Drama Cinta Berasaskan Profession

0
1696
views

Aku lihat drama cinta yang berkaitan dengan profession yang wujud di Malaysia semakin bercambah di kaca televisyen kita. Aku tak menentang malah menggalakkan dengan satu syarat… gambarkan bagaimana profession yang cuba dijadikan tema jalan cerita anda. Tunjukkan bagaimana seorang tentera bercinta. Tunjukkan bagaimana seorang jurutera bercinta. Tunjukkan bagaimana abang bomba bercinta. Tunjukkan bagaimana doktor bercinta. Jalan cerita mestilah berdasarkan profession mereka. Jangan nama profession itu sekadar diselitkan sahaja. Seolah-olah macam tak perlu dimasukkan watak profession tersebut di dalam cerita mereka.

Lihat negara luar apabila menulis cerita cinta berdasarkan profession. The Descendant Of The Sun ialah sebuah drama cinta tentang tentera dan doktor di sebuah kem pelarian. Konflik cinta mereka diciptakan atas watak doktor dan tentera itu, bahkan setiap konflik turut menarik latar kem pelarian PBB. Bukan cinta sahaja, bahkan turut mengulas mengenai konflik idealogi dan prinsip antara seorang tentera dan doktor. Tentang bagaimana dua profession yang sangat berbeza meski asasnya ialah melindungi dan menyelamatkan ini digabungkan oleh cinta.

Kalau kita nak buat cerita tentang cinta seorang juruterbang, mungkin buat satu babak di mana menggambarkan pesawat yang dipandu juruterbang tadi nak terhempas, tetapi bagaimana cintanya pada isteri atau kekasihnya membuatkan dia mampu meraih motivasi untuk menyelamatkan pesawat itu. Jangan lupa untuk pastikan setiap teknikal dan aspek-aspek pemanduan pesawat itu tepat dan tidak dibuat-buat.

Kalau nak buat cerita cinta seorang abang bomba, pastikan juga jalan cerita mengulas mengenai bagaimana abang bomba mencuba untuk menyelamatkan buah hatinya yang menjadi mangsa dalam sebuah banggunan pencakar langit yang terbakar. Gambarkan bagaimana rasa cinta mampu menjadikan abang bomba itu tidak fikirkan tentang kehidupannya. Buat satu episod bagaimana pasukan bomba merancang untuk memecah masuk ke bangunan pencakar langit yang terbakar. Tulis tentang pelan mereka, tentang komitednya abang-abang bomba kita memperjudikan nyawa mereka demi nyawa orang diluar sana.

Kalau nak buat cerita cinta seorang doktor, pastikan ada episod khas yang membicarakan bagaimana profession mereka dikaitkan dengan cinta. Sebagai contoh, muatkan babak si doktor terpaksa membedah kekasihnya yang kemalangan atau seumpama dengannya. Gambarkan betapa gigih dan risau dan gelisahnya seorang doktor itu. Pastikan bahawa bab teknikal dan rawatan yang dipaparkan dalam babak pembedahan itu tepat. Jangan jadi macam sebuah drama yang di mana melibatkan untuk memberikan CPR pun salah dan membuatkan mereka yang tidak ada latar belakang medik pun ketawa berdekah.

Kalau nak buat cerita cinta seorang seorang penulis, gambarkan kehidupan seorang penulis itu sendiri. Gambarkan bagaimana setiap babak penulis itu dengan pujaan hati itu berjaya memandunya mencipta babak-babak lain dalam novelnya. Buat bagaimana pujaan hatinya mampu menjadi ilham terindah seorang penulis.

Waqaf Saham

Kalau nak buat cerita cinta tentang seorang polis, bikin satu babak yang melibatkan professionnya sebagai seorang polis dengan buah hatinya. Sebagai contoh, seorang antagonis yang merupakan ketua kartel dadah yang disiasat oleh encik polis dalam drama telah menculik buah hati anda. Gambarkan bagaimana encik polis tadi mengetuai rakan-rakan polisnya yang lain bertindak bagi menyelamatkan buah hatinya.

Jangan kata kita tidak mampu dan melecehkan soal ini kerana inilah yang dituntut dalam sebuah karya cinta yang mahu menjadikan sebuah profession sebagai tema jalan ceritanya. Jangan sesekali tidak mengulas tentang jalan karier wataknya. Jangan jadi seperti sebuah drama “Sayangku Kapten Mukhriz” di mana kisah cerita cinta seorang doktor dan tentera. Tetapi tidak ada sebuah babak pun yang benar-benar mengaitkan profession seorang tentera dan doktor dalam dalam kisah mereka. Realiti kehidupan seorang doktor dan tentera tak wujud langsung. Jalan cerita lebih kepada kisah cinta pelajar kolej sahaja. Kisah cinta mereka tidak berasaskan profession masing-masing yang merupakan seorang doktor dan tentera.

Berbeza dengan luar negara, seperti mana drama Korea yang saya petik di awal artikel, bayangkan bagaimana ada satu babak yang melibatkan idealogi seorang tentera dan doktor teruji ketika mahu menyelamatkan seorang menteri Arab. Si doktor percaya bahawa mereka harus merawat pak arab tadi walaupun bodyguardnya berkeras mahu menunggu doktor peribadi menteri arab tadi. Idealogi dan prinsip si doktor, nyawa mengatasi segala-galanya. Si askar pula cuba menghalang doktor kerana prinsip seorang tentera ialah arahan mengatasi segala-galanya. Sebab itu ada kalanya ketika darurat, kalau arahan dikeluarkan untuk menembak semua yang melanggar perintah berkurung, maka si askar akan menembak tanpa memikirkan soal nyawa. Itu cerita cinta luar negara tau… kenapa negara kita tidak mampu memainkan kisah yang sangat tinggi falsafahnya? Jangan risau, cerita cinta tentera dan doktor yang saya jadikan contoh tadi tidak lari dari babak sweet, kiut-miut antara tentera dan doktor itu. Tetapi sepertimana sebuah kehidupan, cinta bukanlah segala-galanya. Kehidupan itu sarat dengan pelbagai jalan cerita.

Tak perlu pergi jauh. Dalam negara kita ada satu tokoh yang boleh kita jadikan contoh paling besar. Tan Sri P Ramlee. Kisah Penarik Beca lakonan arwah sendiri bersama dengan Saadiah. Betapa kisah cinta yang dipaparkan adalah tentang profession seorang penarik beca. Bagaimana cintanya bersama dengan Azizah berpunca dari profession seorang penarik Beca. Betapa kemudiannya, P Ramlee menggambarkan kepada kita hitam putih disebalik kehidupan seorang penarik Beca. Betapa kisah cinta Azizah dan watak utama filem itu memang benar-benar berkaitan dengan profession seorang penarik Beca. Tajuk Penarik Beca bukan sekadar tajuk untuk mengaburi mata penonton sahaja.

Apakah sebenarnya kebanyakan daripada penulis kreatif terlalu malas untuk menghasilkan wadah cadangan seperti di atas? Yalah, mahu menyiapkan semua karya di atas memerlukan sebuah kajian yang mendalam. Tetapi ingatlah bahawa seorang penulis ialah seorang pencatat tamadun kita…

Anda mahukan 1000 tahun lagi, apabila anak cucu kita membicarakan tamadun kita, mereka tidak akan lagi berani memperkatakan dengan bangga bahawa mereka berketurunan Malaysia? Mungkin apabila mereka membaca dan menonton karya Malaysia ketika itu, mereka akan beranggapan bahawa doktor pada zaman 2016 adalah seorang yang tidak bekerja langsung. 24 Jam bercinta sahaja!

*Gambar sekadar hiasan

P.S: Beza genre cinta berdasarkan profession dan genre memang berdasarkan sebuah profession ialah tema utama tetap cerita cinta. Tetapi janganlah dibuangkan penglibatan profession yang dijadikan tema untuk mewujudkan cinta. Gambarkan realiti sebuah profession itu sebenar-benarnya.

Previous articlePertempuran Nagashino: Kebijaksanaan Strategi Oda Nobunaga
Next articleOrang Melayu Memeluk Islam Tanpa Paksaan
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.