Budaya Melayu Dari Kaca Mata Anak Kecil

865
views

Di Istana Kita Menari
Tari Asyik Tari Diraja…

Itu antara lirik lagu kepada tarian Asyik, sejenis tarian asli Melayu yang makin pupus dikalangan masyarakat kita. Saya terjumpa kelas tarian ini pun kerana salah seorang ahli Patriot yang menganjurkan kelas tradisional ini.

Saya bawa anak saya ke kelas ini secara suka-suka. Sebab minatnya ke arah tarian…nak menari macam princess la, nak menari ballet la, tarian Hi-5 tu senang-senang saja dia ikut. Jadi bila saya perkenalkannya kepada tarian melayu ini, dia agak terkejut kerana ia lain dari yang dia biasa lihat. Sudahlah kena berkain batik, ada pula busana kepala yang perlu dikenakan.

Kebanyakan peserta tarian terdiri daripada kanak-kanak yang telah bersekolah. Cuma anak saya saja yang paling kecil…baru 4 tahun. Tapi guru tariannya amat sabar. Saya cuma memerhati dari jauh sambil melihat anak gadis saya meliukkan badannya sambil mengikuti arahan guru tariannya. Jelas terpancar wajah yang sungguh fokus mahu betul-betul menurut arahan gurunya.
————————–——

Kelasnya hanya sebulan sekali jadi tidaklah tinggi sangat komitmen yang perlu diberikan. Saya lihat sendiri kadang-kadang dia akan duduk sendirian sambil berlatih tarian ini di rumah. Kalau ditegur, dia akan malu…jadi saya perhati dari jauh.

Hari ini sudah lebih 2 minggu anak saya mengikuti kelas tarian tersebut. Dalam perjalanan saya menghantar anak saya ke sekolah pagi tadi, tiba-tiba mahu bercerita tentang kelas tariannya.

‘Miea Melayu,’ katanya. ‘Orang Melayu lembut kan, Mama?’ Saya cuma mengiyakan saja. ‘Orang Melayu kuat kan, Mama?’ Saya angguk lagi. ‘Orang Melayu sayang Allah kan, Mama?’ Saya angguk tapi saya mula hairan dari mana asalnya konklusi ini dari seorang kanak-kanak 4 tahun?

‘Mana Miea belajar semua ni?’ saya tanya.

‘Masa Miea dance…Miea dance macam kerbau, kerbau tu kuat, Miea dance macam waves (ombak), waves tu lembut…lepas tu masa dance, dance tu banyak tiru animals…animals tu kan Allah yang buat? Mestilah sebab kita sayang Allah.’
————————–—-

Terus-terang, saya tak tahu bagaimana dia boleh capai konklusi sebegini. Tetapi, saya tahu bahawa setiap tarian tradisional kita mempunyai banyak maksud tersirat. Cuma kita saja yang terlupa.

Tarian kita bukan sekadar langkah-langkah yang wajib dihafal…ia datang bersama pemerhatian si guru tari dan pemahamannya tentang alam. Jati diri kita tersirat di dalam tarian yang kita pelajari, seni mempertahankan diri kita yang unik, ukiran-ukiran kita yang tiada tolok bandingan dan juga sejarah kita yang makin dilupakan.

Apa yang saya sangka hanyalah suka-suka untuk menggembirakan hati anak saya menjadi cerminan kepada siapa kita hari ini dan di mana kita berada…

Bila dilihat kembali, ramai diantara kita menolak kebudayaan mentah-mentah kerana pada sangkaan kita ia bercanggah dengan agama. Namun pernahkah kita selami kebudayaan kita dan lihat akan asal-usulnya?

Pernahkah kita tanya apakah maksud disebalik setiap gerakan tari dan silat yang sebenarnya penuh makna? Atau kita hanya melihat busana yang dipakai atau jantina si penari/pesilat dan mengambil keputusan bahawa ianya tidak Islamik hanya kerana ianya tidak wujud di dalam budaya tempat lain?

Bagaimana pula jika kita menjadi sedikit kreatif dan sesuaikan persembahan-persembahan itu supaya ia tidak lari dari landasan agama? Boleh, bukan?

Ukiran-ukiran kita hampir kesemuanya mengenai alam. Bunga-bungaan yang diukir cantik dan dijadikan hiasan kepada pakaian dan perhiasan rumah. Lagu-lagu kita yang memuji keindahan alam seperti lagu Bunga Tanjung, Bunga Melati dan Bunga Seroja. Bukaan silat kita pun disebut sebagai bunga.

Anak saya baru berusia 4 tahun. Oleh kerana dia hasil perkahwinan campur, saya mengambil keputusan untuk memperkenalkan sebanyak ceritera turun-temurun dan kebudayaan Melayu yang sempat saya pelajari.

Begitu juga suami saya. Tujuannya supaya dia kenal siapa diri dia dan mana asal-usulnya. Supaya dia tidak terpengaruh dengan anasir luar yang secara tidak langsung memusnahkan jati dirinya. Pada masa yang sama, saya tidak mengabaikan pendidikan agama kepadanya.

Bila kedua-duanya bergabung…dia nampak simetri antara tarian yang dipelajarinya dengan keindahan agamanya.

Jika anak kecil boleh nampak, apatah lagi kita, bukan?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here