Bagaimana Orang Melayu Mendapat Namanya?

0
12452
views

Dalam dunia ini, wujud pelbagai bangsa dan kaum yang mempunyai perbezaan budaya, bahasa dan kepelbagaian fenotip, iaitu ciri-ciri luaran yang menjadikan sesuatu bangsa itu unik berbanding bangsa yang lain. Setiap bangsa diciptakan bersesuaian dengan keadaan geografi sesuatu tempat, di mana mereka akan memakmurkan bumi Allah ini.

Oleh yang demikian, menjadi suatu rahmat perbezaan kaum dan bangsa ini bagi kita saling kenal mengenali di antara satu sama lain. Kepelbagaian ini membolehkan kita saling belajar dan mengenal akan suatu kebudayaan sesuatu bangsa, seterusnya membantu kita menghormati norma komuniti sesuatu bangsa. Dengan cara itu membolehkan kita berinteraksi secara mapan dan berkongsi kawasan dan wilayah yang sama dan hidup dalam suasana yang rukun dam makmur. Itulah hikmah kita saling berkenal-kenalan antara satu sama lain dalam hubungan pelabagai kaum, contohnya seperti di negara kita Malaysia.

Info Gambar: Physical Map of The Malay Archipelago by Alfred Russell Wallace, 1863

Namun begitu, etimologi melayu ini sering disalahanggap dan diremehkan serta menjadi isu dalam diri seseorang bangsa melayu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, Etimologi bermaksud suatu cabang ilmu linguistik yg mengkaji asal usul dan perkembangan sesuatu kata. Kita sering diperlekehkan kerana banyak sarjana yang berpendapat bahawa etimologi atau asal-usul nama bangsa melayu ialah daripada bahasa Sanskrit iaitu Hima dan Alaya yang bermaksud tempat bersalji ataupun lebih mudah dikenali sebagai gunung, lalu membentuk perkataan Malaya yang ada persamaan bunyi sebutan dengan bangsa melayu. Perkara ini kerana terdapat perkataan Malayadvipa dalam kitab Yayu Purana, salah sebuah kitab dalam agama Hindu yang dikarang pada kurun ke-4 Masihi, bermaksud Kepulauan Bergunung-ganang, merujuk kepada Pulau Sumatra.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa bangsa melayu mendapat namanya sebagai sebuah bangsa daripada bahasa Jawa, Mblayu yang bermaksud lari atau berpindah. Kononnya, bangsa melayu menggelarkan nama mereka dengan perkataan bahasa jawa ini menunjukkan bahawa bangsa melayu melarikan diri daripada serangan Majapahit di Palembang ke Melaka. Adakah kalian bersetuju dengan pendapat-pendapat berkenaan etimologi nama bangsa kita ini?

Info Gambar, Wilayah Dinasti Qin Kredit kepada: CC BY-SA 3.0, https://commons.wikimedia. 1

Mari kita bandingkan dengan bangsa-bangsa lain yang wujud di dunia ini. Bagaimana Cina mendapat namanya sebagai sebuah bangsa. Ia bermula dengan keunggulan seorang Maharaja China yang pertama kali menyatukan China di bawah sebuah dinasti, iaitu Maharaja Shih Huang Ti pada tahun 221 Sebelum Masihi dan membina dinasti yang dipanggil Dinasti Qin.  Dinasti Qin ini, wujudlah pula nama Qinna (Chinna), dan dikenali oleh pedagang-pedagang dari Timur Tengah dan Eropah, melalui laluan sutera bahawa orang yang bermata sepet dan berkulit kuning dipanggil sebagai orang Qinna (Chinna).

Selepas campurtangan imperialis Barat di Kawasan Timur Asia, kaum-kaum yang berasal dari Timur Asia digelar Mongoloid, mengambil nama sempena bangsa Mongol di bawah pimpinan Gengis Khan yang pernah menjajah dunia dan khusus untuk individu yang berasal dari kawasan China dan berbahasa China, dipanggil sebagai orang Qinna. Lama-kelamaan ia bertukar menjadi Orang China. Etimologi ini bermula dengan Bahasa China sendiri iaitu Dinasti Qin. Ini yang menjadikan orang China lebih berdaya saing kerana mereka bangga dilahirkan dalam bangsa besar China dan berusaha sehabis baik untuk memajukan lagi diri mereka dan anak bangsa mereka.

Tidak kurang juga kepada etimologi Bangsa India, yang mana India ialah simbol penyatuan etnik-etnik kaum di Seluruh Anak Benua India, mengambil nama sempena sebuah sungai yang menjadi permulaan peradaban di India iaitu Sungai Indus. Daripada lembangan Sungai Indus inilah mencetuskan idea penyatuan dua kelompok kaum iaitu Kelompok Indo-Aryan yang terdiri daripada etnik-etnik Punjabi, Hindi, Gujarati, Benggali dan sebagainya dengan Kelompok Kaum Dravidian yang terdiri daripada etnik Tamil, Malayalam, Kannada dan sebagainya. Penyatuan atas nama Bangsa India ini membolehkan India mencapai kemerdekaan pada 15 Ogos 1947 selepas tamatnya Perang Dunia Kedua dan kekalahan British kepada kempen Mahatma Ghandi. Sehingga ke hari ini, semua yang berasal dari kawasan Asia Selatan itu dipanggil sebagai bangsa India. Jadi, Bangsa India juga mendapat namanya dari nama tempatan iaitu sebatang sungai di India.

Contoh yang ketiga kita ambil kaum yang terhampir dengan kita iaitu Etnik Jawa. Dari segi etimologi jawa, baru-baru ini ada banyak telahan yang dibuat oleh sarjana di Indonesia bahawa nama Jawa berasal daripada perkataan Proto-Melayu Polinesia –awaq- yang bermaksud pulau-pulau luar. Ada juga yang berpendapat ia sinonim dengan perkataan Proto-Melayu-polinesia lain iaitu awa atau hawa yang membawa maksud tanah berlumpur, yang membentuk perkataan Yawa yang bermaksud bijirin dan menurut kajian Dr Stephen Oppenheimer, perkataan Yava dalam bahasa Sanskrit adalah pinjaman kata dari bahasa Melayu-polinesia yang bermaksud bijirin dan sawah yang membawa maksud tanah berlumpur yang ditanam dengan padi. Perkataan Javavdipa dalam Kitab Ramayana Valmiki yang merujuk kepada Pulau Jawa juga berkemungkinan datangnya dari perkataan yang sama, dipinjam dari bahasa melayu-polinesia kuno.

Justeru, perlulah diingatkan bahawa bangsa jawa dan bangsa melayu dahulukala adalah datang dari satu rumpun bangsa yang sama iaitu bangsa melayu-polinesia proto yang mana, suatu ketika dahulu, seluruh kawasan Kepulauan Melayu ini dipanggil sebagai Pulau Jawa oleh pengembara-pengembara seperti Ibnu Battutah, Marco Polo dan Al-Biruni, yang memanggil Sumatra dan Segenting Kra di Utara Semenanjung sebagai Jawa. Jika pendapat ini betul, maka asal-usul perkataan Jawa juga berasal secara tempatan daripada perkataan jawa sendiri yang membawa maksud tanah berlumpur yang ditanam padi. Ironinya, Pulau Jawa sememangnya merupakan Pulau yang sangat subur dengan tanih aluvium dari gunung berapi dan sangat banyak sawah berlumpur di sana.

Berbalik semula kepada polemik entimologi melayu tadi, adakah kita yakin bahawa nama bangsa melayu ini diberikan oleh orang luar atau bahasa Sanskrit, Malaya yang membawa maksud gunung? Setujukah anda dengan pernyataan yang Melayu ditamadunkan oleh Bangsa Tamil kerana nama bangsa Melayu ini diberikan oleh mereka melalui pinjaman kata Sansrit, Malai yang bermaksud gunung? Mari kita susuri sejarah nama melayu ini.

Sebelum teks Vayu Purana memuatkan nama Malaya Dvipa di dalam kitabnya, Ptolemy terlebih dahulu menggunakan perkataan Melayu dalam karya agungnya iaitu The Geography yang ditulis pada tahun 110M.Ptolemy berjaya memetakan banyak kawasan di seluruh dunia hasil dari penelitiannya terhadap karya-karya terdahulu. Maksudnya, kebanyakan nama tempat yang tertulis dalam The Geography telah ditulis lebih awal lagi dari Ptolemy.

Dalam peta Ptolemy, terdapat satu kawasan yang ditulis sebagai The Golden Khersonese yang bermaksud Semenanjung Emas dalam bahasa Greek purba. Apa yang lebih menarik, di Golden Khersonese itu, terdapat satu nama tempat yang diberi nama Maleu-kolon. Nama Melayu telah tercatat lebih awal daripada 110 M yang mana Ptolemy menyalin semula dari teks-teks yang lebih tua usianya. Dengan jumpaan bukti yang sangat konkrit ini, sepatutnya tidak timbul lagi isu yang mengatakan bahawa bangsa melayu diberikan nama oleh British.

Info Gambar: Golden Khersonese, Chersonesus Aurea (Greek: Χρυση χερσόνησος), Peta kuno yang menggambarkan Semenanjung Tanah Melayu oleh Ptolemy. Sumber Gambar: https://www.pinterest.com/pin/516858494706333042/

Kemudian, Nama Melayu ini muncul dalam Kitab Vayu Purana iaitu perkataan Malaya Dvipa pada kurun ke-4 M, sebelum muncul kerajaan Mo-lo-yu yang menghantar utusan ke Istana Dinasti Tang pada Tahun 644 dan 645 M. Sebenarnya, dalam kalangan pedagang China, nama bangsa melayu ini juga sering disebut sebagai Malayuer, Mok-lak-yu, Bok-lak-yu. Perhatikan di hujung setiap panggilan mesti ada YU. Ini sendiri menafikan ketidaksamaan perkataan tersebut dengan sebutan Malai atau Malayya dalam Sanskrit.

Jika kita mengkaji kemungkinan perkataan ini wujud dalam bahasa Melayu-polinesia yang lain dengan anggapan bahawa perkataan tersebut telah hilang dari kamus bahasa melayu moden, memang wujud perkataan Malaya. Perkataan Malaya wujud dalam Kamus Bahasa Tagalog, Filipina yang bermaksud Bebas. Perkataan ini berkemungkinan lebih tepat dengan kata dasarnya Laya. Kemerdekaan dalam bahasa yang sama juga disebut sebagai Kalayaan. Adakah kita biasa dengan perkataan tersebut?

Ya, kita sering dengar dan gunakan perkataan tersebut, iaitu layar. Layar ialah sejenis kain kalis udara yang digunakan untuk memerangkap tenaga angin bagi menggerakkan perahu-perahu layar. Dalam masa yang sama, perkataan layar juga menunjukkan kata kerja jika ditambah imbuhan Ber, iaitu berlayar dan bahasa melayu purba merekodkan perkataan marlapas sebagai imbuhan yang sama dengan berlepas dan marlayar adalah imbuhan yang sinonim dengan belayar.

Perlu diingatkan bahawa bangsa melayu bukanlah bangsa yang menetap di gunung-ganang kerana mengikut makna dari kata Malaya dalam Sanskrit yang bermaksud Gunung, tetapi bangsa melayu memang terkenal sejak zaman dahulu lagi sebagai bangsa pelayar yang sentiasa bermain-main dengan paluan ombak yang sangat mengganas di lautan lepas. Perkataan Marlayar ini juga disebut sebagai Malayu dalam bahasa Acheh, dan Moloyo dalam bahasa Nias.

Tidak salah untuk kita berhipotesis bahawa berkemungkinan bangsa melayu mendapat namanya daripada perkataan layar, layap atau  layoh. Ia bertepatan dengan kegiatan bangsa Melayu itu sebagai bangsa yang sering berlayar ke lautan luas. Jika kita mengkaji berkenaan dengan perkataan yang berkaitan dengan berlayar seperti merayau, merayap, melayang, berkelana, menjauh dan sebagainya, ia ada bunyi sebutan yang sepadan dengan kata dasarnya iaitu layar.

Perkataan bangsa Melayu bukanlah berasal dari perkataan Sanskrit Hima Alaya yang bermaksud Tanah Bersalji atau gunung, dan bukan juga mblayu dalam bahasa Jawa, yang mana mblayu dalam bahasa Jawa itu sendiri kognat kepada kata Laju dalam bahasa Melayu. Perkataan bahasa Melayu datangnya daripada perkataan Melayau yang mempunyai maksud yang sama dengan belayar.

Kita juga boleh berhipotesis bahawa dari zaman ke zaman, beribu-ribu tahun lamanya, ia bertukar menjadi Melayu. Bila pedagang luar seperti dari India dan Arab bertanya kepada pedagang Melayu, apakah bangsa mereka, dengan bangga mereka akan mengatakan bahawa mereka adalah bangsa Melayau, kemudian bertukar menjadi Melayu disebabkan perubahan zaman.

Sumber Gambar: http://www.sdrapartments.com/blog/tag/kalayaan-2016

Mungkin begitulah caranya bagaimana bangsa Melayu mendapat nama bangsa mereka. Seharusnya mereka berbangga kerana nama bangsa mereka menjadi suatu nama bangsa utama, yang menerangkan berkenaan dengan suatu kelompok kaum-kaum pelayar yang merentangi dari Tanah Melayu yang kita cintai ini jauh merentasi Lautan Pasifik sehingga ke Pulau Hawaii dan Rapa Nui atau lebih dikenali sebagai Easter Island yang menjadi sebahagian daripada Persekutuan Amerika Syarikat. Jauh merentasi Lautan Hindi sehingga ke Madagaskar di Afrika.

Terbentang luas dari Taiwan di Laut China sehingga ke Aotearoa ataupun dengan nama terkininya yang dipanggil sebagai New Zealand. Gabungan kaum-kaum ini dikelaskan sebagai Bangsa Melayu-Polinesia yang mempunyai pelbagai ciri-ciri sepunya seperti jenis bahasa, warna kulit, jenis tengkorak, susuk tubuh dan sebagainya, yang mana akan dikupas lebih lanjut dalam episod yang akan datang.

Dalam episod yang akan datang, kita akan selusuri pula sejarah kedatangan bangsa Melayu ke Tanah Melayu dan ke seluruh Kepulauan di Lautan Pasifik dan Laut Hindi. Dalam episod tersebut, kita akan bicarakan berkenaan dengan Asal-usul dari mana pula datangnya bangsa Melayu ini dan mengapa mereka ada di Kepulauan ini.

Rujukan

  1. http://www.kosim.web.id/2009/03/tentang-jawa-nama.html
  2. Paul Wheatley (1961), The Golden Khersonese: Studies In The Historical Geography Of The Malay Penninsula Before A. D. 1500
  3. http://www.chinasage.info/chinaname.htm
  4. http://www.ancient.eu/article/203/
  5. Mohd Arof Ishak (2009), Tamadun alam Melayu, Persatuan Sejarah Malaysia
  6. Robert Blust and Stephen Trussel, The Austronesian Comparative Dictionary, Web Edition, http://www.trussel2.com/acd/

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here