Faktor-Faktor Pencetus Perang Salib

0
3946
views

Siri perang ini dipanggil sebagai perang salib adalah kerana dalam peperangan ini, tentera Kristian memakai tanda salib di dada mereka dan membawa salib besar sebagai lambang perjuangan mereka. Ianya berlaku kira-kira sembilan abad yang lepas, di mana melibatkan perebutan antara umat Islam dan umat Kristian akan sebuah wilayah suci di Timur Tengah iaitu bumi Palestine.

Bagi penganut agama Ibrahim, tanah suci Palestine ini membawa erti tersendiri kepada mereka. Bagi penganut Yahudi, tanah suci Palestine selalu dikaitkan dengan pusat pemerintahan Nabi Sulaiman A.S manakala kaum Kristian pula, tanah itu ialah tanah kelahiran Nabi Isa A.S dan tempat Nabi Isa A.S disalib menurut kepercayaan mereka. Justeru, selama berabad tanah ini menjadi rebutan. Untuk rekod, perang salib berlaku antara 1096 Masihi sehinggalah mencapai 1291 Masihi. Namun, sebelum kita mengulas tentang 9 siri perang salib yang berlaku dalam sejarah, maka saya kira moleknya kalau kita membaca dahulu bagaimana perang salib yang pertama boleh tercetus.

Walaupun pada luarannya, perang ini terjadi aras faktor agama, tetapi hakikatnya ianya lebih daripada itu. Agama ialah alasan semata-mata padahal faktor seperti merealisasikan cita-cita politik dan ekonomi dijadikan sebagai sandaran untuk meneruskan perang salib. Mari bersama saya mendalami faktor-faktor yang membawa kepada Perang Salib:

1. Dendam Byzantine dan Umat Islam 

Permusuhan umat Islam dan Byzantine telah bermula pada zaman Rasulullah lagi. Pertempuran Mutah yang melibatkan antara 3000 orang tentera yang dikirimkan oleh Rasulullah untuk menghakimi sebuah puak Arab yang mengkhianati umat Islam dengan berpihak kepada Byzantine. Sebagai balasan, Byzantine telah menghantar 10, 000 orang tentera untuk membantai ketumbukan tentera Rasullulah ini pada tahun 629 Masihi.

Meski pertempuran ini berakhir dengan pengunduran Khalid Al-Walid bersama baki tentera Islam, namun ianya ialah pencetus kepada bara antara dua empayar ini. Perseteruan antara mereka bersambung pada zaman Khalifah apabila hampir 1/3 bahagian empayar Byzantine jatuh ke tangan umat Islam. Lalu permusuhan ini diwarisi pula ke zaman Dinasti Umaiyyah dan Abbasiyah. Kemuncaknya ialah ketika Pertempuran Manizkert antara Empayar Seljuk dan juga Byzantine di mana dalam pertempuran ini, kira-kira 20 000 – 30 000 orang tentera Seljuk yang dipimpin oleh Alp Arslan. Dalam pertempuran ini, kita mendapati betapa tentera Byzantine yang terdiri daripada gabungan-gabungan bangsa-bangsa eropah yang berjumlah 40 000 – 80 000 orang yang dipimpin oleh Maharaja Romanos telah kalah di tangan umat Islam dan wilayah Anatolia yang hari ini negara moden Turki telah berjaya diturkikan.

Selepas itu, barulah Empayar Byzantine meminta bantuan dan pertolongan Pope Gregory VII di Rom untuk menyatukan seluruh orang Kristian bagi memerangi orang Islam. Namun konflik lain pula berlaku apabila berlaku konflik pertindihan mazhab antara Ortodoks dan Katolik lalu mengakibatkan perpecahan antara agama Kristian. Kedua-dua gereja ini saling mengkafirkan antara satu sama lain dan tidak mengiktiraf diri mereka. Namun, demi memerangi musuh mereka yang satu, akhirnya Pope Gregory VII telah menyahut seruan Byzantine. Namun, dia tidak sempat menjadikan impiannya kenyataan apabila telah mati. Lalu impiannya itu disambung oleh Pope Urban II.

2. Pope Urban II 

Pada 26 November 1095 Masihi, di Clermont Perancis, merupakan seorang pope yang berkhidmat pada 12 March 1088 sehingga detik kematiannya pada sekitar tahun 1099. Perang Salib pertama dikatakan terjadi kerana peranan Pope Urban II dalam mencurahkan api ke dalam permusuhan antara umat Islam dan Kristian pada ketika itu. Pidatonya ketika itu dikatakan antara pidato yang paling berkesan dalam sejarah dan telah memulakan konflik yang selepas ini akan berterusan untuk beratus tahun lamanya.

Isi pidato Pope Urban II adalah seperti berikut:

“Perang ini bukan hanya untuk merebutkan satu kota Baitulmaqdis sahaja, malahan seluruh kawasan Asia, serta kekayaannya dan pelbagai perbendaharaanya yang tidak ternilai. Tempuhlah jalan menuju kuburan Jesus. Rebutlah semua tempat-tempat suci dan kekuasaan dari puak-puak perampas. Kami harus menjadikannya milikmu sendiri, kerana tanah suci ini sebagaimana yang disebutkan dalam Taurat, mengalirkan sungai susu dan madu!” 

Pope Urban II telah mengisytiharkan bahawa pada 15 Ogos 1096 Masihi sebagai hari memulakan penggerakkan tentera Salib. Ketika inilah, surat pengampunan dosa dikeluarkan dan dijual kepada orang ramai untuk menampung perbelanjaan perang Salib. Sesiapa yang menyertai perang salib akan dihapuskan dosanya, manakala para hamba akan dimerdekakan.

3. Tuduhan Ke Atas Umat Islam 

Paul The Hermit ialah tukang propaganda yang telah menyebabkan benih kebencian wujud antara umat Kristian dan umat Islam. Ketika bumi Palestine berjaya dirampas oleh Empayar Seljuk daripada Dinasti Fathimiyah di Mesir, maka pemerintah Palestine sendiri telah menetapkan beberapa buah peraturan kepada pengganut Kristian yang singgah ke Palestine terutama di Baitulmaqdis. Mereka tidak dibenarkan untuk membawa senjata kerana pemimpin empayar Seljuk takut akan membahayakan penghuni yang berbangsa Yahudi dan juga Islam. Orang Kristian pula memandang senjata yang dibawa oleh mereka sebagai mempertahankan dirinya. Dalam masa yang sama, Empayar Seljuk juga telah mengharamkan perarakan tentera yang berbentuk keagamaan di dalam Baitulmaqdis membuatkan orang Kristian merasakan hak mereka beragama telah dicabuli.

Masalah-masalah yang dialami oleh orang Kristian itu kemudian dibesar-besarkan oleh Paul The Hermit ketika dia kembali ke Eropah padahal ziarahnya ke Baitulmaqdis dan bumi Palestine langsung tidak mengalami kesukaran. Paul The Hermit telah mengapi-apikan umat Kristian di Eropah seolah-olah seperti orang Islam telah menindas mereka.

4. Keadaan Sosial Masyarakat Feudal Eropah 

Ajaran Katolik ketika itu mempunyai tradisi memberikan surat pengampunan dosa yang dipanggil sebagai Indulgence Letters yang diberikan kepada mereka yang MEMENUHI SYARAT-SYARAT TERTENTU dan bukan boleh diberikan sewenang-wenangnya. Namun sayangnya surat-surat pengampunan dosa ini disebarkan sewenang-wenangnya ketika itu dan tidak memenuhi syarat-syarat yang digariskan oleh ajaran Katolik sendiri.

Ditambahan pula keadaan masyarakat ketika zaman feudal di Eropah adalah dalam keadaan yang susah. Ada yang tidak mampu membeli surat pengampunan dosa yang dijadikan pula sumber pendapatan oleh gereja-gereja katolik ketika itu di Eropah. Golongan miskin tidak berkesempatan seperti golongan kaya. Namun, ketika Pope Urban II memberikan ucapan berapi-apinya itu, apabila tawaran untuk mengampun dosa ditawarkan kepada sesiapa yang mahu menyertai Perang Salib, maka berduyun-duyunlah orang menyertainya demi mendapatkan keampunan atas segala dosa yang mereka lakukan.

Tambahan lagi ketika itu, kebanyakan masyarakat Eropah diselubungi oleh kemiskinan yang melampau. Sistem Feudal Eropah ketika itu menindas masyarakat dan masyarakat Eropah pula mendapati satu-satunya cara untuk lari daripada segala penindasan yang wujud ketika zaman kegelapan di Eropah adalah dengan menyertai Perang Salib itu memandangkan tanah yang dijanjikan untuk mereka yang dimiliki oleh umat Islam jauh lebih subur dan kekayaan yang lebih pasti daripada di Eropah yang telah dimiliki para bangasawan feudal. Sebagai contoh, hak mewarisi tanah dalam undang-undang Feudal jatuh kepada golongan anak sulung, manakala anak bukan sulung akan jatuh miskin. Maka mereka akan mencari jalan untuk ke timur bagi memastikan hak mereka turut terbela. Mereka mencari jalan ke timur untuk membina kekayaan bagi pihak mereka.

Dalam masa yang sama, golongan bangsawan pula menyiapkan diri mereka menghadapi Perang Salib ini dengan bertujuan untuk memastikan bahawa mereka dapat membina kerajaan di luar bumi Eropah. Tanah-tanah yang luas dan subur di bahagian Timur sememangnya membuatkan mereka jadi tamak. Lagipun ianya sebagai persiapan sekiranya mereka tidak lagi diterima di benua Eropah memandangkan sistem feudal yang lahir selepas zaman Rom itu tidak disenangi oleh pelbagai pihak.

Previous articlePolo: Sejarah Sukan Bangsawan Dan Raja-Raja
Next articleShuriken: Bintang Maut Yang Berterbangan
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here