., Finke, J. and Spyridonidis, A. (2011). DNA chimerism and its consequences after allogeneic hematopoietic cell transplantation. Chimerism, 2(1), pp.25-28.

Caruz, A., Samsom, M., Alonso, J., Alcami, J., Baleux, F., Virelizier, J., Parmentier, M. and Arenzana-Seisdedos, F. (1998). Genomic organization and promoter characterization of human CXCR4 gene1. FEBS Letters, 426(2), pp.271-278.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here