Jemaah Pengampunan Pahang ingin memperkenal kaedah Diyat di Pahang. Malah perkara ini turut disokong oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. Ini bagi saya sudah tentu satu perkara yang cukup baik. Diyat juga sebahagian daripada syariah. Namun saya sedikit kecewa apabila penerimaan berita yang berkenaan seolah suam-suam kuku sahaja oleh netizen Malaysia. Benar perjuangan menegakkan Diyat tidak sepopular Hudud di Malaysia. Biarpun Hudud, Qisas, Takzir dan Diyat kesemuanya merupakan sebahagian daripada Syariah. Malah mungkin ada yang tidak kenal malah tahupun apakah itu Diyat. Ini pada pendapat saya sesuatu hakikat yang cukup mengecewakan. Diyat juga sebahagian dari Syariah Islam. Ada pahala bagi golongan Islam yang menegakkan Diyat ini. Diyat juga jelas ada disebut didalam Al-Quran seperti juga Hudud.

Saya merasakan perlu ada satu artikel di The Patriot untuk menjelaskan perihal Diyat biarpun saya sudah cuba menjelaskan perkara ini beberapa kali sewaktu ada isu segelintir golongan yang memukul rata Diyat, Takzir dan Qisas itu kesemuanya jatuh di bawah Hudud! Golongan ini amat-amatlah merbahaya dari segi persepsi terhadap Islam. Saya sendiri pernah pernah melihat beberapa komen di berita-berita mengenai kes bunuh apabila ada individu tertentu mengatakan Malaysia perlukan Hudud jika ingin membendung jenayah bunuh. Saya hanya mampu mengeluh. Bagaimana ingin dijatuhkan Hudud jika jenayah bunuh jatuh dibawah Qisas atau Diyat? Hudud secara jelas terang dan nyata tidak merangkumi jenayah bunuh. Saya tidak hairan jika sejujurnya komen-komen sedemikian yang menimbulkan salah faham dan persepsi kepada Hudud oleh bukan Muslim. Jika kaum Muslim sendiri tidak cuba memahami secara ringkas apa itu asas Hudud, Qisas, Takzir dan Diyat apatah lagi mereka yang bukan Muslim? Sejujurnya perkara ini amat perlu diperbetulkan agama imej dan persepsi terhadap Islam tidak tercemar.

Diyat bukanlah perkara baru dan pernah dilaksanakan di Tanah Melayu. Seperti hudud, Diyat juga ada disebut didalam Hukum Kanun Melaka. Diyat dalam definisi ringkas bermakna ganti rugi atas sesuatu kehilangan nyawa ataupun kecederaan. Diyat bersangkut kuat dengan Qisas kerana ianya merupakan ganti kepada Qisas. Qisas yang bermakna balas bunuh ialah hokum yang dikenakan apabila seseorang itu didapati bersalah atas kesalahan membunuh. Namun jika ahli keluarga mangsa memaafkan pesalah tersebut maka Diyat (duit darah) akan dikenakan sebagai ganti.

Ahli-ahli fiqh atau kata jamaknya yang lebih tepat Fuqaha baik dari zaman klasik atau semasa mempunyai perbezaan pendapat sama ada Diyat itu merujuk pada aspek hukuman ataupun ganti rugi.

Dari menurut Paizah Ismail (2012) dari segi dasar konsep ataupun prosedur pembayaran diyat,

ia akan dibayar oleh pesalah itu sendiri, iaitu apabila diyat yang dikenakan adalah sebagai hukuman terhadap perbuatan membunuh secara sengaja. Tetapi dalam beberapa keadaan ia akan dibayar oleh keluarganya, atau yang diistilahkan sebagai ‘aqilah, iaitu dalam kes-kes pembunuhan dengan secara tidak sengaja, malah mungkin oleh kerajaan yang memerintah, iaitu dalam kes-kes penjenayah berkenaan tidak mempunyai ‘aqilah atau ‘aqilahnya itu tidak mampu untuk membayar diyat berkenaan.

Jelas dapat kita fahami dari kenyataan diatas bahawa prosedur pembayaran Diyat ialah sama ada dibayar oleh

1) pesalah itu sendiri ATAU

2) ahli keluarga pesalah (Aqilah) ATAU

3) oleh kerajaan yang memerintah jika pesalah tidak mempunyai keluarga atau keluarganya tidak mampu membayar Diyat.

Perlu kita fahami yang bahawa prosedur di atas bergantung pada situasi dan fakta setiap kes dan bukan semua kes boleh dinilai sama.

Biarpun kita berbicara tentang Diyat, dari segi istilah Diyat bukanlah satu-satunya perkataan yang digunakan bagi ganti rugi dan sebagainya. Terdapat juga istilah lain seperti ‘arsh, hukumah, dan ghurrah. ‘Arsh bermaksud Diyat yang dibayar untuk kecederaan (bukan bunuh). Hukumah pula bermaksud bayaran yang dikenakan bagi kecederaan ringan. Manakala ghurrah pula digunakan bagi pembayaran untuk kes yang melibatkan anak didalam kandungan. Penting untuk anda memahami istilah-istilah ini lebih-lebih lagi jika anda tidak mahir berbahasa Arab kerana istilah-istilah ini banyak disebut dalam artikel-artikel akademik berkaitan Diyat.

Menurut laman web Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Diyat terbahagi kepada dua jenis atau ketegori dan setiap ketegori itu juga mempunyai kadar bayaran yang sama namun untuk tempoh berbeza.

1) Diyat Mughallazah (ganti kerugian yang berat) yang dibayar satu diyat penuh iaitu 100 ekor unta yang dibayar secara terus (tanpa tangguh)

  1. a) 30 ekor unta berumur 4 tahun
  2. b) 30 ekor unta berumur 3 tahun
  3. c) 40 ekor unta yang sedang bunting

Ataupun alternatif dari di atas,

  1. a) 33 ekor unta berumur 4 tahun
  2. b) 33 ekor unta berumur 3 tahun
  3. c) 34 ekor unta yang sedang bunting.

2) Diyat Mukhaffafh (ganti kerugian yang ringan) yang dibayar satu diyat penuh iaitu 100 ekor unta yang dibayar secara beransur-ansur (tangguh)selama 3 tahun dan setiap tempoh masa satu tahun dibayar 1/3 diyat  sebagaimana yang berikut:

  1. a) 20 ekor unta umur 4 tahun
  2. b) 20 ekor unta umur 3 tahun
  3. c) 20 ekor unta betina umur 2 tahun
  4. d) 20 ekor unta jantan umur 2 tahun
  5. e) 20 ekor unta betina umur 1 tahun

Mungkin ramai pembaca menjadi sangsi apabila melihat bayaran melibatkan unta dan mungkin juga anda bertanya bolehkah diimplementasi di Malaysia jika bayaran Diyat melibatkan unta yang amat jarang ada di Malaysia? Unta digunakan sebagai bayaran kepada Diyat atas faktor unta merupakan harta yang amat bernilai satu ketika dahulu. Namun menurut JAIS para ulama juga berpendapat yang bahawa unta boleh digantikan dengan harta yang senilai dengannya pada masa tersebut seperti dinar emas, perak dan lembu. Jika kita berbicara tentang konteks masa sekarang maka harta yang senilai ialah dalam bentuk wang ringgit. Laman web JAIS memberi contoh berikut

“Kadar seekor unta misalnya RM4,000 maka jumlah satu diyat penuh ialah RM 400,000. Manakala jika seekor lembu RM2,000 maka satu diyat penuh ialah RM400,000. Begitulah nilai semasa satu diyat penuh”

Dari sini anda boleh melihat bawa jika sekor unta berharga RM4000 maka jumlah tersebut akan didarap dengan 100 bagi mewakili nilai 100 ekor unta dengan formula berikut

X*100 = 1 Diyat.

X disini mewakili nilai semasa seekor unta dalam formula tersebut.

Antara beberapa perkara lain yang perlu anda tahu ialah jumlah diyat juga berbeza menurut jantina. Kaum wanita misalnya nilai diyat mereka yang perlu dibayar hanyalah separuh dari Diyat lelaki. Nilai diyat juga berbeza antara individu yang bertaraf hamba (yang kini sudah tidak wujud) dan juga individu yang merdeka. Bagi pembaca bukan muslim perlu saya terangkan merdeka disini bermaksud mereka yang bukan seorang hamba.

Persoalan mengenai diyat yang seterusnya yang akan saya sentuh ialah mengenai diyat jenis mana akan dikenakan kepada siapa. Sejujurnya laman web JAIS ada memberi penerangan ringkas mengenai perkara ini. Secara pendeknya menurut laman web JAIS:

  1. A) Diyat Mughallazah di kenakan kepada orang yang membunuh secara sengaja (niat membunuh dan dengan senjata yang boleh membunuh ) dengan syarat dimaafkan dan dipersetujui oleh waris orang yang dibunuh. Diyat tersebut hendaklah dibayar secara tunai tanpa bertangguh atau beransur.
  2. B) Diyat Mukhaffafah pula ialah bagi pembunuhan tidak sengaja ( seperti tertembak rakan yang disangkanya binatang buruan ) atau pembunuhan yang seperti sengaja ( tidak niat membunuh dan dengan benda yang lazimnya tidak boleh membunuh ). Boleh dibayar secara beransur-ansur selama 3 tahun.

Elemen sengaja atau tidak sengaja ataupun niat dan tiada niat adalah penting dalam menentukan cara pembayaran diyat. Jika dalam perundangan sivil niat itu dipanggil mens rea. Menurut Chua Ming Zuan

“Mens rea merupakan suatu elemen penting dalam menentukan sama ada seseorang tertuduh itu boleh disabitkan atas kesalahan yang telah dilakukannya. Ini kerana seseorang hanya boleh disabitkan kesalahan yang dilakukannya jika dia berhasrat sedemikian. Maxim purba yang memartabatkan prinsip ini adalah actus reus non facit reum nisi mens sit rea yang bermaksud suatu tindakan bukanlah jahat melainkan niatnya adalah jahat. Sebagai contoh, pembunuhan ke atas seseorang bagi tujuan mempertahankan diri bukanlah suatu jenayah, tetapi jika pada saat pembunuhan itu dilakukan, ianya bertujuan untuk membalas dendam, maka ia akan menjadi suatu kesalahan mematikan orang dengan salah di bawah s 299.”

Jika seseorang itu mempunya mens rea atau niat dan pemikiran untuk melakukan sesuatu perkara yang salah disisi undang-undang maka seseorang itu pada kebiasaannya dianggap melakukan sesuatu jenayah dengan sengaja. Sebaliknya pula jika sesorang itu tidak mempunyai mens rea sama ada pembunuhan tersebut berlaku secara kesilapan ataupun kecuaian.

Setakat ini kesemua jumlah dan cara bayaran diyat yang diceritakan diatas ialah untuk perbuatan membunuh. Namun diyat mempunyai perbezaan dari segi prosedur jika ianya hanya untuk kecederaan atau kehilangan anggota badan. Saya akan sekali lagi merujuk pada website JAIS. Maaflah jika ramai dah bosan saya dok nama JAIS. Namun sejujurnya saya berpendapat JAIS telah melakukan kerja yang baik dalam menerangkan Diyat secara ringkas. Untuk isu kecederaan atau hilang anggota badan JAIS meletakkan jumlah bayaran Diyat seperti berikut:

  1. 100 ekor unta untuk anggota tunggal seperti terputusnya lidah, hilang akal, menyebabkan lumpuh seluruh badan dan hilang keupayaan bersetubuh.
  2. 50 ekor unta untuk anggota berpasangan seperti dua mata dan lain-lain. Jika kedua-duanya maka diyatnya 100 ekor unta.
  3. 33 ekor unta untuk luka yang sampai ke dalam bahagian otak.
  4. 33 ekor unta untuk luka yang sampai keselaput kepala.
  5. 25 ekor unta untuk anggota yang berpasang yang mempunyai kelopak seperti 4 kelopak mata.
  6. 15 ekor unta untuk luka yang sampai ketulang dan mematahkannya sehingga tergeser dari tempatnya.
  7. 10 ekor unta bagi luka yang memecah atau mematah tulang.
  8. 10 ekor unta untuk anggota yang mempunyai 10 sendi atau bahagian seperti jari tangan dan kaki.
  9. 5 ekor unta untuk luka yang menampakkan tulang

Jumlah unta di atas juga boleh diganti dengan wang ringgit menurut nilai semasa seekor unta.

Isu cadangan untuk Malaysia melaksanakan Diyat ini sebenarnya bukan isu baru. Majlis Dakwah Negara (MDN) pernah mencadangkan perkara ini dibawa kepada kerajaan Malaysia untuk pertimbangan. Berkenaan isu penerimaan Diyat Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid sendiri berkata:

“Diyat ini memberikan keuntungan kepada semua pihak terutama kepada mangsa ataupun kepada individu yang menyebabkan kemalangan.

“Saya yakin masyarakat bukan Islam menyambut baik diyat. Ia juga akan mengurangkan rasa prejudis orang bukan Islam terhadap hukum Islam,”.

Saya juga sebenarnya tidak menjangka Diyat akan menimbulkan atau dibangkitkan sebarang isu kemanusiaan. Ini kerana Diyat merupakan alternatif kepada hukuman mati mandatori bagi jenayah bunuh yang ada buat masa sekarang. Jika anda arif dengan isu kemanusiaan anda akan tahu yang bahawa pejuang hak asasi kemanusiaan menolak keras hukuman mati mandatori. Jika ingin pergi lebih jauh mungkin saya boleh berkata Diyat ini selari dengan kehendak pejuang kemanusiaan biarpun mereka ada yang menolak Hudud atas sebab-sebab tertentu. Maka implementasi Diyat saya tidak merasakan akan berlaku tentangan yang keras bagi mereka yang benar-benar memahami isu ini. Diyat ini sebenarnya sudah mirip dengan sistem ganti rugi yang wujud dalam perundangan sivil kecuali dengan perbezaan tertentu seperti cara pengiraan pampasan. Atau saya mungkin salah. Amnesty International (AI) Malaysia ada mempertikaikan perkara ini walaubagaimanapun. Secara dasarnya AI Malaysia menolak kuasa pengampunan pada individu ataupun kuasa pengampunan Raja-raja yang dianggap menyalahi hak asasi manusia biarpun mereka menyambut baik alternatif kepada hukuman mati. Mereka juga menyentuh isu bagaimana pesalah miskin mungkin tidak berpeluang merasai Diyat jika mereka tidak berkemampuan. Isu kemampuan pesalah miskin dalam konteks masa sekarang sebenarnya pernah juga disentuh oleh pakar-pakar perundangan Islam. Adalah amat penting perkara ini dijelaskan dalam prosedur kerana jika diabaikan ada kemungkinan hanya pesalah dari latar belakang barada saja yang boleh menikmati Diyat. Ini mungkin sudah lari dari konsep keadilan dalam Islam. Namun sebenarnya saya berpendapat jika Majlis Pengampunan Pahang ingin memberi Diyat pada pesalah miskin mungkin mereka boleh membantu membayar diyat tersebut. Perkara ini ada disebut bagaimana pemerintah yang dalam isu ini merupakan kerajaan Negeri Pahang atau Sultan Negeri Pahang boleh membayar Diyat pada mereka yang tidak berkemampuan.

Hanya masa akan menentukan dari segi prosedurnya bagaimanakah Pahang akan melaksanakan Diyat sepertimana bagaimanakah dari prosedur perundangan Kelantan akan melaksanakan Hudud jika ianya menjadi kenyataan. Ada beberapa isu lagi sebenarnya boleh disentuh mengenai isu ini seperti dari segi perspektif perlembagaan Malaysia atau undang-undang tubuh negeri bolehkan Pahang melaksanakan Diyat. Namun jika saya masuk sedalam itu mungkin ianya sudah lari jauh dari matlamat saya yang hanya ingin memberi penerangan ringkas mengenai Diyat. Namun jika ingin disentuh juga isu perlembagaan maka saya berpendapat sepertimana isu hudud isu Diyat juga mungkin akan menjadi perdebatan dari segi undang-undang perlembagaan sama ada ianya boleh dilaksanakan atau tidak.

Sekiranya anda berminat untuk membuat bacaan lebih lanjut mengenai pelaksanaan Diyat dalam kerangka perundangan Malaysia saya amat menggalakkan anda membaca artikel akademik bertajuk Pelaksanaan Diyat Dalam Kerangka Perundangan di Malaysia: Cabaran Fiqh Semasa oleh Paizah Ismail. Mungkin sedikit berat untuk pembacaan mereka yang bukan dari latar belakang Syariah mahupun perundangan Sivil namun pada hekmat saya beliau ada membincangkan beberapa perkara menarik mengenai Diyat terutama dari segi prosedur baik dari perspektif Sivil dan Syariah.

SUMBER RUJUKAN.

1)  Shaari, N. (2017). Majlis Jemaah Pengampunan Pahang perkenal kaedah Diyat. BH Online. Retrieved 3 May 2017, from http://www.bharian.com.my/node/278270?m=1

2)  Ismail, Paizah. “PELAKSANAAN DIYAT DALAM KERANGKA PERUNDANGAN DI MALAYSIA: CABARAN FIQH SEMASA”. Jurnal Fiqh No. 9 (2012): Muka Surat 1-20. Print.

3) Haiyon, Khairuddin. “HUKUM JENAYAH ISLAM”. Jais.gov.my. N.p., 2017. Web. 3 May 2017.

4) DIYAT. (2016). Majlis Dakwah Negara – MDN. Retrieved 3 May 2017, from http://www.mdn.org.my/?p=3316

5) Reporters, F., & Fadli, M. (2017). Amnesty’s concerns over ‘diyat’ for death row convicts. Free Malaysia Today. Retrieved 3 May 2017, from http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2017/05/03/amnestys-concerns-over-diyat-for-death-row-convicts/

6) Zuan, C. (2012). PENILAIAN KESALAHAN MEMBUNUH DAN KESALAHAN MEMATIKAN ORANG DENGAN SALAH DI BAWAH KANUN KESEKSAAN MALAYSIA: MENS REA. Malayan Law Journal Articles, 1(2012), 2.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Aku tak kenal diri sindiri untuk tulis deskripsi diri sendiri. Sama ada ini tanda gejala kebencian pada diri sendiri, tak tahu tujuan hidup, atau tanda manusia yang masih belajar dan mencari makna hidup, Tuhan saja yang tahu. Kalau kamu boleh terangkan siapa aku pada diri aku sendiri sekurangnya maka kamu mungkin lebih cerdik dari aku

Leave A Reply