Bila Kritikan Jadi Peribadi

0
943
views

Kritikan atau teguran bukanlah sesuatu asing dalam kehidupan kita. Adakala teguran tersebut bersifat pedas tahap cili padi, adakalanya ia bersifat makan dalam. Namun, ada sesetengah daripada kita merasakan teguran atau kritikan yang dikeluarkan tidak beradab sehingga ke tahap ianya tidak lagi berkesan dalam memperbetulkan kesalahan. Beza pendapat dianggap tidak beradab, lontar pendapat atau bertanyakan soalan dianggap tidak beradab. Pendek kata, ‘adab’ yang digunakan ini mematikan sebarang usaha untuk mencari kebenaran dan membenarkan kesilapan orang lain. Ini sesuatu yang harus dibetulkan!

Tidak salah bagi kita untuk menegur atau mengkritik sesuatu yang kita rasakan salah dan perlu diperbetulkan. Syaratnya sekiranya ia dalam ruang lingkup umum, maka teguran atau kritikan bersifat objektif, adil, tidak bias dan tidak menyerang keperibadian mana-mana individu, maka ia tidak salah untuk melakukannya. Tak kira sama ada perkara tersebut bersifat propaganda, program, statistik atau cadangan yang diutarakan, pastikan apa-apa teguran atau kritikan dalam ruang lingkup perkara tersebut. Yang jadi salah bila mana individu atau organisasi yang mengkritik kadangkala bersifat bias dan memfokuskan kepada serangan peribadi, sangat memualkan sehingga ke tahap orang enggan menerima atau tidak mengendahkan apa yang dinyatakan kepadanya. Dan ini bukan sesuatu yang asing jika anda mengetahui permainan politik sama ada di peringkat nasional atau di peringkat organisasi sama ada parti politik, pengurusan syarikat atau persatuan.

Lain sekiranya anda hendak mengkritik seseorang atau sesebuah organisasi. Bila mana anda merasakan kritikan atau teguran yang dibuat ada kena-mengena dengan peribadi seseorang atau sesebuah organisasi, maka gunakan saluran aduan yang telah dinyatakan atau buat di tempat tersorok bagi menjaga aib dan maruah individu atau organisasi tersebut. Namun, sesetengah orang lebih suka menyiarkan kain kotor seseorang atau organisasi di khalayak sama ada melalui siaran media atau viral kerana berpandangan ini jauh lebih berkesan dalam menegur atau mengkritik. Bukan itu saja, ada yang cuba menjustifikasikan tindakan tersebut menulis hashtag bersifat keagamaan seperti #DoneDakwah dan #DoneTarbiyah. Ini bukan caranya kerana bila mana anda berbuat sedemikian, sudahlah anda tidak malu bercerita aib seseorang atau organisasi tetapi anda juga menconteng arang pada agama pada masa sama. Kesudahannya, tidakkah anda rasa orang memandang serong pada agama gara-gara tindakan bersifat keanakan-anakan ini?

Jika anda rasa kurang yakin dengan saluran aduan yang ditawarkan, sama ada pertama, anda langsung tidak tahu atau kedua, anda memang sengaja cari penyakit. Ketahuilah, semua orang mahukan maklum balas sama ada bersifat positif atau negatif bagi mereka memperbaiki perkhidmatan atau menambahbaik keperibadian mereka jadi lebih baik pada masa akan datang. Saya teringat kisah seorang kawan yang tertanya-tanya tentang keberkesanan aplikasi aduan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) lalu sengaja membuat laporan untuk menguji keberkesanannya. Tak lama selepas itu, dia dihubungi seorang pegawai KPDNKK untuk bertanya tentang kesahihan laporan tersebut, dia menceritakan tujuan sebenar laporan untuk menguji keberkesanan aplikasi tersebut.

Pegawai itu menasihatkan kawan saya itu untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut dan bagi setiap laporan yang dibuat, pihak kementerian akan berusaha memberi maklum balas secepat mungkin berkenaan laporan yang dibuat. Ini menunjukkan bahawa saluran yang disediakan sememangnya berkesan tetapi kerana sikap kita yang lebih suka mengambil tahu perkara remeh-temeh seperti perkahwinan artis, pergolakan parti politik atau video viral, perkara sebegini seolah-olah dilupakan saja.

Bila kita berbicara soal adab dalam perkara ini, saya sudah bicarakannya secara panjang lebar dalam artikel sebelumnya. Tetapi kali ini, saya ingin fokus kepada aspek adil kerana ia seolah-olah dipinggirkan berkenaan soal ini. Dalam soal mengkritik atau menegur, fokus kita sentiasa melencong dari tujuan asalnya. Kita bersikap bias pada orang yang ditegur sama ada dari segi warna kulit, agama atau fahaman politik dan teguran itu hanyalah mukadimah pada tuduhan atau serangan peribadi yang menjadi isi utama ucapan atau kenyataan kita. Kita enggan bersikap objektif pada perkara yang ingin ditegur kerana itu hanyalah kuda Trojan untuk menyerang dan merosakkan kredibiliti seseorang. Cukup-cukuplah dengan sikap buruk yang memualkan ini. Jika anda benar-benar ikhlas untuk menegur atau mengkritik dan tujuannya memang untuk menambahbaik perkhidmatan, dasar atau kualiti pengurusan, maka buanglah sikap kotor ini jauh-jauh. Lihat dasar atau aduan yang ditimbulkan secara objektif, kaji apa punca yang membawa kepada perkara tersebut dan cadangkan apa penambahbaikan yang bersesuaian untuk menambahbaik perkhidmatan, dasar atau kualiti pengurusan.

Kita terlalu fokus kepada aib tetapi tidak pernah mahu memikirkan cara menjadikan seseorang itu jadi lebih baik. Mungkin kerana kita terlalu syok membuka aib orang tetapi tidak pernah memikirkan aib sendiri. Kita lupa akan hadis ini, “Barangsiapa yang menutup aib seorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.” (Riwayat Muslim). Kalau orang yang dikritik atau ditegur itu memang dikenali atas perbuatan jahatnya, maka itu tidaklah dianggap sebagai membuka aib kerana bila didedahkan perbuatannya, orang akan menjauhi individu tersebut. Yang jadi masalah bila aib orang sudahlah didedahkan secara terbuka tetapi dijaja secara meluas hingga merosakkan individu itu seterusnya. Rasulullah s.a.w memberi amaran kepada orang sebegini, “Wahai orang yang beriman dengan lisan tetapi tidak beriman dengan hatinya. Janganlah kamu mengumpat kaum Muslimin dan jangan pula kamu mengintip aib mereka. Barangsiapa yang mengintip aib mereka, Allah akan mengintip aibnya dan sesiapa yang diintip aibnya oleh Allah s.w.t, maka Dia akan mendedahkan aibnya meskipun dirahsiakan dalam lubang kenderaannya.” (Riwayat Tirmizi)

Orang yang mengatakan adab satu halangan bagi kita bersikap kritikal patut telan balik kenyataan tersebut. Adab bagi saya ialah sempadan dan panduan yang diberi Rasulullah s.a.w, para sahabat dan salafus soleh untuk mengelakkan kita tersasar jauh dari tujuan kita. Dan bukankah adab itu ialah pakaian untuk iman kita. Tak perlu lihat jauh, lihat hadis baginda berkaitan menegur dengan tangan, lisan dan hati. Walaupun hadis ini lebih menjurus kepada soal amar makruf nahi mungkar (mengajak kepada kebaikan dan mencegah keburukan) tetapi ia sangat sesuai dengan kritikan atau teguran hari ini.

Waqaf Saham

Jika anda ada kuasa sebagai ketua unit, pengurus, pengerusi, ketua pegawai eksekutif (CEO), ayah, ibu, imam, agamawan, pihak berkuasa dan seumpamanya, maka gunakan kuasa yang di tangan anda untuk menangani krisis atau masalah di tempat kerja. Ini kerana kuasa tersebut ialah satu amanah yang diberi kepada anda. Mahukah anda ditanya pada hari akhirat mengapa anda tidak menggunakan kuasa yang ada untuk menangani masalah yang berlaku di tempat anda? Jika anda merasakan kuasa yang digunakan tidak mencukupi atau terbatas, maka lisan ialah saluran kedua yang boleh digunakan. Anda boleh saja memberi nasihat, teguran atau kritikan secara berhemah dan objektif bagi memastikan mesej positif sampai kepada orang yang ditegur tanpa mengaibkan dirinya. Bila itu tak jalan, barulah boleh membenci dengan hati. Selagi mana dua saluran tersebut ada, usah putus asa menggunakannya. Kalau memang tak boleh jalan, maka barulah pilih yang ketiga iaitu membenci dengan hati.

Bila hendak menegur orang jahil, salah satu kesukaran yang dihadapi ialah keengganan pihak satu lagi menerima teguran atau kritikan yang diberi walaupun apa yang dinyatakan itu fakta dan disokong dengan bukti kukuh. Ada masa, si penegur atau pengkritik sengaja menjolok sarang tebuan dengan niat menunjukkan dirinya lebih cerdik bila berdebat dengan orang sebegini. Buanglah sikap sebegini sebab ini antara ciri penuntut ilmu yang ditolak iaitu belajar semata-mata nak berdebat dengan orang jahil. Jika hendak menegur mereka, cukup setakat nyatakan kesalahan mereka dan tunjukkan sekali dalil yang menyokong teguran atau kritikan yang dilemparkan. Orang jahil hanya akan ubah pandangan atau terima teguran bila mana mereka percaya dengan mata kepala mereka sendiri. Ikutlah teladan Imam as-Syafie rahimahullah bila berhadapan dengan kelompok sebegini. Dalam kitab Diwan Imam as-Syafie, beliau berkata, “Orang jahil berbicara kepadaku dengan keburukan. Aku enggan menjawabnya. Kejahilannya semakin bertambah dan kesabaranku semakin bertambah seperti kayu gaharu yang dibakar, semakin kuat bau wanginya.” Beliau turut berkata, “Sikap diam terhadap orang jahil ialah satu kemuliaan. Begitu juga sikap diam untuk menjaga kehormatan ialah satu kebaikan.”

Kritikan dan teguran boleh saja jadi senjata ampuh untuk memperbaiki aspek keperibadian manusia. Jika tidak, mengapa antara wasiat Rasulullah s.a.w kepada Abu Zar al-Ghifari r.a agar bercakap benar walaupun pahit? Dan siapa tidak akan lupa sabda baginda bahawasanya salah satu bentuk jihad ialah memberi teguran kepada pemerintah yang zalim. Sekiranya ia dibuat dengan cara yang betul, adil dan tidak mengaibkan orang lain, maka ia satu senjata yang bisa menumbangkan tirani dan meruntuhkan ego manusia itu sendiri. Namun, jika kritikan atau teguran yang dilemparkan hanya bersifat keduniaan dan bukan atas dasar menjurus kepada kebenaran, makanya teguran atau kritikan tidak memberi sebarang kesan positif seperti yang kita mahukan tetapi sebaliknya, menambah api dendam dan kebencian dalam diri. Pada ketika itu, siapa yang patut dipersalahkan? Tepuk dada, tanya iman kita.

Sumber:

1. Somantri, Agus Sontasa. (2016). Hidupkan Sunnah, Matikan Bidaah. https://agussantosa39.wordpress.com/2016/08/18/sikap-imam-syafii-menghadapi-orang-bodoh/

2. Mutazahhid, Abdullah. (2013). Mencegah Kemungkaran Adalah Fardu. https://abdullahmutazahhid.wordpress.com/2013/04/07/mencegah-kemungkaran-adalah-fardhu/

3. Marbawi, Muhammad. (2017). Beriman Blog. Keutamaan Menuntut Ilmu Dalam Islam. http://berimanblog.blogspot.my/2017/06/keutamaaan-menuntut-ilmu-dalam-islam.html

4. Sunnah.com. The Hadith of Prophet Muhammad s.a.w at your fingetips.

5. M. Saad, H. Zulhamdi. (2012). Ikatan Da’i Indonesia. Menutup Aib Diri Sendiri dan Orang Lain. http://www.ikadi.or.id/index.php?option=com_content&view=article&id=746&catid=41&Itemid=72

 

Previous articleWarna Wira Yang Makin Sirna
Next articlePersiapan Kesihatan Sempena Musim Haji
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.