Di sebalik setiap ciptaan Tuhan, ada sebab munasabah mengapa ia diciptakan sedemikian. Contoh paling mudah, pemangsa laut prasejarah yang paling digeruni iaitu Megalodon. Siapa sangka saiz haiwan laut yang besar itu terjadi akibat tabiat kanibalisme semasa berada dalam rahim ibunya!

Dah, dah. Jangan pula kata anak Megalodon suka-suka makan adik-beradik sendiri macam Dr Hannibal Lecter. Hakikatnya, itu merupakan strategi kemandirian hidup haiwan berkenaan semasa ia bergelar embrio sebelum mencapai saiz besar selepas dilahirkan. Dan menariknya, strategi ini turut diamalkan oleh sesetengah jenis ikan jerung moden.

Sebelum ini, saintis tahu potensi Megalodon mencapai saiz gergasi sekitar 15 hingga 20 meter. Senang cerita, bersamaan dengan 10 kali ganda tinggi Cristiano Ronaldo. Ini disebabkan oleh satu peraturan alam yang dikenali sebagai Peraturan Bergmann. Secara ringkasnya, peraturan ini memberitahu haiwan yang lebih besar biasa ditemui di kawasan yang beriklim sejuk. Sementara haiwan yang lebih kecil pula lebih banyak berada di kawasan beriklim panas.

Tetapi saintis tidak pernah menjangkakan peningkatan saiz sama turut disumbang oleh aktiviti kanibalisme anak Megalodon semasa dalam rahim. Disebabkan saiz mereka yang besar, ia memberi tekanan besar kepada Megalodon betina dari segi jumlah tenaga yang digunakan. Justeru, bagi menampung kekurangan tenaga badan, Megalodon betina akan makan lebih banyak. Ini bukan sekadar menjadikan saiznya lebih besar tetapi turut menambah saiz anaknya juga.

Anak Megalodon yang sudah menetas tidak hanya bergantung kepada ibu mereka dari segi nutrien. Bagi menambah zat pada tubuh mereka, ia akan memakan telur-telur yang masih belum menetas. Jika itu saja tidak mencukupi, anak-anak haiwan pemangsa laut ini akan makan sesama mereka sehingga yang tinggal beberapa ekor Megalodon yang sihat untuk dilahirkan.

Saintis mengira usia Megalodon dengan mengira gelang tumbesaran yang ada pada tulang vertebra haiwan prasejarah itu. Sumber: DePaul University/Kenshu Shimada

Jadi, bagaimana saiz sebenar Megalodon diukur? Ia diukur dengan mengira gelang tumbesaran pada tulang vertebra jerung prasejarah itu. Setiap gelang yang dikira mewakili tahun ia membesar termasuk semasa ia dalam rahim ibunya. Ini menunjukkan semasa Megalodon dilahirkan, ia dilahirkan hidup-hidup sebelum mula memburu di lautan secara solo.

Disebabkan peraturan Bergmann, ini menjelaskan mengapa Megalodon disenaraikan dalam satu keluarga jerung yang dikenali sebagai lamnifores atau jerung mackerel. Jerung sebegini mempunyai suhu badan yang panas jika dibandingkan dengan jerung-jerung yang lain.

Ia tercapai menerusi saluran-saluran darah khas yang membantu mengekalkan dan mengagihkan haba ke seluruh badannya. Haba ini terhasil akibat proses pengecutan otot jerung – proses yang dikenali sebagai mesoterma. Ini menjadikan jerung mackerel termasuk Megalodon tersenarai sebagai haiwan mesoterma.

Kemampuan mengekalkan haba dalam badan membantu jerung sebegini mencapai saiz yang luar biasa jika dibandingkan dengan jerung-jerung yang lain. Perbezaan saiz badan ini menjadikan pergerakan mereka lebih pantas dalam air dan mampu memburu dalam air yang lebih sejuk. Tetapi kelebihan ini turut menjadikan jerung mackerel memerlukan lebih banyak makanan bagi memenuhi keperluan saiz badan mereka.

Contoh paling mudah di sini ialah ikan jerung Great White. Saiz ikan jerung ini boleh saja mencecah sehingga enam meter dengan berat sekitar 1,905–2,268 kg. Dengan saiz badan dan berat yang dimiliki, jerung ini perlu kerap memburu bagi mendapatkan makanan yang kaya dengan lemak tetapi mempunyai nilai tenaga yang tinggi bagi memuaskan selera makannya. Antara contoh haiwan buruan jerung Great White ialah anjing laut, penyu dan ikan tuna.

Perhatian. The Patriots sedang mencari manuskrip untuk diterbitkan. Jika berminat, anda boleh kirimkan ke alamat emel seperti dalam gambar.

Disebabkan Megalodon juga merupakan haiwan mesoterma, tidak mustahil evolusi mekanisme habanya sama seperti jerung-jerung mackerel lain. Ia pastinya dicetuskan oleh anak-anak Magalodon yang makan sesama mereka sekaligus mengakibatkan haba dalaman ibu mereka bertambah. Disebabkan proses kelahiran memerlukan tenaga yang banyak, maka Megalodon betina perlu makan banyak – cukup sebagai pencetus mekanisme haba haiwan mesoterma.

Dengan saiz badan yang besar, anak Megalodon boleh saja memburu tanpa sebarang masalah tanpa perlu bimbangkan ancaman haiwan pemangsa lain. Dan kitaran kanibalisme ini akan terus berulang lebih-lebih lagi dengan saiz haiwan mangsa yang besar yang wujud sekitar era awal Miocene hingga Pliocene. Kombinasi dua faktor ini sudah cukup untuk menjadikan ia sebagai pemangsa laut gergasi era berkenaan yang amat digeruni.

Mungkin atas sebab inilah yang menjadi asas filem terbitan Warner Bros. Pictures, The Meg (2018). The Meg merupakan senario fiksyen tentang kewujudan haiwan sebesar itu dalam dunia hari ini. Selepas ia ditayangkan, ia membangkitkan semula minat orang ramai terhadap pemangsa laut prasejarah yang digeruni itu.

Jika Megalodon wujud mengikut The Meg dan mengambil kira kecenderungan kanibalisme anak-anak jerung prasejarah itu sebagai pencetus saiz gergasi mereka, tidak boleh dibayangkan saiz haiwan itu jika melebihi saiznya yang diketahui saintis iaitu sekitar 15 hingga 20 meter. Mungkin soalan ini dapat dijawab menerusi sekuel The Meg iaitu Meg 2: The Trench yang bakal ditayangkan pada Ogos 2023.

Tetapi sementara menunggu filem terbaru Jason Statham itu masuk panggung, lebih banyak bukti perlu dikumpul saintis sebelum teori ini boleh diterima sebagai fakta. Satu cara untuk membuktikannya ialah mengkaji sebahagian fosil jerung prasejarah yang ditemui bersama embrio-embrio mereka. Di sebalik minat manusia terhadap Megalodon, mungkin kunci kepada saiz mereka ialah anak-anak jerung yang bersaing habis-habisan sebelum lahir dan berenang mengenali dunia lautan mereka.

3 buku terbaru kami untuk PBAKL dah pun mula dijual di Shopee, ayuh segera dapatkan di: https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Nota kaki

Embrio – janin haiwan pada peringkat awal pembesaran sebelum ia dilahirkan. Dalam konteks manusia, kandungan ibu yang berusia seminggu selepas proses penjaninan sehingga minggu kelapan.

Mesoterma – terma yang merujuk kepada haiwan yang mengawal suhu badan melalui saiz badan yang besar bagi mengelak kehilangan haba.

Miocene – era prasejarah yang berlaku kira-kira 23.3 hingga 5.3 juta tahun yang lalu.

Pliocene – era prasejarah yang berlaku kira-kira 5.3 hingga 2.58 juta tahun yang lalu.

RUJUKAN

Weisberger, M. (2021, 11 Januari). Megalodon shark mamas had human-size cannibal babies. Live Science.

Black, R. (2020, 4 Oktober). How Cannibalism in the Womb May Have Made Megalodon a Titanic Terror. Smithsonian Magazine.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply