Kita semua tahu, semasa Perang Dunia Kedua (WWII), Pakatan Axis terdiri daripada Nazi Jerman, Itali dan Jepun. Dan apabila mereka berada di puncak kekuasaan semasa menentang Pakatan Bersekutu terdiri daripada Amerika Syarikat, Britain dan Rusia, mereka menguasai suku kawasan dunia dan mengancam hegemoni pakatan ini. Tetapi tahukah anda, pada satu ketika, Jerman pernah bersekutu dengan China dan taktik mereka secara tidak langsung membantu China mengalahkan Jepun pada akhir WWII.

Semuanya bermula sebelum Adolf Hitler berjaya mendapat kekuasaan pada tahun 1933. Selepas Kerajaan Beiyang mengisytiharkan perang ke atas Jerman pada tahun 1917, kerjasama ini terjalin secara rasmi selepas kekalahan Jerman dalam Perang Dunia Pertama (WWI). Disebabkan China tidak memerangi Jerman secara terang-terangan dan penglibatan mereka hanyalah menghantar tenaga buruh untuk Pakatan Bersekutu melalui Kor Buruh China dan kerajaan Republik Weimar tidak menuntut wilayah-wilayah di China, pembaharuan hubungan dua hala China-Jerman pasca-WWI tidak terjejas sama sekali.

Apabila kedua-dua negara menandatangani Perjanjian Damai China-Jerman pada tahun 1921, perjanjian ini menjadi asas kepada kerjasama unik kedua-dua negara. Jerman menawarkan bantuan kepakaran dan teknikal moden kepada China dalam menghadapi ancaman Jepun yang sedang meningkat naik ketika itu. Dan sebagai pertukaran, China membekalkan bahan mentah yang diperlukan Jerman untuk membina semula negara mereka yang musnah. Dan orang yang bertanggungjawab di sebalik perjanjian ini ialah Jeneral Chiang Kai-Shek. Tidak seperti Rusia (Soviet Union) yang bertegas akan kewujudan parti komunis dalam kerajaan Kuomintang sebagai pertukaran untuk senjata, kenderaan dan bantuan kepakaran mereka, Jerman melihat ini sebagai peluang perniagaan dan cara mereka mengekang pergerakan komunis yang semakin berkembang ketika itu.

Kai-Shek melihat kerjasama ketenteraan dengan Jerman jauh lebih menguntungkan berbanding kerjasama dengan Soviet Union.

Berikutan itu, Kai-Shek menjemput veteran WWI, Jeneral Erich Ludendorf untuk membawa masuk tenaga kepakaran tentera dan awam ke China. Namun jemputan tersebut terpaksa ditolak Ludendorf atas alasan ia boleh menarik perhatian yang tidak diperlukan Jerman pada ketika itu. Tetapi itu tidak menghalang beliau mencadangkan penggantinya, Kolonel (B) Max Bauer, seorang pakar logistik yang mempunyai pengalaman perang WWI untuk mengetuai kumpulan penasihat Jerman. Apabila Bauer tiba di China pada November 1928, beliau dan kumpulannya segera bekerja melatih pegawai-pegawai muda China. Bagi mengelak pihak Bersekutu mempersoal tindak-tanduk mereka di China berikutan sekatan yang dikenakan menerusi Perjanjian Versailles, Bauer mengarahkan mereka untuk mengelak dari bertemu diplomat dan wartawan asing. Walau bagaimanapun, satu laporan dari sepasukan pemerhati Amerika menceritakan sekumpulan tentera China menerima latihan ketenteraan di bawah pemantauan seorang pegawai Jerman.

Selain itu, Bauer turut menggesa kerajaan Kuomintang menendang keluar semua orang tengah dalam urusan pembelian senjata api dan membeli terus dengan pengilang. Dan tidak mengejutkan kebanyakan pengilang senjata berasal dari Jerman dan peningkatan urusan ini membawa keuntungan besar kepada mereka. Berdasarkan rekod, China mengimport 50% senjata api secara rahsia dari Jerman sementara 20 pegawai Jerman yang berpengalaman dalam bidang perisikan dan ketenteraan direkrut untuk mengukuhkan lagi modul pengajaran Akademi Tentera Whampoa, sebuah akademi tentera berprestij sama dengan Akademi Tentera Diraja Sandhurst (Britain) dan Akademi Tentera West Point (Amerika Syarikat). Namun, ini tidak bertahan lama selepas Bauer meninggal dunia pada Mei 1929.

Jerman menghantar pengganti Bauer, Kolonel Hermann Kriebel yang juga seorang penyokong tegar Nazi. Tidak seperti Bauer, Kriebel bersikap sombong, tidak menghormati orang China dan sentiasa bertelagah dengan pegawai-pegawai pilihan Bauer. Sikap Kriebel hampir menjejaskan hubungan Jerman-China dan Kai-Shek yang berang mendesak Berlin menggantikan Kriebel dengan pegawai lain. Kriebel digantikan oleh Jeneral Georg Wetzell dan beliau bertanggungjawab merancang dan menasihati Jeneral Ling semasa Pertempuran Shanghai 1932 dengan piahk Jepun. Wetzell juga turut bertanggungjawab mencadangkan pembinaan sebuah sekolah artileri untuk melatih unit-unit artileri. Secara tidak langsung, unit-unit artileri yang dilatih di sekolah ini akan memainkan peranan besar dalam menentang pendudukan tentera Jepun di China.

Selepas Hitler naik sebagai Kanselor Jerman pada tahun 1933, Nazi Jerman membuang kewajiban pendirian neutral kerajaan lama dan menyokong sepenuhnya kerajaan China pimpinan Kai-Shek. Dan beliau turut menjemput ahli-ahli Hitler Youth melawat China. Pengganti Wetzell, Jeneral Hans von Seeckt yang masih trauma dengan pertempuran WWI melihat keperluan menaiktaraf tentera China untuk lebih moden dan lebih berdaya saing berbanding panglima-panglima perang yang menolak Beijing. Seeckt membentangkan Pelan 80 Divisyen di mana beliau melaksanakan idea seperti membentuk briged latihan elite-heer dan membuang sikap individualisme/kewilayahan dalam kalangan divisyen yang berbeza. Hasilnya, Kuomintang berjaya membentuk lapan divisyen elit terdiri daripada 80,000 tentera dan salah satu divisyen ini bertanggungjawab menentang bermati-matian tentera Jepun di Gudang Sihang, China.

Pengganti von Seeckt, Jeneral Alexander von Falkenhousen berbeza dengan penjawat-penjawat jawatannya sebelum ini. Falkenhousen tidak bersikap radikal dan tidaklah terlalu pro-Nazi serta berpengalaman bekerja dalam budaya-budaya yang berbeza. Ini berdasarkan tugasnya sebagai atase tentera di Jepun (1910-1914), menyaksikan revolusi China (1911) dan menang sebanyak dua kali dalam pertempuran menentang Britain di timur Jordan semasa Perang Dunia Pertama. Oleh sebab itu, Falkenhousen mampu menjalin hubungan rapat secara peribadi dan profesional dengan China. Melihat kemampuan industri China yang terhad, beliau mengurangkan skala pelan Seeckt dengan melaksanakan pasukan tentera kecil yang berkemampuan menyusup masuk ke dalam pasukan musuh dan menggunakan senjata api berskala kecil sama seperti taktik pasukan Sturmtruppen WWI.

Jeneral Alexander von Falkenhousen disenangi ramai kerana sikapnya yang bersederhana dan memahami budaya asing termasuk budaya China.

Selain itu, Falkenhousen turut mengarahkan proses pemodenan senjata api dipercepatkan. Buktinya, kilang senjata Hanyang menghasilkan senjata api Maxim automatik dan raifal Jenis 24 Chiang Kai-Shek yang disalin dari raifal Mauser M1924. Kilang-kilang senjata yang baru dibina untuk menghasilkan senjata dan kelengkapan moden Jerman seperti mesingan MG-34 dan bahagian-bahagian untuk kereta perisai yang diimport dari Jerman. Untuk menambah permintaan bilangan senjata di pasaran tempatan, kerajaan turut mengimport kelengkapan seperti topi keledar ikonik M35, pistol Mauser C96 dan meriam artileri Rheinmetall dan Krupp.

Apabila Jepun mula menyerang China, Falkenhousen menasihatkan Kai-Shek melancarkan perang pelumpuhan iaitu berundur secara perlahan-lahan dari utara China dan tidak menyerang garisan utara Sungai Kuning. Beliau turut mencadangkan taktik perang gerila untuk melengkapkan pendekatan secara bertahan ini, sekaligus bagi setiap kemaraan di wilayah yang diduduki, Jepun terpaksa membayar harga yang mahal. Kai-Shek bersetuju dengan cadangan Falkenhousen dan segera melaksanakannya. Dan Jepun merasa bahana taktik Falkenhousen di mana kemaraan mereka diperlahankan selama berbulan-bulan sebelum kejatuhan bandar Nanking dan membantu Kuomintang memindahkan tenaga kerja dan kilang mereka ke pedalaman Sichuan.

Paling penting, taktik ini juga membantu China menjadi lawan yang digeruni dari segi teknologi dan organisasi kepada pihak Jepun terutama semasa Pertempuran Kedua Shanghai dan Pertempuran Nanking. Pertempuran di Shanghai selama 76 hari walaupun berhadapan dengan tentangan sengit tentera Jepun dan mengalami kehilangan ramai askar menaikkan moral tentera China di medan pertempuran. Dan ini membawa kepada kemenangan mereka di Tai’erzhuang ke atas rejimen-rejimen yang disokong divisyen kereta perisai Jepun pada tahun 1938 dan di Suixian-Zaoyang pada tahun 1939.

Maka tidak hairanlah mengapa Kai-Shek menghantar anak angkatnya, Chiang Wei-Kuo ke Berlin dan belajar taktik peperangan dengan Wehrmacht. Selain Wei-Kuo, China turut menghantar pegawai kerajaan, ahli perniagaan dan pelajar untuk belajar dari Jerman bagaimana mereka dapat bangkit semula dari kemusnahan dan menjadi kuasa besar pada tahun 30-an. Apabila Austria diilhak oleh pihak Jerman, Wei-Kuo mengetuai sepasukan tentera di sana dan mendapat pangkat Leftenan dalam Wehrmacht sebelum Operasi Fall Weiss (Serangan Poland) sebelum dipanggil pulang ke China. Kai-Shek mempunyai hubungan rapat dengan Berlin sehinggakan selepas Perang China-Jepun meletus pada tahun 1937, seorang pelobi China melobi pemulihan semula hubungan China-Nazi Jerman walaupun China telah memeterai Pakatan China-Soviet.

Kai-Shek menghantar anaknya, Wei-Kuo untuk belajar taktik peperangan dengan Wehrmacht.

Apabila perang semakin berkecamuk, wujud dua kem tentang soal hubungan China-Jerman. Bagi Joseph Goebbels, hubungan ini seharusnya dipertahankan kerana ia menguntungkan kepentingan korporat Jerman dan melihat Kai-Shek sebagai seorang fascist seperti mereka. Sementara Hermann Goring pula menyifatkan Jepun seharusnya dipilih sebagai sekutu berikutan penolakan mereka terhadap rejim Soviet dan turut mendesak kepada pemeteraian Perjanjian Anti-Komunis antara Jerman dan Jepun. Bagi Falkenhousen dan penasihat-penasihat Jerman lain, mereka kekal bersama sekutu China mereka termasuk berada di barisan hadapan walaupun itu tidak digalakkan Berlin. Ini kerana pada mereka, mereka harus memberi peluang terbaik kepada sekutu mereka melawan Jepun. Walaupun muncul dalam sesetengah pertempuran sengit, tiada rekod yang menyatakan penasihat-penasihat Jerman ini mati dalam pertempuran.

Apabila Falkenhousen dan penasihat-penasihat Jerman ini dipanggil pulang pada tahun 1941, mereka berjanji tidak akan berkongsi rahsia China dengan Jepun. Apabila Pakatan Axis dibentuk secara formal pada tahun tersebut, semua bentuk bantuan terhadap China dimansuhkan tetapi asas-asas yang ditinggalkan mereka membantu China menang dalam peperangan tersebut. Bagi Falkenhousen sendiri, selepas Nazi Jerman berjaya menduduki Belgium, beliau dilantik sebagai gabenor dan ditugaskan menangkap orang Yahudi dan memerangi ancaman pemberontak. Namun secara rahsia, Falkenhousen berhubung dengan kelompok anti-Nazi dan membantu mereka menyelamatkan ramai orang dari ancaman Nazi.

Salah seorang yang diselamatkan ialah Qian Xiuling, seorang wanita China yang berkahwin dengan seorang lelaki warga Belgium di mana sepupunya ialah seorang pegawai yang pernah dilatih Falkenhousen. Melalui koresponden surat antara mereka, sepupunya memberitahu sekiranya ada masalah, Qian boleh berhubung terus dengan Falkenhousen. Dan itulah apa yang dilakukan jeneral tersebut semasa tempohnya sebagai gabenor. Namun langit tidak selalu cerah. Selepas plot 20 Julai 1944, Falkenhousen ditahan dan dipenjarakan di kem-kem tahanan termasuk di Dachau. Beliau akhirnya dibebaskan tetapi ditahan semula oleh tentera Amerika Syarikat dan dibicarakan di Belgium atas tuduhan jenayah perang. Mangsa-mangsa yang pernah diselamatkan oleh Falkenhousen termasuk Qian memberi keterangan pembelaan beliau tetapi itu tidak menghalang mahkamah menjatuhkan hukuman 12 tahun kerja buruh. Tiga tahun selepas itu, beliau diberi pengampunan dan kembali semula ke Jerman. Kai-Shek yang mendapat tahu nasib sahabatnya itu mula menghantar wang dan hadiah kepadanya. Namun Falkenhousen yang trauma dengan pengalamannya semasa perang memilih hidup bersendirian dan mati pada usia 88 tahun.

SUMBER

  1. Knodell, Kevin. (2017). Scout.com. When the Nazis Helped China Fight Japan. https://scout.com/military/warrior/Article/Navy-SM-6-Intercept-Proves-It-Could-Counter-North-Korea-Attack-110262741
  2. Yeung, Norton. (2017). War History Online. An Unexpected Partnership in WW2: Nazi Germany and the Republic of China. https://www.warhistoryonline.com/guest-bloggers/unexpected-partnership-nazi-germany-republic_china-mx.html

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply