Ketika Taco Bell membuka cawangan pertamanya di Malaysia, restoran makanan segera itu telah diserbu oleh sekalian rakyat. Situasi ini bukanlah pelik kerana restoran yang memfokuskan menu makanan Mexico memang sangat terkenal di beberapa negara. Buktinya, Taco Bell berjaya mengembangkan jenamanya di lebih 30 buah negara.

Tapi malang di Mexico, restoran makanan segera ini telah gagal dan langsung tidak diterima oleh masyarakat di sana. Persoalannya sekarang, mengapa boleh jadi begitu?

1. Lokasi Dan Harga

Ketika mula-mula ingin menjejak kaki ke Mexico, Taco Bell tahu bahawa konsep “street food” amat terkenal di negara itu. Jadi sebagai pengenalan kepada masyarakat Mexico, Taco Bell cuba beradaptasi dengan menjual makanan Mexico melalui warung-warung tepi jalan. Namun cubaan beradaptasi itu telah gagal dan Taco Bell cuba sekali lagi dengan membuka restoran rasmi bersebelahan dengan KFC.

Advertisements
Jangan lupa dapatkan buku terbaru terbitan The Patriots, KITAB TAMADUN CINA di webstore kami: https://bit.ly/KTCAyman

Taco Bell berharap dengan pembukaan ini mereka dapat menarik sebahagian pelanggan KFC untuk masuk ke dalam restoran. Macam biasa cara ini juga telah gagal. Kegagalan ini juga turut disumbang oleh harga makanan di Taco Bell yang agak sedikit mahal. Tambah malang lagi mereka bermula dengan “street food” tetapi harga makanan seperti “fast food”. Jadi untuk apa pelanggan beli makanan dari mereka jika ada yang lebih murah.

2. Gagal Beradaptasi

Bagi orang Mexico, taco berkualiti tinggi perlulah dihasilkan dengan menggunakan daging segar yang dibeli daripada peniaga tempatan. Masalah Taco Bell ini pula adalah mereka guna daging kisar yang telah diproses. Ditambah lagi, itu merupakan daging sejuk beku yang diimport daripada Amerika Syarikat. Hal ini sekaligus terus merompak ciri asli makanan Mexico iaitu segar dan tempatan.

Apa yang dilakukan oleh Taco Bell sememangnya sangat tidak digemari oleh orang Mexico kerana seperti mempersenda mereka. Jadi sebelum nak masuk ke pasaran mana-mana negara, jenama itu perlu beradaptasi dengan elemen tempatan agar dekat dengan hati rakyat.

3. Saingan Daripada Kedai Tempatan

Biarpun Taco Bell merupakan antara restoran makanan segera gergasi tetapi mereka masih lagi tidak mampu menyaingi kedai makan tempatan yang menjual menu sama. Hal ini kerana terdapat begitu banyak kedai taco yang wujud di Mexico. Kehadiran Taco Bell dengan harga yang agak mahal sebenarnya membuatkan mereka rugi besar sahaja.

Di samping itu, taco adalah makanan yang sinonim dengan Mexico. Jadi tindakan syarikat daripada Amerika Syarikat menjual taco kepada orang Mexico boleh diibaratkan seperti orang Mont Kiara cuba jual patin tempoyak kepada orang Temerloh. Bermakna menu itu sudah sebati dengan jiwa tempatan dan apa-apa tindakan menjual makanan yang sama pasti tidak dapat sambutan.

4. Awak Terlalu Amerika Untuk Saya

Fokus Taco Bell untuk menjual taco iaitu makanan daripada Mexico di seluruh dunia memang sudah cukup bagus. Namun ada kekurangan yang mungkin negara lain kurang peka kerana tidak terdedah dengan makanan Mexico. Bagi orang Mexico, pergi ke Taco Bell seperti masuk ke kawasan yang sangat asing.

Hal ini demikian kerana side dish yang dijual di Taco Bell sangat berorientasikan Amerika Syarikat. Sebagai contoh, set taco disertakan sekali dengan french fries yang sangat sinonim dengan budaya Amerika. Jadi situasi ini boleh dikatakan sebagai pencabulan terhadap warisan makanan Mexico. Oleh sebab itu, Taco Bell terus dipandang sepi oleh orang Mexico.

Jangan lupa dapatkan buku terbaru terbitan The Patriots, GENESIS II di webstore kami: bit.ly/GenesisIIZamir

Kesimpulannya, beradaptasi dengan unsur-unsur tempatan dan mengenali pelanggan adalah faktor penting bagi memastikan perniagaan mampu berkembang di kawasan asing. Jika tidak mahu berubah, jangan terkejut jika produk anda semakin menjadi tidak relevan di mata pelanggan.

RUJUKAN:

Fin, C. (2021, Januari 21). Why Taco Bell flopped in Mexico. Mashed. 

Share.

Seorang marhaen dari UITM Puncak Perdana yang meminati sejarah, sastera, falsafah, sukan, muzik dan ekonomi. Mata pena lebih tajam daripada mata keris dan menulis sekadar untuk meluah rasa jiwa sahaja.

Leave A Reply