Seringkali umat Islam diajar tentang konsep kerasulan Nabi Muhammad SAW tanpa henti. Jika ditanya, semua mesti tahu tentang perkara-perkara keagamaan sejak kelahiran hingga kewafatan baginda, tetapi bukan semua mampu menceritakan sisi kemanusiaannya. Umat Islam harus belajar tentang sisi kemanusiaan baginda selain daripada kepercayaan bahawa baginda sentiasa adil, amanah dan saksama.

Ekonomi memerlukan pemerhatian yang jitu, kerana ia menjadi tanda aras kepada setiap negara. Sistem kapitalisme, sosialisme dan komunisme telah bangkit menggantikan arus-arus Platonisme, merkantilisme dan feudalisme yang sudahpun pupus daripada saraf-saraf kerajaan yang sedia ada. Di mana penghambaan sungguh aktif, disitulah pembebasan diinspirasikan – tanda semulajadi manusia; setiap seorang mahu dibebaskan daripada cengkaman kezaliman.

Tetapi pada hari ini, kebebasan manusia dicengkam dengan kezaliman ekonomi.

Konsep ekonomi pasaran terbuka yang diketuai Barat menyaksikan terlalu banyak mesyuarat dan persidangan untuk memperbaiki sistem yang sedia ada. Amerika Syarikat yang satu masa dahulu mengetuai dengan ekonomi terhebat dunia telah hilang kerelevanan mereka selepas bermula mandat Barack Obama, yang digelumangi sebuah krisis global.

Apa yang diyakini ilmuwan-ilmuwan Islam – sistem ini sukar dibaiki dengan Persidangan “Pivot to Asia”, atau Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik, NAFTA dan sebagainya. Ia perlu melihat Persidangan Hira’, iaitu mesyuarat sederhana seorang manusia bersama wakil idealis terunggul di Alam Semesta, Tuhan.

Hanya dengan satu patah perkataan, “Iqra”, sebuah platform telah terbentang luas, memulakan penjelajahan sains, falsafah dan kebudayaan yang pada hari ini disempitkan kepada agama semata-mata manakal perkara-perkara lain dilihat sebagai duniawi. Cendekiawan-cendekiawan Islam dahulu mengasahkan minda mereka dengan ilmu-ilmu yang dikatakan duniawi ini tanpa melupakan jatidiri agama mereka

“Apabila populasi berkembang, bilangan buruh pun akan berkembang. Ini akan mengembangkan kemewahan selaras dengan keuntungan yang meningkat, dan keperluan untuk hidup mewah. Kepakaran akan dicipta untuk menghasilkan bahan-bahan kekayaan. Nilai bahan-bahan itupun akan meningkat dan sebagai tindakbalas, keuntungan akan naik berganda.” – Ibnu Khaldun.

Ibnu Khaldun juga membincangkan tentang teori evolusi, sistem kewangan Islam, dan penentangan kepada Platonisme. Ibnu Sina menerapkan ilmu perubatan tentang penyakit-penyakit berjangkit, memperkenalkan kuarantin dan menyokong teori miasma. Ilmu matematik yang dipelajari sekarang turut mempunyai sumbangan Muhammad ibnu Musa al-Kwarizmi.

Terlalu ramai cendekiawan-cendekiawan terdahulu berjaya merungkaikan Zaman Keemasan Islam, berdasarkan ilmu yang memandu ekonomi ketamadunan. Saraf ini boleh didapati daripada zaman Nabi Muhammad SAW sendiri yang menyaksikan kezaliman ekonomi yang dibincangkan diatas.

Kedudukan strategik Mekah dan sistem birokrasi berpuak adalah dua kanser yang pernah mencengkam tanah Arab. Apabila fahaman berpuak menular dalam kalangan sebuah masyarakat, tentunya hidup akan berdasarkan kekuatan dimana orang-orang miskin akan ditindas sezalim-zalimnya. Mekah adalah dunia kegelapan, dimana agama Islam menyinari cahaya selepas sekian lama menghilang. Mesej Rasulullah SAW (nama diubah kerana baginda sudah menjadi Rasul) yang memperjuangkan keadilan melahirkan inspirasi dalam kalangan yang ditindas.

Keadilan dan kesaksamaan menjadi dasar-dasar utama dalam manifesto politik baginda yang mengundang penindasan daripada masyarakat yang menggemari kegelapan. Puak Makhzum dan Abdushams telah menyekat Puak Hashim agar mereka menarikbalik perlindungan yang dikurniakan kepada Rasulullah SAW, dengan cara pemboikotan perkahwinan dan perdagangan.

Atas ketiadaan harapan di Mekah, jalan dibuka ke Yathrib, dimana piagam Islam pertama dilahirkan – Madinah, yang mengikatkan puak dan kaum keluarga Yathrib dan menghentikan pertempuran puak antara Aus dan Khazraj. Ia menciptakan hak-hak dan tanggungjawab-tanggungjawab rakyat Yathrib, tidak kira apa jua agama sekalipun. Perkara-perkara penting seperti keselamatan, kebebasan beragama, perhubungan, percukaian, dan perundangan dimandatkan.

Lapan tahun selepas penghijrahan ke Madinah, kesatuan jahiliyah di Mekah berjaya dileburkan, dan akhirnya – Mekah ditawan dan dimasukkan ke dalam pengaruh Islam. Kemusnahan berhala-berhala yang membawa maksud kepada sifat tamak, materialisme, penindasan dan ketaatan kepada puak telah mendorong masyarakat dibawah kepimpinan Rasulullah SAW kearah Allah.

Pokok yang paling utama adalah sifat kejujuran.

Abdullah ibnu Mas’ud meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya, kejujuran membawa kebenaran, dan kebenaran membawa ke Syurga. Seseorang boleh berkata benar, sehingga amalannya dicatat sebagai kejujuran. Sesungguhnya, pembohongan mengundang kejahatan, dan kejahatan membawa ke Neraka. Seseorang boleh berdusta sehingga dia dicatat Allah sebagai pendusta.” – Sahih Muslim 2607

Selain itu, keadilan perlu dijadikan asas utama dalam kehidupan harian. Islam menekankan umatnya berlaku adil, kerana golongan yang tidak adil tidak akan berjaya.

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.” – Qur’an 16:90.

Hukum hidup memerlukan keikhlasan kepada Tuhan dan keadilan kepada semua orang, termasuk juga dengan berbuat baik kepada golongan muda dan bermurah hati kepada yang miskin.

Sumber: http://bit.ly/1CTOMiA

Ini bermakna, segala perbuatan mestilah adil kepada semua umat – bagaimana etik bekerja, sifat berbelanja dan amalan berniaga akan memberikan faedah kepada semua umat?

Dua nilai ini merupakan tunas paling utama dalam Islam – kejujuran dan keadilan. Dalam pandangan Allah, semua ciptaan-Nya adalah hamba, bermakna sistem penghambaan yang dilakukan Arab sememangnya tiada masa depan. Pembebasan Bilal bin Rabah menunjukkan kesaksamaan dalam agama Islam, sehingga status bekas hamba diangkat melaungkan azan yang pertama.

Rasulullah SAW tidak mengamalkan konsep ekonomi secara khusus. Baginda bukan kapitalis, sosialis, atau komunis. Baginda mengamalkan prinsip-prinsip kapitalisme dalam perniagaan, dan menekankan sosialisme dalam hidup – secara khusus, umat Islam ketahui rukun ketiga Islam, iaitu mengeluarkan zakat.

Disini jelasnya, apa-apa ideologi politik atau sistem ekonomi boleh diterimapakai, tertakluk kepada syarat bahawa konsep yang digunakan penuh kejujuran dan keadilan, tidak kira kapitalisme, sosialisme atau komunisme.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Leave A Reply