Kerajaan Islam Dalam Sejarah China Yang Dilupakan

0
1950
views

Saya berpendapat pasti tak ramai yang tahu bahawa di tanah besar China pernah wujud sebuah kesultanan Islam. Ya, kerajaan Islam yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi malah pemerintahnya adalah seorang Sultan, bukannya Maharaja seperti dinasti China yang lain seperti kerajaan Ming, Yuan dan Song yang kononnya adalah kerajaan Islam padahal agama rasminya belum tentu Islam. Namun kerajaan Islam Dali memang pernah wujud di selatan China iaitu di Yunan. Kerajaan ini ditubuhkan pada tahun 1856 rentetan daripada peristiwa pemberontakan orang-orang Islam Hui dan Uyghur di seluruh China terhadap penindasan kerajaan pusat Emperial China Dinasti Qing.

Pemberontakan ini berlaku kerana kerajaan Manchu kurang berkompromi dengan orang-orang beragama Islam berbanding Dinasti-dinasti China lain sebelum ini. Mereka tidak dibenarkan berkumpul di masjid malah tidak dibenarkan menyembelih lembu. Hal ini kerana bangsa Manchu adalah penganut Buddha yang kuat dan mereka adalah bangsa asing dari rumpun Moggol yang berasal dari Manchuria.

Pemberontakan bertambah buruk apabila berlakunya peristiwa pergaduhan diantara pelombong Cina Muslim dengan Cina bukan islam dan kemudiannya menjadi konflik keagamaan yang melarat-larat. Pada tahun 1855, kelompok majoriti Islam Yunnan memberontak lagi kerana menentang polisi-polisi pegawai dinasti Qing yang menekan mereka. Sebahagian mereka berasa tidak puas hati kerana dihalang naik pangkat sebagai pegawai walaupun telah menjalani peperiksaan kerajaan. Para pegawai tinggi Qing secara rahsia menyuruh perusuh untuk menyerang orang cina muslim yang kaya bagi mencetuskan kekacauan anti-orang Islam, dan memulakan satu konflik agama yang membawa kepada pemusnahan masjid-masjid dan perniagaan orang Islam cina.

Namun demikian pemberontakan orang-orang cina Muslim akhirnya berjaya menawan bandar Dali yang menjadi pangkalan bagi operasi orang Muslim, dan mereka mengisytiharkan kota itu mereka sebagai entiti politik yang terpisah daripada China. Mereka menamakan negara mereka sebagai Pingnan Guo iaitu, Negara Selatan yang Aman.

Pemimpin mereka adalah Sulayman ibn `Abd ar-Rahman yang dikenali sebagai Du Wenxiu yang juga digelar Qa´id Jami al-Muslimin iaitu ‘Ketua Jemaah Orang Islam’, namun biasanya dirujuk dalam sumber-sumber asing sebagai sultan sahaja. Beliau memerintah dari tahun 1856 hingga 26 Disember 1872. Sultan Du juga telah mewajibkan penggunaan tulisan Arab dan pengajaran bahasa Arab di dalam kerajaannya. Baginda juga mengharamkan babi bagi seluruh kawasan pemerintahannya tidak kira terhadap orang Islam atau bukan Islam.

Tentera cina muslim Yunnan, pernah mengepung bandar Kunming iaitu ibu kota Yunnan untuk beberapa kali iaitu dalam tahun-tahun 1857, 1861, 1863 dan 1868. Ma Rulong, seorang pemimpin pemberontak Hui dari selatan Yunnan, telah mengepung bandar tersebut pada tahun 1862, tetapi berpaling tadah kepada tentera kerajaan pusat setelah ditawarkan jawatan dalam tentera kerajaan.
Namun para pengikutnya yang masih mahu berjuang menegakkan Islam telah mengambil peluang itu untuk membunuh Jeneral Gabenor Pan Duo, lalu merampas bandar itu daripada pihak Qing pada tahun 1863 dengan niat menyerahkan bandar itu kepada Du Wen xiu Sultan mereka. Walau bagaimanapun, sebelum pasukan tentera Du sampai, Ma Rulong dengan bantuan seorang pegawai tentera Qing iaitu Cen Yuying telah menyerang ke Kunming dan mendapatkan kembali ibukota wilayah tersebut dari tangan orang Islam.

Kemudian, apabila tentera pihak Qing mula dapat mengatasi orang-orang Islam Yunnan dan mengepung kota Dali, Sultan Du telah mengirim surat kepada Ratu Victoria melalui anaknya putera Hassan pada tahun 1872 untuk meminta pengiktirafan rasmi dan bantuan ketenteraan daripada Empayar British, walau bagaimanapun permintaan ini ditolak.

Nampaknya Du telah tersalah tempat untuk meminta pertolongan, jelas di sini kerajaan tidak akan membantu mana-mana negara Islam. Kerajaan Kesultanan Islam Dali akhirnya ditumpaskan apabila tentera Qing berjaya menyerang dan merampas Dali dengan bantuan ketenteraan berupa pakar dan persenjataan dari Perancis. Mereka telah membunuh dan memenggal kepala ‘sultan’ Du. Kepala baginda dibawa ke Beijing dan dipersembahkan kepada Maharaja sebagai bukti dan ditunjukkan kepada para pembesar. Jasad beliau telah disemadikan di Xiadui.

Dunia termasuk masyarakat Islam sendiri tidak tahu malah telah melupakan kekejaman yang berlaku terhadap masyarakat Islam di Yunnan. Pemberontakan berdarah itu telah menyebabkan kematian sebanyak satu juta orang Islam di Yunnan dan melenyapkan satu-satunya kesultanan Islam di China. Akibatnya ramai pelarian Hui yang terselamat melarikan diri ke negara-negara jiran seperti Burma, Thailand dan Laos, lalu membentuk populasi minoriti Cina Hui di negara-negara tersebut yang masih wujud hingga sekarang. Oleh sebab itu jika kita melancong ke utara Thailand, kita pasti akan terjumpa dengan komuniti Islam di sana.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.