Peristiwa bom atom di Hiroshima dan Nagasaki pada Ogos 1945 bukan saja menandakan babak akhir Perang Dunia Kedua (WWII). Tetapi ia juga merupakan permulaan era atom di mana manusia berupaya melakukan kemusnahan pada skala yang tidak pernah disaksikan sebelum ini. Tiada siapa juga menyangka di Hiroshima, ada beberapa orang warga Tanah Melayu (kini sebahagian daripada Malaysia) yang berada di situ semasa serangan tersebut berlaku.

Mungkin ada mengatakan ini cerita karut semata-mata. Tetapi itulah yang disaksikan Allahyarham Datuk Haji Abdul Razak Abdul Hamid pada 6 Ogos 1945. Beliau merupakan sebahagian daripada kumpulan 12 orang pelajar yang dipilih Jepun dari seluruh Tanah Melayu untuk dihantar ke negara itu untuk program pendidikan. Mereka menyertai 17 orang lagi individu yang dipilih dari Asia Tenggara untuk menjalani program sama.

Selain Allahyarham Datuk Abdul Razak, dua lagi pelajar Tanah Melayu yang bersama beliau ketika itu ialah Nik Yusof Nik Ali dan Syed Omar Syed Mohammad Alsagoff. Nik Yusof berasal dari Kelantan sementara Syed Omar pula berasal dari Johor. Kedua-duanya pada ketika itu berusia 17 tahun dengan Allahyarham berusia 19 tahun.

Mengikut perancangan, kumpulan-kumpulan pelajar ini akan menjalani pengajian pra-universiti sebelum menyambung pengajian di universiti-universiti terpilih. Dalam kes ketiga-tiga individu ini, mereka memilih menyambung pengajian di Universiti Hiroshima dengan tempoh pengajian selama empat tahun. Tetapi semua itu berubah pada 6 Ogos 1945.

Sebelum itu, kami cadangkan korang dapatkan MALAYA 1941. Skrip bom atom Hiroshima dan Nagasaki mula terhasil beberapa tahun sebelumnya di mana Jepun berjaya menguasai Asia Tenggara termasuk Tanah Melayu pada kadar yang pantas. Tetapi untuk melakukannya, memerlukan perancangan yang rapi dan teliti. Nak tahu bagaimana ia berlaku, dapatkan buku ini sekarang! Beli di Shopee: https://shopee.com.my/The-Patriots-Malaya-1941-i.238336777.4643942913

Bagi penduduk Hiroshima hari itu, itu merupakan satu lagi hari biasa. Kehidupan berjalan seperti biasa di sebalik ancaman pengeboman udara yang dilancarkan pihak Bersekutu terhadap Jepun. Kempen tersebut digiatkan terutama selepas kejatuhan Saipan (Jun 1944) dan Okinawa (Jun 1945). Jika berlaku sekalipun, siren udara akan dibunyikan dan penduduk dan ekspatriat asing boleh berlindung di tempat-tempat perlindungan yang disediakan.

Allahyarham Datuk Abdul Razak mengakui ramai merasa selamat di Hiroshima kerana ia jarang ‘dilawati’ oleh pesawat-pesawat Bersekutu. Pada pagi 6 Ogos, beliau bersama Nik Yusof dan Syed Omar sepatutnya mengikuti pengajian kelas mereka. Tetapi semuanya berubah apabila mereka mendengar bunyi siren udara sekaligus memaksa mereka berlindung di bunker. Turut menyertai mereka pada ketika itu ialah rakan sepengajian dari Brunei, Pengiran Yusof dan seorang profesor mereka.

Selepas beberapa ketika, bunyi siren dimainkan sekali lagi bagi menandakan ancaman pengeboman yang dibangkitkan sebelum ini telah tiada. Tetapi para penduduk Hiroshima tidak menyangka pada jam 8.15 pagi, pesawat pengebom menggugurkan bom atom yang dipanggil Little Boy pada ketinggian 2,000 kaki. Sebaik itu berlaku, dalam sekelip mata, Hiroshima bertukar menjadi padang jarak padang tekukur.

Awan cendawan yang dihasilkan bom atom di Hiroshima beberapa minit selepas ia digugurkan.

Pada hari itu, 70,000 hingga 150,000 orang terbunuh akibat letupan bom atom berkenaan. Letupan sama turut membunuh Nik Yusof dan Syed Omar memandangkan Little Boy meletup kira-kira 1.5 km dari Universiti Hiroshima. Sementara Allahyarham Datuk Abdul Razak, Pengiran Yusof dan pensyarah mereka terselamat dengan mereka terperangkap dalam runtuhan bangunan yang musnah. Ajaibnya, Allahyarham Datuk Abdul Razak hanya mengalami sedikit kecederaan selepas berjaya dikeluarkan.

Walaupun masih dalam keadaan terkejut, pensyarah beliau dan Pengiran Yusof meminta mereka pulang ke asrama bagi meninjau keadaan rakan-rakan pelajar lain. Kedua-duanya berdepan kesukaran untuk kembali ke asrama mereka berikutan semua papan tanda termasuk papan tanda jalan musnah akibat letupan yang dahsyat itu. Semasa perjalanan, mereka melihat ramai orang yang cedera terutama yang merangkak keluar dari bangunan.

Sebaik tiba di asrama, Allahyarham Datuk Abdul Razak dan Pengiran Yusof mencari seorang wanita bernama Oba-san yang bertanggungjawab menguruskan asrama mereka. Tetapi mereka tidak menemui wanita tersebut – berkemungkinan mati akibat serangan tersebut. Kedua-duanya kemudiannya membantu mengeluarkan penduduk-penduduk Hiroshima berhampiran yang terselamat termasuk seorang wanita bernama Miss Sumida. Wanita tersebut bekerja di sebuah syarikat berhampiran dengan asrama mereka.

Tetapi tiada siapa menyangka apa yang berlaku selepas itu. Tiba-tiba, bangunan-bangunan sekitar mereka mula dijilat api selepas kebakaran bermula di seberang Sungai Motoyasu. Kebakaran yang berlaku di sebelah sana mula memusnahkan semua yang ada di laluannya termasuk sebuah jambatan yang merentasi sungai berkenaan. Ini memaksa kumpulan individu ini cuba menyelamatkan diri.

Dengan api yang marak semakin menghampiri, Allahyarham Datuk Abdul Razak dan Pengiran Yusof kelihatan berserah kepada takdir. Tetapi tiba-tiba, mereka ternampak sebuah rakit yang berada di tebing sungai. Lantas, mereka membawa Miss Sumida dan beberapa orang yang terselamat naik ke atas rakit. Apabila kebakaran mula reda, barulah mereka berani memanjat keluar dari rakit.

Tetapi menjelang malam, skala kengerian serangan bom atom Hiroshima terserlah. Pada malamnya, kumpulan itu dapat mendengar suara orang meminta tolong, mengaduh kesakitan dan meminta air. Normallah bila itu berlaku, air diberi kepada yang meminta. Tetapi sebaik beberapa orang penduduk yang terselamat mati selepas minum air yang diberi, sedarlah Allahyarham Datuk Abdul Razak dan Pengiran Yusof bahawa air Hiroshima terlalu beracun untuk diminum.

Oleh sebab itu, mereka menasihati individu-individu yang terselamat agar tidak minum air. Tetapi apa pilihan yang ada buat mereka? Kalau tak minum, mati akibat kehausan. Kalau minum, mati akibat keracunan. Bagi Allahyarham Datuk Abdul Razak, senario tersebut sememangnya mencabar dari segi emosi. Atas sebab itu, beliau dan Pengiran Yusof enggan memberi air kepada mereka yang terselamat walaupun dipinta berkali-kali.

Menjelang pagi, skala kecederaan penduduk-penduduk Hiroshima yang terselamat amat mengejutkan. Sesetengah merasakan kulit tercabut daripada badan mereka. Ada pula yang mengalami bengkak pada bahagian muka dan kehilangan rambut yang banyak. Bagi yang mati pula, mayat mereka rentung habis. Bagi Allahyarham Datuk Abdul Razak dan Pengiran Yusof, ia merupakan satu pemandangan yang mengerikan. Mereka kemudiannya menunggu selama 10 hari sebelum diselamatkan dan dibawa ke Jepun untuk rawatan.

Yang ajaibnya tetapi tidak mustahil di sisi-Nya, Allahyarham Datuk Abdul Razak tidak mendapat penyakit-penyakit radiasi seperti kanser dan leukemia. Dalam tempoh sebulan, kumpulan ini diberi suntikan ubat bagi mengelakkan kiraan sel darah putih mereka menurun. Setelah WWII berakhir, kumpulan pelajar ini pulang ke negeri masing-masing termasuk Allahyarham Datuk Abdul Razak.

Allahyarham Datuk Abdul Razak kemudiannya menjadi Profesor untuk pengajian Jepun sebelum dilantik sebagai ketua polisi Dasar Pandang Ke Timur oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1982. Pada Februari 2013, Universiti Hiroshima menganugerahkan ijazah kehormat kepada beliau bagi menghargai jasanya mempromosikan hubungan baik Jepun-Malaysia. Beliau kembali ke hadrat Ilahi beberapa bulan selepas itu semasa berusia 88 tahun.

Tidak seperti kisah Allahyarham Datuk Abdul Razak yang diketahui menerusi dokumentari NHK dan buku berjudul Debu Hiroshima, tidak ramai yang mengenali Nik Yusof dan Syed Omar. Berdasarkan kajian yang dibuat Aaron Denison dari Universiti Hiroshima, kisah mereka berdua amat tragis – senasib dengan apa yang menimpa penduduk-penduduk Hiroshima ketika itu.

Kubur Nik Yusof di Kuil Kozenji. Sumber: Aaron Denison

Mayat Nik Yusof ditemui berhampiran Itsukaichi sebelum ianya kemudian dibakar. Sebaik identitinya diketahui, seorang sami Buddha menawarkan diri untuk mengebumikan abu mayatnya mengikut lunas agama Islam di Kuil Kozenji. Setiap tahun, pihak kuil dan kumpulan sukarelawan mengadakan majlis memorial di situ bagi memperingati mereka yang telah tiada.

Sementara Syed Omar pula terselamat daripada letupan tersebut tetapi mengalami kecederaan parah. Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Kyoto dan cuba diselamatkan oleh para doktor bertugas. Tetapi manusia hanya mampu merancang, Tuhan lebih berkuasa ke atas segala-galanya. Syed Omar kembali ke hadrat Ilahi di hospital itu sebelum dikebumikan di Kuil Enkoji, Kyoto.

Kecuali nama Allahyarham Datuk Abdul Razak yang disebut sepintas lalu dalam buku teks sejarah, tidak banyak yang diketahui tentang mangsa-mangsa bom atom negara termasuk Nik Yusof dan Syed Omar. Dan ini sepatutnya diatasi dengan segera. Generasi hari ini berhak tahu tentang apa yang berlaku di Hiroshima dan Nagasaki termasuk orang-orang yang pernah mengalami detik dahsyat tersebut. Dengan berbuat demikian, kisah individu-individu ini tidak akan hilang ditelan zaman.

Sebelum kita tutup, siapa Pengiran Yusof ini? Pengiran Yusof atau nama sebenarnya Pengiran Muhammad Yusuf bin Abdul Rahim bakal Perdana Menteri Brunei pada tahun 70-an sebelum menjadi Pesuruhjaya Tinggi Brunei ke Malaysia dari 1995 hingga 2001. Beliau meninggal dunia pada 11 April 2016 semasa berusia 92 tahun.

Selain Pengiran Yusof, ada seorang lagi figura terkenal yang terselamat daripada serangan bom atom Hiroshima. Individu tersebut ialah bekas ahli Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) Indonesia, Hasan Rahaya. Seperti Allahyarham Datuk Abdul Razak dan Pengiran Yusof, beliau dan dua rakannya dari Hindia Timur (kini Indonesia) membantu penduduk-penduduk Hiroshima yang terselamat daripada serangan berkenaan. Hasan kemudiannya meninggal dunia pada 30 November 2014.

Upacara penganugerahan ijazah kehormat kepada Allahyarham Datuk Abdul Razak di Universiti Hiroshima. Sumber: Universiti Hiroshima

Menariknya, tiga insan ini kembali bersua muka pada majlis penganugerahan ijazah kehormat yang dibuat di Universiti Hiroshima pada Februari 2013. Ketiga-tiganya berkongsi satu perkara yang sama: terselamat pada hari yang di mana babak akhir WWII dicoret dan membawa kepada penyerahan kalah Jepun seminggu selepas itu.

RUJUKAN

Abdul Razak, D. (2013, 19 Julai). Razak-sensei, from the ashes of Hiroshima. New Straits Times.

Lim, F. (1988, 4 Ogos). Survivor Haji Razak Recalls The Horror Of It All. New Straits Times.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply