Isle of Skye, Scotland mungkin lebih dikenali sebagai destinasi ekopelancongan menarik di Britain. Tetapi lebih 170 juta tahun lalu, ia juga merupakan habitat kepada dinosaur terbang terbesar di dunia era Jurassic, Pterosaur/Pterodactyl.

Ini berdasarkan penemuan fosil Pterosaur dalam keadaan hampir sempurna yang dibuat oleh sekumpulan pengkaji paleontologi Scotland pada 2017. Selepas ia menjalani kerja-kerja pemuliharaan, ia diperkenalkan sebagai bahan pameran terbaru Muzium Negara Scotland baru-baru ini.

Fosil Pterosaur yang ditemui di Rubha nam Brathairean (Brother’s Point), Semenanjung Trotternish pada 2017. Sumber: Gregory Funston.

Tetapi apa yang mengejutkan para saintis ialah saiz sebenar haiwan tersebut. Profesor Steve Brusatte dari Universiti Edinburgh menyatakan dalam kajian sebelumnya, saiz sayap Pterosaur dianggarkan antara 1.6 hingga 1.8 meter. Tetapi mengikut saiz fosil yang ditemui, Pterosaur berupaya mencapai saiz 2.5 meter. Ini menunjukkan evolusi dinosaur berkenaan jauh lebih awal daripada tempoh 25 juta tahun kemudian – sekitar era Cretaceous.

Penemuan terbaru ini turut mengundang persoalan tentang kaitan burung dengan pertambahan saiz Pterosaur. Mengikut teori komuniti paleontologi, pertambahan saiz dinosaur itu didorong oleh persaingan dengan burung. Tetapi menurut Prof Brusatte, burung pada ketika itu sedang berevolusi daripada dinosaur pada masa sama pterosaur wujud. Bagaimanapun, beliau juga tidak menolak persaingan mencari makanan turut mendorong ia mencapai saiz sedemikian.

Spesies Pterosaur ini diberi nama Gaelic Scotland iaitu Dearc sgiathanach. Nama tersebut bermaksud reptilia terbang dan reptilia dari Isle of Skye. Apa yang lebih memeranjatkan komuniti paleontologi ialah ia berada dalam keadaan hampir sempurna – lebih tepat 70%. Sebelum ini, fosil Pterosaur terpelihara dalam formasi batu terpilih seperti ditemui di Brazil dan China.

Gambaran artis berkenaan Pterosaur yang diberi nama Dearc sgiathanach. Sumber: Natalia Jagielska

Imbasan CT yang dibuat Universiti Edinburgh kepada fosil Dearc mendapati ia mempunyai lobus optik yang besar. Ini menunjukkan haiwan ini mempunyai daya penglihatan yang baik. Selain itu, Dearc juga mempunyai tulang-tulang kosong dan dinding-dinding tulang yang nipis pada bahagian sayap.

Dari satu segi, dua ciri ini membolehkan ia terbang di angkasaraya. Tetapi pada masa sama, ia menjadikan bahagian tersebut rapuh dan tidak sesuai untuk proses pemfosilan yang berlaku selama jutaan tahun. Tetapi menerusi penemuan Dearc, ia masih dalam keadaan baik termasuk gigi tajam yang digunakan untuk menyambar ikan dalam air.

Imbasan sama turut menunjukkan Dearc berusia muda semasa ia mati dan mengalami proses pemfosilan. Disebabkan usia mudanya, Brusatte tidak menolak saiz sebenar Dearc boleh mencecah tiga meter sekiranya ia Pterosaur dewasa.

Pterosaur merupakan haiwan vertebrata pertama yang mempunyai keupayaan untuk terbang. Terbang di sini bukan sekadar melompat atau meluncur tetapi menggerakkan sayapnya bagi membolehkan ia bergelar raja di angkasa. Ia berevolusi kepada puluhan spesies dengan ada yang mencecah saiz sebesar jet pejuang F-16 dan ada juga sekecil burung layang-layang.

Pterosaur wujud pada era Mesozoik yang turut dikenali sebagai era reptilia dan dinosaur. Ia sudah wujud seawal Zaman Triasik atau 230 juta tahun yang lalu. Menjelang akhir zaman Cretaceous, ia pupus bersama dinosaur-dinosaur lain akibat hentaman asteroid yang berlaku pada musim bunga 66 juta tahun lalu. Difahamkan semasa peristiwa itu berlaku, saiz Pterosaur dikatakan sama seperti jet pejuang F-16.

Fosil Dearc ditemui oleh seorang pelajar PhD bernama Amelia Penny semasa menjalankan kerja-kerja lapangan di Rubha nam Brathairean (Brother’s Point), Semenanjung Trotternish pada 2017. Sebaik mendapati ia merupakan fosil Pterosaur, mereka berusaha keras mengeluarkannya tetapi terpaksa bersabar dengan keadaan air pasang surut di kawasan berkenaan. Kerja-kerja mengeluarkan fosil berjaya dilakukan menjelang tengah malam.

Kerja mengeluarkan fosil Pterosaur yang diberi nama Dearc sgiathanach di Rubha nam Brathairean (Brother’s Point), Semenanjung Trotternish pada 2017. Sumber: Universiti Edinburgh

Ini bukan kali pertama Britain menemui fosil Pterosaur. Kali pertama fosil dinosaur ini dijumpai ialah pada 1828 oleh pemburu fosil Mary Anning. Semasa menemui fosil Pterosaur buat kali pertama, beliau menggelarnya sebagai naga terbang.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2023 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


RUJUKAN

Ferguson, B. (2022, 22 Februari). World’s biggest Jurassic-era pterodactyl discovered on Isle of Skye. The Scotsman.

Chadwick, J. (2022, 22 Februari). Dino-mite find! 170 million-year-old Jurassic pterosaur fossil unearthed on the Isle of Skye with a wingspan of more than 8ft is confirmed to be the largest in the WORLD. Daily Mail.

Davis, N. (2022, 22 Februari). Remains of ‘world’s largest Jurassic pterosaur’ recovered in Scotland. The Guardian.

Sumber gambar: Natalia Jagielska

Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply