Bom Belon Jepun

0
1465
views

Apabila Jepun menyerang Pearl Harbor pada akhir tahun 1941, ia menjadi pencetus kepada keputusan Franklin Delano Roosevelt membawa Amerika Syarikat ke kancah Perang Dunia Kedua (WWII). Namun jika anda sangka serangan Jepun ke atas berakhir dengan Pearl Harbor, salah. Selain Pearl Harbor, WWII turut menjadi saksi kepada taktik perang Jepun paling pelik iaitu menerbangkan belon udara yang dipasang dengan bom menyeberangi Lautan Pasifik dengan tujuan mengebom Amerika Syarikat.

Jika anda rasa ini pelik, hanya perlu lihat rekod sejarah. Apabila armada kapal tentera Mongol tenggelam selepas dibadai ribut taufan semasa dalam perjalanan ke Jepun pada abad ke-13, orang Jepun melihat peristiwa ini sebagai tanda Tuhan melindungi mereka dengan menghantar angin suci atau kamikaze. Dan semasa WWII, pihak tentera melihat Tuhan mereka sekali lagi selepas para saintis menemui aliran udara jet pada ketinggian 30,000 kaki. Hasil dari penemuan ini, mereka merasakan idea menghantar belon udara yang diisi gas hidrogen dan dipasang bom ke Amerika Utara dalam tempoh tiga hingga empat hari sesuatu yang tidak patut dilepaskan. Maka atas sebab itu, pihak Jepun meluluskan operasi yang dipanggil Fu-Go antara November 1944 hingga April 1945.

Belon tersebut dibuat daripada kulit yang ringan tetapi tahan lasak dan kertas yang dibuat daripada kayu mulberi di mana kedua-dua bahan ini dijahit oleh pelajar-pelajar sekolah perempuan yang sama sekali tidak tahu tujuan jahat di sebaliknya. Selepas belon siap dijahit, ia diikat dengan tali berukuran 40 kaki dan dipasang dengan bahan letupan sebanyak 30 paun. Dari situ, bom ini akan diterbangkan dengan harapan ia jatuh di Amerika Utara terutama di kawasan hutan. Sekiranya bom tersebut gugur di situ, mereka berharap ia akan mencetuskan kebakaran hutan sekaligus memaksa pihak pentadbiran mengalihkan sumber mereka untuk menangani kebakaran daripada fokus kepada perang dan mencetuskan panik dalam kalangan orang ramai.

Berdasarkan rekod, 9,000 bom diterbangkan dari Jepun ke Amerika Utara antara November 1944 hingga April 1945. Kebanyakan bom yang dihantar langsung tidak mengenai sasaran kerana sebahagian daripadanya jatuh dalam Lautan Pasifik. Tetapi lebih 300 bom berjaya sampai ke seberang Pasifik dan dikesan terbang di langit bahagian barat Amerika Syarikat dan Kanada dari Holy Cross, Alaska hingga Nogales, Arizona. Ada juga sesetengah belon ini terbang hingga ke sebelah timur seperti Grand Rapids, Michigan. Pada Mac 1945, satu daripada ribuan belon ini terkena kabel pencawang elektrik dan menyebabkan keputusan bekalan elektrik sementara di sebuah loji di Hanford, Washington. Loji ini bertanggungjawab menghasilkan plutonium yang akan digunakan untuk menghasilkan bom atom untuk kempen di Hiroshima dan Nagasaki lima bulan selepas itu.

Tiada insiden kehilangan nyawa membabitkan belon ini tetapi semua itu berakhir pada 5 Mei 1945. Pada hari tersebut, Reverend Archie Mitchell membawa isterinya yang sarat mengandung, Elsie dan lima kanak-kanak dari sekolah gereja untuk berkelah di satu kawasan berhampiran Gunung Gearhart. Tatkala Mitchell sibuk memunggah barang perkelahan, isterinya menemani kanak-kanak yang mengikuti perkelahan tersebut meneroka kawasan sekitar. Apabila seorang kanak-kanak perempuan bernama Joan Patzke menjumpai satu bahan kanvas putih mencurigakan, dia memanggil mereka semua untuk melihat apa yang ditemuinya. Elsie memanggil Mitchell tatkala kumpulan itu melihat bahan mencurigakan itu. Salah seorang daripada mereka cuba menyentuhnya dan Mitchell menjerit melarang mereka menyentuhnya tetapi sudah terlambat. Satu letupan besar menggegarkan kawasan tersebut dan membunuh tujuh orang termasuk Elsie dan kandungan mereka. Apabila pihak tentera Amerika datang untuk menyiasat, mereka tahu bahawa objek tersebut ialah bom belon yang dihantar pihak Jepun untuk menyerang Amerika Utara.

Waqaf Saham

Insiden tersebut ialah satu-satunya insiden bom belon yang mengorbankan nyawa manusia. Namun berita tersebut tetap dirahsiakan dan atas sebab yang baik. Pentadbiran Roosevelt pasti tidak mahu warga Amerika panik dan enggan memberi sebarang kelebihan kepada pihak musuh dalam memastikan bom belon mereka mengenai sasaran. Walaupun kebanyakan warga Bly, Oregon tahu akan cerita sebenar, mereka terpaksa mendiamkan diri selepas diarahkan pihak tentera dan insiden tersebut dilaporkan sebagai satu letupan yang tidak diketahui puncanya. Pada akhir bulan Mei, barulah pihak tentera mendedahkan punca sebenar letupan dan meminta orang awam segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menjumpai objek-objek pelik ini. Namun ia dianggap terlewat bagi mangsa-mangsa di Oregon. Dan selepas 70 tahun, bom-bom ini berterusan mendatangkan ancaman terutama di kawasan pedalaman di sebelah barat. Pada tahun 2015, dua pembalak menemui saki-baki bom belon di Lumby, British Columbia. Bom tersebut kemudian diletupkan dengan letupan terkawal.

Akhrnya, pihak Jepun mengambil keputusan membatalkan operasi tersebut selepas mendapati kebanyakan bom mereka sama sekali tidak mengenai sasaran. Aliran udara jet yang mahu digunakan sebagai cara mengangkut bom hanya berkesan pada musim sejuk. Jika ia berkesan sekalipun, keadaan cuaca bersalji dan lembap pasti akan memadamkan cubaan kebakaran yang tercetus akibat bom ini. Berdasarkan rekod, Elsie Mitchell dan enam lagi mangsa merupakan satu-satunya insiden yang mengorbankan nyawa akibat tindakan musuh di tanah besar Amerika semasa WWII. Walau bagaimanapun, bom ini memberi kita peluang mengintai masa hadapan peperangan. Penulis buku ‘Fu-Go: The Curious History of Japan’s Balloon Bomb Attack on America’, Ross Coen menyifatkan bom-bom ini pelopor kepada peluru berpandu antara benua (ICBM). Sesetengah turut berpandangan taktik rahsia dan senyap yang digunakan dalam belon ini turut dianggap sebagai dron pertama dalam WWII.

SUMBER

Klein, Christopher (2001). History.com. Attack of Japan’s Killer WWII Balloons, 70 Years Ago. http://www.history.com/news/attack-of-japans-killer-wwii-balloons-70-years-ago

 

 

Previous article100 Tahun Musibah Deklarasi Balfour 1917: Sejarah Hitam Terhadap Umat Islam Palestin
Next articleMenangislah Wahai Kaum Lelaki
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.