Bila Jepun Menyerah Kalah…

0
2344
views

Bila kita membaca sejarah penglibatan Jepun dalam Perang Dunia Kedua (WWII), kita menyangka Jepun tidak akan mengalami masalah sama seperti rejim Nazi Jerman iaitu cubaan bunuh atau rampasan kuasa. Tetapi siapa sangka pada hari-hari terakhir peperangan, sesetengah anggota tentera yang enggan menerima kenyataan sanggup melakukannya demi meneruskan peperangan.

Pada tahun 1945, situasi perang di Pasifik tidak lagi memihak kepada Jepun. Di situ saja, Jepun kehilangan 50,000 pesawat, 3,000 kereta perisai dan lebih 300 kapal termasuk 19 kapal pengangkut pesawat dan lapan kapal perang. Begitu juga dengan jumlah kematian mereka di mana ia sudah mencecah dua juta orang. Operasi pengeboman strategik seperti yang dilakukan di Jerman memusnahkan bandar-bandar Jepun dan kemudahan-kemudahan yang menyokong operasi peperangan mereka. Dan pihak Amerika Syarikat memperkenalkan senjata terbaru mereka di Nagasaki dan Hiroshima iaitu bom atom yang menyebabkan kematian lebih sejuta orang dan ramai lagi kehilangan tempat tinggal. Dengan Okinawa dan Iwo Jima berada di bawah penguasaan Uncle Sam, senario pendaratan tentera Bersekutu di Jepun bukan lagi satu fantasi tetapi satu realiti.

Pada akhir Julai 1945, negara-negara dalam Pakatan Bersekutu iaitu Amerika, Britain dan China membuat deklarasi melalui Deklarasi Potsdam. Dalam deklarasi tersebut, mereka tidak akan menerima apa-apa dari Jepun kecuali menyerah kalah tanpa syarat. Ini ditambah pula dengan tekanan dari Kesatuan Soviet yang mula memfokuskan jentera perang mereka ke sebelah timur melalui deklarasi perang mereka. Bagi kepimpinan tertinggi, ia sebenarnya satu isyarat untuk mereka meletak senjata dan menyerah kalah. Buktinya, pada awal Ogos, Maharaja Jepun, Hirohito menitahkan kepimpinan Jepun diketuai Perdana Menteri, Kantaro Suzuki untuk berunding dengan pihak Bersekutu. Selain itu, sentimen dalam kalangan Majlis Perang Tertinggi Jepun yang mahu meneruskan peperangan dilihat semakin berkurangan di mana ramai mahu berunding dengan pihak Bersekutu. Namun di sebalik semua ini, masih ada yang mahu meneruskan peperangan.

Pada malam 14 Ogos 1945, sekumpulan pegawai dalam Kementerian Perang Jepun diketuai Mejar Kenji Hatanaka mula bergerak menuju ke istana diraja. Tujuan kumpulan ini ialah merampas kuasa dari kerajaan sedia ada pimpinan Suzuki, menghalang pengumuman Hirohito dan meneruskan peperangan. Mereka yakin sekiranya rampasan kuasa ini berjaya, mereka boleh menyatukan semula rakyat Jepun dan meneruskan perjuangan tanpa mengira pengakhiran yang akan menimpa Jepun. Namun, hasrat Hatanaka ini ditolak oleh bosnya iaitu Menteri Perang, Jeneral Korechika Anami yang melihat usaha tersebut sia-sia dan tidak akan mendapat sokongan rakyat.

Pada tengah malam 15 Ogos, selepas gagal mendapat sokongan Anami, Hatanaka bersama kumpulannya bergerak ke istana maharaja. Di situ, dia cuba memujuk Komander Divisyen Pertama Pengawal Diraja, Leftenan Jeneral Takeshi Mori untuk menyokong rampasan kuasa tersebut tetapi gagal. Berang dan kecewa dengan keengganan Mori, Hatanaka menembak beliau mati. Selepas itu, dia mengarahkan anggota konspirasi yang terlibat mencari rakaman ucapan maharaja yang menerima syarat deklarasi Potsdam itu.

Pada malam sama, Maharaja Hirohito merakam ucapan penerimaan Jepun terhadap Deklarasi Potsdam sebanyak dua kali tetapi dengan gaya bahasa yang hanya boleh difahami segelintir warga Jepun saja. Ini ditambah pula dengan kualiti bunyi yang tidak memuaskan menambah kekeliruan sama ada Jepun sudah menyerah kalah atau tidak. Namun, inilah rakaman yang dicari Hatanaka dan kumpulannya di mana ia disimpan dalam satu peti kecil di pejabat pengelola diraja tetapi gagal dijumpai mereka berikutan ketiadaan bekalan elektrik. Untuk meningkatkan peluang rampasan kuasa mereka berjalan lancar, kumpulan Hatanaka memotong talian telefon, menghalang laluan masuk dan merampas senjata para pengawal. Kumpulan ini turut menghantar beberapa anggota mereka untuk membunuh Suzuki tetapi gagal berikutan anggota yang dihantar gagal menemui sasaran mereka.

Selepas pukul lima pagi, kumpulan Askar Daerah Timur berarak ke istana dan mendesak kumpulan pemberontak menyerah diri. Hatanaka enggan menyerah kalah dan mula mencari jalan lain. Dia terus menuju ke pejabat penyiaran kebangsaan Jepun dengan harapan untuk meraih sokongan rakyat. Walaupun dia mengacukan pistol kepada pegawai bertugas, mereka enggan membenarkannya masuk dan menggunakan siaran mereka untuk menyeru rakyat bersama mereka. Akhirnya, Hatanaka menunggang motosikal di sepanjang jalan Tokyo yang musnah dibom dan mengedarkan risalah pemberontakan tersebut kepada penduduk. Dengan pihak tentera menghampiri kedudukannya, Hatanaka membunuh diri dengan menembak dirinya. Dan itu juga keputusan sama yang diambil ahli-ahli pemberontak lain. Sejam selepas itu, rakaman ucapan Hirohito disiarkan kepada penduduk.

Bagi pengawal-pengawal yang bertugas pada hari rampasan kuasa tersebut berlaku, mereka tidak menyedari apa yang berlaku dan betapa seriusnya insiden yang menimpa mereka pada hari tersebut. Hajime Nishiyama, 90 tahun, berkhidmat sebagai pengawal di Pintu Sakashita-mon menceritakan pada hari kejadian, dia diarah memeriksa semua kenderaan yang meninggalkan istana pada hari itu tanpa mengira status mereka. Dia berkata, “Saya memeriksa semua kenderaan tetapi mereka dilihat tidak membawa apa-apa.” Sementara itu, seorang bekas pengawal berusia 93 tahun yang enggan dikenali menceritakan dia bersama pengawal-pengawal lain cuba mematahkan cubaan rampasan kuasa tersebut pada hari kejadian. Dia bercerita, “Saya tidak tahu mengapa saya mengacukan pistol ke arah kementerian. Saya berniat hanya menjalankan tanggungjawab saya tetapi disebabkan apa yang berlaku, kami semua disangka askar yang telah berlaku khianat.”

Waqaf Saham

Namun jika anda sangka kematian Hatanaka menandakan berakhirnya penentangan kelompok pro-peperangan, salah. Sebaik saja selesai pengumuman Hirohito berkenaan Deklarasi Potsdam, rakyat berkumpul di jalanan dan memprotes tindakan tersebut. Sesetengah anggota tentera udara yang bersifat pro-peperangan mengedarkan risalah dari udara yang mengecam tindakan tersebut. Penentangan paling besar ialah insiden Matsue yang berlaku pada 24 Ogos 1945. Insiden ini tercetus berikutan tindakan seorang aktivis ultra-nasionalis bernama Isao Okazaki yang melihat kerajaan sedia ada harus digulingkan bagi membantu Jepun meneruskan peperangan. Okazaki bukanlah asing di Jepun kerana dua tahun sebelum itu, dia dan kumpulannya dipenjarakan atas cubaan rampasan kuasa. Alasan di sebalik cubaan tersebut ialah Okazaki melihat kerajaan ketika itu tidak terlalu keras seperti yang dimahukannya.

Pada 24 Ogos, kumpulan Okazaki ini akan menyerang beberapa sasaran mereka seperti kediaman Gabenor, kediaman pendakwaraya, pejabat daerah, pejabat pos Matsue dan loji tenaga Chugoku. Kumpulan ini melancarkan serangan pada pukul dua pagi serentak tetapi semua operasi mereka berakhir dengan kegagalan. Ini kerana sesetengah sasaran pembunuhan mereka tiada semasa mereka menyerang sementara cubaan mereka memusnahkan kemudahan kerajaan digagalkan oleh kegagalan bahan letupan. Kumpulan ini kemudian pergi ke pejabat penyiaran Matsue untuk menyiarkan mesej pemberontakan mereka tetapi ditolak ketua stesen. Stesen tersebut kemudian dikepung 50 polis bersenjata dan 20 orang tentera di mana kumpulan pemberontak digesa menyerah diri. Menyedari situasi tidak lagi memihak kepada kumpulannya, Okazaki sedia berunding dan menuntut kumpulannya diberi pengampunan serta diberi peluang tunduk ke arah Tokyo dan melaungkan ‘Tenno Heika Banzai’ (Hidup Maharaja). Namun tuntutannya tidak dilayan dan kesemua pemberontak ditahan. Okazaki cuba membunuh diri menggunakan teknik seppuku tetapi berjaya dibawa ke hospital dan terus hidup. Ketua-ketua pemberontak termasuk Okazaki didakwa di mahkamah pada 5 November 1945 dan dihukum penjara bergantung kepada keseriusan kesalahan masing-masing. Bagi Okazaki, pada mulanya dia dihukum penjara seumur hidup tetapi dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara enam tahun tujuh bulan.

Seminggu selepas insiden tersebut, saki-baki kepimpinan awam dan tentera Jepun berkumpul di dek kapal perang USS Missouri dan menandatangani dokumen penyerahan kalah secara rasmi Jepun dalam WWII. Menteri Luar Jepun, Mamoru Shigemitsu mewakili kepimpinan awam Jepun sementara Jeneral Yoshijiro Umezu mewakili kepimpinan tentera Jepun untuk sesi menandatangani dokumen tersebut. Perdana Menteri Jepun baru, Putera Higashi Kuni merayu rakyat Jepun untuk mematuhi syarat penyerahan kalah negara tersebut. Di bawah terma penyerahan kalah, Jepun perlu menyerahkan semula Pulau Kurille dan Sakhalin kepada pihak Soviet dan berhadapan dengan siasatan tribunal jenayah perang di Tokyo. Jepun berada di bawah pendudukan Amerika Syarikat selama tujuh tahun sebelum berjaya mendapatkan semula kemerdekaannya pada tahun 1952.

Walaupun Jepun secara rasmi mengaku kalah, masih ada askar-askar Jepun di Pasifik yang terus bertempur dengan tentera Amerika Syarikat. Ini berlaku disebabkan mereka tidak tahu akan pengumuman Maharaja Hirohito atau keengganan menyerah kalah. Dan ini membawa kepada pertempuran berterusan selama berbulan-bulan dan bertahun-tahun selepas perang berakhir. Contoh insiden:

a) 50 tentera Jepun melancarkan perang gerila ke atas tentera Amerika di Saipan sebelum menyerah diri kepada tentera marin Amerika pada Disember 1945.

b) 30 tentera Jepun bersembunyi di hutan Pulau Peleliu sebelum menyerah diri kepada tentera Amerika pada Mac 1947.

c) Dua tentera Jepun kekal dalam stesen mereka di Iwo Jima hingga Januari 1949. Begitu juga dengan 20 tentera Jepun di salah satu pulau dalam Kepulauan Marianas hingga Jun 1951.

d) Pada tahun 1974, seorang tentera bernama Leftenan Hiroo Onada menyerah diri di Lubang, Filipina selepas seorang pengembara Jepun secara tidak sengaja menjumpai kemnya pada tahun tersebut. Ia memerlukan arahan dari pegawai lamanya untuk mendorongnya keluar dan menyerah diri kepada pihak berkuasa. Pada tahun yang sama, seorang tentera Jepun kelahiran Taiwan ditahan oleh pihak berkuasa dalam hutan belantara Indonesia.

SUMBER

1. Military History Now. (2015). The Kyūjō Conspiracy – How a Group of Japanese Officers Planned to Overthrow the Emperor and Continue WW2.
2. The Japan Times. (2015). The coup against the Emperor’s broadcast that never was.
3. BBC. On This Day. 1945: Japan signs unconditional surrender.

Previous articleAbdul Rahman I: Sang Helang Quraisy Penyambung Legasi Umaiyyah
Next articleKonflik Di Yaman: Menari Atas Kepala Ular
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here