Keris Mendatangi Pewaris & Soal Jawab

2
5387
views

Bismilllahirahmanirahim…

Setelah perkongsian hamba tentang keris yang bertajuk ‘Pusaka, Rahsia & Dzat Keris pada artikel lepas, hamba mendapati ramai yang meminati ilmu perkerisan dan ada yang meminta hamba untuk meneruskan penulisan tentang ilmu keris. Hamba juga menerima banyak soalan, pendapat, dan pengkisahan daripada mereka yang mewarisi keris di ruangan komentar dan ‘inbox’ samada di page Patriots atau ‘Facebook’ peribadi hamba (tempat asal hamba menulis).

Link tulisan Pusaka, Rahsia & Dzat Keris :

Pusaka, Rahsia Dan Dzat Keris

Maka, hamba telah mengumpulkan beberapa soalan dan tanggapan yang hamba akan jawab dan ulas pada tulisan siri kedua ini. Hamba percaya, sebelum masuk ke bab lain dalam ilmu keris, sewajarnya soalan-soalan daripada artikel sebelum ini dijawab terlebih dahulu. Syukur, hamba juga mendapat izin Guru hamba untuk terus berkongsi.

Antara soalan dan pengkisahan yang diajukan:

1.“Bagaimana kita mahu mengelaskan atau mengkategorikan Keris Sepukal?”

Alang-alang yang bertanya apakah ia keris sepukal, maka hamba menjawab, keris melayu diberi nama berdasarkan berapa banyak lok. Ia adalah seperti berikut:

Keris Berpukal atau Sepukal – keris lurus (atau lok 1).

Keris Berlok – Lok 3 hingga Lok 19.

Keris Sempena – Keris yang berlok 3, 5 dan 7.

Keris Tambang Sari – Keris yang berlok 13.

Keris Cerita – Keris yang berlok 9,11,13 hingga 15.

Keris Rantai – Keris yang berlok 17 lebih.

2.“Ada keris yang kelihatannya ada ‘imprint’ jari pada bilahnya, seakan-akan ditempa menggunakan jari?”

Keris Picit. Sumber gambar : ihsan google

Terdapat keris yang dinamakan Keris picit iaitu keris yang ditempa menggunakan picitan jari. Keris ini biasanya digunakan untuk tujuan perubatan dan mistik.

3.“Adakah Keris Malela termasuk atau dikira sebagai keris?”

Dalam masyarakat Melayu, falsafah pembuatan bilah keris
mempunyai pelbagai penjenamaan nama berdasarkan daerah
pembuatannya. Penjenamaan nama-nama bilah keris tersebut
adalah berdasarkan kepada bahan baku, bentuk keris yang dicipta
dan siapa penempanya. Sebagai contoh, di daerah Patani dan
Kelantan, Keris Malela dibuat dengan menggunakan besi
sebatang dan berwarna gelap dengan menampakkan lurah-lurah
penempaan yang dalam semasa penempaanya, kuat dan kukuh.

 

Keris Malela. Sumber gambar : Koleksi Peribadi Penulis

4.“Adakah Sundang termasuk keluarga keris?”

Sundang Suluk. Sumber gambar www.vikingsword.com

Ya, termasuk keluarga keris. Keris sundang atau lebih dikenali sebagai keris Suluk, dibuat dengan falsafah dan tujuan untuk menetak, memotong atau melibas tali kapal dengan bilah mata yang tebal, lebar dan berat. Pembuatan tersebut bertepatan dengan masyarakat Sulu pada suatu ketika dahulu yang
merupakan pelayar dan memerlukan senjata
yang kuat dan kukuh semasa dalam pelayaran.

5.“Kenapa orang Melayu memakai keris di depan manakala Jawa di belakang?”

Orang Melayu mempunyai falsafah yang berbeza daripada orang Jawa dari segi gaya dan cara pemakaian keris. Umumnya, orang Melayu mensisipkan keris di pinggang, iaitu dibahagian hadapan badan dengan menaruhkan harapan kepada keris lebih utama daripada diri mereka sendiri (keris didahulukan dari mereka sendiri). Apabila dilihat dari hadapan, musuh atau lawan sudah berandaian bahawa si pemakai keris sebenarnya sudah siap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

Sumber gambar: khalifahgayong.wordpress

Manakala bagi orang Jawa pula, keris disisipkan dibahagian belakang badan mereka dengan niat untuk sentiasa berwaspada dan keris akan dicabut daripada sarungnya apabila diperlukan. Lantaran itu, keris yang disembunyikan dibelakang badan juga bertujuan untuk mengelirukan lawan.

Sumber gambar : wisatajiwa.wordpress.com
Hulu Jawa Demam. Sumber : Koleksi Peribadi Penulis
Hulu Pekaka. Sumber gambar: kemuningwarisan

Manakala bagi keris yang berhulukan Ayam Teleng atau Patah Tiga pula, keris berhulu tersebut adalah di tegah sama sekali untuk masuk ke dalam Istana. Hal ini demekian kerana keris berhulu Ayam Teleng atau Patah Tiga dicipta dan berfalsafahkan untuk tujuan pertikaman.

Hulu Ayam Teleng. Sumber gambar: Koleksi Peribadi Penulis

 

Hulu Patah Tiga. Sumber gambar : Koleksi Peribadi Penulis

ii.Keris yang boleh masuk ke Istana dalam Masyarakat Jawa.

Dalam tradisi masyarakat Jawa, hanya keris
bersampir (berperahukan) Ladrang sahaja yang diizinkan berada di dalam keraton atau Istana. Bentuk hulu dan sampir seperti mana yang dinyatakan adalah berfalsafahkan kepada keris tersebut melambangkan ‘keris istiadat dan
beradab’.

Sampir Ladrang. Sumber gambar: Koleksi Peribadi Penulis

Meskipun ada perbezaan cara untuk memakai keris, tetapi keutamaan mereka tetap sama iaitu keamanan. Oleh kerana itu, baik orang Jawa atau Melayu, kedua-duanya berkongsi falsafah yang sama dalam pemakaian keris. Jika HULU MENGHADAP KE DEPAN, bermakna si pemakai datang dengan tujuan untuk bertarung. JIKA HULU DI BELAKANGKAN, si pemakai keris datang dengan tujuan berdamai.

“Peace not war”

6.“Di dalam tulisan sebelum ini, ada dinyatakan bahawa ‘keris pusaka mendatangi pewaris’. Apakah maksud Keris Pusaka mendatangi dan bagaimana ia mendatangi?”

Secara umum, ia kadang-kadang tidak masuk akal tetapi perkara ini berlaku dengan izin dan takdir Allah. Barakah karamah para moyang yang terdiri daripada auliya. Hamba pernah menyaksikan beberapa kali bagaimana keris mendatangi, tetapi hamba tidak pasti adakah ianya sesuai atau tidak untuk dikongsikan disini.

Cukup hamba kongsikan Keris mendatangi contohnya, keris pusaka tersebut sudah diwasiat oleh leluhur agar diberikan kepada cucu-cicit yang sekian sekian sifatnya. Kadang-kadang cucu-cicit yang dimaksudkan itu mungkin merujuk kepada mereka yang merupakan generasi ke-4 atau ke-5. Ini padangan secara Kasyaf yang dibuka oleh Allah kepada leluhur yang merupakan Wali Allah atau cucunya yang kemudian. Maka keris itu berpindah daripada satu generasi ke generasi seterusnya sebagai pemegang amanah sahaja sehingga ia sampai kepada pewarisnya.

Keris pusaka kalau bukan milik atau tidak berjodoh dengan seseorang, jangan diterima, jikakalau mereka mengambilnya, mereka akan jatuh sakit atau mengalami gangguan. Jika keris itu serasi dengan seseorang pula, tiada apa-apa sakit atau gangguan berlanjutan akan berlaku selepas penyerahan. Wallahu’alam. (Lihat Soalan No. 7 : Jawapan pantang larang keris) untuk lebih memahami.

Apa yang berlaku di bawah takluk Qudrah dan Iradah-Nya jua. Hal itu hanya asbab, al-musabib (penentu mutlak) hanyalah Allah SWT. Sebab itu hamba berpesan: Mereka yang ingin menyelami ilmu orang-orang dahulu mesti mempelajari tauhid makrifat kerana ilmu orang dahulu, usulnya disitu. Kaitannya terlalu banyak. Jangan hanya bersemangat tetapi memasukinya dengan jahil.

Waqaf Saham

Adapun lanjutan kisah ini, adalah lebih baik, dikongsi secara berhadapan sebagai tanda benar mahu mengambil ilmu. Ilmu pusaka begini maharnya bukan duit tetapi adab yang tinggi.

Ketika hamba membaca ruangan komen, terdapat satu komen yang telah dikongsi oleh seorang hamba Allah. Kisah ini adalah pengalaman peribadinya yang benar. Ia adalah seperti berikut:

“Saya menyimpan sebilah keris dari tanah Bugis. tak pasti sama ada jenis ini yang panggil keris bugis atau bukan, tapi ia adalah benda pusaka yang tidak diserahkan secara sempurna kepada saya sehingga mengalami situasi pelik sehingga sekarang.
Saya mendedahkan hal bukan berniat untuk mejual keris ini tapi mencari sesiapa yang arif tentang benda-benda macam ni dan membantu saya menyelesaikan masalah yang saya alami selama 12 tahun sejak tahun 2005. Kaitan keris dengan masalah saya hanyalah andaian yang dapat saya fikirkan beberapa bulan lepas setelah mengingat kembali rentetan kejadian yang telah berlaku.

Selepas kematian ayah saya pada tahun 2005, pada suatu malam semasa mengerjakan sholat tahajud, terasa ada sesuatu menerpa dari arah belakang. sejak itu pelbagai peristiwa pelik yang saya alami seperti tubuh sudah diambil alih, tanpa sebab menangis, airmata tak kering tiba ketawa, tidur di katil tapi pernah bangun di atas jalan, pernah juga bangun di atas pokok dan pelbagai lagi hal pelik sehingga orang di sekeliling menggelarkan saya gila. Walaupun sedar tapi tak mampu nak halang. Saya pernah berubat dengan seorang nenek dan saya melihat nenek itu menggigil ketakutan dan memberi tahu benda ini dari benda pusaka.Tetapi seingat saya, saya tak ada menyimpan benda begitu, jadi saya pun abaikan saja.

Pada tahun 2008, saya menerima pesan moyang sebelah bapa yang sedang sakit meminta saya ke tanah bugis sebab ayah sudah tiada. Dialah yang menyimpan keris ini. Jadi saya pun ke sana. Selama 2 minggu menjaganya di hospital, tak pernah pun disebut tentang keris ini sehingga meninggal dunia. Selepas urusan pengkebumian semua selesai, seorang saudara mara menyerahkan keris ini kepada saya. Jadi saya pun tanya kenapa saya? Katanya semasa hidup arwah telah berpesan untuk menyerahkan keris ini kepada ayah saya tetapi ayah sudah tiada maka sebagai anak sulung, sayalah yang layak untuk menyimpannya”.

Begitulah kisah bagaimana keris berada dalam simpanan saya. Hubung kait keris dengan masalah yang saya alami hanyalah andaian saya, sebab itu saya mencari sesiapa yang arif tentang hal sebegini untuk memastikan.”

Untuk pengetahuan pembaca, hamba sudah berurusan dengan hamba Allah ini. Menurut salah seorang Guru keris hamba setelah meniliti kisahnya,

“Keris itu memang keris pusaka dia dan ahwal yang berlaku itu adalah berkait dengan spiritual keris. Minta dia simpan dan jaga elok-elok keris tersebut”, kata Guru hamba.
Insya Allah, kami akan bertemu dalam masa terdekat untuk menyempurnakan apa yang sepatutnya disempurnakan. Ada lagi beberapa individu menghubungi hamba bertanya hal yang mirip di atas”.

7.“Apakah pantang larang keris dan adabnya? “

Emil Bahari (pengkaji keris) menulis:

“Keris ini Pantang direndahkan, pantang dilangkahi, pantang terbiar, pantang dipermainkan, pantang tidak serasi, pantang dipakai mencari lawan, pantang dipakai untuk sombong dan bongkak, pantang dipakai untuk mengina, pantang dipakai menyalahi adat, pantang dipakai pada yang tak sesuai, pantang dicabut sembarangan, pantang dicabut secara menyalah”.

Hamba ingin sentuh sikit tentang bab “Keris Pantang direndahkan”. Adab pemakai keris yang asas ialah tidak merendah-rendahkan keris orang lain. Kendatipun kita mengetahui keris itu tidak bagus, adabnya tidak patut diperendahkan. Ini pantang. Semua pantang di atas berhubung kait dengan adab. Satu lagi, jangan sombong. Ingat, ilmu orang dulu-dulu tidak menjadi jika sombong. Mana mungkin ilmu yang berasaskan tauhid makrifat duduk bersekali dengan sifat kesombongan.

Keris juga tidak sepatutnya dibiarkan telanjang lama tanpa sarung (kecuali ada hajat), tidak terangkat hunus di hadapan manusia kecuali memaksudkan pertarungan, tidak dicabut separuh atau dimasuk separuh, tidak diletakkan di bilik kelamin (bilik suami isteri ‘bersama’), dan akhir sekali tidak seharusnya dibuka di hadapan anak-anak kecil, dan lain-lain.

8.“Keris pusaka sudah ada, keris untuk diri sendiri juga sudah ada. Keris pangkat sahaja belum ada”.

Dulu keris pangkat diperolehi daripada SULTAN atau PEMERINTAH BERDAULAT. Keris yang dikurniakan oleh Sultan atau Raja adalah lambang kuasa. Selalunya, apabila Raja melantik pembesar, keris akan dikurniakan kepada pembesar sebagai tanda kuasa yang diturunkan kepadanya secara sah. Sebagai contoh, di dalam Sejarah Melayu, Sultan Melaka mengurniakan Keris Taming Sari kepada Laksamana Melaka. Sultan Perak mengurniakan Keris Bawar (sebilah keris panjang) kepada setiap orang besar jajahan.

9.“Orang Melayu dahulu tidak akan keluar rumah tanpa keris, kerana mereka akan dianggap keluar rumah dalam keadaan bertelanjang”. Persoalannya, ‘dahulu’ itu bila?

Tercatat dalam sejarah Johor pada tahun 1824, John Crawfurd, Residen Singapura telah
menyuarakan pendapatnya untuk mengharamkan penggunaan senjata tajam.
Cadangan tersebut ditolak oleh Sultan dan Temenggong kerana mereka
mengatakan bahawa mereka bagaikan bertelanjang tanpa sebilah keris di pinggang.
Pada pendapat peribadi hamba, tahun 1824 boleh dianggap baru juga boleh dianggap lama. Yang pasti, Budaya Perkerisan dalam masyarakat Melayu sudah berakar umbi sejak dahulu kala dan ia diwarisi daripada satu generasi ke generasi seterusnya. Maka itu penulis menggunakan terma ‘Melayu dahulu’. Jika tidak tepat, hamba ingin memohon maaf.

10.“Sekarang kalau bawa keris, masuk lokap nanti” (komen sinis ini ramai juga, tapi hamba anggap mereka bergurau).

Mudah jawab begini, dalam siri sebelum ini tiada satu ayat suruhan pun yang meminta agar para pembaca keluar membawa keris. Hamba hanya berkongsi sejarah nenek moyang kita dahulu yang tidak akan keluar tanpa keris. Zaman sekarang, meskipun tidak membawa keris seperti zaman dahulu, akan tetapi yang paling penting sebenarnya adalah membawa semangat jati diri keris iaitu Tunduk kepada Allah (makrifat), diri beraAdab (tasauf) dan membina atau memakmur peradaban (tugas khalifah). Jika kita membawa keris merata-rata tempat tetapi tiada faham maksud disebailknya, tiada manfaatnya melainkan hanya menjadi ‘fesyen’.

11.“Bagaimana hendak tahu keris jenis apa yang boleh masuk ke dalam Istana dan yang tidak boleh. Apakah ia?”

Menyentuh aspek pemakaian keris di alam Melayu khususnya ketika
memasuki istana dan menghadap Sultan, hanya keris tertentu sahaja boleh dibenarkan masuk. Perkara tersebut boleh juga didapati dalam masyarakat Jawa.

i.Keris yang boleh masuk ke Istana dalam masyarakat Melayu. Hanya keris berhulu Jawa
Demam dan Pekaka sahaja dibenarkan berada di balairongseri.

Sementara keris yang bersampir gayaman dilarang masuk ke keraton/istana kerana keris tersebut berfalsafahkan dan bertujuan untuk pertikaman atau pertarungan.

Sampir Gayaman. Sumber : Koleksi Peribadi Penulis

12.”Bagimanakah cara untuk memakai keris?”

Disiplin memakai keris di kalangan orang Melayu untuk golongan rakyat biasa agak berbeza jika dibandingkan dengan orang Jawa. Bagi orang Melayu, keris yang berupa hadiah atau pemberian baik daripada bapa mertua atau sesiapa sahaja disisipkan di pinggang sebelah kanan.

Jika berhadap Sultan, orang terhormat, atau sahabat handai (yang bukan tujuan bertarung), keris perlu dipakai di mana hulunya mengarah ke belakang sebagai simbol perdamaian, berbeza jikalau hulu keris menghala ke hadapan, kerana ia menjadi satu simbol untuk pertempuran atau perang. Disiplin pemakaian ini dikecualian untuk pengatin lelaki daripada rakyat biasa di majlis perkahwinan. Bagi pengantin lelaki, keris dipakai hulu ke depan kerana pada hari tersebut, dia adalah Raja walaupun dia Raja sehari.
Bagi seorang Raja atau Sultan, mereka mesti memakai keris dengan hulunya menghadap ke luar kerana ia melambangkan kedaulatannya.

Pengatin lelaki memaki keris berhulu ke depan Sumber Gambar : Butik Sri Pengatin Shakira

Disamping itu, bahagian Sampir dan ekor Cicak keris hendaklah menghala ke luar.

Ini cara yang salah memakai keris, bahagian sampir dan ekor cicak sepatutnya berada di arah sebaliknya. Sumber gambar: Kosmo Online

13.“Mempertahankan diri tidak semestinya menggunakan keris”.

Falsafah keris daripada kaca mata orang Melayu bukan sekadar
alat mempertahankan diri, tetapi ia lebih daripada itu. Keris sebagai senjata pertahankan diri ialah salah satu juzu’ fungsi dan falsafah keris. Ia juga melambangankan maruah diri seseorang.

Seperti mana petikan dalam Tuhfat
Al-Nafis, bahawa Raja Haji Ahmad & Raja Haji Ali 1982: 280,
meriwayatkan kisah Dahing Ringgik (Daeng Ronggek) yang
menikam askar Belanda yang cuba merampas keris beliau.
Hendaklah diketahui, keris diperbuat daripada besi yang mempunyai getaran sendiri, sama seperti unsur semula jadi lain seperti tanah, air, api dan angin. Sudah terbukti secara saintifik bahawa unsur-unsur semula jadi ini mempunyai getaran yang kita sebut sebagai semangat atau erti kata lain keris adalah benda “bernyawa”.

Oleh kerana itu menurut Guru Mohd Nordin (pengumpul dan perunding keris), katanya, “keris yang serasi dengan pemakai mempunyai getaran yang positif. Jika dipakai ketika bersosial, maka ramailah yang mudah mesra dengannya. Jika ada musuh menghampiri, mudah juga orang itu menyerah kepadanya. Dek kerana getaran itu jugalah keris diberi peranan melebihi sebagai satu senjata.

Terdapat juga kepercayaan bahawa keris yang mempunyai getaran positif (serasi) dapat membantu meningkatkan perniagaan, selain daripada menyumbang kepada kesihatan si pemakai. Tetapi jika tidak serasi, ia bagaikan kita tersalah makan ubat, atau memakai saiz kasut yang salah, ia akan membawa mudarat atau makan tuan,” (temu bual wartawan Kosmo dengan Guru Mohd Nordin).

14.“Keris ghaib dalam tangan”

Ya, ianya tidak mustahil. Menurut cerita lisan yang hamba dengar daripada seorang guru keris, terdapat keris yang dighaibkan dan disimpan dalam tangan melalui bacaan doa dan kekuatan tauhid. Namun begitu, bukan semua guru boleh menurunkan ilmu ini dan bukan semua murid boleh terimanya. Saat tiba agama, bangsa, dan tanah air, serta apabila diri terancam, maka terzahirkan keris untuk mempertahankan diri. Keris bukan alat untuk bersuka ria dan menyombong.

15.“Adakah keris berasal dari Indonesia? Malaysia tiada keris”

Hamba jawab, keris sudah bertapak di Kepulauan Melayu sejak berabad-abad lamanya. Ketika itu belum lagi tertubuhnya Indonesia (ditubuhkan tahun 1945), dan belum lagi tertubuhnya Malaysia (ditubuhkan 1963). Kita semua serumpun yang berkongsi rupa paras, wajah, bahasa dan budaya yang mirip. Sepatutnya kita berbangga berkongsi sejarah dan budaya yang sama bukan mendakwa pemilikan.

16.“Berapa harga keris kalau berhajat mendapatkannya?”

Biasanya, orang lama yang berpengalaman dalam dunia perkerisan tidak akan bertanya berapa HARGA keris kalau hendak beli, tetapi mereka akan bertanya, berapakah MAHARnya.

Apa beza istilah harga dan mahar?

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, orang yang sudah lama dalam bidang perkerisan, sedia maklum bahawa keris bukan barang dagangan untuk jual beli. Mahar berlaku semasa pertukaran milik kerana hadiah, pusaka atau sekian akan diberikan sebagai mahar (sebagai tanda terima kasih). Manakala orang baru akan anggap keris adalah barang jual beli.

Sampai disini sahaja kita bertemu secara mata pena. Terima kasih atas sokongan para pembaca. Insya Allah, jika diizinkan Allah dan jika hamba mendapat restu Guru, hamba akan menulis lagi tentang ilmu keris. Hamba suka untuk mengupas falsafah Hulu dan Sampir / Perahu pada keris yang berkait Melayu Si Raja Laut. Hulu dan Sampir serta bilah itu menceritakan sebuah kerajaan, penguasaan laut dan KOD PERTAHANAN.
Sekiranya ada persoalan atau perkongsian bersifat sulit boleh hubungi penulis melalui emel. Mohon izin berundur sekian. Allahu Wa Rasuluhu a’lam.

Yang benar,
Angah Sunan

sunan.angah@gmail.com

Rujukan :

(1)Talaqqi dan kembara penulis dengan guru-guru keris di Jawa dan Tanah Melayu.

(2) Emil Bahari, SEMANGAT KERIS MELAYU, terbitan Utusan Publications & Distributions Sdn Bhd (2009).

(3) Khamis Mohamad, MAHAKARYA KERIS (2017)

(4) Khamis Mohamad, Nik Hasan Shuhaimi, Abdul Latif Samion, Falsafah Perkerisan Dalam Masyarakat Melayu, International Jornal Of The Malay World & Civilisation
(2012).

(5) Mohd Zainuddin Abdullah, Shahrim Senik, Senjata Warisan terbitan Lembaga Muzium Selangor.

(6) vikingsword.com

(7) Kosmo Online

2 COMMENTS

  1. Ada banyak persatuan keris.

    Purba Selangor
    Kelab Warisan Purba Pahang
    Purba Pulau Pinang
    Perkerisan Kuala Lumpur
    Kelab Warisan Kelantan
    Purba Terengganu
    Purba Kelantan.

    Setiap negeri ada anjurkan pertandingan keris sebagai acara tahunan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.