Anak Melayu
Panas dadamu membakar baju
Kita arak Keranda 152
Ke tanah perkuburannya Parlimen

Sepuluh tanah nafas ini terhenti
Hari ini jangan lagi menyanyi

Sebentar lagi malam akan tiba
Tiap pintu dan jendela sudah dijaga
Bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya

Anak Melayu
Namamu telah diseru
Jawablah
Sebelum lidahmu jadi bisu

1. Di atas adalah sajak karya Sasterawan Negara (SN) Usman Awang ditulis khusus untuk Perarakan Keranda 152 pada 3 Mac 1967 yang bertempat di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka. Ia adalah kemuncak bantahan akan peminggiran Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan dan perundangan di Malaysia.

2. Raja-raja Melayu sejak mesyuarat Durbar pada 1903, telah membangkitkan soal pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Semasa menurunkan tanda tangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957, Raja-Raja Melayu telah menetapkan tujuh wasiat, salah satu daripadanya menyentuh soal bahasa iaitu; “Kami tetapkan Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu.”

3. Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra telah memberikan jaminan dalam perhimpunan rakyat melafazkan Ikrar Bahasa Kebangsaan, pada 22 Julai 1961 dengan menyatakan “….Saya bagi pihak Kerajaan Perikatan suka mengambil peluang ini untuk membuat penga­kuan bahawa selagi kami, meme­gang kuasa pemerintahan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, maka kami tidak akan undur setapak pun untuk mempertahankan Bahasa Kebangsaan yang tunggal, bagi negeri ini dan untuk melaksanakan pemakaiannya dengan sepenuh-penuhnya, manakala sampai tempoh yang telah ditentukan oleh Perlembagaan.”

4. Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein semasa ber­ucap pada pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan di Klang pada 1966, turut mengesahkan komitmen bahawa bahasa kebangsaan juga akan menjadi bahasa rasmi yang tunggal di negara ini.

5. Janji-janji yang dicanang ini dituntut kembali selepas sepuluh tahun merdeka. Dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 jelas mencatatkan kedudukan Bahasa Melayu akan dinaikkan kedudukan secara berperingkat dari 31 Ogos 1957 kepada tahap lebih baik sepuluh tahun kemudian iaitu pada 1967. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan juga telah meletakkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi dan Bahasa Kebangsaan.

6. Kerana janji yang tidak ditepati, perarakan Keranda 152 dilangsungkan. Ia disertai oleh ramai tokoh dan pejuang Bahasa Melayu, antaranya SN Usman Awang yang ketika itu menjadi editor beberapa majalah utama terbitan DBP iaitu Dewan Sastera, Dewan Budaya dan Dewan Masyarakat.

7. Orang Melayu ketika itu mahu mengangkat Bahasa Melayu yang telah dimaktubkan sebagai Bahasa Kebangsaan diletakkan di tempat yang selayaknya. Mereka turut merasakan bahawa Y.B. Tan Sri Mohd.Khir Bin Johari selaku Menteri Pendidikan ketika itu tidak menjalankan tugas dengan baik mengangkat Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dalam pendidikan negara.

8. Keranda 152 secara langsung menempelak sistem pendidikan di Malaysia ketika itu untuk menggesa Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar di sekolah rendah, sekolah menengah dan di universiti tempatan.

9. Semua sedia maklum bahawa mengangkat martabat Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan adalah merupakan salah satu pengisian dalam kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh masyarakat pelbagai kaum ketika itu dalam proses menuntut kemerdekaan.

10. Namun pada 1957 ketika negara masih baru mengecapi kemerdekaan, kerajaan yang baru ditubuhkan ketika itu merasakan bahwa Bahasa Melayu belum sesuai untuk menggantikan sepenuhnya Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar kerana selain negara ketika itu masih baru wujud dan dalam tempoh peralihan, Bahasa Inggeris juga telah digunakan sebagai bahasa rasmi pentadbiran kerajaan, perniagaan dan urusan seharian dalam negara dibawah pentadbiran British.

11. Selain bantahan itu disertai oleh sehingga 2000 lebih pejuang bahasa, ia turut disertai oleh nasionalis bangsa mewakili 120 pertubuhan Melayu. Perarakan Keranda 152 juga mengusung simbolik “Kematian Bahasa Melayu” yang masih ikonik sehingga kini iaitu sebuah keranda putih yang tertulis PERKARA 152, bermula dari DBP sejauh kira-kira 3km hingga ke bangunan Parlimen di Jalan Mahameru.

12. Peris­tiwa itu dikenali juga sebagai peristiwa ‘Api dan Air Mata’, sempena ucapan yang mengambarkan api kemarah­an bangsa Melayu, dan air mata terkilan yang dititiskan disampaikan oleh Pengarah DBP ketika itu, Tun Syed Nasir Ismail dalam ucapannya yang berbunyi; ” Saya menangis bukan kerana takut, tetapi air mata ini lahir daripada keharuan hati sanubari saya mengenangkan nasib bangsa saya. Saya tidak boleh buat apa-apa sekarang ini. Saya terikat.”

13. Sekalipun pada hari tersebut, kerajaan masih berkeras dengan fungsi Bahasa Inggeris, ia berjaya membawa kesan jangka panjang terhadap memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan walaupun dengan harga yang mahal.

14. Ucapan Datuk Mohd. Asri Muda ketika membahaskan Rang Undang-undang Bahasa (1967) di Parlimen esoknya pada 4 Mac 1967, disifatkan sebagai pidato bersejarah yang kemudiannya dinamakan sebagai “Rakyat Menggugat” juga menggegar parlimen.

15. Peristiwa 13 Mei 1969 adalah harga yang dibayar atas ketidakadilan sosial dalam negara, selain kurang peka kerajaan ketika itu akan barah yang membusuk di dalam masyarakat, termasuklah soal Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

16. Mahal sekali harga untuk kerajaan melihat bahawa bahasa adalah salah satu alat penyatuan dan keharmonian negara. Mahal sekali untuk semua menyedari bahawa Bahasa Jiwa Bangsa.

17. Rusuhan kaum itu menjadi titik tolak, detik penting dan peluang terbaik untuk menukar status Bahasa Melayu kepada bahasa pengantar, bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang sebenar-benarnya dalam semua majlis dan semua perkara.

18. Hasilnya, Bahasa Melayu telah dijadikan bahasa pengantar utama dalam dasar pendidikan negara. Hasil inisiatif dan kerjasama Menteri Pelajaran ketika itu Y.B. Tun Datuk Patinggi Hj.Abdul Rahman Bin Ya’kub dengan Konvensyen Ekonomi Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia ditubuhkan pada 1970 sebagai alternatif kepada Universiti Malaya yang ditubuhkan oleh British. Bahasa Melayu merupakan bahasa pengantar sepenuhnya di universiti tersebut.

19. Pada tahun 1971, murid-murid darjah 1 Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) pula telah diwajibkan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. SRJK (Inggeris) pula kemudiannya dimansuhkan dan dinamakan sebagai Sekolah Kebangsaan.

20. Kini, Bahasa Melayu kembali melukut di tepi gantang, nyawa-nyawa ikan mohon kembali diberi belas ehsan untuk diangkat sebenarnya sebagai Bahasa Kebangsaan dan bukan setakat atas kertas-kertas perlembagaan.

21. Bahasa Melayu jika niat asalnya membawa perpaduan, ia kini dimomokkan sebagai gambaran kebencian dan penindasan.

22. Ia dipandang rendah, dihentak-hentak dan disepak-sepak terpaksa mengemis meminta perhatian.

23. Untuk rekod, selepas Keranda 152 dibawa pada 1967, keranda seumpamanya diusung kembali pada 2009, juga atas sebab yang sama, peminggiran Bahasa Melayu dan kemelut isu Program Dwibahasa atau Dual Language Programme (DLP) di sekolah-sekolah. Apa perlu sebuah lagi keranda disusung untuk menyampaikan kesedihan yang sama?

24. Seperti kata Ji Fatt dalam Alam Perwira; “Jangan hanya sampai bila keranda diusung, baru bercucuran air mata.”

25. Sasterawan Negara, Usman Awang dalam mengenang Perarakan Keranda 152 turut menulis puisi berjudul, “Malam itu di Balai Budaya” dan mengakhirinya dengan bait berikut: “Malam itu juga, Parlimen jadi petanda memenggal leher bahasa.”

Rujukan: Titah Baginda Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah semasa perasmian majlis sambutan 60 tahun Penubuhan DBP

Gambar: gambar-gambar ini adalah koleksi oleh ayah aku sendiri yang pada ketika itu merupakan pelajar Kolej Islam. Beliau turut sama menyertai perarakan sama turut membawa Keranda 152 sendiri dari Kolej Islam menuju ke Palrimen pada hari yang sama. Keperitan yang sama dirasai pelajar-pelajar dalam memastikan Bahasa Melayu berada di tempat selayaknya sebagai Bahasa Kebangsaan.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pensyarah yang minatnya pada sejarah dan warisan Melayu. Membaca kerana hobi dan menulis kembali untuk terus berkongsi.

3 Comments

  1. Terdetik hati saya ingin kembalikan nama negara kita kepada Tanah Melayu semula. Sebabnya, ramai yang lupa agaknya mereka berdiri di atas tanah milik Melayu.
    Thai Land boleh, kenapa Tanah Melayu tak boleh!??

  2. Terdetik di hati ini agar nama negara tercinta kita ditukar semula ke Tanah Melayu. Kerana kini ramai yang lupa agaknya mereka berdiri di atas tanah milik Melayu.
    Melayu yang bergolok bergadai untuk memerdekakan tanah air tercinta ini.
    Thai Land boleh, mengapa Tanah Melayu tak boleh!!?

Leave A Reply