Nama : Sallehuddin bin Omar (RF 50586)
Pangkat terakhir : Sarjan Mejar
Pasukan : Platun 2, VAT69 Komando
Tarikh lahir : 31 Mei 1951
Nama ayah : Omar bin Mohd Akhir – anggota polis
Nama ibu : Che Moh binti Ayub – suri rumahtangga
Anak ke : ke-4 daripada 10 orang adik- beradik
Asal : Kulim, Kedah,

Pendidikan :
Sekolah Kebangsaan Kulim, Kedah
Sekolah Menengah Sultan BadrulShah, Kedah

Kerjaya :
Belia yang saya panggil Ayah Din telah menyertai pasukan polis pada umur 18 tahun. Selain kerana minat dan semangat, ia juga didorong azam untuk membantu bapanya menyara keluarga mereka yang besar itu di atas rasa tanggungjawab beliau sebagai anak lelaki pertama keluarga. Beliau tidak pernah menyalahkan bapanya yang bertugas sebagai seorang anggota polis, yang pendapatannya tidak seberapa ketika itu.

Pendapatan kecil itu hanya ditambah sedikit-sebanyak oleh pendapatan ibunya yang menjual kuih-muih semata. Beliau tidak betah sekadar menyertai pasukan polis biasa, sebaliknya memilih untuk menyertai Pasukan Polis Hutan ( PPH ) yang ternyata lebih mencabar. Meski tidak dipersetujui oleh ayahnya, Ayah Din tetap bertegas dan akhirnya, pada tahun 1969, beliau berjaya dalam permohonannya.

Sepanjang Latihan :

Kemasukan Ayah Din ke dalam pasukan PPH berkebetulan dengan penubuhan pasukan polis separa militer, iaitu VAT69 Komando, yang pada asalnya dipanggil dengan pelbagai nama termasuk Special Project Unit ( SPU). Tertubuhnya ia secara rasmi menandakan spektrum baru penentangan ke atas pengganas komunis yang bermaharalela ketika itu, pada 8 Jun 1969. Unit ini ditubuhkan secara rasmi pada 23 Oktober 1969.

Bagi membentuk nukleus pasukan tersebut, pemilihannya bersifat agak keras dan sangat mencabar. Namun, ia tidak mematahkan semangat juang anak-anak bangsa yang berminat menumpahkan bakti kepada negara ketika itu. 60 orang daripada lebih 1000 calon, mewakili sekadar 6% daripada keseluruhan jumlah calon sahaja yang lulus ke peringkat seterusnya.

Ujian penilaian bagi tapisan akhir dijalankan sebanyak 2 kali di Fort Khemar, Ulu Kelantan, dan Fort Brooke, Cameron Highland, di bawah pemerhatian dan pemantauan jurulatih-jurulatih diketuai Major Clive yang didatangkan daripada pasukan UK Special Air Servic (SAS). selepas tapisan akhir, hanya 30 orang dipanggil bagi menjadi anggota Platun 1. Bakinya terpaksa menunggu panggilan kedua.

Tapisan kedua yang dijalankan di Fort Brooke, Cameron Highland diketuai Major Crooke dan melibatkan pelbagai aktiviti lasak yang menjerihkan. Untuk ke sana sendiri, mereka terpaksa meredah belantara selama 5 ja dari Brinchang. Kepayahan yang dilalui termasuklah dakian bukit yang dipanggil Bukit Good Morning, yang mempunyai ketinggian 570 meter. Cabaran itu diberatkan dengan pek belakang yang sarat dengan pelbagai kelengkapan dan keperluan serta senjata di tangan, mendaki tebing bukit itu yang bercerun menegak. Namun, sesuailah mereka dipilih sebagai antara yang terbaik di kalangan yang terbaik, kerana tidak sedikit semangat mereka patah dalam mengharung cabaran itu.

Sepanjang ujian, Ayah Din menunjukkan kecenderungan dan kemahiran dalam bidang letupan (demolition). Selain daripada menetapkan letupan yang ditujukan kepada pihak musuh, anggota demolition sebegini juga bertanggungjawab dalam pembinaan tapak pendaratan bagi pesawat helikopter yang sangat kritikal semasa operasi mereka di hutan. Pengangkutan bekalan makanan dan peluru, pengangkutan keluar anggota selepas operasi atau pemindahan keluar anggota cedera dan meninggal dunia serta musuh yang ditangkap atau dibunuh – semuanya memerlukan pesawat mendarat dengan selamat. Ia bukanlah satu tugas yang boleh dipandag enteng. Silap perkiraan, pokok yang ditumbangkan dengan cara letupan bakal megundang padah kepada anggota pasukan sendiri, dan ia sesuatu yang harus dielak sebaik mungkin. Kawasan yang diletupkan pula perlu lapang supaya kipas pesawat tidak tersangkut pada mana-mana dahan pokok dan sebagainya, yang boleh menyebabkan pula kemalangan ke atas pesawat.

Saya – bersama-sama Ayah Din dan rakan-rakan seperjuangan beliau semasa satu majlis pada tahun 2016
Ketika di dalam perkhidmatan, Ayah Din dikenali sebagai “Pachi”

Antara pengalaman yang kekal sebagai parut ingatan buat Ayah Din adalah apabila beliau telah terpijak sarang tebuan tanah ketika hendak menjalankan tugas peletupan. Jangan dipandang enteng tebuan tanah ini, yang sengatannya diketahui boleh membawa maut. Sudah ada kes Orang Asli dan anggota pasukan keselamatan sendiri yang pernah hilang nyawa akibat kerumunan tebuan ini yang cukup marah bila sarangnya diganggu. Ayah Din walaubagaimanapun agak bernasib baik kerana tersilap langkah. Kakinya tersadung ranting kayu, yang menyebabkan beliau tergolek jatuh daripada bukit itu, sekaligus menyelamatkan nyawanya.

Mengambil semangat dan inspirasi daripada ASP Zabri yang lebih dikenali sebagai Boss, Ayah Din akhirnya berjaya merentas segala halangan dan melepasi ujian tersebut. Beliau telah diserapkan ke dalam Platun 2, sebagai sebahagian daripada 24 orang yang terpilih.

Operasi :

  • November 1971 – sempadan Malaysia – Kalimantan, Indonesia

Patrol 12 orang yang diketuai oleh  Koperal Aziz dan Ismail Daud itu ditugaskan  untuk menjejak pengganas komunis di kawasan tersebut. Seorang musuh kecundang di tangan mereka ketika itu. Selama 3 hari operasi dijalankan di Lubok Antu, Sarawak  melalui penggabungan antara pasukan  Malaysia dan Komando Siliwangi, Indonesia. Kelihatannya, pada awalnya, Komando Siliwangi itu tidak mempunyai keyakinan tinggi terhadap kemampuan pasukan mereka, memandangkan anggota-anggota pasukan Malaysia kelihatan kecil dan selekeh. Berbanding pasukan tersebut, anggota VAT69 tidak mempunyai tahap ilmu batin yang tinggi, sedangkan ramai anggota Komando Siliwangi itu berselirat tubuh mereka dengan pelbagai tangkal bagi melindungi diri dan meningkatkan keampuhan mereka. Walaubagaimanapun, tanggapan rendah mereka akhirnya tenggelam begitu saja setelah melihat sendiri kemampuan dan kecekapan pasukan Malaysia. Ayah Din sendiri – meski sebagai orang baru, diberi kepercayaan memasang claymore mine semasa operasi tersebut kerana kecekapan beliau walaupun beliau masih muda ketika itu.

Ternyata memburu komunis bukan semudah yang disangka ramai orang. Ketaksuban mereka memegang ideologi mereka membuatkan sedaya-upaya golongan pengganas ini berusaha untuk meneruskan kewujudanmereka. Ini bermakna, mereka enggan mengaku kalah. Bila ditembak, secara amnya mereka akan terus melawan, dan jika berlaku kecederaan, mereka akan berusaha sedaya-upaya melarikan diri bagi mengelakkan diri mereka ditangka. Dalam erti kata lain, pertembungan dengan komunis sudah semetinya akan berlangsung dalam keadaan penuh membara.

  • Gerakan Jemput Tiga – sebelum berlangsungnya pilihan raya negeri Sarawak

Ayah Din menyertai pasukan diketuai ASP Mohd. Zabri yang diletakkan di bawah arahan Cawangan Khas Sarawak, dengan misi untuk mengesan dan menjejak  simpanan bekalan senjata dan makanan komunis di sempadan Sarawak- Indonesia. Ia adalah susulan maklumat bahawa terdapat 2 buah khemah pengganas telah dikesan di sempadan Sarawak-Indonesia di Kalimantan Barat. Objektif operasi tersebut adalah untuk menjalankan pembersihan ke atas kem tersebut. Walaupun ia kelihatan kecil, tindakan itu adalah perlu bagi meneutralkan ancaman komunis di Sarawak, walaupun secara berdikit-dikit. Untuk operasi tersebut, VAT69 telah digabungkan dengan  Rejimen Para Komando Angkatan Darat Indonesia (RPKAD). Misi ini melibatkan operasi dalam negara Indonesia yang sememangnya lebih besar dan mampu menampun jumlah kekurangan tenaga di sebelah pasukan VAT69. Ketua pasukan bagi RPKAD tersebut adalah  Leftenan Kamaruddin dan Leftenan Iskandar.

Pergerakan dimulakan pada  24 November 1971, di mana pasukan yang diketuai oleh  ASP Mohd. Zabri (ketika itu masih Inspektor), disertai oleh  14 orang anggota Cawangan Khas Sarawak bergerak dari Kuching menggunakan trak ke Lubok Antu dengan menaiki trak. Sesampai di  Lubok Antu, sebuah helikopter mengangkut mereka   ke Lubok Tempayan. Perjalanan kemudiannya diteruskan dengan  berjalan kaki selama 3 hari merentasi hutan tebla tersebut ke kawasan operasi.

Kem kecil komunis  itu akhirnya ditemui terletak pada kedudukan yang sangat strategik –  di atas sebuah bukit yang tinggi, membuatkan ia sangat sukar untuk diserang.  ASP Mohd. Zabri ketika itu membuktikan keberanian beliau apabila berjaya mendaki bukit itu dan memasuki kawasan kem itu bersendirian. Sesampai di situ, beliau telah mencabar anggota komunis yang ada untuk menyerah diri. Keengganan mereka menyebabkan beliau mula melepaskan tembakan, dan itu menyebabkan  Ayah Din dan anggota lain pasukan tersebut yang masih mendaki, menyegerakan pergerakan mereka bagi memberi bantuan kepada beliau. Di tengah-tengah pertempuran tersebut, kedengaran suara ASP Mohd. Zabri masih mengasak musuh supaya menyerah diri, namun ianya tidak berhasil.

Gaya Pejuang

Di akhir pertempuran tersebut, pasukan operasi telah menemui beberapa dokumen penting dan laras senjata. Mungkin bagi tujuan mendapatkan bekalan makanan, anggota komunis tersebut telah mengusahakan sebuah kebun sayur yang tidak kurang luasnya di kawasan itu, yang kemudiannya telah dimusnahkan oleh pasukan operasi. Meski tidak berlaku sebarang kematian di pihak musuh, tompokan darah yang dijumpai menunjukkan ada adi antara mereka yang telah tercedera di dalam pertempuran tersebut. Barang-barang rampasan daripada kem tersebut kemudiannya dibawa oleh pasukan Ayah Din ke  Pos Enteloi dengan berjalan kaki. Sebuah pesawat kemudian membawa mereka ke  Marakai –  sebuah Pos Sub Tek Tentera Nasional Indonesia. Penerbangan sambungan dari situ membawa mereka kembali ke Kuching, di mana mereka diberikan cuti untuk beberapa hari.

Susulan kejayaan tersebut, pasukan Ayah Din yang diketuai oleh ASP Zabri itu sekali lagi diberikan tanggungjawab untuk mencari tempat simpanan senjata komunis di sebuah kawasan hutan, juga di  Kalimantan iaitu di bahagian Barat. Maklumat tentang tempat simpanan ini telah diperolehi susulan penyerahan diri ketua sebuah kumpulan  komunis berkekuatan 16 anggota. Pergerakan ke tempat tersebut telah dipandu oleh  sepasang suami isteri yang merupakan anggota PARAKU –   Sim Kim Peng. Di tempat simpanan tersebut, pasukan operasi telah berjaya menemui  dua pucuk senapang, 26 biji bom tangan dan empat laras senapang Stirling no 47. ia merupakan antara kejayaan terbesar pernah dilarik oleh  VAT69 sepanjang  Gerakan Jemput Tiga. Hasil rampasan kemudiannya dibawa ke  Pos Ensanak, sebelum pasukan mereka diterbangkan dengan pesawat Nuri ke Markas  Tek RPKAD yang terletak di  Sintang, Kalimantan, Indonesia. Di situ, penghargaan kepada pasukan operasi ini telah dizahirkan melalui penginapan yang disediakan di sebuah banglo untuk mereka, makanan yang lazat, serta layanan yang baik, sebelum mereka kembali ke Malaysia melalui penerbangan khas.

  • Operasi di sempadan Malaysia-Thailand – Sungai Golok, Kelantan

Objektif operasi kali itu adalah untuk menyerang rumah seorang anggota dan penyokong kuat PKM di kawasan itu, iaitu  Pak Ali. Dia- yang dikatakan mempunyai ilmu kebatinan yang tinggi, seringkali membantu komunis dengan menyalurkan makanan untuk mereka, atau meloloskan mereka daripada buruan pihak berkuasa di sekitar kawasan  Bukit Bawang, Sungai Golok. Ayah Din yang ketika itu berada di dalam Platun 2 mendapat maklumat bahawa pergerakan komunis yang keluar masuk ke kawasan rumah tersebut dikelirukan oleh penampilan mereka yang sering kelihatan berpakaian biasa, dan bukannya beruniform komunis. Pak Ali akhirnya berjaya juga ditumpaskan oleh Konstabel Jamil Othman dan Konstabel Sairani setelah intipan yang lama dijalankan. Dia ditangkap ketika berada di tandas, yang menjadi kepantangan ilmu batinnya. Penangkapannya telah berjaya melemahkan satu lagi jaringan sokongan kepada pergerakan komunis di kawasan tersebut.

Bersama rakan-rakan selepas membina Markas Tek di dalam kawasan operasi
  • Mei 1972 – Operasi Sukat, Sungai Siput, Perak

Gerakan yang berjalan selama sebulan itu melibatkan kekuatan 2x patrol terdiri daripada 14 orang anggota, diketuai oleh ASP Mohd. Zabri . Objektif gerakan adalah untuk  meninjau, mengintip dan memerhatikan kedudukan dan kegiatan  musuh  di kawasan Sungai Siput. Bagi tugasan tinjauan itu, pasukan terpaksa melakukan penyamaran, antaranya sebagai  pemikat burung dan  buruh bagi mengumpulkan maklumat di kawasan yang memang dikenali sebagai kubu kuat komunis sejak zaman Jepun lagi.

Pada satu hari, semasa penugasan mereka berjalan, pasukan operasi tersebut telah terserempak dengan sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki cina. Tindakannya yang melarikan diri apabilapemeriksaan cuba dibuat memaksa pasukan melepaskan tembakan ke arahnya. Penggeledahan ke atas mayat mendapati dia memilik sepucuk pistol jenis Browning, menunjukkan dia adalah seorang anggota jawatankuasa daerah PKM Sg. Siput. Semakan dilakukan dan didapati bahawa yang mati itu adalah Ah Peng.

  • 1974 – Op Bamboo 1

Antara kawasan paling panas di sepanjang peperangan melawan komunis adalah di sempadan Kelantan-Thailad, yang ternyata merupakan antara kubu kuat musuh dan menimbulkan ancamana kepada kesemua pasukan keelamatan yang terlibat. Pada tahun 1974, kawasan  Terhong dan Gob yang terletak di sempadan keduanya, telah menjadi sasaran operasi penggempuran besar-besaran. Pada bulan Februari, Op Bamboo I telah dijalankan selama 5 bulan, dan hasilnya, 2 orang komunis telah berjaya dibunuh dan 4 tempat rehat merangkumi 9 buah khemah, 5 laras senjata, sebiji bom tangan dan    946 butir peluru telah dirampas. Dalam operasi yang sama, pada bulan Mei, VAT69 telah berjaya menemui  17 tempat rehat beserta 2 buah khemah dan  3 food dump, di samping 2 orang komunis Orang Asli yang menyerah diri. Pada bulan Jun pula, pasukan VAT69 berjaya menemui 18 tempat rehat, 2 buah khemah, 1 food dump, dan barangan lain. Meski terlibat dengan patrol yang berbeza-beza, di sepanjang operasi tersebut, Ayah Din ditugaskan sebagai anggota letupan bersama-sama Boss.

Dalam sau kejadian, seorang penjejak – Bah Kopi telah tumbang di hujung senjata musuh. Koperal Aziz yang berada di depannya pula mengalami kecederaan parah di bahagian perut. Selepas tamat tembak-menembak itu, Boss telah mengambil keputusan untuk menghentikan gerakan dengan serta-merta bagi mengeluarkan Kpl. Aziz daripada kawasan itu. Sebuah pesawat telah dihantar bagi tujuan tersebut dan Kpl. Aziz telah dihantar ke  Hospital Besar Ipoh dan terpaksa menjalani rawatan selama 2 bulan bagi kecederaannnya itu.

Geram dengan apa yang berlaku,  ASP Mohd. Zabri memutuskan untuk meneruskan usaha mencari musuh yang telah melakukan onar itu, meski mereka sendiri sudah berada di dalam hutan itu selama 5 bulan. Beliau memberikan pilihan kepada anak-anak buahnya – terpulang kepada mereka untuk keluar atau terus bersamanya. Semangat setiakawan yang sangat tebal membuatkan mereka memilih untuk bersama dengan ketua mereka itu, dan pihak markas sendiri tidak dapat menghalang ketegasan Boss pada ketika itu.  9 hari selepas pertempuran yang mengorbankan Bah Kopi dan mencederakan Kpl. Aziz, pasukan VAT69 itu telah terserempak dengan  sekumpulan kecil pengganas di dalam kawasan buruan mereka itu. Konstabel Bah Mandi yang menjadi penjejak telah melepaskan tembakan pertama, diikuti  Kpl. Wan Tahar yang memastikan musuh yang tumbang itu telah benar-benar hilang nyawanya. Musuh yang lain melarikan diri. Selepas pertempuran itu, barulah Boss akur kepada arahan untuk kumpulanmereka keluar daripada kawasan operasi itu.

Di dalam operasi itu jugalah, VAT69 telah kehilangan anggotanya buat pertama kai sejak ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1969.  Konstabel Abu Hassan daripada Platun 3 merupakan antara rakan baik Ayah Din. Yang menyedihkan, beliau telah menyertai gerakan tersebut bagi mencari belanja buat menampung majlis perkahwinanannya tidak lama lagi. Sifat rajin dan bertanggungjawab beliau telah membuatkan beliau menawarkan diri bagi menghantar bekalan makanan secara solo kepada satu patrol lain yang berada pada kedudukan sehari perjalanan pergi dan balik daripada kedudukan mereka. Nasib beliau walaubagaimanapun, adalah sangat malang apabila dipercayai telah terjatuh dan tenggelam di sebuah lubuk yang dalam di  Sungai Tiang. Gerakan mencari mayat beliau hanya berjaya selepas 3 hari, setelah mayatnya timbul dalam keadaan yang menyedihkan.

  • 4 September 1975 – Operasi Bamboo III

Gerakan tersebut dijalankan berdasarkan maklumat daripada pihak Special Branch mengenai sepasukan komunis yang disyaki cuba mengganggu   pembinaan Lebuh Raya Utara-Selatan di sekitar kawasan tersebut, di samping menambah keahlian kumpulan mereka dan   mencari bekalan makanan . Anggaran kekuatan kumpulan musuh itu adalah sekitar  30 hingga 40 orang. Operasi yang dijangkakan akan berlangsung selama 100 hari itu menyaksikan 3 patrol diketuai oleh ASP Zabri bersama-sama Inspektor Ishak Yahya dan Inspektor Anuar dilibatka. VAT69 menerima tamparan hebat apabila pada 28 Ogos 1975, satu kumpulan 4x anggota Special Constable yang di dalam perjalanan menghantar makanan kepada pasukan operasi di  Pos Tapong, Grik telah diserang oleh komunis ketika melalui sungai. Anggota-anggota tersebut telah dibunuh secara kejam, barangan yang dibawa mereka – termasuk senjata dan bekalan makanan telah dirampas, dan bot mereka telah dirosakkan dengan teruk lalu dibakar.

Usaha mencari segera dilancarkan, dan selepas 5 hari kejadian iaitu pada 3 September 1975, pasukan operasi telah menemui  tempat rehat komunis pada kedudukan di bahagian Timur Laut Grik, dalam keadaan di mana pengganas-pengganas itu sedang menyiapkan tempat tidur mereka. Ketiga-tiga patrol berkekuatan 18x anggota itu melancarkan serangan selepas mengambil kedudukan sesuai. Di akhir pertempuran 30 minit itu, musuh telah melarikan diri. Yang tertinggal adalah  makanan, pakaian, senjata, dokumen dan beberapa barangan lain. Laporan segera dihantar ke  Pos Tapong supaya usaha penjejakan dapat diteruskan.

Ayah Din yang bersama Boss ketika itu  serta anggota-anggota lain telah bergerak ke kedudukan tersebut dan hanya tiba keesokannya, setelah perjalanan dilambatkan oleh hujan lebat yang turun pada malam itu. Setibanya mereka, operasi penggeledahan telah dijalankan, dan turut ditemui adalah 6 beg galas besar  berisi makanan, pakaian dan barang-barang lain, selain pelancar mortar seberat  19 kg dan 9 kg, serta 3 laras senapang patah dan   15 kotak barang yang dirampas daripada Special Constables yang telah diserang itu. Selain itu, terdapat juga   9 kg ikan basah, plastik hijau, kasut but,  makanan  dalam tin dan sejumlah kecil ubat . Kesemuanya – bersama 2x anggota yang telah tercedera di dalam pertempuran itu, telah dihantar melalui helikopter ke Ulu Kinta .

Namun, dalam perjalanan pulang ke Pos Tapong, kejadian yang berlaku di depan matanya telah meninggalkan parut yang mendalam di jiw Ayah Din. Dalam kejadian itu, ASP Mohd. Zabri telah terpijak jerangkap samar di tepi sungai, yang telah menyebabkan kecederaan parah kepadanya. Boss menghembuskan nafas terakhir di pangkuan anak-anak buahnya sebelum sempat dikeluarkan daripada situ. Bagi Ayah Din, ia satu kehilangan yang tidak dapat dinyatakan kesedihannya dengan kata-kata, apabila seorang ketua yang baik dan menjadi inspirasinya, meninggal dunia di depan matanya sendiri.

Bersama-sama rakan seperjuangan beliau di usia senja mereka

Setelah melalui pelbagai pengalaman, Ayah Din akhirnya bersara pada tahun 2003, dan kini beliau banyak menghabiskan masa mengambil berat dan menziarahi rakan-rakan seperjuangan beliau yang bersama-sama di dalam Persatuan Veteran Komando VAT 69 yang kini dinaungi Dato’ Abdul Rashid harun. Sau perkara yang saya perasan tentang Ayah Din, adalah kelembutan tutur katanya yang seringkali tidak menunjukkan kepada kita akan pengalaman sosok ini di sepanjang perjuangan menjaga keamanan negara kita. Malah, siapa pun tidak akan sangka bahawa beliau merupakan seorang pakar dalam letupan. Kemahiran Ayah Din menyusun kata-kata dalam bentuk pantun sememangnya sangat mengkagumkan. Siapalah sangka kan. Namun, harga yang dibayar bagi perjuangan itu sangatlah tinggi. Kira-kira setahun lepas, Ayah Din telah kehilangan pendengarannya secara tiba-tiba, mungkin kesan daripada pembabitannya dalam bidang letupan sebelum ini.

Ketika majlis Tahlil Allahyarham ASP Zabri pada bulan puasa lepas

Semoga Ayah Din dan rakan-rakan seangkatan beliau terus dirahmati, di atas jasa yang mereka pernahtaburkan di bumi bertuah ini… =WRA=


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Aenid Abdullah, berkelulusan B.Ed.TESL ( Hons.) daripada Universiti Of Exeter, United Kingdom dalam bidang Bahasa Inggeris adalah anak desa berasal dari sebuah desa kecil di Kedah. Meski sudah jauh merantau, beliau tidak pernah lekang daripada kesukaannya terhadap sambal belacan,durian,petai dan harum bumi Malaysia tatkala disimbah hujan. Kecintaannya yang paling besar adalah terhadap dunia pertahanan, senjata, motorsikal berkuasa tinggi dan aktiviti-aktiviti mencabar.

Leave A Reply