Pada 31 Ogos setiap tahun, kita sebagai rakyat Malaysia akan menyambut tarikh kemerdekaan Malaysia daripada penjajahan British. Pada tahun ini, tarikh 31 Ogos akan jatuh pada hari Khamis, bersamaan 9 Zulhijjah 1438 Hijriah menurut calendar Hijrah. Pada keesokan harinya, iaitu pada tarikh 1 September 2017, Muslim (khususnya di Malaysia) akan menyambut pula Hari Raya Korban atau Aiduladha yang jatuh pada tanggal 10 Zulhijjah 1438 Hijrah. Agak menarik kerana kedua-duanya iaitu Sambutan Kemerdekaan dan Hari Raya Korban jatuh serentak pada minggu yang sama.

Umum mengetahui bahawa Malaysia kita merupakan sebuah negara berperlembagaan, berdaulat dan merdeka. Namun, sebelum kita mencapai status negara bebas dan merdeka seperti yang dikecapi sejak 60 tahun lepas, kita pernah dijajah oleh kuasa Barat dan Timur lantaran impak daripada perebutan kuasa yang berlaku antara blok dunia. Umum diketahui bahawa pada waktu tersebut, kuasa-kuasa Barat berebut tanah jajahan di luar pesisir pantai mereka sebagai bukti perluasan tanah jajahan dan kekuatan mereka.

Mengikut sejarah, kita boleh melihat Empayar British telah menjajah dan menguasai Tanah Melayu, Kepulauan Borneo, beberapa negara Afrika seperti Nigeria, Malawi, Mesir, Namibia dan banyak lagi, negara di Asia Selatan seperti Bangladesh, India dan Pakistan serta banyak lagi, Sepanyol pula meluaskan pengaruh mereka di Filipina, Mexico & Argentina, Portugis pula di Brazil, Angola, Mozambique, serta tidak dilupakan Belanda dan Perancis. Sebagaimana diketahui, Malaysia sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka telah dijajah oleh beberapa kuasa Barat dan Timur, iaitu Portugis, Belanda, Jepun dan British.

Portugis dikatakan telah menjajah Tanah Melayu sejak kedatangan mereka bagi menguasai Melaka pada tahun 1511 dan berakhir pada 1641, bermaksud mereka telah menjajah Tanah Melayu selama 130 tahun. Seterusnya datang pula Belanda sebagai salah satu kuasa imperialisme Barat yang menduduki Melaka dan Kepulauan Betawi bermula tahun 1641 sehingga 1824, iaitu selama 183 tahun. Seterusnya penjajahan British pula bermula pada 1824 dan berakhir pada tahun 1957, selama 130 tahun dengan Jepun juga pernah menduduki Tanah Melayu dan Borneo selama 3 tahun, iaitu pada tahun 1942 dan berakhir apabila Amerika Syarikat mengebom Hiroshima dan Nagasaki dengan bom atom yang menyebabkan Jepun menyerah kalah dan lari meninggalkan Tanah Melayu pada 1945.

Apa yang hendak diceritakan di sini adalah, selama tempoh pendudukan penjajah di tanah air kita, tidak kira sama ada di Tanah Melayu, Sabah atau Sarawak, wujud individu atau sekumpulan penduduk tempatan yang berusaha untuk berjuang bermati-matian demi mempertahankan kedaulatan tanah air serta maruah penduduk tempatan daripada dirobek atau dicemari oleh tangan-tangan penjajah dan penjarah asing. Kita dapat lihat munculnya pejuang tanah air sejak dahulu seperti Abdul Rahman Limbong, Rentap, Tok Gajah, Sharif Masahor, Seputum, Rosli Dhobi, Rentap dan ramai lagi. Juga jangan dilupakan pejuang era pra-kemerdekaan seperti V.T. Sambanthan, Tungku Abdul Rahman, Tun Henry H.S. Lee, Dato’ Onn Jaafar dan ramai lagi yang terdiri daripada berbilang kaum dan etnik.

Sambutan Hari Raya Korban pula disambut oleh Muslim seluruh dunia sempena meraikan peristiwa apabila Nabi Ibrahim diuji untuk mengorbankan anakanda tercinta iaitu Ismail sebagai bukti ketaatan kepada Allah SWT sebagaimana yang disebut di dalam kitab suci umat Islam iaitu al-Quran. Ismail yang sangat mencintai ayahnya dan merupakan seorang hamba yang taat kepada perintah agama merelakan diri untuk dikorbankan sebagai simbol pengabadian diri kepada Allah SWT. Namun akhirnya Ismail ditukarkan dengan seekor kibas atau biri-biri untuk dijadikan bukti korban kepada Allah SWT.

Perjuangan kemerdekaan itu tidak mudah, akan tetapi ia dilakukan juga oleh insan-insan berdedikasi ini untuk menunjukkan kepada anak watan bahawa jika kita meletakkan hati pada sesuatu perkara, tidak mustahil perkara tersebut mampu dicapai walau sesukar mana sekali pun. Perjungan menuntut kemerdekaan demi keselesaan hidup generasi akan datang sama seperti konsep pengorbanan bagi sambutan Hari Raya Aidiladha, iaitu kedua-duanya menuntut kerelaan hati dan sanggup berkorban diri.

Jika dilihat dengan logik akal, bolehkah kita fikirkan pejuang-pejuang kemerdekaan ini sanggup berkorban masa, kesihatan diri sendiri, hubungan keluarga bahkan nyawa demi keselesaan orang lain yang bukan terdiri daripada darah daging dan keluarga mereka. Namun mereka semua ini berjiwa besar dan kental serta mempunyai visi untuk dicapai, oleh kerana itu mereka sanggup berkorban jiwa dan raga demi mendapatkan kemerdekaan dan seterusnya membantu perkembangan politik, ekonomi dan sosial penduduk di Tanah Melayu, Sabah & Sarawak.

Adalah baiknya kita generasi sekarang cuba sedaya upaya untuk menjaga dan mengekalkan kemerdekaan serta nikmat yang kita kecapi kini. Memang tidak dinafikan akan ada insan-insan berkepentingan peribadi cuba untuk mengganggu gugat keharmonian dan keutuhan perhubungan kita di Malaysia ini, namun sebagai insan yang boleh berfikir dan diberi akal, maka seharusnya kita sedaya upaya menangkis sebarang gbentuk asakan insan berkepentingan peribadi ini melalui cara dan kaedah yang betul agar nikmat kemerdekaan hasil pengorbanan pejuang dahulu dapat dikekalkan selamanya.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-60 dan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha 1438 Hijriah.

RUJUKAN

a) Mardiana Nordin dan Hasnah Hussin. (2014). Pengajian Malaysia. Shah Alam. Oxford Fajar.

b) Shamsul Amri Baharuddin (Ketua Editor). (2013). Modul Hubungan Etnik Edisi kedua. Bangi: Institut Kajian Etnik UKM.

c) Zaid Ahmad, et al. (2013). Hubungan Etnik di Malaysia edisi ketiga. Shah Alam: Oxford Fajar.

d) Ahmad Zaki Abdul Latiff, Azam Hamzah dan Azhar Mad Aros, (2015). Tamadun Islam dan Tamadun Asia. Kuala Lumpur: Oxford Fajar.

e) Roziah Sidik, Zulkarnain Mohamed & Nasruddin Yunos. Pengajian Islam Edisi Kedua. Shah Alam: Oxford Fajar


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Pengajian Islam (Usuluddin & Falsafah), Seorang penulis, pendidik dan peminat falsafah Muslim.

Leave A Reply