KEPELBAGAIAN kaum, budaya dan tradisi malah juga bahasa mahupun dialek adalah antara sumber kekayaan Borneo yang tiada tandingnya sehingga ke saat ini. Dan berbicara soal ini, Sabah iaitu jiran dan saudara se-Borneo Sarawak juga tidak kurang dengan cerita yang unik apabila berkata mengenai suku kaum mereka.

Dayak Laut, Dusun Dayak, Kadazan, Melobong Rungus, Melubong Rungus, Memagun, Memogun, Roongas, Rungus Dusun dan Rungus merupakan nama-nama alternatif mengikut rujukan etnologi dunia apabila berkata mengenai etnik Rungus, Sabah, Borneo. Populasi etnik ini ramai tertumpu di kawasan seperti Beluran, Kota Marudu, Kudat dan Pitas di Sabah.

Dari segi bahasa pula, bahasa etnik Rungus dikategorikan dibawah kelas bahasa Astronesia, Malayo-Polinesia, North Borneo, Sabahan, Dusunic, Dusun. Dan selain daripada itu ianya juga kaya dengan dialek-dialeknya berdasarkan kepada tempat kediaman mereka seperti Gandahon, Gonsomon, Nuluw, Pilapazan (Central Rungus, Rungus Tanga). Adalah difahamkan bahawa dialek Gonsomon dan Nuluw adalah antara yang paling popular dipertuturkan dikalangan etnik Rungus di Sabah sekarang.

Di dalam kita cuba menggodek cerita sebenar asal muasal etnik Rungus dikatakan sehingga ke hari ini para sejarahwan dan antropologi masih belum menemui titik sebenar asal keturunan mereka. Pakar dari barat dan juga orang Rungus sendiri masing-masing mempunyai pendirian tersendiri apabila berkata mengenai soal keturunan mereka. Ini kerana kajian dari Barat dikatakan telah menidakkan cerita legenda asal keturunan etnik Rungus yang sememangnya antara nilai sejarah yang paling sentimental dan berharga mengikut kepercayaan etnik Rungus.

Teori Orang Rungus Asal Mongolia (Barat)

“North Borneo was blessed with waterways and channels teeming with marine and human life introduced by early land bridges which had carried migrants in from areas now called Vietnam and Southern China. Some anthropologists believe these people began pouring into Borneo about 20,000 years ago. Then, as global climate warmed, polar ice caps melted. Sea levels rose, washing over the once useful tendrils. This trapped the early explorers on the fertile island of Borneo. Their descendants settled the land to become the island’s first known indigenous peoples.

That’s one version of the story. Another more prevalent theory is that a group from the Mongolian region migrated to Borneo some 5,000 years ago. Naturally enough, these people settled the coastal areas first. Today, these people are defined by modern anthropologists and linguists as the Borneo superstock. Later, as the primarily Muslim Malay, Bajau and Suluk races settled the same areas, the Borneo superstock migrated deeper and deeper into the heartland of North Borneo.” (Granville-Edge, P.J. 1999)

Melihat kepada penyataan petikan dari Granville-Edge ini dapatlah disimpulkan bahawa menurut beliau, kesemua penduduk asal Sabah dikatakan berasal dari Tanah Besar Asia. Teori pertama menyatakan segala mengkhusus bahawa tanah kelahiran mereka dicatitkan sebagai Vietnam dan Southern China lebih kurang 20,000 tahun yang lalu.

Teori keduanya pula menyatakan bahawa penduduk asal Borneo itu berasal dari sekumpulan orang Mongolia yang kemudiannya berhijrah ke Pulau Borneo kira-kira 5,000 tahun yang lalu. Dan kerana itulah ramai yang agak menerima pernyataan ini memandangkan jika ditinjau dari warna kulit masyarakat Rungus yang bermata sepet dan berkulit kuning langsat serta fizikal yang “pendek-pendek tagap” ada mempunyai persamaan dengan orang Mongolia itu sendiri.

Teori Tamadun Nunuk Ragang (Legenda dan Sejarah Orang Rungus)

Cerita legenda yang menjadi sejarah oral masyarakat di Borneo adalah antara yang menjadi sandaran apabila berbicara soal asal muasal mereka. Bagi etnik Rungus pula tidak akan boleh lari daripada kepercayaan mereka terhadap wujudnya satu ketamadunan yang telah diasaskan oleh nenek moyang mereka di Borneo suatu waktu dahulu iaitu Tamadun Nunuk Ragang.

Oleh kerana ianya cerita lisan yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain menjadikan sejarahwan mahupun ahli antropologi Barat tidak mahu menerimanya namun untuk etnik Rungus inilah yang sebenarnya mampu memperjelaskan secara terperinci tentang agama mahupun pemerintah mereka dahulukala.

Menurut legendanya suatu waktu dahulu pernah berdiri satu ketamadunan bagi orang-orang Rungus iaitu yang bernama Nunuk Ragang. Diasaskan oleh seorang “Usan-Usan” (maksudnya seorang yang tiada mempunyai keluarga). Diceritakan beliau telah dianiayai oleh keluarganya sehingga menyebabkan beliau dan isteri berserta dengan pengikutnya yang setia dihukum buang negeri dengan menaiki kapal sehingga terdampar ke Borneo iaitu di satu kawasan bernama Pampang Nabalu.

Berada lama di Pampang Nabalu tanpa ada masyarakat lain pada waktu itu menyebabkan mereka dibangkitkan dengan semangat keagamaan iaitu dekatnya mereka kepada penyembahan kepada Lumaag Nabalu. Hari demi hari bentuk penyembahan itu semakin mendapat sambutan sehinggalah mereka terfikir untuk menjadikannya satu hukum adat istiadat. Dikala inilah seorang yang paling kanan dengan Usan-usan iaitu Aki Bobolizan Gomburon dipilih kerana kefahamannya tentang Lumaag Nabalu lalu diwartakan menjadi satu peraturan hidup bagi Usan-usan dan masyarakatnya.
Antara hukum adat istiadat ini adalah yang dinamakan Hukum Gomburon yang mana sekiranya ada yang melakukan pengzinaan maka akan dihanyutkan di dalam air dengan memasukkannya di dalam bubu atau ‘popok’ bersama-sama dengan batu besar. Batu itu pula harus dipilih sendiri oleh si pesalah tersebut. Dan dikatakan hukum ini juga masih lagi mempunyai belas iaitu sekiranya jika ada yang sengaja mahu membunuh pasangan tersebut sewaktu di dalam menjalani hukuman maka orang tersebut juga akan turut dihukum bunuh sama.

Apabila Aki Bobolizan Guraumanok menjadi ketua keagamaan pula telah dihapuskan Hukum Gomburon ala Aki Bobolizan Gomburon. Berdasarkan kepada wahyu dari Lumaag Nabalu hukum itu diperhalusi iaitu dengan menyatakan bahawa segala dosa yang dibuat boleh dibayar dendanya dengan memberi “mangaraha” iaitu korban penebus bercorak sembelihan khinzir. Dari sinilah “bobolizan” ini akan menjadi “orang tengah” untuk memohon pengampunan dosa dari “Kinoringan”.

Tamadun Nunuk Ragang akhirnya semakin maju dan makmur lagi-lagi dibawah ketuanya iaitu Aki Nunuk Ragang. Dengan kepercayaan agama labus (Pagan) yang dianuti mereka menyebabkan rakyat di Nunuk Ragang semakin berkembang. Dari mereka hanya membuat penempatan di sekitar Nunuk Ragang akhirnya mereka mula menebar populasi mereka ke tempat-tempat yang lain di Borneo. Ini sejajar dengan wahyu yang diturunkan oleh Lumaag Nabalu menerusi Aki Bobolizan Guraumanok yang menyatakan bahawa semua sungai-sungai yang mengalir dari Gunung Kinabalu sehingga ke lautan lepas adalah milik bangsa mereka.

Sejak itu warisan legasi Aki Nunuk Ragang iaitu tiga orang anak lelakinya telah diperintahkan untuk mula berhijrah ke seluruh kawasan di Borneo. Dua orang anak lelaki iaitu yang sulung dan kedua yang bernama Aki Rungsud dan Aki Longuvai telah dihantar ke kawasan pesisir pantai Pompod Tana. Pompod Tana yang dimaksudkan adalah Kudat, Kota Marudu dan Pitas sekarang. Ianya dilakukan agar Pompod Tana tidak akan diceroboh oleh orang-orang Mizonvaig atau Orang Laut.

Hendak dijadikan cerita sewaktu keluar daripada kawasan penempatan asal mereka dikatakan hanya Aki Rungsud yang sampai dahulu di Pompod Tana sedangkan Aki Longuvai pula memulakan perjalanannya agak lewat kerana isterinya sedang sarat untuk melahirkan anak mereka. Oleh kerana Aki Rungsud yang memulakan perjalanan kerana beliau tidak mahu adiknya tersesat maka ditandakannya perjalanannya dengan setiap puncak bukit diadakan upacara menyembelih ayam. Ini sebagai satu tanda pemberitahuan kepada semangat Lumaag bahawa itu merupakan wilayah mereka disamping untuk Aki Longivui mengesan jejak mereka.

Namun apakan daya walau sudah ditandai dengan cara penyembelihan ayam di setiap puncak bukit, Aki Longuvai tetap tersesat jalan dan ianya bermula ketika memilih dua persimpangan yang menuju arah yang berlainan. Sejak itulah Aki Longuvai telah tersesat sehinggalah beliau sampai ke kawasan yang dinamakan Pinampang atau Penampang sekarang.

Ada satu ketika, Aki Longuvai dan pengikutnya telah kehabisan bekalan makanan maka mereka pun mula bercucuk tanam dan akhirnya di Pinampang itu juga boleh dijadikan penempatan mereka kerana subur makmur. Aki Rungsud mendengar cerita mengenai adik keduanya lalu menghantar wakilnya meminta adiknya kembali ke Pompod Tana namun Aki Rungsud lebih senang untuk berada di Pinampang. Hanya 17 tahun selepas itu barulah dihantarnya putera sulung yang bernama Aki Bulun untuk ke Pompod Tana.

Dikatakan tujuan ketibaannya adalah untuk membahagikan wilayah Pompod Tana pada masa itu. Pada hari yang sesuai akhirnya Aki Bulun dan ayah saudaranya Aki Rungsud telah membuat pembahagian wilayah kekuasaan dengan syaratnya adalah sejauh mana bunyi paluan gong Aki Rungsud boleh didengar. Handalan-handalan dari Aki Bulun telah mula berkampung di puncak bukit sekitar Pompod Tana dan mana-mana yang tidak mendengar paluan gong Aki Rungsud diminta untuk memacakkan sejenis lembing yang bersaiz pengaruh kapal layar dinamakan Binorudan.

Untuk anak lelaki bongsu yang bernama Aki Terumpok diminta untuk menjadi penjaga kepada ayahandanya iaitu Aki Nunuk Ragang. Beliau bersama ayahandanya sehinggalah beliau meninggal dunia dan dikebumikan di satu danau yang lokasinya dikenali sebagai Kampung Tampias, Lubuk Sugut, Sandakan sekarang.

Menurut legenda setelah 40 hari, Aki Nunuk Ragang dikebumikan, pada hari upacara “Mongupus” tumbuhlah sejenis pokok ara di tengah-tengah kubur Aki Nunuk Ragang. Pokok ara tersebut agak berlainan kerana ia berwarna merah dan jika daunnya tercalar pokok itu akan mengeluarkan darah manusia. Lalu pengikut Aki Nunuk Ragang menyembah pokok tersebut dan menamakannya Nunuk Ragang kerana mereka percaya pokok itu merupakan jelmaan Aki Nunuk Ragang.

Dibawah pemerintahan Aki Turumpok diceritakan bahawa Nunuk Ragang menjadi huru-hara kerana beliau tidak begitu tertarik kepada penyembahan agama palasnya. Sebaliknya lebih kepada ilmu kebatinan dan dek kerana itulah Nunuk Ragang mendapat bala. Dari satu penempatan yang aman makmur akhirnya ianya menjadi berpecah belah dan tiada satu aktiviti ekonomi untuk survival hidup mampu dilakukan. Setiap tanaman tidak akan menjadi, turun ke sungai tiada penghidupan sungai yang mampu ditangkap dan boleh dikatakan segalanya tiada. Ini mengakibatkan kawasan Nunuk Ragang menjadi padang jarak padang terkukur kerana tiada mana-mana masyarakat yang mahu mendiaminya.

Begitulah cerita legenda dan sejarah oral yang dipercayai oleh masyarakat Rungus di dalam mengatakan asal usul keturunan mereka di Borneo atau lebih mengkhusus di Sabah sekarang. Nenek moyang asal keturunan orang Rungus adalah dipercayai daripada keturunan Aki Nunuk Ragang iaitu Aki Rungsud. Putera kedua pula iaitu Aki Longuvai adalah nenek moyang kepada orang Kadazan di Penampang sekarang manakala Aki Terumpok pula merupakan nenek moyang semua suku kaum Dusun. Bagi masyarakat Rungus Gonsumon yang menguasai pantai timur Kudat pula adalah berasal daripada keturunan Aki Bulun yang datang ke Pompod Tana suatu waktu dahulu untuk membahagikan wilayahnya.

Jika dahulu kebanyakan masyarakat Rungus di Sabah masih mempercayai agama pagan namun sejajar dengan waktu ramai antara mereka telah memilih agama Kristianiti dan Islam sebagai pegangan agama mereka. Mereka juga sudah terdiri daripada pelbagai kelas masyarakat di Sabah dan ramai yang sudah menjadi tenaga professional penyumbang kepada ekonomi Sabah sekarang.

Tidak Kenal Maka Tidak Cinta!

-HB-

#SiaSayangSabahBah!

Rujukan:

1. Suku Rungus, Sabah
http://www.sabah.edu.my/itls07013/sejarah.html

2. Dusun, Rungus in Malaysia – Joshua Project
https://joshuaproject.net/people_groups/14593/MY

3. Ethnologue Languages Of The World
https://www.ethnologue.com/language/drg

4. Asal-Usul Rungus Berdasarkan Pandangan Dan Teori Anthropologis
http://rungus1m.blogspot.my/2010/11/asal-usul-rungus-menurut.html

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Leave A Reply