Secara ringkasnya.

Pada permulaannya, pasukan yang kini dikenali sebagai GGK ( Komando Tentera Darat) dipanggil Pasukan Pertama Gerak Khas (1 PGKM), tertubuh pada 7 Mei 1965 di Kem Majidee Johor Bahru. Pada asalnya, ia hanya berkekuatan 5 Terup sahaja, yang terdiri daripada 3x Terup Tempur, 1x Terup Tadbir dan 1x Terup Perairan (Naval Element). Pasukan ini juga dikenali sebagai ” Malaysian Special Service Unit” (MSSU), dan ketika di Kem Majidee, ia berada di bawah pemerintahan Rejimen Ke-4 Askar Melayu DiRaja. Ia kemudian telah dipindahkan ke Kem Sebatang Karah, Port Dickson, Negeri Sembilan pada Oktober 1966 kerana kem tersebut tidak lagi dapat menampung kekuatan sedia ada, dan akhirnya, 1 PGKM telah dipindahkan secara tetap pada tahun 1969 ke Kem Sungai Udang, Melaka. Di sini, pada 1 Ogos 1970, pasukan ini diiktiraf sebagai Rejimen Gerak Khas Malaysia ( RGKM), dengan pasukan pertamanya – 1 RGKM yang terdiri daripada Skuadron Markas, Skuadron Bantuan, Skuadron Latih dan 3x Skuadron Tempur iaitu Skuadron X-Ray, Skuadron Yankee dan Skuadron Zulu, dan kemudiannya Skuadron Whisky (1979) yang kemudiannya terpaksa dibubarkan pada Disember 1983 kerana kekurangan sumber. Pada ketika itu juga, pasukan 1 RGKM telah ditukarkan panggilannya kepada 65 Komando. Bermula daripada 1 RGKM inilah kemudian lahirnya rejimen lain di dalam pasukan komando terawal negara ini, iaitu 22 Komando dan 11 Rejimen Gerak Khas. Pada hari ini, pasukan ini dikenali sebagai 21 Gerup Gerak Khas ( GGK) yang terdiri daripada pasukan-pasukan Tempur dan elemen sokongan bagi membolehkannya beroperasi seperti sepatutnya.

Penstrukturan Semula Ggk
Menginjak usia 52 tahun, sebagai sebuah pasukan komando, pasukan GGK sememangnya memiliki kemampuan beroperasi dalam pelbagai spektrum meliputi permukaan darat, laut dan udara. Kepakaran pasukan ini ditambah lagi dengan fokus kepada operasi-operasi memerangi keganasan yang semakin mencengkam senario pertahanan antarabangsa, dan tidak ketinggalan juga operasi-operasi lain yang ditermakan sebagai ” military operations other than war”. Sejajar dgn perkembangan semasa serta bagi memenuhi keperluan operasi yang semakin sengit, pasukan GGK kini, dalam menginjak usia kematangannya, mengorak langkah baru dengan menstrukturkan semula organisasinya. Sebelum ini, rejimen tempur di dalam pasukan GGK terdiri daripada 11 RGK, 21 GGK dan 22 KDO. Setiap unit diterajui oleh pegawai berpangkat Lt. Kol, dan sistem pemerintahan diketuai oleh seorang Brigadier General.

Kini, 21 GGK dikenali sebagai 21 KDO dengan memiliki 2 skuadron operasi khusus ( SOK) dan 1 skuadron sniper khusus dengan kepakaran penggempur darat. 22 KDO pula dikenali sebagai 22 Rejimen Perahu Khas dengan kepakaran amphibious raid/ serangan amfibi manakala 11 RGK akan kekal sebagai Rejimen Gerak Khas dengan kepakaran anti-keganasan. Setiap rejimen akan diterajui oleh pegawai berpangkat Kolonel penuh, manakala panglima pula dinaiktaraf ke pangkat Mejar General.

Pengkhususan rejimen ini dilihat sebagai satu usaha efektif bg menyalurkan kepakaran yg lebih khusus terhadap ancaman tertentu, lalu memberikan skop operasi yang lebih spesifik kepada pasukan ini.

IDENTITI GGK
Pasukan GGK merupakan salah satu elemen tempur di dalam Angkatan Tentera Malaysia amnya, dan pasukan Tentera Darat khusunya, dan dikenali sebagai “ Father of All Malaysian Special Forces” kerana pembabitannya sebagai peneraju kepada pasukan-pasukan komando lain di negara ini. Ada di antara anggota dan pegawai daripada GGK dipinjam atau diserap ke dalam pasukan-pasukan komando lain di awal penubuhan masing-masing, seperti pasukan PASKAU ( Pasukan Khas Laut) dan PASKAU ( Pasukan Khas Udara). selain daripada itu, tenaga dan fasiliti kejurulatihan daripada GGK juga digunapakai sebagai permulaan pasukan-pasukan ini, di antaranya pasukan VAT69 ( Komando Polis). Meski pasukan ini masing-masing kemudian bergerak sendiri dalam mencorak identiti mereka masing-masing, secara amnya, GGK diperuntukkan sebagai satu tanda aras di dalam permulaan kepada pembentukan tersebut.
Pasukan GGK amat dikenali dengan identiti tersendiri yang membezakannya dengan pasukan-pasukan lain. Yang paling utama adalah lambang triniti – beret hijau sherwood, lanyard biru laut dan dagger hitam, yang tidak dapat dipisahkan daripada unit ini.

1) Lambang


Lambang lama GGK


Lambang yang mula diguna pada pertengahan tahun 90-an

Warna biru laut – melambangkan pertalian persahabatan di antara GGK dengan pasukan Royal 40th Marine Commando daripada United Kingdom (UK). Ianya juga melambangkan laut yang menjadi salah satu dimensi operasi GGK.

Kepala harimau dan pisau komando – melambangkan kegarangan, keberanian serta ketangkasan setiap anggota GGK, serta semangat juang yang tinggi

Pisau komando tanpa sarung dan menegak ke langit – melambangkan ketajaman fikiran dan kesiapsiagaan untuk bertindak

Motto cepat dan cergas – moto ini dipilih sejajar dengan keterampilan anggota gerak khas yang sentiasa siap sedia untuk bertindak apabila keadaan memerlukan


Pelapik pada beret GGK – ( dari atas) Markas GGK, PULPAK ( Pusat Latihan Peperangan Khusus), 11 RGK, 21 GGK ( kiri) dan 22 KDO ( kanan)

2) Beret Hijau dan Lanyard Biru

Semenjak penubuhan Gerak Khas, anggotanya telah memakai beret berwarna hijau (Sherwood Green) dan lanyard berwarna biru laut. Kedua-dua ini dipilih sempena dengan beret hijau dan lanyard biru yang dipakai oleh 40th Royal Marine Commando (UK) yang menjadi pengasas kepada penubuhan Gerak Khas. Beret hijau dengan lencana Harimau Berjuang merupakan pakaian kepala bagi kebanyakan pasukan khusus di dunia. Ianya merupakan lambang keberanian, keunggulan serta kecemerlangan bagi anggota yang memakainya.

Di peringkat awal penubuhannya, anggota Gerak Khas memakai beret hijau bersama dengan lambang pasukan masing-masing. Sehubungan dengan itu, Pegawai Pemerintah yang pertama iaitu Mejar Abu Hassan bin Abdullah, telah berusaha merangka satu lambang pasukan. Justeru itu, lambang harimau garang bersama pisau komando telah diterima pakai dan menjadi lambang rasmi Gerak Khas sejak tahun 1968.

Bermula dari situ, setiap anggota yang lulus kursus asas komando dianugerahkan beret hijau berlambangkan harimau garang dan lanyard biru sebagai tanda penerimaanya menjadi warga Gerak Khas. Setiap anggota Gerak Khas akan mengharungi kepayahan dan keperitan yang sama tanpa mengira pangkat semasa menjalani kursus ini. Justeru, hanya mereka yang mempunyai sifat keberanian, ketahanan fizikal dan mental serta semangat juang yang tinggi sahaja akafi berjaya dan layak memakainya.


Triniti GGK – beret hijau Sherwood, lanyard biru laut dan dagger/pisau komando


Menyertai Fraterniti GGK

Penyertaan ke dalam pasukan GGK diambil daripada kalangan warga Tentera Darat daripada pelbagai pasukan. Adakalanya, anggota atau pegawai pasukan cabang lain juga turut ikut serta, tetapi ia tidak akan membuatkan mereka diterima ke dalam pasukan GGK selepas mereka tamat latihan asas. Mereka akan kembali ke pasukan mereka sendiri selepas itu.

Pengambilan kursus asas GGK melambangkan satu tahap keberanian yang tidak boleh dipandang rendah dan membawa satu imej yang membawa satu kebangga kepada mereka yang lulus. Selama 3 bulan, seorang anggota atau pegawai yang cukup syarat dan telah melepasi tahap pemanasan ( di mana pemilihan awal dijalankan), akan melalui pelbagai fasa seperti fasa kem, fasa paya, escape and evasion dan serangan akhir. Kesukaran yang terkandung di dalam kursus asas ini sememangnya sangat sangat tinggi, sehinggakan peratusan lulusnya adalah sagat sedikit. Terdapat juga segelintir masyarakat yang mempertikaikan corak latihan ini, yang dikatakan sangat kejam, tanpa memahami betapa perlunya anggota yang dipilih ke dalam pasukan GGK ini mempunyai tahap ketahanan mental dan fizikal yang tinggi, sesuai dengan corak penugasan mereka.

Sekiranya lulus latihan asas tersebut, pada upacara pentauliahan atau Passing Out, rekrut berkenaan akan dianugerahkan beret hijau, lanyard biru dan pisau komando sebagai lambang penerimaannya ke dalam fraterniti ini. Disebabkan struktur organisasinya, GGK tidak hanya mengandungi terup tempur sahaja. Ketiga-tiga rejimen tempurnya iaitu 11 RGK, 21 GGK dan 22 KDO hanya mengambil anggota daripada kalangan pasukan tempur Tentera Darat sahaja, iaitu daripada pasuka-pasukan RAMD ( Rejimen Askar Melayu Diraja), RRD ( Rejimen Renjer Diraja), RS ( Rejimen Sempadan) dan dalam keadaan tertentu, Rejimen Askar Wataniah. Bagi anggota yang datang daripada cabang lain perkhidmatan seperti Kor Kesihatan atau Rejimen Artileri Diraja, Kor Agama Angkatan Tentera atau Kor Jurutera, mereka akan diserapkan ke dalam pasukan bantuan yang terdapat di dalam GGK . antara manfaat yang mereka perolehi adalah elaun komando yang agak tinggi nilainya, dan pemberian ini adalah mengikut tempoh berkhidmat.

Istilah Komando Susu diberikan kepada anggota paskan yang berada di dalam GGK, tetapi memakai beret tanpa pelapik. Ini menandakan bahawa anggota tersebut telah dipinjamkan kepada paskan GGK, dan mereka tidak menerima elaun komando tersebut. Antara contoh adalah anggota wanita yag dipinjamkan daripada pasukan lain di atas sebab keperluan seperti berkhidmat di bahagian kesihatan misalnya, kerana di dalam pasukan GGK, tidak terdapat anggota wanita di dalam terup tempur atau perkhidmatan bantuannya. Ini disebabkan keadaan tugas pasukan tersebut yang tidak sesuai dengan fungsi fisiologi atau keadaan fizikal seseorang wanita, bukan kerana pandangan rendah terhadap kebolehan mereka.

Walaupun telah dianugerahkan beret hijau, ia tidak bermakna ia tidak boleh ditarik balik. Sekiranya berlaku keadaan di mana seseorang anggota itu melanggar undang-undang yang telah ditetapkan atau terlibat dengan sesuatu hal yang termaktub sebagai pelanggaran disiplin pasukan, beret ini akan dilucutkan di dalam satu upacara pelucutan beret. Ini menandakan anggota tersebut tidak lagi berhak menggunakan imej GGK selepas itu walau dalam apa keadaan. Bagi anggota yang tamat perkhidmatan tanpa pelucutan, identiti GGK biasanya akan terus dikekalkan, dan mereka dibenarkan untuk terus memakai beret tersebut.

Pada upacara pentauliahan, akan dinyanyikan lagu Gerak Khas dan dibacakan sajak Tiga Purnama, serta anggota-anggota bau akan membaca Sumpah Perajurit Komando atau dikenali juga sebagai Sumpah 12.


Passing Out – “where boys are made into men”. Di sinilah topi hutan yang dipakai oleh seorang rekrut sepanjang 3 bulan latihan asas akan digantikan dengan beret hijau kebanggaan GGK

Sejarah Lagu Gerak Khas
Lagu Gerak Khas telah dicipta oleh Kapten Minhad bin Manas pada tahun 1971. Beliau berpangkat Staf Sarjan pada ketika itu dan bertugas sebagai Terup Sarjan di Skuadron X-Ray, 1 RGKM. Beliau telah diarahkan oleh Pegawai Memerintahnya pada ketika itu – Leftenan Kolonel Borhan bin Ahmad, untuk mencipta sebuah lagu untuk Gerak Khas yang berentak march. Tajuk lagu yang asal diberikan oleh Penolong Pegawai Memerintah, Mejar Ghazali bin Ibrahim, pada masa itu adalah Para Pembebas. Beliau mengambil masa lebih kurang 3 jam untuk menyiapkan lirik lagu tersebut.


Tan Sri Borhan Ahmad – panglima ATM pertama daripada GGK

Setelah siap lirik lagu tersebut, ianya telah diraptaikan di dalam perbarisan di peringkat skuadron dan juga rejimen untuk menguji kesesuaiannya. Semasa ujian raptai tersebut, pasukan telah dibantu oleh Mejar Anuar bin Alaidin dan Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) daripada segi penyediaan iramanya. Setelah dipersetujui oleh pucuk kepimpinan Gerak Khas, maka lagu ini telah dipersembahkan kepada Panglima Tentera Darat pada ketika itu iaitu Leftenan Jeneral Tan Sri Ungku Nazaruddin bin Ungku Mohamed untuk kelulusannya. Beliau tidak bersetuju dengan tajuk lagu “Para Pembebas” tersebut. Oleh itu, ayat terakhir di rangkap pertama dan terakhir lagu ini yang berbunyi ‘Para Pembebas Pergi Berjuang’ telah ditukarkan kepada ‘Rejimen Gerak Khas Pergi Berjuang’ dan ‘Para Pembebas Tetap Mara’ kepada ‘Rejimen Gerak Khas Tetap Mara’. Semenjak itu, lagu tersebut telah menjadi lagu rasmi Gerak Khas sehingga ke hari ini.


Lirik lagu Gerak Khas


Melodi lagu Gerak Khas

Selain itu, semasa istiadat Passing Out, turut dibacakan sajak “ Tiga Purnama” yang menangkap intipati semangat perjuangan yang harus ditekadkan ke dalam jiwa setiap rekrut sepanjang latihan asas yang mereka lalui. Bait-baitnya adalah seperti berikut :

Berdiri megah
Gagah perkasa
Beret hijau, dijunjung di kepala
Detik kepedihan, kepahitan perwira
Tiada siapa tahu
Siapa aku..
Kemegahan bagi dia
Hanya setelah 3 purnama
Memerah keringat..
UNTUK APA?

Ilmu dicari di setiap sudut
Gunung, paya dan hutan rimba,
Di laut sayup mata memandang
Berteduh dedaun berselimut lumpur
Keringatnya akan kerap mengalir menghiba
Yg memupuk kekuatan moral yg ada
Hati ini tetap mengerti
Perwira komando sedia berkorban
Hancur daging bergalang tulang
Yg mara yg rebah
Di sebalik kabus-kabus lembayung senja
Aduh..biar ranjau menusuk dada
Darah merah adalah penyeri luka
Biar menderita rasa
Dari kejauhan suara-suara ria
Kutinggalkan ibu, anak , isteri dan kekasih tersayang
Demi engkau yg kucari, ku hormati
Ku tinggalkan segalanya
Oh Tuhan..
Ampunlah dosa derhakaku
Kian lama alpa dalam setia
Tiga purnama sekian lama..
Hanya Engkau tahu siapa aku
Kini harmoni menjelang tiba
Beret hijau idaman satria
Lambang keagungan
Lambang keperwiraan
Satu lambang mutu keberanian..
Yg amat tinggi nilainya
Engkau tetap unggul
Diiktiraf dunia seluruh benua
Setiap wira yg memakai beret ini..
Harus ingat..harus ingat
Pertahankan martabatnya
Hingga ke titisan darahmu yg terakhir
Bawalah bersamamu beret hijau…


Sumpah 12

Tradisi- tradisi lain
a.Potongan rambut nombor 2 untuk semua anggota komando
b.Pemakaian celoreng (pakaian no 5), beret hijau dan lanyard biru serta pisau komando.
c.Pakaian celoreng lengan dilipat samseng.

d.Beret hijau dipakai senget dengan lambang harimau terletak di antara hujung kening mata kiri dan pelipis rambut.
e.Tali kasut diikat bersilang
Itulah sedikit sebanyak yang dapat saya kongsikan mengenai pasukan kebanggaan negara ini. Adakah anda sanggup turut serta?..

=WRA=


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Aenid Abdullah, berkelulusan B.Ed.TESL ( Hons.) daripada Universiti Of Exeter, United Kingdom dalam bidang Bahasa Inggeris adalah anak desa berasal dari sebuah desa kecil di Kedah. Meski sudah jauh merantau, beliau tidak pernah lekang daripada kesukaannya terhadap sambal belacan,durian,petai dan harum bumi Malaysia tatkala disimbah hujan. Kecintaannya yang paling besar adalah terhadap dunia pertahanan, senjata, motorsikal berkuasa tinggi dan aktiviti-aktiviti mencabar.

1 Comment

Leave A Reply