Dimanakah Maruah Institusi Raja-Raja Melayu?

1457
views

Dalam dua artikel yang lepas, kita telah belajar 2 perkara penting dalam hubungan raja Melayu-rakyat Melayu. Pertamanya, daulat raja terletak pada rakyat Melayu. Keduanya, nyawa institusi beraja Melayu terletak pada perjuangan dan pengorbanan rakyat Melayu. Pada darah, pada keringat, pada airmata rakyat Melayu.

Sekarang, dimanakah letaknya maruah raja-raja Melayu?

Adakah pada wang? Pada takhtanya? Pada kerisnya? Atau pada tengkoloknya?

Maruah raja-raja Melayu terletak pada PERJANJIAN DENGAN RAKYAT MELAYU.

The Great Charter.

“Titah baginda, “Barang siapa hamba Melayu derhaka mengubahkan perjanjiannya, dibalikkan Allah bumbungan rumahnya ke bawah kaki ke atas.” Maka sembah Demang Lebar Daun, ”Jikalau raja Melayu itu mengubahkan perjanjian dengan Hamba Melayu, dibinasakan Allah NEGERINYA dan TAKHTA kerajaannya.”

(“The great charter” antara Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana, Sulalatus Salatin)

Di sini letaknya maruah raja-raja Melayu. Kemuliaan jawatannya bersandarkan pada perjanjian yang mencakup seluruh teori sosialisme, demokrasi dan liberalisme. Perjanjian ini bersifat dua hala dan maksudnya amatlah mudah. Tidak kira raja atau rakyat, siapa langgar perjanjian, membawa padah. Autoriti yang terkandung dalam perjanjian ini berkesan pada kedua pihak.

Tidak perlu teori Marxisme yang berat-berat. Tidak perlu sistem demokrasi yang bercabang-cabang untuk memahamkan bahawa pemerintah dan rakyat mesti ada autoriti yang sama. Maksud dari “the great charter” antara Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana amat jelas. Kau payung aku, aku payung kau. Kau sailang aku, aku sailang kau. Kau backup aku, aku backup kau.

Kau pangkah aku, aku pangkah kau. Kau khianat aku, aku khianat kau. Kau tak fight demi aku, aku takkan fight demi jawatan kau. Kau tak bela hak-hak aku, aku terbalikkan kekuasaan kau. Tapi jika kau tolong aku, kau bela aku, kau fight demi aku…seluruh hidup aku pun aku sanggup pertahankan kau, perjuangkan kuasa kau sebab kau dan aku adalah sama.

Persamaan, persaudaraan dan kebebasan. Bukankah itu natijah dari perjuangan paling liberal dan didambakan sosialis dari jauh?

Semuanya ada dalam perjanjian yang teramat mudah begini, kalau aku dan kau faham maksudnya apa.

Bahagian pertama dari perjanjian ini umum digunakan sebagai autoriti oleh raja-raja untuk menghukum rakyat jelata. Raja menggunakan orang-orangnya untuk membawa rakyat yang bersalah ke muka pengadilan apabila didapati menderhaka. Ini perkara umum.

Bahagian kedua dari perjanjian ini sekurang-kurangnya dirumuskan oleh Hang Jebat dan Megat Seri Rama menurut sejarah. Motto paling keramat dari bahagian kedua ini menyebut “Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah” adalah maksud yang sempurna dan kefahaman yang mantap dari bahagian kedua ‘The Great Charter’.

Apakah rumusan dari semua ini?

Raja dan rakyat berpisah tiada. Tanpa rakyat Melayu, raja Melayu tidak wujud. Kita berkata dan menulis dari sudut praktikal. Jujurnya, raja dan rakyat saling memerlukan antara satu sama lain malah pada hari ini dalam sistem demokrasi, sosialisme atau ideologi pemerintahan moden yang lain, rajalah yang amat memerlukan rakyat untuk survival jawatannya.

Mungkin orang lain boleh membayar raja dengan wang dan ‘tawaran bisnes’ untuk mengubah prioriti sang raja memihak kepada orang lain dan bukan rakyat Melayu, tetapi kena ingat rakyat Melayu telahpun membayar dengan darah dan airmata mereka sendiri untuk mengekalkan raja-raja Melayu, dan hutang darah dan airmata ini tidakkan mampu dibalas raja-raja dan seluruh kaum kerabatnya sampai kiamat. Orang lain menghormati raja Melayu selagi raja Melayu memegang rasa hormat rakyat Melayu kepadanya. Apabila rakyat Melayu meninggalkan rajanya, maka kiamatlah takhta sang raja.

“Daulat Tuanku” yang disebut rakyat Melayu yang bergalang nyawa bergolok gadai bersabung darah demi survival sang raja jauh bezanya dengan “Daulat Tuanku” yang disorak orang lain. Nasib sang raja jika dicampak ke tengah-tengah rakyat orang lain jauh berbeza dengan nasib raja yang dikandung rakyat Melayu. Rakyat Melayu boleh pegang institusi rajanya berabad-abad lama namun raja Melayu di Pulau Singa tak mampu hidup walau seabad. Mampukah orang lain menjaga institusi beraja Melayu sekental rakyat Melayu menjaganya beribu-ribu tahun? Cubalah kalau nak tau langit itu tinggi atau rendah.

Ini bukan nak berkata siapa salah siapa benar. Ini adalah bagaimana akhlak sang raja yang sepatutnya kepada rakyat Melayunya walau dia bersalah sekalipun.

“…Seperkara lagi, perjanjian patik mohonkan anugerah ke bawah duli Yang Maha Mulia, segala hamba Melayu jikalau ada dosanya ke bawah duli, patik pohonkan jangan ia difadihatkan, dinista yang keji-keji, jikalau patut pada hukum syarak bunuh, tuanku; jangan duli tuanku aibi.”

(“The great charter” antara Demang Lebar Daun kepada Seri Teri Buana, Sulalatus Salatin)

Rakyat Melayu itu jangan dinistakan, jangan dijelekkan, jangan diaibkan. Rakyat Melayu itu mesti disayangi, ditanya masalah keperluannya, dinasihatkan baik-baik, ditatang dan dijaga.

Jika ada rakyat Melayu yang bersalah atau didapati menderhaka, raja mesti turun padang dengar dari sebelah pihak rakyat Melayu dan tanya apa masalahnya. Berinya penyelesaian terbaik dan perbaiki kehidupan dan keperluannya, bukan menutup atau merampas punca rezekinya. Kembalikan hak-haknya selepas dia meminta ampun sebagaimana orang lain meminta ampun bila buat salah dengan raja. Jika orang lain boleh diampunkan dijaga ditatang bagai, mengapa tidak rakyat Melayu yang dengan roh mereka, raja-raja berhutang nyawa dan airmata?

Asal-usul hubungan raja dan rakyat Melayu ada perjanjian dia, ada peraturan dia. Rakyat Melayu bukan berajakan siapa-siapa mengikut hukum rimba atau hukum koboi. Ada perjanjian dia, ada undang-undang dia, ada sumpah dia. Tanpa merujuk semua ini, raja bertakhta tanpa maruah tanpa kemuliaan.

Kesimpulannya, daulat raja Melayu terletak pada rakyat Melayu kerana nyawanya terletak pada pengorbanan rakyat Melayu berdasarkan perjanjian dan sumpah di antara raja Melayu dan rakyat Melayu.

Bagi rakyat Melayu pula, raja-raja adalah aset dan hak keistimewaan mereka yang tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Raja untuk rakyat, rakyat untuk raja. Jika raja Melayu jaga rakyat Melayu, kenapa tidak rakyat Melayu tak sayang pada raja?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here