Nama : Mohd. Zabri Bin Abdul Hamid

Pangkat terakhir : ASP ( Penolong Penguasa Polis)

Pasukan : VAT69 Komando

Tarikh lahir : 15 Ogos 1937

Nama ayah : Encik Abdul Hamid – bekerja kampung

Nama ibu : Mahiyah Mohd. Shah – surirumah

Anak ke : 2 daripada 9 adik beradik

Asal : Tapah, Perak

 

Pendidikan :

– Sekolah Melayu Tapah

– English Government School, Tapah (Senior Cambridge)

 

Kerjaya :

– Guru di Slim River, Perak ( 1958)

– Pegawai rendah di Jabatan Penyelidikan Getah, Kuala Lumpur (1959) – selepas lulus  kursus di Institut Penyelidikan Getah, Sungai Buloh. Ditugaskan di Masjid Tanah, Melaka sebelum berpindah ke Taiping, Perak.

– Inspektor Pelatih di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur

–  Pegawai Penyiasat di  Balai Polis Sentral, Pulau Pinang –  bertanggungjawab dalam pembanterasan  kegiatan judi, pecah rumah, dan kecurian,  kemudian dipindahkan ke  Balai Polis Nibong Tebal

– Diserap ke dalam pasukan  Pasukan Polis Hutan (PPH) –  unit pertama adalah  PPH No. 6 (Batalion 3)  di Ulu Kinta, Ipoh, Perak

– Dinaikkan pangkat kepada   Inspektor pada 1 Jun 1966 –   dilantik menjadi Platun Komander bagi operasi-operasi yang dijalankan di samping sebagai  Jurulatih Sekolah Latihan PPH, di Kroh, Perak

– Dilantik sebagai Komander Kubu ( 1970) – di kubu (Fort) Kemar, Perak dan di Cabai, Kelantan

– Julai 1970 – dengan sukarela menawarkan  diri untuk menjadi anggota Unit Komando VAT 69 ( ketika itu SPU – Special Project Unit)

-1971 –  dilantik sebagai Ketua Jurulatih Komando pertama VAT69 di Kubu Legap, Perak

 

Pembabitan Operasi :

 

  • Bukit Sungai Kunyit, di sempadan Malaysia- Thailand

Kejayaan melibatkan penawanan khemah komunis selepas pertempuran selama 45 minit. Turut ditahan adalah ketua komunis – Mat, yg memiliki senjatan sten gurn bersama   114 butir peluru yang dililit di  pinggangnya.

 

  • Bersama Platun 2, Kompeni C, mengambil-alih tugas Platun A bagi membersihkan jerangkap samar dan ranjau yang mengelilingi sebuah khemah komunis yang baru dijumpai di sempadan, sehingga berjaya mebgubah kem itu menjadi tempat menurunkan bekalan makanan dinamakan sebagai DZ INDIA. Beliau turut menggunakan kepakaran dalam bidang pemusnahan bom bagi memusnahkan 21 biji bom Perang Dunia Kedua dan lubang-lubang pertahanan yang digunakan oleh komunis.

 

  • Operasi Jemput Tiga, Sarawak

Operasi bermula pada  Oktober 1971 selama 5 bulan di bawah seliaan Cawangan Khas ( SB)   Sarawak, dengan objektif   untuk merampas dua khemah komunis (PARAKU) yang terletak di Kalimantan Barat, sempadan Malaysia-Indonesia. Pergerakan dimulai dengan  trak tentera dari Kuching ke Lubok Antu, sebelum Zabri dan pasukannya menaiki pesawat Nuri ke   Lubuk Tempayan danmenyudahkan perjalanan dengan  berjalan kaki selama 3 hari, 3 malam melalui hutan tebal. Khemah komunis dijumpai di atas sebuah bukit. Tembakan terpaksa dilepaskan daripada jauh dan tidak memberikan banyak kesan, sehingga Zabri mendaki sendiri bukit tersebut dan menawannya. Bersama-sama pasukannya, beliau telah memusnahkan khemah itu dan kebun sayur di belakangnya setelah mendapati musuh telah melarikan diri.  Beberapa orang daripada kumpulan 16 orang pengganas PARAKU yang menyerah diri selepas itu telah  menunjukkan tempat simpanan  senjata yang terletak jauh di dalam hutan. Penggeledahan menemui  2 laras senapang patah, 26 biji bom tangan dan 44 laras rifel Stirling.

  • Operasi Gonzales , April 1972

Kejayaan menemui  khemah-khemah dan tempat simpanan makanan komunis yang ditinggalkan dalam keadaan tergesa-gesa.

 

  • Operasi Sukat, April 1972 – Sungai Siput, Perak

Maklumat yang diperolehi oleh SB daripada perbualan  pekerja-pekerja buruh yang bekerja di situ menunjukkan terdapat kegiatan komunis di kawasan tersebut. Zabri dilantik sebagai Ketua Patrol Bravo 1 bagi memastikan kesahihan maklumat tersebut. Kesemua anggota patrol menyamar sebagai pekerja  survei yang kononnya menjalankan kerja-kerja menyukat tanah bagi pemberian  tanah TOL di kawasan itu, dengan menggunakan sebuah Land Rover Pejabat Ukur yang dipinjam bagi tujuan pergerakan, dan  sepucuk pistol setiap orang bagi tujuan mempertahankan diri.

Operasi bermula pada 10 April 1972, dan selama sebulan, Zabri bersama-sama  14 orang anggota patrolnya menjalankan  rondaan di kampung dan hutan . Antara yang terlibat di dalam operasi tersebut adalah lagenda penjejak VAT69, RSM Apot anak Saat yang menceritakan bagaimana mereka terpaksa tidur di kebun ubi pada waktu malam bagi mengaburi mata musuh. Objektif operasi bukan sekadar untuk memburu kumpulan komunis yang berada di kawasan tersebut, tetapi juga melumpuhkan elemen sokongan daripada pihak penduduk yang menyalurkan bekalan  makanan, ubat-ubatan dan maklumat kepada pihak komunis dan secara terus memastikan mereka terus aktif.

Ada di antara penyokong ini yang melakukannya secara sukarela, dan ada juga yang terpaksa setelah diugut dan diancam. Bagi meningkatkan keberkesanan penyamaran mereka,  Zabri dan anggota patrolnya turut   menyamar sebagai buruh bagi mengintai pergerakan musuh yang turut menyamar sebagai  penoreh getah, pekebun ubi dan buruh di sekitar kawasan tersebut. Tugas mereka dipermudahkan apabila penduduk kampung yang dijanjikan  tanah TOL turyt memberikan kerjasam tanpa mengetahui tentang operasi tersebut. 10 hari pertama operasi tersebut walaubagaimanapun tidak mendedahkan sebarang maklumat berkesan.

Namun, hari ke-12 operasi menunjukkan perkembangan positif. Seorang anggota patrol telah menemui  sebuah motorsikal di dalam semak, yang hilang keesokannya sebelum sempat disemak nombor pendaftarannya.  25 April 1972, menyaksikan patrol Bravo 1  digantikan dengan Patrol Charlie 3, yang menjalankan pemantauan  daripada Pos Pemerhatian ( OP)  yang terletak di atas bukit yang menghadap kawasan jalan merah dan kawasan pembalakan yang telah dibuat survei sebelum itu. Sebuah lori bersama 3 penumpang dilihat memasuki kawasan tersebut, dan hanya keluar pada jam 10.45 malam, dengan penumpang yang sama, tetapi tiada muatan. Rasa curiga membuatkan patrol melepaskan tembakan. Pemandu lori tersebut meneyrah diri, tetapi penumpangnya melarikan diri.

Kedua-dua  Patrol Bravo 1 dan  Charlie 3 kemudian digabungkan untuk menjejak penumpang yang melarikan diri itu, disyaki anggota komunis. Semasa menjejak kesan tayar lori, bau damar yang dicairkan menusuk hidung mereka. Kebiasaannya komunis menggunakan damar itu untuk membungkus makanan sebelum dimasukkan ke dalam tong untuk ditanam di dalam tanah ( food dump).   Bah Tradil, Jamil bin Othman dan Bah Tang yang dihantar untuk menyiasat kemudian melaporkan penemuan 3 anggota komunis yang tidak berbaju tetapi memakai  topi bercop Bintang 5 sedang membungkus makanan. Mereka ditugaskan mengawai musuh tersebut sementara anggota yang lain megambil kedudukan untuk menjalankan serang-hendap. Mereka kemudian diarahkan untuk mengawasi kumpulan komunis itu sementara Mohd. Zabri dan anggota lain bergerak ke kawasan itu untuk serang hendap. Sewaktu dihampiri, ternyata kumpulan musuh itu sedang membungkus makanan yang dimasukkan ke dalam  tong dram besar untuk ditanam.

Lakaran kedudukan seranghendap. Sumber : Pahlwan Tegar Merdeka, Ramlah Adam, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2014

Selepas bersebunyi di sebalik salah satu tong dram itu selama 15 minit, ketiga-tiga anggota patrol hampir terdedah kedudukan mereka apabila salah seorang komunis itu menghampiri mereka tanpa disedarinya untuk mengambil tong tersebut. Pertempuran tercetus setelah komunis itu ditembak dan musuh menyedari kehadiran patrol VAT69. dalam keadaan kelam-kabut berbalas tembakan, musuh hanya sempat mengambil rifel persendirian mereka. Selain daripada seorang komunis yang mati, penemuan lain termasuklah  22 rifle, sepucuk pistol Llama, 2 gulung peluru Thomson SMG, 2 gulung kelopak sten gun, peralatan perubatan dan dokumen penting yang ditinggalkan musuh yang melarikan diri. Selain daripada itu, turut ditemui adalah beberapa lubang yang digali di tebing bukit untuk menyimpan makanan, dan 18 tempat simpanan makanan, dengan 85 buah tong dram berisi makanan yang merupakan antara penemuan terbesar oleh  VAT69 dan mungkin juga yang terpenting kerana kedudukannya yang terletak   berhampiran dengan jalan raya yang boleh menghubungkan Selangor di selatan, Pahang di sebelah timur, Kedah di utara dan seluruh Perak, melalui hutan Sungai Siput . sebagai timbal balas, operasi diteruskan melalui  Gerakan Setia I, Seti II serta beberapa gerakan lain. Zabri pula dihargai dengan dihantar bagi menjalani kursus ketenteraan di UK  pada 16 Oktober 1972.

  • Operasi Bamboo – bermula 8 Mei 1973

Laporan risikan mengatakan bahawa komunis makin giat menggunakan Pahang semula sebagai pusat operasi mereka. Zabri dan pasukannya dihantar bagi memriksa kesahihan maklumat. Perjalanan dari Ulu Kinta, merentas belantara   Banjaran Titiwangsa yang berbukit-bukau dan bergunung-ganang selepas 7 hari menemukan mereka dengan jejak yang sering terputus. Penjejakan yang diteruskan menyebabkan mereka berada begitu lama di bawah lembayung pepokok tanpa cahaya matahari, menyebabkan kulit mereka menjadi kuning. Setelah kehabisan bekalan makanan, selama 10 hari mereka terpaksa berlapar sebelum akhirnya bantuan sampai. Penjejakan itu akhirnya berhasil menemukan  26 khemah kecil pengganas yang meudiannya dimusnahkan mereka, membuktikan bahawa komunis sedang giat menjadikan  Pahang sebagai  pusat gerakan mereka yang baru.

  • Siri Operasi Bamboo ( dijalankan 2 bulan setiap siri) – 11 Februari hingga 10 April 1974

Operasi dijalankan sebagai reaksi terhadap tindakan komunis yang telah menculik dan membawa seluruh penduduk Orang Asli di Pos Gob berjumlah 250 orang  ke kawasan pusat kegiatan mereka di Ulu Puian, Sungai Singor dan Sungai Bertak selepas berjaya mempengaruhi penghulu mereka. 25 orang terus ditahan setelah dipilih atas kelayakan bagi dimasukkan ke dalam pasukan mereka, manakala yang selebihnya dihantar pulang ke Pos Gob. 5 daripada yang ditahan itu adalah anggota Senoi Praaq yang telah berkahwin dengan wanita daripada pos tersebut. Zabri dan pasukannya ditugaskan menjejak dan mendapatkan kembali kesemua anggota Senoi Praaq tersebut.

Pusat Operasi Taktikal (TAC) telah dibuka di Kuala Tiang, Sungai Perak pada 11 Mac 1974 dan 3 patrol ditugaskan memulakan penjejakan  di Lembah Singor. Keesokannya, pasukan telah menemui kean komunis iaitu 8  tempat rehat berkemampuan memuatkan antara 6 hingga 8 anggota terletak berjarak 1000 meter antara setiap satu yang baru saja ditinggalkan. Pada  22 Mac 1972,  19 tempat rehat lagi dijumpai, bersama-sama 3 bekas senjata dan  3 tempat simpanan makanan, yang menyimpan  daging dan lemak gajah, serta peralatan lain seperti   petrol dan minyak enjin (untuk menghidupkan generator), uniform hijau, dettol, pita kaset, alat menggali dan perangkap binatang. Keesokannya, Zabri terdengar suara orang bercakap semasa membuat penjejakan dan terus mengarahkan anggotanya, Tracker Apot dan Jantan untuk mengesan suara tersebut. 30 meter ke hadapan mereka, kedua-duanya telah terjumpa jejak daun-daun kering yang digunakan untuk menutup laluan yang digunakan oleh  komunis. Laluan itu membawa kepada  sebuah tebing yang membuka ke  satu kawasan lapang dipenuhi  batu-batu yang sederhana besarnya, di mana 3 komunis sedang menyediakan bekalan makanan untuk tujuan simpanan.

Zabri segera menyusun perancangan. Satu patrol akan maju menyerang musuh manakala 1 lagi akan melakukan back stop bagi menyekat pergerakan musuh seterusnya. Ketika mengambil kedudukan untuk serangan, patrol back stop terdengar bunyi di bahagian belakang mereka, disusuli kehadiran mengejut seorang komunis yang membawa ayam hutan dan buah-buahan bersamanya. Tindakannya cuba melepaskan tembakan segera dipancung patrol yang melepaskan tembakan pertama. Mendengar bunyi dentuman yang menumbangkan rakan mereka, 4 lagi anggota musuh muncul daripada bahagian belakang. Tembakan yang berbalas menyaksikan kedua-dua patrol penyerang can back stop diapit oleh musuh di bahagian hadapan iaitu 3 orang tadi, dan 4 orang lagi di belakang mereka.  Mujurlah kedudukan rapat rumpun buluh yang ada berjaya menghalang tembakan daripada musuh. Walaubagaimanapun, pertarungan selama setengah jam itu menyaksikan seorang anggota komunis cedera manakala   Koperal Aziz cedera ditembak di bahagian perut.

Penggeledahan berikutnya menemukan 6 periuk alumunium,13 botol air, 2 tin berisikan beras, 4 tin quakeroats, 4 tin susu cair cap junjung, 5 kati tepung gandum,10 kg gula, satu tin ubat-ubatan dan hampir 400 kilogram daging gajah salai selepas musuh melarikan diri. Ia mendedahkan hakikat bahwa kedudukan tersebut yag terletak jauh ke dalam belantara dan menjadi laluan strategik   pergerakan bantuan makanan yang meliputi  selatan Thailand, Kelantan dan ke Ulu Perak membolehkan komunis menggunakan selatan Thailand sebagai pusat operasi dan perkampungannya selepas tahun 1953.

Sumber : Pahlwan Tegar Merdeka, Ramlah Adam, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2014
  • Operasi Bamboo 1 dan 2 – 18 Mei hingga 12 Jun 1974

15 patrol dilibatkan dalam operasi berterusan  26 hari tanpa henti. Hasil penemuan termasuk 2 khemah, 17 tempat rehat komunis dan 3 tempat simpanan makanan.

  • Operasi Bamboo 3 – 13 hingga20 Jun 1974

Penemuan 2 khemah, 18 tempat rehat komunis dan 1 tempat simpanan makanan. .

  • Operasi Bamboo 4 – bermula 21 Jun 1974

Zabri dan 4 patrol berkekuatan 24 anggota  kembali ke Lembah Singor. Selepas diturunkan daripada pesawat di Fort Gob, perjalanan kaki diteruskan selama 2 hari dengan menyeberangi sempadan Kelantan dan Perak ke Point Bravo, terus ke titik  pertemuan Sungai Singor dan Sungai Rambutan yang dipanggil Point Charlie. Tinjauan ke satu pondok yang dijumpai mendapati ianya telah ditinggalkan, lalu Zabri mengarahkan satu pos diwujudkanbagi memantau pondok itu. Lokasinya juga sesuai sebagai penampan serangan musuh dan bagi melancarkan serangan hendap.  Bagi menjaga kerahsiaan pergerakan, anggota patrol terpaksa menggunakan laluan belakang pondok itu yang dipenuhi tahi gajah dan perbualan dielakkan melainkan dengan berbisik. Itupun hanya untuk perkara pentig saja. Sesi kawalan digilirkan setiap 6 jam, dan claymore mine sebagai perangkap diaktifkan antara jam  7.00 pagi hingga 7.00 malam pada setiap hari di kawasan berdekatan pondok itu .

Selama 41 hari operasi berjalan, tiada apa yang berlaku. Pada hari ke-42, Komander pasukan VAT69,  A. Navaratnam telah datang melawat. Belum sempat Zabri memohon agar anak buahnya direhatkan sementara dan digantikan dengan  Pasukan Polis Hutan, terdengar bunyi letupan dan tembakan. Pengesahan mendapati letupan itu telah menyebabkan seorang komunis wanita  terbaring berlumuran darah tidak berapa jauh daripada pos kawalan. Laporan daripada anggota yang berkawal menyatakan bahawa mereka ternampak 3 komunis  telah muncul di kaki bukit tersebut – seorang daripadanya telah merangkak ke arah pondok itu dan mengambil segulung kertas kecil yg terselit di celah atap pondok itu, sementara 2 lagi rakannya berlindung di belakang pokok. Letupan berlaku apabila komunis itu berdiri dan bergerak. Ia lantas mencetuskan tembakan daripada kedua-dua pihak. Anggota yang merangkak itu telah terbunuh manakala kedua-dua rakannya melarikan diri. Penjejakan gagal menemukan mereka semula.

Terjemahan tulisan cina pada nota kecil itu mendedahkan arahan untuk 2 kumpulankomunis bertemu di pertemuan dua sungai yang tidak  tercatat di dalam peta rujukan dan gerakan yang dibekalkan kepada pihak komando. Malah, nama sungai itu juga menggunakan nama orang asli yang menjadi anggota Parti Komunis Malaya yang dikenal sebagai asal –  menjadi pembekal makanan, jurupandu arah dan sangat cekap mengelirukan maklumat supaya tidak difahami oleh pihak keselamatan. Sepatutnya perjumpaan itu berlaku pada hari itu, tetapi penjejakan keesokannya mendapati tempat pertemuan telah ditinggalkan selepas kegagalan pasukan kedua untuk tiba dalam tempoh 48 jam seperti ditetapkan.

  • Operasi Bamboo 6 – bermula 7 Julai 1975

Daripada  24 orang anggota VAT69 Komando, jumlah ditambah menjadi   93 orang . Untuk berfungsi sebagai Pusat Operasi Taktikal (TAC), Pos Tapong yang telah lama ditinggalkan, digunakan semula dengan ledudukannya diubah supaya lebih tinggi menghala ke arah  Sungai Perak. Sebagai persediaan, sebuah landing pad bagi helikopter telah dibina bagi memudahkan proses mengangkut keluar mangsa yang mengalami kecederaan. Setelah seminggu penjejakan dilakukan, kesan komunis   bergerak  ke arah Gunung Ulu Nakar dan menyeberangi  sempadan Thailand telah dijumpai, bersama-sama 5 tempat rehat yang boleh memuatkan seramai 25 orang anggota, yang kelihatan sering digunakan. 6 km daripada sempadan Thailand, telah dijumpai tempat rehat terakhir dalam kedudukan strategik untuk pelancaran serang hendp di mana ianya  merentas kawasan gaung yag terdapat air terjun di bawahnya dan hanya boleh dilalui secara dalam satu barisan.

 

Sumber : Pahlawan Tegar Merdeka, Ramlah Adam, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2014

Melihat strategiknya kawasan itu, Zabri telah mewujudkan satu pusat operasi di situ, di mana beberapa buah claymore mines yang suisnya dipegang anggota VAT69 di pasang di situ. Bagi melalui kawasan itu, VAT69 bertindak mewujudkan laluan lain. Bagi menghantar bekalan makanan kepada pasukan, laluan sungai digunakan dan pada 28 Ogos 1975, pasukan menghantar makanan telah diserang. Ia disedari Zabri setelah kumpulan itu tidak sampai juga ke  Pos Tapong walaupun jam telah menunjukkan  11.30 pagi, walaupun pihak markas telah mengesahkan mereka telah bertolak pada awal pagi. Tiba-tiba, kedengaran pula bunyi letupan. Tidak berlengah Zabri dan kumpulannya menjalankan pemeriksaan.  Pada pukul 3.00 petang, mereka menemui pemandangan yang sungguh dahsyat. Di tebing sungai tompokan darah kelihatan di merata-rata tempat, dan bukti menunjukkan mangsa telah ditembak di tebing sebelum diseret ke sungai. Serpihan bot terapung-aung di muka air – berkemungkinan besar dimusnahkan sebelum ditenggelamkan.  Bunyi letupan yang mereka dengar mungkin datangnya daripada minyak sebanyak  44 gelen yang sepatutnya digunakan untuk untuk menghidupkan generator Pos Tapong yang telah dibakar. Salah satu mayat Special Constable yang sepatutnya menghantar bekalan makanan itu telah didapati terikat pada enjin bot itu setelah bot itu diangkat, dan terdapat kesan beliau telah   diseksa, ditembak dan dibakar sebelum meninggal dunia sehinggakan mayatnya tidak dapat dicam.

Operasi penggeledahan disambung keesokannya setelah terpaksa dihentikan kerana cuaca sudah gelap. Perjalanan di sepanjang denai berdarah itu kemudian menemukan 3 lagi mayat yang terapung di sungai – kesemuanya mempunyai  kesan tembakan yang menembusi badan-badan mereka, serta  luka besar akibat dikelar dan ditoreh dengan kejam. Ada juga anggota yang matanya dicabut keluar.  Bekalan makanan yang dibawa serta senjata mereka yang terkorban itu  untuk dirampas oleh komunis.

Penjejakan seterusnya menemui sebuah pangkin buluh yang dipenuhi dengan ikan yang telah disalai, menunjukkan musuh  telah berada di kawasan itu hampir seminggu dan melarikan diri ke  sempadan Malaysia-Thailand selepas serangan itu.

Geram dengan apa yang berlaku, pasukan VAT69 tekad untuk menjejak komunis yang melakukan onar itu. 6 hari menjejak, danmereka berjaya menemui gerombolan tersebut, yang membawa kepada pertempuran selama 30 minit. Zabri yang sedang berada di Pos Tapong segera membawa patrolnya untuk memberikan bantuan setelah dmendapat maklumat. Namun, pergerakan mereka tidak secepat yang diinginka. Perjalanan terpaksa meredah  hutan tebal dan bukit-bukau, memaksa mereka bermalam di sebuah bukit kecil akibat malam yang menyerkup pantas diiringi hujan lebat.

Mereka sampai ke lokasi pertempuran pada  pagi 3 September 1975, di mana  Ismail Daud dan Wan Tahir yang mengetuai 2 patrol yang terlibat di dalam pertempuran itu menyampaikan laporan.  2 anggota cedera parah, termasuk  Sheikh Ismail, ketua patrol yang ketiga. Kedua-duanya diusung keluar. Pemburuan tidak dapat diteruskanmemandangkan kawasan itu dipenuhi jerangkap samar, dan dekat pula dengan sempadan Thailand di mana terletaknya kubu kuat komunis. Namun, penggeledahan menjumpai pelbagai barangan yang ditinggalkan komunis itu. Antaranya adalah selaras mortar besar, selaras mortar kecil, 60 kg ikan salai, 5 kg beras, 4 paket glukos, 15 tin kecil Milo, 2 tin besar Quaker Oats, sejumlah besar ubat-ubatan dari Thailand dan juga dokumen-dokumen bertulisan Cina. Turut dijumpai adalah  barangan yang dirampas daripada Special Constable penghantar makanan tempohari – 3 shotgun dan 60 katrij milik anggota , serta enam bungkusan bekalan makanan yang sepatutnya dihantar ke Pos Tapong.

Ketika perjalanan pulang ke Pos Tapong, pasukan Zabri bergerak secara dalam barisan, dengan  trackernya, Bah Udar, berada di hadapan. Entah bagaimana, beliau telah memijak  kawasan pasir di tebing Sungai Kenarong yang tidak dilalui oleh  Bah Udar. Tiba-tiba kawasanitu digegarkan oleh bunyi letupan, dan Zabri melambung ke udara. Selepas asap reda, anak-anak buahnya berlari mendapatkan beliau dan mendapati  beliau  terbaring berlumuran darah degan  kaki kanannya hancur sehingga ke paras butnya dan peha serta testikelnya berkecai . meski menanggung kesakitan, beliau masih meminta peta untuk mengenapasti kedudukan mereka, dan sebatang rokok. Dalam kesakitan itu juga, beliau masih meminta senjata untuk terus mengejar musuh.  Sarjan Abdul Rahman cuba memberi rawatan awal, dan mereka anggota platun menyiapkan usungan untuk membawa beliau keluar dalam keadaan penuh mencabar serta dimarahi oleh beliau. Mereka tidak ambil kisah kerana tahu yang beliau berada dalam kesakitan. Sebaik dimaklumkan tentang kejadian, pihak markas segera menghantar sebuah pesawat untuk mengeluarkan beliau, tetapi usaha itu terhalang oleh hutan tebal yang tidak membenarkan pendaratan dibuat. Pesawat hanya dapat mendarat keesokannya iaitu pada 4 September 1975 di sebuah landing pad lama, tetapi Zabri telah menghembuskan nafas terakhir setelah diajar mengucap oleh  Inspektor Ishak.

Beliau meninggalkan tiga orang isteri dan enam orang anak. Atas sumbangannya kepada negara, beliau telah dianugerahkan Pingat Pekerti Terpilih (PPT) oleh Sultan Perak (1972),  Ahli Mangku Negara (AMN) oleh Yang di-Pertuan Agong (1976) dan pangkat  ASP secara post humous. Namanya diabadikan di sebuah kubu telah diabadikan di  Fort Zabri di Grik, Perak yang kini sudah dirobohkan, dan pada sebuah kenderaan APC Polis Diraja Malaysia…=WRA=

Kem Zabri di Grik, Perak
APC Zabri
Pusara Allahyarham ASP Zabri di Tapah, Perak

Sumber:

Pahlawan Tegar Merdeka, Ramlah Adam, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2014

The Spear and , A.Navaratnam, Utusan Publications, 2001

Apot : Si Hidung Besar, Aenid Abdullah – bakal terbit

Transkrip Temuramah Bersama RSM Apot anak Saat, Dr. Nizam Ali, Institut Integriti Malaysia

Temuramah bersama veteran-veteran VAT69 Komando


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Aenid Abdullah, berkelulusan B.Ed.TESL ( Hons.) daripada Universiti Of Exeter, United Kingdom dalam bidang Bahasa Inggeris adalah anak desa berasal dari sebuah desa kecil di Kedah. Meski sudah jauh merantau, beliau tidak pernah lekang daripada kesukaannya terhadap sambal belacan,durian,petai dan harum bumi Malaysia tatkala disimbah hujan. Kecintaannya yang paling besar adalah terhadap dunia pertahanan, senjata, motorsikal berkuasa tinggi dan aktiviti-aktiviti mencabar.

Leave A Reply