Geronimo: Pahlawan Puak Apache Yang Mendatangkan Gerun Pada Amerika Dan Mexico

0
1960
views

Persengketaan antara puak Apache dan Amerika Syarikat adalah antara helaian sejarah yang menarik yang dikenang dalam sejarah Amerika Syarikat. Betapa gigihnya puak Apache melawan USA sehinggakan pemberontakan mereka mengambil masa puluhan tahun untuk ditundukkan. Ia dikatakan bermula daripada 1849 dan berakhir pada sekurang-kurangnya 1924 Masihi.

Salah seorang tokoh besar dalam peperangan melawan Amerika Syarikat ini adalah Geronimo yang dicatatkan menyerah kalah kepada Amerika Syarikat. Namun nanti dulu, sebelum bendera putih dijulang oleh Geronimo, sesungguhnya Amerika Syarikat pasti merindui seorang musuh sepertinya. Serangan gerilanya yang membinasakan, pengerakannya yang persis hantu yang berjaya mengaburi mata sama ada pihak berkuasa Amerika dan Mexico, meninggalkan urban legend yang cukup mendalam dalam jiwa masyarakat Amerika Syarikat itu sendiri ketika berbicara mengenai beliau.

Nama asal kepada tokoh pahlawan puak apache yang paling menggerunkan ketika abad ke-19 ini adalah Goyahkla yang bermaksud Yang Menguap. Beliau lahir pada tahun 1820 dalam puak Chiricahua Apache yang ketika itu, mendiami kawasan disekitar New Mexico dan Arizona. Geronimo itu sendiri adalah kononnya nama panggilan yang diberikan kepadanya selepas kejayaan pada usia yang muda, berjaya mengetuai jarahan ke atas Mexico dan nama itu adalah panggilan tentera Mexico yang jadi gerun menghadapi Geronimo.

Lahirnya Geronimo adalah ketika era persengketaan dan konflik antara kerajaan Mexico dan Apaches. Tabiat puak Apache yang seringkali melalukan penjarahan dan serangan semata-mata demi mendapatkan bekalan persenjataan, pemakanan dan kuda-kuda telah memaksa kerajaan Mexico mula melakukan serangan ke atas penempatan Apache dan menawarkan ganjaran yang lumayan kepada sesiapa sahaja yang berjaya melakukannya. Pada tahun 1851, ketika Gernoimo bersama dengan beberapa pahlawan Apache yang lain berada di Janos, sebuah pekan di Mexico dalam misi perdagangan mereka, Kolonel Jose Maria Carrasco dari Mexi bersama dengan 400 orang tentera Mexico telah menyerang Bedonkohe, tempat tinggal puak Apache. Antara yang terbunuh di tangan kolonel ini adalah isteri, ibu dan tiga orang anak-anaknya.

“Aku sudah kehilangan segala-galanya.” Itulah ucapan yang terkenal yang merujuk kepada permulaan kepada dendam yang bakal membakar bukan sahaja dirinya, bahkan Amerika dan Mexico. Lalu dicatatkan bahawa beberapa siri serangan yang sangat berdarah berlaku pada setiap penempatan tentera Mexico itu sendiri, yang diketuai oleh Geronimo. Akhirnya, ungkapan yang lahir dari mulut Geronimos ialah, “Aku sudah membunuh terlalu banyak orang Mexico. Aku tidak tahu seberapa banyak… namun sebahagian antara mereka, tidak layakpun untuk dikira kematian mereka.”

Pada tahun 1840 sehingga 1850, perang antara Amerika Syarikat dan Mexico tercetus dan Gadsden Purchase, di mana Amerika telah memiliki hak ke atas tanah Mexico, telah meletakkan puak Chicahua Apaches ke dalam kekuasaan Amerika Syarikat. Betapa apa yang berlaku ketika itu, ditentang habis-habisan oleh puak Apache yang bekeras tidak mahu kekal dan setia berada dibawah penjajah baru. Namun berikutan perang melawan tentera Amerika Syarikat, mereka terpaksa akur pada perjanjian keamanan dengan tentera Amerika Syarikat dengan mereka ditempatkan di tanah simpanan yang terletak di Arizona.

Salah seorang daripada yang terpaksa akur dibawah tentera Amerika Syarikat ketika itu ialah Geronimo itu sendiri. Ia berlaku pada tahun 1877 apabila dia ditangkap dan di bawa ke San Carlos, salah satu lokasi penempatan untuk puak Apache. Namun sebanyak tiga kali Geronimo berjaya melepaskan diri daripada penempatan yang disediakan oleh puak Amerika Syarikat. Setiap kali mereka berjaya melarikan diri, mereka menjadikan gunung ganang sebagai tempat persembunyian, hanya akan keluar melakukan penjarahan ke atas Amerika Syarikat dan Mexico. Betapa berita tiga kali dia berjaya lari dari penempatan Amerika Syarikat telah menempah kemasyuran ke atas namanya.

Mungkin kerana kemasyuran yang dikecapinya dalam melawan Amerika Syarikat, menempah kisah legenda pula yang berkisarkan Geronimo. Konon beliau ialah seorang manusia yang penuh dengan keajaiban dan kuasa luar biasa. Geronimo yang merupakan bomoh untuk puak Apache, selalu dikaitkan dengan kelebihan memperlahankan waktu, mengelakkan peluru yang sedang terbang ke arahnya, kebolehan mengubati orang sakit, kebolehan memanggil hujan bahkan pada satu masa, meramalkan bala yang bakal dilemparkan ke atasnya.

Waqaf Saham

Dalam satu insiden yang berlaku yang diceritakan salah seorang pahlawan dalam puak Apache yang merupakan pengikut Geronimo, dikatakan bahawa betapa ketika mereka sedang berkumpul mengelilingi unggun api, ketika dalam ekpdisi menjarah beberapa buat kota dan pekan dibawah Amerika Syarikat, Geronimo menerima visi seolah-olah bahawa kem mereka telah diserang oleh tentera Amerika Syarikat. Dua hingga tiga hari selepas visi itu melanda dirinya, mereka tiba di kem yang dimaksudkan oleh Geronimo, betapa serangan Amerika Syarikat itu benar-benar terjadi. Jason Betnzinez, pahlawan tersebut menulis, “Aku tidak dapat menerangkan apa yang terjadi hari ini, tetapi aku memang berada di situ, dan melihat dengan mata kepala aku sendiri.”

Bahkan, ketika di usia 60-an, pahlawan hebat ini ketika dalam misi melarikan diri dari kem penempatan untuk puak Apache oleh Amerika Syarikat, telah bersama dengan kumpulan pengikutnya mengembara 70 batu per hari untuk mengelakkan tentera Amerika Syarikat dan peninjau daripada puak Apaches berjaya mengesan jejak mereka. Dan pada usia setua itu pun, dia berjaya mengetuai serangan demi serangan ke atas Amerika Syarikat.

Pada tahun 1886, semata-mata untuk memburu orang tua berusia 60-an, hampir suku kekuatan tentera Amerika Syarikat yang bersedia ketika itu, dikerahkan untuk memburu Geronimo bersama dengan 40 orang pengikut. Hanya pada 4 september 1886, barulah Geronimo benar-benar menyerah kalah kepada Jeneral Nelson Miles di Skeleton Canyon, Arizona, menjadikan beliau tokoh pemimpin puak asli Amerika yang terakhir yang menyerahkalah kepada Amerika Syarikat.

Selepas itu, hidup Geronimo diabadikan sebagai seorang tawanan perang (PWO – prisoner of war). Dia dibawa untuk melakukan kerja buruh di setiap kem tentera. Beberapa kali juga dibawa berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Kehidupan akhir Geronimo walau sebagai seorang tawanan perang, dia hidup sebagai selebriti. Dia dibenarkan menjual tandatangannya, serta segala barang yang dikaitkan dengan dirinya, seperti panah dan busur panah, serta tongkat yang digunakannya untuk berjalan diusia tua kepada setiap pelancong Amerika. Bahkan dia sering tampil dalam beberapa festival seperti Worlds Fair dan juga Wild West Shows, di mana di festival tersebut, dia akan diperkenalkan sebagai Apache Terror atau Tiger of The Human Race.

Meski dalam PWO, beliau tetap gigih berjuang untuk nasib anak bangsanya. Ketika 4 Mac 1905, ia adalah antara penampilan awam paling popular Geronimo apabila dia mengambil tempat dalam perarakan pertabalan Theodore Roosevelts di Washington DC sebagai presiden Amerika Syarikat. Dia ketika itu didampingi oleh lima orang pemimpin puak asli Amerika, menaiki seekor anak kuda sambil orang awam menjerit melaung namanya. Pada kesempatan itu, Geronimo mengambil kesempatan itu untuk berbaiah (plead) kepada Roosevelts. 5 hari kemudian, Geronimo mendapatkan kesempatan berjumpa dengan Roosevelts secara berdepan. Dalam penemuan itu, Geronimo meminta agar puaknya dihantar semula ke Barat Amerika, tempat asal penduduk asli Amerika Syarikat.

Dalam permintaan itu, Geronimo meminta agar beliau dibebaskan. Namun, permintaan itu ditolak oleh Roosevelts kerana bimbang sebuah lagi peperangan akan tercetus sekiranya Geronimo dibebaskan. Hanya pada tahun 1913, selepas 4 tahun kematian Geronimo, barulah puak Chiricahuas Apache dibebaskan dan dibenarkan untuk pulang ke rumah mereka.

Rujukan:

Evan Andres (2016) 7 Things You May Not Know About Geronimo. History.com

Geronimo. History.com (Pautan: http://www.history.com/topics/native-american-history/geronimo)

Geronimo. Biography (Pautan: https://www.biography.com/people/geronimo-9309607)

Previous articleSenjata Biologi Melayu Ketika Melawan Portugis
Next articleSurin Abdul Halim bin Ismail Pitsuwan
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here