Firaun Akhenaten: Bapa Monotheism Mesir Purba

0
2217
views

Bila bercakap tentang firaun sahaja, dalam benak segelintir orang Melayu Islam di Malaysia bahawa hanya satu sahaja firaun yang wujud sepanjang berdirinya MESIR Purba. Ini mungkin kerana mereka disumbat dengan pseudosejarah oleh segelintir ustaz yang menyamakan firaun adalah satu entiti sahaja padahal dalam sejarah terdapat ratusan firaun yang pernah memerintah bumi Mesir.

Salah satu daripadanya yang namanya dikenang oleh dunia tidak lain dan tidak bukan ialah Firaun Akhenaten yang memerintah pada 1353 – 1336 SM atau juga pada 1351 – 1334 SM (sejarawan khilaf dalam soal ini). Baginda memerintah Mesir Purba selama lebih 17 tahun. Nama sebenar baginda ialah Amenhotep IV sebelum baginda membuang nama tersebut dan menggantikan dengan Akhenaten yang bermaksud “berguna untuk Aten.” Aten untuk rekod ialah nama tuhan yang dinaikkan untuk disembah oleh rakyat Mesir Purba ketika itu.

Perkara menarik yang sering dibincangkan sepanjang pemerintahannya ke atas Mesir Purba ialah bagaimana baginda cuba menerapkan fahaman menyembah tuhan yang satu bernama Aten yang hanya digambarkan dengan bentuk cekera matahari. Pada awalnya, baginda tidak mempunyai masalah dengan kepercayaan politeisme yang berdiri di bumi Mesir Purba. Amalan menyembah tuhan yang tidak terkira dek jari dibiarkan hidup.

Namun semuanya berubah ketika tahun kelima pemerintahan baginda apabila baginda mengambil keputusan untuk menjadikan Aten sebagai tuhan tunggal yang harus disembah oleh masyarakat Mesir Purba. Amalan menyembah tuhan selain daripada Aten adalah dilarang dan agama rasmi Mesir Purba ketika itu buat pertama kali dalam sejarah, mengamalkan dasar Monotheism. Untuk menunjukkan kesetiannya kepada kepercayaan, baginda menukarkan nama baginda daripada Amenhotep IV kepada Akhenaten.

Untuk memuja tuhan barunya, Akhenaten telah mengarahkan pembinaan sebuah kota baru yang akan dijadikan sebagai pusat pemerintahan. Akhetaten yang kemudiannya menyaksikan kota ini dijadikan pusat keagamaan baru untuk agama barunya. Diarahkan pembinaaan kuil-kuiil di kota ini untuk dijadikan tempat ibadah. Kepercayaan agama baru Akhenaten ini memerlukan pengganutnya menyembah di tempat yang terbuka dek cahaya matahari sebab tuhan Aten ini hanya dibenarkan digambarkan dalam bentuk cekera matahari sahaja. Pada tahun ke-9 pemerintahan Akhenaten juga kita dapat melihat Akhenaten mengharamkan sebarang usaha untuk melukiskan dan menggambarkan Aten.

Apa yang dibawa oleh Akhenaten ini menjadi perdebatan pada zaman terkemudiannya dan percubaan untuk mengaitkan dengan tiga agama Ibrahim iaitu Islam, Christian dan juga Judaisme.

Sebagai contoh, terdapat sarjana seperti Sigmund Freud yang mengaitkan bahawa Nabi Musa A.S kononnya merupakan seorang pengganut agama Atenist (nama yang dipakai untuk disematkan dengan kepercayaan menyembah Aten) yang cuba kembali menerapkan fahaman monotheisme Akhenaten kepada penduduk Mesir Purba. Kemudian Sigmund Freud berhipotesis bahawa dari situ, maka lahirnya ajaran Judaisme yang wujud hari ini.

Terdapat juga sarjana seperti Ahmed Osman seorang sarjana sejarah Mesir yang cuba mengaitkan datuk kepada Akhenaten iaitu Firaun Yuya dengan entiti Nabi Yusof A.S yang kisahnya diceritakan dalam Al-Quran, Taurat dan Injil.

Ada juga percubaan mengaitkan kepercayaan Akhenaten dengan kepercayaan ajaran Kristian pada hari ini. Kerana terdapat rekod yang mengatakan Akhenaten mendakwa dirinya sebagai anak kepada Tuhan Monotheisme Aten. Ini sama dengan kepercayaan ajaran Kristian yang mengatakan bahawa Nabi Isa A.S sebagai anak tuhan. Bahkan terdapat persamaan puisi yang ditulis oleh Akhenaten memuja Aten dengan versi sepotong ayat dari Bible Pslam 104.

Namun fahaman Monotheisme yang cuba diserapkan oleh Akhenaten tidak bertahan lama apabila selepas kematiannya, firaun-firaun yang memerintah selepasnya meneruskan kembali amalan menyembah dewa-dewa yang banyak dalam tamadun Mesir Purba. Selepas kematian baginda juga, kita menyaksikan bagaimana projek-projek yang diabadikan untuk tuhan baru Mesir Purba turut diabaikan termasuklah bandar Akhetaten sehingga menjadikan puing-puing di padang pasir Mesir. Kuil-kuil yang cuba dibina oleh baginda juga diabaikan pembinaannya dan lebih sadis, batu-batu yang digunakan untuk projek tersebut dijadikan pula sebagai bahan untuk membangunkan kuil lain.

Bahkan lebih dasyat lagi, nama Akhenaten dipadam daripada senarai firaun yang memerintah Mesir Purba. Identiti baginda menjadi rahsia sehinggalah pada abad ke-19 apabila sejarawan berjaya mengorek kembali identiti baginda.

Previous articleTenaga Kegelapan Dan Kematian Alam
Next articleBetul Ke Malaysia Tidak Ada Pejuang Kebangsaan?
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here