Fasa-Fasa Sejarah Baitulmaqdis Dari Sumber Yahudi Bahagian I

0
1842
views

IRON AGE II (1000 SM-528 SM).

1. Jika kita berundur kembali meneliti sejarah awal kelahiran kerajaan Yahudi yang pertama di dunia mengikut kepercayaan dari kitab-kitab agama Yahudi, kita akan menemui nama Raja David membeli sebidang tanah daripada seseorang untuk membangunkan sebuah tempat suci. Tetapi impiannya ini tidak kesampaian apabila kematian lebih cepat menjemputnya. Warisnya yang sah, Raja Solomon yang telah mewarisi kerajaan ayahnya yang paling besar dan kaya pada masa itu terus menggerakkan kerja-kerja pembangunan menyiapkan bangunan yang bakal menjadi tempat ibadah suci penganut kaum Yahudi.

Akhirnya pada akhir abad ke-10 SM bangunan ini siap sepenuhnya.

2. Mengikut catatan dari sumber Tanakh, iaitu sebuah kitab kuno berbahasa Hebrew yang memuatkan teks-teks Yahudi, Raja Solomon memulai pembinaan Bait Suci ini dalam sekitar tahun 966 SM dan berakhirnya pengukuhan bangunan ini pada tahun kesebelas pemerintahannya iaitu sekitar 960 SM.

3. Orang yang bertanggungjawab dalam membina dan menyediakan bahan binaan pembangunan Bait Suci ini adalah pemerintah kedua dari Tyre iaitu Dinasti Abibaal, Raja Hiram I (980 SM-947 SM).

Mengikut rujukan daripada perhitungan para arkeologi dan ilmuwan, bangunan ini selebar 90 kaki, sepanjang 180 kaki dan setinggi 50 kaki.

4. Bait Suci yang diyakini sebagai ‘The First Temple’ ini digunakan sebagai tempat ibadah atau ritual korban yang dikenali sebagai Karbanot atau Qof-Resh-Bet. Ritual korban yang ini hanya khusus dilakukan oleh pendetanya, Kohanim di kuil ini sahaja, hanya di Bait Suci. Selalunya korban ini dilakukan seseorang untuk merapatkan dirinya pada Tuhan. Bahan korban terdiri daripada haiwan ternakan sahaja ataupun hidangan makanan.

5. Kehancuran pertama Bait Suci ini adalah pada zaman pemerintahan raja Babylonia, Nebuchadnezzar II atau Bukhtrashah yang menakluk tanah Jerusalem pada musim panas dalam sekitar tahun 586 SM. Penaklukannya ini meranapkan kerajaan Yahudi buat selama-lamanya dan membuka peluang kepada Raja Nebuchadnezzar II merampas segala harta benda yang terdapat di Bait Suci dan sekitar kerajaan Yahudi Jerusalem ini.

6. Dalam peristiwa penaklukan Jerusalem tahun 586 SM inilah, Raja Nebuchadnezzar II disyaki termasuk dalam senarai membawa peti suci yang diyakini menyimpan tiga harta suci bangsa Yahudi, iaitu Tabut Perjanjian atau Ark of Covenant.

Dalam kes ini juga, tercatat dalam kitab Hebrew lama, Firaun Shoshenq I dikatakan memiliki khazanah ini kerana baginda pernah menyerang tanah Jerusalem sebelumnya.

7. Kembali semula kepada tajuk asal, setelah kejatuhan kerajaan Yahudi dan kehancuran Bait Suci Solomon ini, nasib bangsa Yahudi dilumuri darah. Ada yang dibunuh bahkan dihalau keluar dari Jerusalem oleh Raja Nebuchadnezzar II.

Nota: Sebenarnya tahun yang tepat serangan Raja Nebuchadnezzar II tidak dikenalpasti secara sebenar-benarnya kerana ada juga pertikaian diantara ilmuwan dalam isu ini diantaranya ada yang mengatakan peristiwa ini terjadi dalam tahun 587 SM, 607 SM atau tahunnya tidak boleh dihitung terus kerana keraguan catatan-catatan kronologi yang samar-samar kerana tiadanya maklumat tersebut.

PERSIAN PERIOD (539 SM- 322 SM).

8. Jerusalem tetap berada di bawah penguasaan kerajaan Babylonia sehinggalah berpuluh tahun lamanya berlalu, datanglah pula seorang penguasa baharu empayar Achaemenid dari tanah Persia, Cyrus the Great pada tahun 539 SM. Wilayah Jerusalem automatik bertukar pemerintahan setelah raja terakhir kerajaan Babylonia, Nabonidus, dikalahkan dalam Perang Opis (September 539 SM).

9. Dikisahkan dalam kitab Hebrew lama, Cyrus the Great memanggil kembali para pengungsi Yahudi yang dihalau keluar pada saat penaklukan Jerusalem 586 SM, untuk menempati semula kawasan ini dan baginda turut menghulurkan bantuan kewangan untuk pembinaan semula Bait Suci yang telah menyembah bumi sekian lama.

Seramai 50,000 orang pulang ke ‘kampung halaman’ semula. Peristiwa ini di dalam kitab Hebrew dikenali sebagai ‘Return to Zion’.

10. Pembinaan semula kawasan Jerusalem bermula dari tapak Bait Suci pada zaman Cyrus the Great dan terus menerus sehinggalah kematiannya lalu usaha ini diteruskan oleh pemerintah Achaemenid seterusnya, Darius the Great. Akhirnya, siap sepenuhnya pembangunan semula Bait Suci ini pada tahun keenam pemerintahan baginda. Bait Suci ini pula dikenali sebagai ‘The Second Temple’. Di dalam Bait Suci Kedua inilah ditempatkan barang-barang suci ibadah mereka iaitu Menorah dan The Table of Showbread (ritual untuk Tuhan HaShem).

11. Mengikut sumber para rabbi Yahudi, Bait Suci Kedua ini berdiri dengan teguhnya selama 420 tahun lamanya.

Zaman pun berubah seiring pertukaran kekuasaan di atas peta dunia.

HELLENISTIC PERIOD (332 SM-141 SM).

12. Alexander the Great, penguasa dari Macedonia menguasai Jerusalem pada tahun 332 SM ketika era Hellenistik. Setelah kematian Alexander the Great maka Ptolemy I Soter (Firaun Pertama Kerajaan Ptolemaic Mesir) mengambil alih kawasan Jerusalem. Bait Suci masih dalam keadaan selamat.

13. Keamanan Bait Suci ini tidak bertahan lama apabila pada tahun 200 SM, seteru kuat Kerajaan Ptolemaic iaitu Kerajaan Seleucid di bawah pimpinan Raja Antiochus III the Great mengambil alih Jerusalem.

14. Bait Suci ini dijarah buat kali kedua dan segala kegiatan agamanya terhenti. Kemuncak pemberontakan orang Yahudi di Jerusalem terjadi setelah Raja Antiochus IV Epiphanes membina sebuah tempat penyembahan hormat untuk Dewa Zeus, kerana baginda menganut agama Greek Kuno yang menyembah 12 Dewa Olympia dan memerintahkan supaya haiwan yang ditetapkan untuk dikorbankan di Bait Suci adalah babi.

15. Pemberontakan terhadap kerajaan Seleucid yang didalangi pasukan pemberontak Maccabean akhirnya berjaya. Pasukan pemberontak Maccabean mengalahkan pasukan tentera Seleucid dalam 7 kali pertempuran (167 SM-160 SM).

HASMONEAN PERIOD (141 SM- 37 SM).

16. 141 SM, kerajaan Seleucid melepaskan Jerusalem dan dinasti Hasmonean yang menjadikan agama anutan bangsa Yahudi sebagai agama utamanya negaranya mengambil alih Jerusalem.

17. Konflik diantara dua beradik keluarga diraja Hasmonean, Aristobulus II dan Hyrcanus II berebut takhta. Kemenangan berpihak kepada Hyrcanus II setelah beliau mendapatkan bantuan ketenteraan daripada raja kerajaan Nabatean (sekarang Petra), Aretas III dan mengambil alih Jerusalem.

18. Jeneral empayar Rom, Pompey the Great, yang pada waktu itu sedang menghadapi pertempuran di Syria dengan pasukan Armenia mengambil kesempatan ini untuk merebut kembali Jerusalem daripada medan laga politik keluarga diraja Hasmonean.

19. 63 SM, Jeneral Pompey mengepung dan mengambil alih Jerusalem. Bait Suci tidak diganggu mahupun dijarah oleh pasukan Jeneral Pompey.

Jerusalem dimasukkan ke dalam kawasan jajahan empayar Rom.

Bermula dari sini, saya hanya akan ringkaskan sahaja kronologinya.

HERODIAN PERIOD (37 SM-70 M).

20. 37 SM, raja boneka empayar Rom, Herod I dari kerajaan Herodian melakukan perbaikan semula ke atas Bait Suci Kedua.

21. 30 M, Jesus disalib oleh tentera Rom di Jerusalem.

22. 66 M, Gessius Florus, gabenor Rom di Judea, yang amat membenci bangsa Yahudi melakukan tindakan pengecut pertamanya dengan merampas segala barangan perak di dalam Bait Suci. Menghantar 6,000 pasukan ke Jerusalem dan membunuh 3,600 orang penduduk kota. Kemarahan bangsa Yahudi memuncak dengan terbitnya pemberontakan yang bakal menghidupkan api peperangan Rom-Yahudi Pertama.

ROMAN PERIOD (70 M-324 M).

23. 70 M, Maharaja Rom Nero menghantar Legion (bala tentera Rom) di bawah pimpinan Titus Flavius, mengepung kota Jerusalem setelah kegagalan pasukan pertama yang dipimpin oleh gabenornya, Cestius Cellus yang mengorban sebanyak 6 ribu orang tentera selama 6 bulan pengepungan tanpa hasil.

24. Titus berjaya menakluk kota Jerusalem dan memadamkan segala pemberontakan yang masih ada. Titus ingin menukarkan Bait Suci itu kepada sebuah tempat suci yang menyembah Tuhan Jupiter, tetapi salah seorang tenteranya yang ekstremis membenci Yahudi terus membakar Bait Suci Kedua ini sehingga hancur dimamah api lalu rebah ke muka bumi.

Kehancuran kali kedua Bait Suci. Penduduk Yahudi Jerusalem majoritinya dibantai tanpa belas ihsan. Bangsa Yahudi yang masih terselamat melarikan diri ke kota-kota berdekatan, sehingga bangsa-bangsa ini tersebar secara meluas.

25. 135 M, Maharaja Rom ke-14, Hadrian mengusulkan cadangan untuk membaiki kerosakan kota Jerusalem dan Bait Suci sebagai hadiah kepada bangsa Yahudi. Tetapi usulan ini dibatalkan, Bait Suci hanya tinggal kenangan, menjadi tapak binaan tanpa bangunan kerana takut akan terjadinya lagi pemberontakan bangsa Yahudi. Maharaja Hadrian hanya memilih membaiki dan membangunkan kembali Jerusalem sebagai kota koloninya di dan juga memerintahkan pembinaan kuil menyembah Dewa Jupiter.

Jerusalem tetap menjadi salah satu kota di bawah jajahan empayar Rom dan tapak Bait Suci dilaporkan hanya menjadi sebagai tempat terbiar mahupun tempat pembuangan sampah. Perubahan kuasa kembali berubah.

ROM-BYZANTINE PERIOD (324 M – 638 M).

26. 614 M, pasukan empayar Parsi Sasan menakluk Jerusalem susulan ekspedisi perebutan kuasa dalam Perang Rom Byzantine-Parsi (602 M-628 M).

Kisah menang-kalah diantara pasukan Rom Byzantine dan pasukan Parsi dalam episod perang ini dinyatakan Allah swt di dalam surah ar-Rum ayat 1 sehingga 5.

27. 629 M, pasukan Rom Byzantine mengambil alih semula kota Jerusalem daripada empayar Persia.

Bait Suci Yahudi masih dalam keadaan biasa pada zaman pemerintahan Rom Byzantine. Tiada pembangunan kembali mahupun perbaikian ke atasnya.

Daripada fasa ini, kita dapat melihat, bukan hanya sekali sahaja Jerusalem diserang dan dipertahankan oleh pelbagai pihak, tetapi ianya sentiasa bergolek ke atas ke bawah, berkonflik tanpa henti serta ianya selalu disiram dengan limpahan darah para manusia.

Jikalau konflik ini sudah mula berlaku sebelum kedatangan agama Islam yang dibawa oleh Muhammad Rasulullah saw, bagaimana saya mahu menjelaskan akibat yang sudah kita lihat dari zaman dahulu? Benarkah umat Islam sahaja yang dituduh kejam dalam konflik berdarah ini?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.