Detik-Detik Pemergian Khalifah Umar Abdul Aziz

0
3200
views

• Umar al-Walid berasa sangat tertekan apabila kesemua tanah yang dirampasnya secara paksa dari rakyat (berlaku pada zaman pemerintahan Khalifah al-Walid bin Abdul Malik) telah diambil semula oleh Khalifah Umar. Khalifah Umar menyerahkan kembali kesemua tanah rampasan tersebut kepada pemilik asalnya. Umar al-Walid mengalami kerugian yang amat besar kerana kebanyakan tanah rampasan miliknya itu digunakan untuk pertanian. Hasil pertaniannya berkurang dan merundum teruk.

• Umar al-Walid mahu pentadbiran negara diambil alih kembali oleh keturunannya. Beliau menyusun suatu rancangan jahat untuk menamatkan riwayat Khalifah Umar. Beliau datang menemui salah seorang pembantu rumah Khalifah Umar iaitu Maisarah untuk menjalankan rancangan jahatnya. Umar al-Walid ingin menyerahkan sebuah misi kepada Maisarah kerana beliau yang selalu keluar masuk dari rumah khalifah. Maisarah menolak sekerasnya permintaan Umar al-Walid, walaupun beliau dijanjikan dengan kebebasan dan timbunan harta yang banyak. Maisarah mengugut Umar al-Walid untuk melaporkan komplot ini kepada khalifah. Umar al-Walid membunuh Maisarah setelah menerima ugutan tersebut dan mayatnya ditanam di tengah padang pasir.

• Setelah gagal untuk mempengaruhi pembantu yang lain, akhirnya Umar al-Walid berjaya mempengaruhi pembantu yang lain, iaitu Dirhan. Beliau menyerahkan sebotol racun kepada Dirhan. Misi Dirhan hanya satu sahaja. Meletakkan racun dalam minuman Khalifah Umar.

Dirhan mendapatkan ganjaran menyelesaikan misinya daripada Umar al-Walid sebanyak 1000 dinar.

Akhirnya umpan pun mengena. Khalifah Umar jatuh sakit akibat diracun pada awal bulan Rejab tahun 101 H. Racun ini tidak membunuh terus, melainkan ianya menyeksa fizikal Khalifah Umar.

• Imam Ibnu Katsir menyebutkan di dalam kitabnya, al-Bidayah wa al-Nihayah:

“Sebab kematian Khalifah Umar adalah berpunca daripada penyakit paru-paru. Mengikut sesetengah riwayat, Khalifah Umar diracun oleh pembantunya sendiri (Dirhan) setelah dijanjikan ganjaran sebanyak 1000 dinar. Dengan sebab itulah, Khalifah Umar mula jatuh sakit”.

• Sebenarnya Khalifah Umar sudah mengetahui bahawa dirinya diracun oleh pembantu sendiri pada hari pertama beliau jatuh sakit. Khalifah Umar memanggil Dirhan dan memarahinya lalu meminta supaya Dirhan menyerahkan duit sebanyak 1000 dinar kepadanya. Khalifah Umar memasukkan duit tersebut ke dalam Baitulmal dan membebaskan Dirhan. Khalifah Umar memerintahkan Dirhan untuk berlari sejauh mungkin sebelum beliau ditangkap oleh para pengawal lain.

(Menurut catatan dari isterinya Fatimah, permulaan kesakitan Khalifah Umar adalah ketakutannya yang tinggi kepada Allah swt).

• Dari catatan Abdul Aziz, anak kedua Khalifah Umar:

Harta yang ada pada Khalifah Umar sebelum kewafatannya hanya sebanyak 14 dinar sahaja.

Tetapi harta pusaka untuk keluarganya diperolehi Khalifah Umar dari hasil tahunannya sebanyak 600 dinar/tahun. 300 dinar dari hasil Khalifah Umar dan 300 lagi dari Abdul Malik(anak sulung Khalifah Umar). Abdul Aziz membahagikan kesemua harta peninggalan ayahnya sebanyak 15 bahagian. 12 bahagian untuk 12 orang anak lelaki dan 3 bahagian lain untuk 6 orang anak perempuannya.

 

Perginya Seorang Khalifah

• Khalifah Umar hanya terlantar ketenatan di tempat pembaringannya setelah racun itu melumpuhkan sebahagian anggota tubuhnya. Pada waktu menjelang kewafatannya berlaku beberapa peristiwa, diantaranya:

1. Dari catatan Muhammad bin Qais.

Khalifah Umar menghantar seorang utusan untuk memanggil seorang pendeta Nasrani datang rumahnya. Khalifah Umar meminta pendeta itu menjualkan tanah miliknya kepada beliau. Pendeta itu menolak untuk menjualnya kepada Khalifah Umar sebaliknya beliau ingin memberikan tanah itu secara percuma kepadanya. Khalifah Umar berkeras untuk membeli tanah itu sehingga memaksa pendeta itu berputus asa.Khalifah Umar membeli tanah untuk pengkebuamiannya sebanyak 30 dinar sahaja.

( Melalui catatan lain, tanah ini dibeli dengan jumlah hanya 17 dinar ).

2. Dari catatan Raja bin Haiwah.

Khalifah Umar mewasiatkan kepada Raja bin Haiwah supaya menjalankan tugasnya untuk memandikan, mengkafankan dan mengkebumikannya.

Setelah 20 hari menanggung kesakitan, akhirnya Khalifah Umar wafat di dalam biliknya.

3. Dari catatan al-Mughirah bin Hakim.

Pada hari kewafatan Khalifah Umar, isterinya Fatimah berada di dalam bilik bersebelah dengan bilik khalifah. Ketika itu Khalifah Umar sedang berbaring sehingga Fatimah mendengar beliau membaca sepotong ayat Quran surah al-Qashash yang berbunyi:

“Sesungguhnya itulah negeri Akhirat yang kami sediakan bagi mereka yang tidak inginkan kemegahan dan tidak melakukan kerosakan semasa hidup di dunia. Sesungguhnya balasan yang baik itu hanya untuk mereka yang bertakwa”.

( Ayat 28: Surah al-Qashash ).

Setelah membaca ayat tersebut berulang kali, Khalifah Umar pun terdiam. Fatimah menyuruh salah seorang pembantunya melihat keadaan Khalifah Umar. Pembantunya menjerit sehingga menyebabkan Fatimah meluru masuk ke dalam bilik Khalifah Umar. Fatimah melihat jasad suaminya telah terbujur kaku menghadap kiblat dengan mata yang sudah tertutup.

Khalifah Umar wafat pada tanggal 25 Rejab 101 H bersamaan Februari 720 M, hari Rabu di dalam rumahnya berlokasi di Dair Sim’aan di wilayah Khunasirah, Syam setelah 20 hari mengalami kesakitan yang berat. Beliau berjaya memerintah empayar Bani Umayyah mengikut sistem pemerintahan Khulafa ar-Rasyidin yang berlangsung hanya selama 2 tahun 5 bulan sahaja.

• Setelah kewafatan Khalifah Umar, maka Dinasti Bani Umayyah dipegang oleh penerusnya, Khalifah Yazid bin Abdul Malik seperti yang telah termaktub di dalam wasiat Khalifah Sulaiman. Maka pada hari itu, telah hilang keberkatan dan kemuliaan pemerintahan seorang manusia yang pada mulanya hidupnya umpama raja tetapi meninggal dunia sebagai seorang ahli ibadah yang tiada harta.

• Kaisar Rom Byzantine Leo III The Isaurian berkata setelah mendapat perkhabaran kewafatan Khalifah Umar:

“Beta tidak terkejut jika seorang ahli ibadah meninggalkan urusan dunia di belakang pintu yang tertutup. Tetapi beta amat kagum dengan lelaki ini (Khalifah Umar) yang mempunyai empayar yang luas di bawah kakinya, tetapi dia menolak kesemua itu (pengaruh & kekuasaan) dan hanya memilih hidup sebagai seorang ahli ibadah”.

Begitulah kisah ringkas bagaimana perjalanan hidup seorang hamba Allah yang berjaya membawa dan memartabatkan kembali agama Islam tanpa peperangan. Rela dicemuh oleh kaum kerabatnya sendiri demi ummah, meninggalkan harta demi meluruskan saf Muslim kembali dan menjadi manusia yang paling miskin pada zaman pemerintahannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here