Hamadat : Pahlawan Yang Tua Usianya, Menjadi Muda Di Medan Perang

0
1081
views

Sebenarnya sebelum Usama ibn Mungqidh menceritakan kisah Si Tinggi Yaqut dalam Kitab Renungan, terlebih dahulu beliau ada menceritakan kehebatan seorang lagi tentera bernama Hamadat. Berikut ialah adaptasi daripada catatan beliau…

“Kami terhutang budi dengan kamu.Tetapi kamu sudah tua dan adalah lebih baik untuk kamu bersara dan tinggal sahaja di masjid dekat dengan rumahku.,” kata bapa saudaraku Sultan kepada Hamadat. “Sementara itu, beritahu kepada aku nama-nama anakmu supaya mereka boleh digajikan dan kamu tidak perlu bimbang tentang mereka.”

Hamadat adalah salah seorang daripada pengikut bapaku yang setia dan seorang seorang tentera Kurd yang telah banyak berjasa kepada keluarga kami. Tetapi oleh kerana faktor umur dan penglihatannya yang sudah menjadi kabur, dia dianggap tidak sesuai untuk untuk berkhidmat sebagai tentera.

Oleh itu bapa saudaraku, Sultan mencadangkan kepada Hamadat untuk bersara dari menjadi tentera dalam perkhidmatan keluarga kami.

“Asalkan kamu tinggal dalam masjid itu, kamu akan diberikan dua dinar dan sekantung tepung setiap bulan,” ujar Sultan.

“Baiklah, saya akan menurut cadangan tersebut,” kata Hamadat.

Walaubagaimanapun, aturan itu tidak bertahan lama dan Hamadat pun berjumpa dengan Sultan tidak lama selepas itu. “Saya lebih rela terbunuh di atas tunggangan daripada mati di atas katil saya,” ujar Hamadat. “Saya tidak dapat membiasakan diri daripada tidak berbuat apa-apa.”

Sultan akur dengan permintaan itu dan mengeluarkan arahan supaya nama Hamadat dimasukkan kembali dalam senarai perkhidmatan tentera keluarga kami.

Waqaf Saham

Beberapa hari selepas itu, sekumpulan tentera Frank dari Tripoli melakukan serangan. Bala tentera kami pun digerakkan dan pasukan Hamadat adalah antara yang paling berani.
Hamadat menempatkan dirinya di sebuah daratan yang sedikit tinggi sambil menunggang kudanya.

“Hamadat!” Jerit salah seorang rakan Hamadat memberi amaran.

Seorang penunggang Frank sedang memacu kudanya dari arah barat. Tetapi Hamadat dan tunggangannya sedang menghadap ke arah selatan.

Apabila melihat serangan ini, Hamadat lantas mengubah kedudukannya sehingga dia dan tunggangannya menghadap utara. Kemudian dia mengangkat tombaknya untuk menyambut serangan penunggang Frank itu.

Tombak Hamadat terus merodok badan tentera musuh. Kekuatan rodokan itu menyebabkan Tentera Frank tersebut terlontar ke belakang sambil memegang tali kekang kudanya sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Selesai pertempuran itu, Hamadat berjumpa dengan bapa saudaraku Sultan dan berkata. “Tuan beritahu saya, jika Hamadat masih tinggal di masjid sekarang. Siapakah yang akan melakukan serangan itu tadi?”

Kisah itu mengingatkan aku kepada kata-kata al-Find al-Zimmani. Beliau merupakan seorang pahlawan yang pernah menumbangkan dua tentera musuh dengan satu serangan walaupun telah berada dalam usia tuanya:

‘Lihatlah serangan orang tua yang tidak berguna dan lesu ini,

Ketika teman-temanku takut mengangkat senjata, semua ini seolah-olah membuatku lahir semula!’

#CatatanIbnMunqidh

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.