Nama : Yaacob Hassan
Lahir : 1952
Asal : Kampung Manggol Kambing, Pendang, Kedah
Pasukan Terakhir : 21 Rejimen Gerakhas ( Kini 21 GGK)
Alamat : Pantai Tanah Merah, Tg. Kling, Melaka
Bersara : 1990
Keluarga : Isteri – Fatimah Salleh, sembilan anak

Ketika menyertai pasukan askar pada tahun 1970 pada usia 18 tahun, Yaacob tidak pernah terlintas atau terfikir tentang nasibnya selepas itu. Apa yang diketahuinya adalah, minatnya terhadap dunia ketenteraan telah bercambah sejak kecil, dan disokong pula oleh kedua orang tuanya. Selepas saja tamat latihan asas rekrut di Port Dickson, beliau telah diserapkan ke dalam pasukan 10 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Terendak, Melaka. Minat yang teramat mendalam di dalam bidang ini telah membuatkan beliau mencuba nasib di dalam pemilihan asas Komando Gerakhas, dan berkat semangatnya, beliau telah terpilih menyertai Skuadron X-Ray Alfa, 21 Rejimen Gerakhas ketika itu di Kem Sg. Udang, Melaka pada tahun 1972. Sedikit tidak disangkanya bahawa beliau akan membawa parut kenangan yang tidak mungkin dapat dihilangkannya seumur hidup selepas itu. Sekiranya anda pernah membaca kisah yang pernah saya tulis, “18 vs 300”, anda mungkin dapat mengaitkan insiden yang telah menyebabkan En. Yaacob kehilangan tangannya itu.

Insiden tersebut berlaku sekitar jam 10.00 pagi pada 21 April 1976, semasa perlaksanaan Gerakan Gubir II di sempadan Thailand-Malaysia dalam usaha menawan kem komunis yang cukup besar sehingga boleh dianggap sebagai sebuah perkampungan itu dan mampu memuatkan sehingga 1,000 orang musuh. Ianya lengkap dengan segala fasiliti seperti dewan, pentas dan gelanggang bola keranjang. . Bersama-sama 44 orang rakan daripada pasukan 21 RGK, serta pasukan Kor Jurutera, mereka telah mula berdepan cabaran getir sejak sebelum didaratkan di kawasan itu, akibat tentangan hebat yang diberiakn oleh pasukan musuh. Menambahkan cabaran adalah jerangkap samar serta periuk api yang ditanam di kawasan tersebut.

Usaha mendaratkan pasukan ke kawasan itu dimulakan dengan tembakan pembuka oleh pesawat-pesawat Northrop F-5E. Sejurus selepas tembakan yang mengkucar-kacirkan kedudukan musuh itu, 3 buah pesawat Nuri mula membawa masuk pasukan mereka ke situ. Usaha mendarat walaubagaimanapun, menjadi terhalang oleh tembakan balas daripada musuh di segenap arah. Anggota pasukan terpaksa menggunakan kaedah repelling untuk turun daripada pesawat, iaitu menggunakan tali. Sebaik tiba di bawah, rakan-rakan pula cuba memberi tembakan perlindungan kepada mereka yang masih berada di dalam pesawat supaya mereka dapat turun tanpa mengalami kecederaan akibat tembakan musuh yang bertali arus itu, dianggarkan berkekuatan sekitar 200 orang. Pesawat ketiga pula terpaksa menunggu sehingga tembakan bantuan diberikan oleh gunship iaitu daripada pesawat Alouette.

Pesawat F-5E

Pesawat Nuri. Ketika kejadian tersebut, pesawat Nuri ( Sikorsky S-61A-4) belum memiliki radar doppler di bahagian hadapannya ( hidung)

Pesawat Alouette yang banyak menjalankan tugas sebagai gunship semasa era insurgensi

Sebagaimana mereka muncul dengan tiba-tiba, begitu jugalah musuh menghilang dengan tiba-tiba. Penyiasatan lanjut mendapati terdapat terowong sulit yang digunakan bagi pergerakan mereka rupanya. Pertempuran berlangsung kira-kira sejam ketika itu. Terowong inilah yang menjadi intipati operasi pembersihan pasukan keselamatan ketika itu. Dengan wujudnya terowong tersebut, pasukan musuh dengan mudah dapat mengakibatkan pelbagai masalah kepada pasukan keselamatan, kemudiannya lari berundur ke kawasan sempadan.

Penggeledahan terus dijalankan di kem tersebut yang ternyata telah ditinggalkan musuh secara tergesa-gesa. Di sepanjang penggeledahan inilah, beberapa anggota pasukan keselamatan telah terjebak oleh jerangkap samar, yang mengakibatkan kematian dan kecederaan serius ke atas mereka. Anggota pertama yang menjadi mangsa adalah Staf Sarjan Ahmad Jantan, dan kemudiannya Trooper Hussin Mahbib. Yang telah kehilangan kaki mereka akibat letupan. Selepas insiden tersebut, beberapa tahun kemudian, maklumat daripada salah seorang komunis yang telah menyerah diri telah menyatakan tidak kurang 7,000 butir jerangkap samar telah ditanam di situ sekitar tahun 70-an, sebelum operasi tersebut dilancarkan.

Kerana kecederaan teruk yang dialami oleh kedua-dua anggota tersebut, panggilan bantuan untuk pesawat mengangkut mereka keluar telah dilakukan, dan maklum balas telah diberi oleh pihak markas. En. Yaacob ketika itu telah ditugaskan untuk membersihkan laluan yang akan digunakan bagi membawa kedua-dua anggota tercedera tersebut ke kawasan pendaratan pesawat. Kerana telah diberikan amaran agar berhati-hati di sekitar kawasan tersebut yang berselirat dengan jerangkap samar, En. Yaacob benar-benar memasang matanya. Sepanjang melalui lorong yang akan digunakan untuk membawa mangsa tersebut, beliau telah mengesan tidak kurang 4 butir jerangkap samar. Enggan bahan letupan itu mengorbankan mangsa seterusnya, beliau telah berjaya mematikan kesemuanya. Namun, ketika mendekati kawasan lapang yang akan digunakan sebagai tapak pendaratan itu, beliau mendapati terdapat sebutir lagi jerangkap yang agak asing, iaitu jerangkap samar jenis baru yang menggunakan bom tangan buatan Czechoslovakia. Hasratnya untuk mematikan jerangkap itu walau bagaimanapun tidak kesampaian. Sebaik dihampiri, ia mula berasap dan sejurus kemudian terus meletup dengan tiba-tiba.

Letupan kuat itu telah mencampakkan En. Yaacob sejauh 3 meter. Kecederaannya agak parah – tangan kanannya putus dan hancur manakala sebahagian tapak tangan kirinya turut hancur, manakala kening dan tepi dagunya terkoyak. Selain daripada kehilangan tangannya, insiden tersebut juga telah menyebabkan mata kirinya menjadi rabun sehingga sekarang. Mungkin kerana adrenalin yang menderu semasa kecederaan tersebut, beliau tidak merasa sakit, sebaliknya hanya merasa kebas. Pesawat yang tiba untuk mengangkut kedua rakannya yang tercedera itu kini mempunyai seorang lagi mangsa untuk dihantar ke hospital. Lebih 20 operasi di mana 3 kali beliau bertembung dengan musuh, En. Yaacob akhirnya tewas kepada jerangkap dipasang musuh itu. Selama 6 bulan, En. Yaacob terpaksa menjalani rawatan dan pemulihan di 3 hospital tentera yang berlainan.

Antara respon daripada pembaca terhadap artikel berkenaan En. Yaacob sebelum ini di page The Realblackdaggers ( tidak lagi aktif pagenya)

Selepas sembuh, beliau kembali bekerja. Namun, kecederaan yang dialami telah menyebabkan beliau tidak lagi dapat bertugas di dalam pasukan tempur. Kerana itu, beliau sebaliknya ditugaskan untuk menjaga stor senjata. Walau bagaimanapun, dek kerana sebelah tangannya yang kudung, En. Yaacob mendapati ianya sangat sukar dan kekok kerana beliau susah mengendalikan senjata. Beliau cuba memohon ditukarkan ke bahagian bengkel perkayuan. Permohonan beliau dikatakan hanya diterima setelah 4 kali. Meski berdepan dengan kesukaran meneruskan hidup, beliau tidak pernah mengalah. Semangat komando yang telah diterapkan membuatkan beliau terus tegar menghadap segala cabaran, sehinggalah beliau bersara pada tahun 1990. Pengalaman dan pengetahuan yang dikutipnya sepanjang bertugas itu digunakan sebaiknya bagi meneruskan kehidupan selepas itu. Menurut beliau, ketika zaman tersebut, para anggota pasukan keselamatan seperti beliau tidak mempunyai insurans kelompok dan faedah lain seperti mana pada hari ini. Ketika beliau tercedera itu, beliau hanya menerima pampasan sebanyak RM2,000 sahaja. Sehingga kini, beliau memperolehi pencen sebanyak RM820 serta bayaran elaun perubatan di atas kecacatannya yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM1,400 sebulan.

Namun, itu semua tidak menghalang beliau terus menjaga keluarga dan membesarkan anak-anaknya. Anaknya yang ketiga turut menyertai pasukan Tentera Darat sebagai waris penyambung perjuangannya. Mereka yang mengenali En. Yaacob mungkin pernah terserempak dengan beliau dan menyedari betapa ramahnya beliau. Saban kali, beliau sudi berkongsi kisah. Generasi muda mungkin tidak mengenali lelaki ini sebagai seorang bekas komando yang cukup hebat dan lincah satu ketika dulu. Mungkin ada yang hanya pernah nampak beliau duduk melepak di depan rumahnya – tempat kegemaran beliau merenung kehidupan yang berlalu di depan mata.

Di sebalik kecacatan yang menjadi kenangan beliau di dalam perkhidmatan, En. Yaacob sebenarnya adalah seorang tukang kayu yang sangat hebat. Di mana hebatnya? Siapa sangka bahawa En. Yaacob ini memiliki “tangan besi” yang banyak membantu beliau menjalankan kerja-kerjanya. “ Tangan“ tersebut, yang beratnya kira-kira 2 kilogram, telah dikimpal oleh rakannya pada September 1985 daripada besi yang beliau temui berdekatan dengan bangunan lama di dalam kem ketika itu. Tangan inilah yang disarungkan ke tangan kanannya untuk menjalankan kerja-kerja memaku dan memahat, dan membuahkan hasil melalui usahanya mengambil upah membuat rumah atau perabot sebagai pendapatan sampingan selain daripada bergantung kepada pencennya semata. Semangat komando yang mengalir di dalam dirinya membuatkan beliau enggan sekadar bergantung kepada takdir atau pemberian semata-mata. Sehingga kini, beliau yang juga dipanggil Tok Batin di kalangan rakan-rakan komandonya masih dicari untuk perkhidmatannya, meski beliau cuba mengelakkan bekerja dengan peralatan elektrik bila menggunakan tangan besi itu kerana risaukan risiko renjatan elektrik jika tersilap gaya.

Kalau ditanya, adakah beliau menyesal menyertai paskan tentera, terutamanya pasukan Komando dan mengalami kecacatan tersebut, beliau akan menegaskan bahawa ia adalah bukti pengorbanannya untuk agama, bangsa dan negara. Malah, perkataan menyesal tidak harus ada pada mana-mana anggota RGK. Bagi beliau, pasukan Komando menerapkan di dalan jiwanya semanat berjuang yang tiada henti, serta sifat berdikari tanpa mengharapkan bantuan. Semangat dan sifat itulah yang beliau terus bawa sehingga ke hari ini.

=WRA=

En. Yaacob dan tangan besinya. Gambar : Harian Metro


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Aenid Abdullah, berkelulusan B.Ed.TESL ( Hons.) daripada Universiti Of Exeter, United Kingdom dalam bidang Bahasa Inggeris adalah anak desa berasal dari sebuah desa kecil di Kedah. Meski sudah jauh merantau, beliau tidak pernah lekang daripada kesukaannya terhadap sambal belacan,durian,petai dan harum bumi Malaysia tatkala disimbah hujan. Kecintaannya yang paling besar adalah terhadap dunia pertahanan, senjata, motorsikal berkuasa tinggi dan aktiviti-aktiviti mencabar.

Leave A Reply