Kisah pengorbanan para anggota keselamatan kita serta ahli keluarga mereka bukan sedikit. Kalaulah dibukukan, tak tahulah berapa jilid tebalnya. Namun, sayangnya, kebanyakan kisah-kisah itu luput begitu saja. Kalau panas pun, mungkin buat seketika saja..ketika insiden melibatkan pengorbanan mereka masih panas. Life must go on, kata pepatah Inggeris. Mereka yang terlibat dengan pengorbanan itu harus dan perlu pandai-pandai sendiri hidup. Nasiblah kalau ada yang masih ingat. Itupun mungkin apabila berbangkit us tertentu, atau apabila pihak tertentu merasakan mereka perlu menggunakan kisah pengorbanan itu untuk sesuatu tujuan. Kalau tidak, tinggallah kisah itu sepi di dalam lipatan sejarah.

Kalau ditanya rakyat Malaysia, rata-rata akan ingat dan tahu serba sedikit tentang kisah Black Hawk Down, sebab ianya boleh dikatakan satu peristiwa besar yang tercatat di dalam sejarah pertahanan dunia, dan apatah lagi bila di difilemkan pula – walaupun ramai rakyat Malaysia mungkin tak sedar bahawa yang terlibat di dalam insiden tersebut dan bertindak sebagai hero sebenarnya adalah pasukan Malaysia. Ya. Somalia mencatatkan pembabitan malaysia sebagai pasukan pemerhati di dalam misi UNOSOM, dan ada perwira kita yang gugur di sana ketika mereka bertugas buat negara. Selain insiden Black Hawk tersebut, ramai yang tidak tahu atau mungkin terlupa tentang satu insidn lain yang turut mengorbankan 2 lagi anggota pasukan keselamatan kita.

Insiden tersebut berlaku pada 18 Julai 1994, yang merupakan satu lagi titik hitam yang menyusul selepas insiden Black Hawk Down pada 3 dan 4 Oktober 1993.Ia juga bukan kejadian pertama melibatkan pasukan Malaysia di bumi asing pada tahun 1994 kerana sebelumnya, Mejar Ariffin Zakaria telah terkorban dalam insiden serangan mortar di Sarajevo pada 12 Mei manakala pada 19 April, Mejar Ramli Shaari terkorban dalam satu letupan periuk api di Coratia. Kedua-duanya terlibat di dalam misi pemerhati PBB.

Hari itu sangat panas, musim hujan sudahpun berlalu, meninggalkan rumpunan rumput berselerakan dengan sampah sarap di sepanjang jalan sempit Mogadishu. Ianya sama saja seperti hari-hari lain. Hari itu sama saja macam hari-hari lain. Kumpulan itu terdiri daripada 8 anggota Markas UNOSOM II daripada Seksyen Pengiring Markas UNOSOM II, yang mengiringi 5 anggota perisikan UNOSOM diketuai seorang pegawai dari Itali – Kolonel Fulvio Vezzalini. Daripada 13 orang di dalam kumpulan itu, selain daripada Kolonel dari Itali itu, terdapat seorang lagi  dari New Zealand. Selebihnya adalah dari Malaysia.  Arahan jelas adalah, semua pergerakan melibatkan pasukan Malaysia harus diketuai oleh pegawai dari Malaysia. Entah kenapa kali itu,  tiada pegawai dari Malaysia di dalam pasukan itu.

Antara yang berada di dalam kumpulan itu adalah SSjn Azman Mohamad Tahir daripada pasukan Gerup Gerak Khas (GGK) yang berasal dari Teluk Intan, Perak dan Kpl Ghani anak Binjoi daripada pasukan  6 Rejimen Renjer Diraja (RRD) yang berasal dari Kampung Koran Mawang, Sarawak. Ketika itu, kekuatan Markas UNOSOM II yang berjumlah 82 orang turut menempatkan  2 kompeni daripada pasukan 6 RRD dan 1 terup daripada pasukan GGK  bersama-sama pasukan 7 RRD (Mekanis). Kpl. Ghani dan isterinyai, Dora anak Buki, telah dikurniakan 3 orang anak – Royson ( 6 tahun), Rami ( 3 tahun) dan yang paling kecil, Antonia Hagi yang dilahirkan kira-kira seminggu sebelum hari itu. SSjn Azman pula meninggalkan isterinya, Kamisah Hamdan,  di Kem Brinchang, Cameron Highlands bersama-sama 6 orang anak-anaknya – Puteri Nursuhada ( 7 tahun), Puteri Nursarah ( 6 tahun), Muhd. Saiful ( 4 tahun), Puteri Nurraifana ( 3 tahun) dan Muhd. Halidanyang baru berusia 4 bulan yang dilahirkan setelah SSjn Azman bertolak ke Somalia dan belum sekali dilihatnya di depan mata.

Kpl. Gani anak Binjoi
Isteri dan anak-anak Kpl. Gani
SSjn Azman Mohd Tahir
Isteri dan anak-anak SSjn Azman

Sepanjang penugasan di Somalia, setiap  rondaan telah dihadkan kepada  pasar Bakara sahaja –  lokasi kejadian Black Hawk Down dulu. Arahan itu walaubagaimanapun, ia tidak meliputi aktiviti pengumpulan risikan.Selepas lokasi itu, anggota PBB tidak dibenarkan menjalankan rondaan kerana terdapat banyak militia bersenjata membabitkan kumpulan daripada suku Hawadle dan Habar Gidir . Keduanya, yang merupakan suku bertelagah, seringkali terlibat dalam pergaduhan, lebih-lebih lagi suku Habar Gidir yang cemburu kerana bangunan yang disewa oleh pasukan PBB dari Malaysia adalah milik suku Hawadle yang menerima sewaan daripada  PBB . Konvoi itu bergerak perlahan, lalu menarik perhatian militia di situ. Kumpulan pertama militia yang nampak konvoi itu segera menyalurkan maklumat kepada rakan-rakan mereka yang lain.

Pada lebih kurang jam 0900, mereka yang berada di lokai K4 telah terperasan satu konvoi kenderaan tidak berperisai PBB melalui lokasi tersebut. Pengesahan daripada sentri mengatakan yang ia terdiri daripada Bravo Company 6 Renjer. Mereka dapat lihat dengan jelas Renjer Martin melambai ke arah mereka ketika lalu di situ. Terdapat 3 kenderaan ringan di dalam konvoi itu. Pemeriksaan dengan  Lt Sulaiman – salah seorang pegawai daripada Bravo Company daripada markas UNISOM mendapati, Kolonel tersebut juga merupakan Komander U1, satu unit pengumpulan risikan. Beliau telah  memohon bantuan escort/iringan  untuk menjalankan misi risikan.

Strong Point 4 terletak di sebuah bulatan yang menghubungkan 4 jalan iaitu Afgooyee -Lenin-Medina-Gesira . Terdapat 2 bangunan di K4 – satu menghadap ke utara dan satu lagi menghadap ke selatan. Sebelum pasukan Malaysia menghuni bangunan tersebut, pasukan Bangladesh merupakan penyewanya . Pasukan Malaysia mengambilalih daripada pasukan Bangladesh pada 17 April 1994. Kawasan itu dilindungi oleh 2 kompeni rifel daripada pasukan  6 RRD, dan kompeni itu kemudiannya dikenali sebagai Kompeni D. Ia mempunyai 2 pasukan 106 mm meriam recoilless, bersama-sama 2 APC Radpanzor Condor dilengkapi meriam Oerlikon 20mm sebagai sokongan.

Kawasan sekitar K4 adalah salah satu tempat paling tegang di seluruh Mogadishu. Dulu pernah berlaku pertempuran senjata api yang sangat ganas di sekitar K4 sejak 14 April 1994, diakibatkan oleh pertambahan jumlah Technicals (senjata dimuatkan dengan rifle .50 cal) di kawasan itu . Pasukan Bangladesh tidak mempunyai kemampuan untuk menjaga K4.

Ini memaksa kedudukannya diperkukuhkan.   Bangunan sekitar dibuat daripada konkrit dan terletak berdekatan. Perlindungan bagi K4 bergantung kepada 2 buah bangunan. Sejak mengambil alih lokasi tersebut daripada pasukan Bangladesh, banyak peluru sesat dan mortar singgah di sekitar kawasan kukuh itu. Pada 18 Mei 1994, sekitar jam 2100, sebutir peluru RPG telah menembusi salah sebuah bangunan tersebut, terus ke kediaman anggota . Mujurlah tidak ada sesiapa yang tidur awal malam itu, maka tiadalah kecederaan. Tinggal di K4 ibarat dikelilingi sambutan Tahun Baru Cina di mana sejumlah besar mercun dibakar saban masa.

Petang itu, permainan bolasepak dan “sepak takraw” yang membantu mengekalkan kecergasan anggota-anggota Kompeni Bravo di zon perang itu berjalan seperti biasa. Walaupun jam sudahmelewati 1730 selepas permainan itu,  konvoi tersebut belum pulang. Di sana, jam 1700, cuacanya sudah mula gelap. Pada waktu sebegini, kemungkinan berlakunya serangan  adalah tinggi, terutama di kawasan terbina Mogadishu.

SSjn Azman ketika itu memandu sebuah pickup Toyota berwarna putih. Beliau cuba mengelakkan lopak jalan yang dipenuhi air, jadi beliau memperlahankan kenderaan tersebut. Di hadapan mereka, di sebelah kiri, beliau sedang melalui sebuah kubu kuat militia apabila senjata .50 kaliber kempunyaan militia Somalia itu mula menembak. Pelurunya berdesing menembusi sisi pickup tersebut, dan terus menujah tubuh beliau . Beliau terkorban serta merta. Kpl Ghani segera membalas tembakan menggunakan M16nya. Sebaik habis peluru, beliau menyambung pula dengan senjata M79. Namun, terdapat begitu ramai militia yang mengepung mereka daripada segenap arah.

Anggota militia bersenjata itu , yang terdiri juga daripada wanita dan orang tua, mula menembak. Ghani cuba melawan mereka, dan malang sekali kumpulan yang terdiri daripada campuran pelbagai bangsa itu tidak mampu membantu beliau. Dalam kekeliruan itu, salah seorg militia itu telah merampas senjatanya dan seorang militia lagi menembak bertalu-talu ke arah kepalanya. Beliau menghembuskan nafas terakhir di situ. Kolonel  tersebut, Kapten Itali, Pegawai Waran New Zealand, anggota Malaysia selebihnya serta satu-satunya Pegawai Waran Risik Malaysia telah ditahan sebagai tebusan. Mayat kedua-dua anggota Malaysia itu juga diseret ke tempat persembunyian militia tersebut.

Anggota militia perempuan dan kanak-kanak mula menggeledah peralatan kumpulan ronda tersebut. Senjata dan kenderaan dirampas oleh militia lelaki. Turut tercedera dalam insiden tersebut adalah Sjn. Zaidi bin Hanafiah (GGK), LKpl Ahmad bin Ab Rahman (GGK) dan Renjer Martin anak Regip ( daripada K4) . Turut tercedera adalah Kapten Ferdinando Salvati dari Itali.

Kedudukan serang hendap tersebut adalah sangat tersorok – terdapat dinding setinggi 8 kaki yang menghalang sebarang cubaan melarikan diri dan menghadkan tembakan perlindungan. Kesemua mereka yang telah ditahan itu telah disoal siasat oleh militia tersebut. Mereka digerakkan dari satu rumah ke rumah lain. Penembak tersebut memberitahu Kolonel itu mungkin akan disoal siasat oleh General Farah Aided. Punca serangan tersebut dikatakan kerana penembak Somali itu telah tersilap menyangka konvoi tersebut adalah terdiri daripada pasukan Amerika. Hakikatnya, pasukan Amerika telah ditarik balik sejak 31 Mac 1994, meninggalkan hanya satu platun lebih terdiri daripada 30 anggota bagi mengawal kedutaan Amerika di Mogadishu. Pasukan Amerika sebenarnya telah tidak meronda kawasan Mogadishu sejak insiden “Black Hawk Down” pd 3- 4 Oktober 1993. Tugas rondaan hanya dijalankan oleh pasukan Malaysia.

Notifikasi daripada markas  Kompeni yang terletak di kawasan K4. (terletak di kawasan Universiti Mogadishu), mengatakan konvoi tersebut belum kelihatan telah menyebabkan Lt Sulaiman  kelam kabut menghubungi pegawai daripada kontinjen lain yang bertugas di markas UNOSOM11 . Namun, tidak ada seorang pun yang tahu apa yang telah berlaku kepada kumpulan ronda tersebut.

Pada lebih kurang jam 0100, Kolonel Itali tersebut telah sampai ke K$ dan   memberitahu beliau bahawa pasukan rondanya telah diserang hendap dan 2 anggota Malaysia telah terbunuh, manakala 2 lagi mengalami kecederaan serius. Bersama-sama dengan beliau adalah  Pegawai Waran  Risik yang turut serta dalam konvoi itu.

Berita tersebut telah disampaikan kepada pemerintah UNOSOM II ketika itu, General Aboo Samah Aboo Bakar. Beliau yang disegani oleh puak Somali menjadi berang setelah mendapat berita tersebut, dan telah turun padang berunding dengan puak Somali untuk menuntut pembebasan semua anggota yang ditahan serta pelepasan mayat 2 anggota yang telah terbunuh itu. Memikirkan SSjn Azman adalah bukan Islam, mayat beliau telah diperlakukan dengan keadaan aib sekali. Luluh hati pasukan Malaysia melihat keadaan beliau. Setelah diberitahu identiti sebenar SSjn Azman, barulah puak Somali yang terlibat memohon maaf.

Pada 19 Julai 1994, sekitar jam 0300, kesemua anggota yang telah terkorban, tercedera dan tertangkap telah diserahkan kembali kepada pasukan tanpa sebarang bayaran atau tuntutan. Mereka yang terlibat adalah:

1. Kol. Fulvio Vezzalini – Itali
2. Kapt. Ferdinando Salvati – Itali
3. Kapt. Emilio Sen – Itali
4. PW Hare Kent – New Zealand
5. PW Mohamad Baharom – Malaysia (Risik)
6. SSjn Azman Mohd Tahir -Malaysia (GGK)
7. Sjn Zaidi Hanafiah – Malaysia (GGK)
8. Kpl Ghani ak Binjoi – Malaysia (RRD)
9. LKpl Bakar Selamat – Malaysia (RRD)
10. LKpl Ahmed Ab Rahman – Malaysia (GGK)
11. Renjer Adnan Abu Bakar -Malaysia (RRD)
12 Renjer Gerry ak Tugan – Malaysia (RRD)
13. Renjer Martin ak Regip – Malaysia (RRD)

Keratan berita mengenai insiden tersebut

Daripada salah seorang anggota yang tercedera, LKpl Ganie dikatakan telah ditembak hidup-hidup daripada jarak dekat setelah enggan menyerahkan senjata api miliknya. Dalam pergelutan yang menyusul, mendiang telah ditembak secara point blank. Menurut salah seorang anggota yang pernah terlibat dalam misi tersebut, berprofil FB “Mech D’Meron Fsls” –

“Saya bersama Lt (B) Hikal beserta 14 buah kereta perisai bergerak ke K4 pada jam 0130 pagi untuk ambil jenazah arwah Ssjn Azman dan Mendiang Kpl Ghani serta anggota cedera yang lain. Semasa smpai di lokasi kompeni keselamatan, saya lihat dua mayat berada di beranda bangunan dan ditutup dengann kain putih. Dibahagian kepala kelihatan darah dan saya mengesyaki kedua-dua anggota ditembak di bahagian kepala. Disebelah hujung kepala ada dua helmet yang dpenuhi darah dan otak anggota. Saya bersama Lt Haikal mmbawa mayat ke bilik mayat Hospital Pakistan dan membuat pengecaman mayat..”

Saya mengenali isteri arwah SSjn Azman semasa tinggal berjiran dulu. Setelah perkhabaran diterima, beliau telah jatuh pengsan banyak kali kerana menurut kisah sebenar, arwah SSjn Azman yang putih dan ada sedikit rupa Cina itu disangka sebagai bukan Muslim, lalu mayatnya diperlakukan dengan teruk sekali. Tak ramai yang tahu bahawa pada malam sebelum kejadian, Ssjn Azman telah meminta janji daripada seorang rakan setugas/buddynya untuk menjaga anak isterinya sekiranya dia gugur. Gurauan itu ternyata benar dan gambar diambil daripada kamera yang baru dibelinya menjadi kenangan terakhir SSjn Azman untuk keluarganya.

Yang memilukan adalah keadaan keluarga yang ditinggalkan. Arwah SSjn Azman belum berpeluang melihat anak bongsunya yang dilahirkan setelah beliau berangkat ke Somalia. Malah, semasa hendak bertolak, helikopter yang beliau naiki terpaksa berhenti setelah ditahan oleh isteri beliau. Ketika itu, helikopter hendak bertolak ke Subang bagi membawa arwah menaiki pesawat yang akan terbang ke Somalia. Sepatutnya, beliaumakan tengahari bersama keluarganya itu, tetapi helikopter yang membawa keluarga mereka yang akan bertolak, telah terlambat bertolak dari Melaka, menyebabkan SSjn Azman tidak dapat menunggu. Namun, nyaris-nyaris saja helikopter yang dinaikinya hampir bertolak, anak dan isterinya sampai. Di atas tarmac itulah buat kali terakhir arwah bersalam dengan isterinya dan mencium anak-anaknya.

Keratan berita mengenai arwah SSjn Azman

Kpl Gani pula sedang mengira hari untuk pulang bertemu anak isterinya pada Ogos itu, setelah bertolak ke Somalia pada bulan Februari. Anak bongsunya hanya berusia seminggu, dan tidak sempat melihat wajah ayahnya.

Keratan berita mengenai Kpl Gani
Suasana pilu semasa pengebumian arwah SSjn Azman
Arwah ibu SSjn Azman ketika dikunjungi Sultan Pahang selepas pengebumian
Ketika pengebumian

 

Mereka adalah sebahagian daripada peuang-pejuang negara yang menggadai nyawa di medan juang demi kedaulatan negara, memikul tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepada mereka. Jasa mereka tak ternilai dan tak terhitung. Demi kita, keluarga mereka terpaksa berkorban juga. Maka adalah selayaknya jasa mereka dihargai, bukan diperlekeh atau dipertikaikan..jasa yang akan terus harum di laman kedaulatan negara..=WRA=


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Aenid Abdullah, berkelulusan B.Ed.TESL ( Hons.) daripada Universiti Of Exeter, United Kingdom dalam bidang Bahasa Inggeris adalah anak desa berasal dari sebuah desa kecil di Kedah. Meski sudah jauh merantau, beliau tidak pernah lekang daripada kesukaannya terhadap sambal belacan,durian,petai dan harum bumi Malaysia tatkala disimbah hujan. Kecintaannya yang paling besar adalah terhadap dunia pertahanan, senjata, motorsikal berkuasa tinggi dan aktiviti-aktiviti mencabar.

Leave A Reply