Bagaimana Mengukur Sebuah Kebijaksanaan?

0
1750
views

“Stupid is as stupid does.” (Forrest Gump)

Bila kita mendengar kata-kata watak lakonan Tom Hanks ini, wujud satu ironi tentang kebijaksanaan. Nampak mudah tapi ia sebenarnya mengingatkan kita bahawa kebijaksanaan itu tidak terletak pada penampilan atau kata-kata tetapi dalam bentuk tindakan yang dibuat. Ini kerana tindakan sebenarnya memperlihatkan visi seseorang individu dan kebijaksanaannya dalam mengakali masalah yang dihadapi.

Kita suka mengukur kebijaksanaan seseorang dari segi analisis tetapi lupa mengukur kebijaksanaan tersebut dari segi kreativiti dan amali. Analisis melibatkan keupayaan untuk melihat corak dan menyelesaikan masalah bersifat analisis. Sementara kreativiti pula melihat kepada cara kita mengatasi sesuatu masalah di depan mata. Manakala amali ialah keupayaan kita dalam melaksanakan solusi pada permasalahan yang dihadapi. Oleh sebab manusia terlalu mengangkat nilai kebijaksanaan dari segi analisis, orang yang ada kelebihan sebegini sentiasa mendapat pujian dan anugerah daripada ramai pihak. Namun pada masa sama, bila timbul soalan-soalan yang bersifat mencakar minda, kita tertanya-tanya mengapa mereka nampak lesu dan tidak kreatif dalam menyediakan solusi mereka.

Kenapa situasi di atas ini timbul? Menurut seorang pakar, Andre Spicer, ini berlaku disebabkan sikap bias dalam diri kita sendiri. Tak perlu malu, ada masa mesti akan timbul perasaan ‘aku lebih pandai daripada dia/semua orang’ dalam sesuatu perkara. Tak perlu lihat jauh, jika anda seorang guru dan bertanya siapa orang pandai dalam kelas, pasti majoriti akan mengangkat tangan dan ini termasuk pelajar yang kurang bijak dalam sesetengah aspek pembelajaran.

Menurut Spicer, tak semua orang adalah bijak tapi kita sentiasa dihidangkan ilusi akan kebijaksanaan kita. Dan kita akan tetap bergantung kepada ilusi tersebut walaupun ada ketikanya, kita melakukan kesilapan. Kita akan kumpul semua maklumat atau statistik untuk buktikan kebijaksanaan kita dan tidak mengendahkan maklumat yang menyatakan kita salah. Contoh sebegini ada dalam kehidupan kita tapi lihat saja tingkah laku politikus. Ada ketikanya, mereka melaksanakan tindakan atau mengucapkan kata-kata yang membuat kita menggaru kepala. Bila kita menegur atau menunjukkan bukti akan kesan tindakan yang dilakukan, maka politikus-politikus ini akan melakukan apa saja untuk menegakkan benang yang basah walaupun apa yang kita nyatakan itu benar-benar sahih. Contoh, tindakan beberapa politikus yang berterusan mengatakan negara ini muflis walaupun statistik ekonomi dan kenyataan agensi-agensi antarabangsa menunjukkan fakta sebaliknya.

Selain itu, keengganan sesetengah daripada kita yang benar-benar pintar dilabel ‘tunjuk pandai’ dan berfikir turut menyumbang kepada kegagalan kita menghargai kebijaksanaan dari segi amali dan kreativiti. Satu kaji selidik dijalankan oleh Universiti Harvard menunjukkan responden lebih gemar menerima kejutan elektrik daripada memilih satu sudut dan berfikir sejenak. Mengejutkan tetapi ada sebab. Berfikir, membuat kajian dan menanyakan soalan-soalan sukar ini mengambil masa yang lama dan walaupun ia membawa kepada keputusan yang baik pada akhirnya, ianya amat sukar dan orang tidak akan menyukai anda.

Orang sebegini yang perasan akan diam dan mengikut kehendak orang ramai walaupun naluri dan akalnya mengatakan sebaliknya. Mungkin pada awalnya, ini akan memberi keuntungan. Yalah, siapa tak nak kerja selesai tepat pada masa, hidup semua orang jadi mudah dan semua orang gembira. Tetapi sekiranya dibiarkan untuk jangka masa panjang, ia boleh menjejaskan keupayaan seseorang membuat keputusan dengan baik dan menyemai benih kehancuran pada diri atau organisasi. Contohnya, situasi inflasi melampau di Venezuela. Semasa pemerintahan mendiang Hugo Chavez, Chavez melaksanakan pelbagai jenis subsidi kepada rakyat dengan tujuan meraih sokongan rakyat. Memanglah apa yang dilakukan itu bagus tetapi perlu diingat, subsidi yang dikeluarkan bersamaan dengan perbelanjaan duit yang dikeluarkan kerajaan untuk menampung subsidi tersebut. Dan sekiranya perkara ini berterusan, ia sebenarnya menyemai benih kehancuran dalam sistem ekonomi sesebuah negara. Lihatlah apa yang berlaku kepada Venezuela hari ini. Venezuela tidak ada duit untuk mengimport gandum masuk ke dalam negara. Harga makanan yang dijual terlalu mahal sehingga sukar untuk dibeli.

Waqaf Saham

Jika kita nak mengetahui seseorang itu bijak atau tidak, lihat dari segi analisis, kreativiti dan amali. Dan sebut pasal ini, ada beberapa ciri yang membantu anda mengenali mereka ini:a) Bijak buat keputusan. Orang bijak sedar apa saja keputusan yang dibuat akan ada kesan sama ada pro atau kontra. Dan setiap keputusan yang dibuat boleh mempengaruhi perjalanan atau hala tuju sesebuah organisasi, masyarakat, keluarga atau diri sendiri dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Orang bijak sentiasa membuat keputusan yang bagus secara konsisten, fokus dan berdisiplin walaupun ada keputusan bersifat tidak popular.

b) Belajar dari kesilapan. Hari ini, satu tabiat orang kita ialah terlalu mencari kesempurnaan dan segera menyerang sekiranya ada sesetengah daripada kita melakukan kesilapan. Percayalah, semua orang tak mahu melakukannya tetapi dari kesilapan itu juga, manusia belajar untuk memperbaiki diri dan mengelak daripada melakukan perkara sama pada masa akan datang. Dan ini ciri orang bijak yang kita harus contohi.

c) Tidak tahu semua perkara. Orang bijak tidak perlu melakukan apa-apa tindakan atau mengatakan seolah-olah mereka tahu semua perkara. Mereka amat bijak dalam mengetahui hakikat mereka tidak tahu semua perkara dalam hidup ini.

d) Sentiasa dikelilingi oleh orang-orang bijak. Tidak kiralah siapa anda, Elon Musk atau Sherlock Holmes tetapi kebijaksanaan secara berseorangan tidak akan membawa anda ke puncak kejayaan. Tetapi ia boleh berlaku sekiranya anda dikelilingi oleh orang-orang yang pintar sebagai satu pasukan. Kita tahu mendiang Steve Jobs bersikap suka mengawal semua perkara tetapi beliau memastikan kepimpinan dalam Apple diterajui oleh lapan atau sembilan individu pintar yang boleh diajar dan mengajar kepada anak buah mereka pula.

e) Panjang akal. Orang pintar bijak beradaptasi dengan persekitaran mereka dan kreatif dalam memanfaatkan sumber di tangan mereka. Ini sekaligus membantu mereka menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi dengan mudah. Contohnya, watak fiksyen Angus MacGyver (Richard Dean Anderson/Lucas Till) sentiasa berfikir di luar kotak dan memanfaatkan sumber dimiliki dalam menyelesaikan masalah walaupun solusi yang diambil bersifat luar jangkaan.

f) Tidak ego dan boleh menerima fakta. Ini satu ciri yang agak sukar ditemui hari ini. Ini kerana sesetengah orang bijak sukar menerima fakta yang dibentangkan walaupun ianya bersifat sahih dan menafikan dakwaan mereka. Orang bijak pasti menganalisis semua fakta dan dakwaan yang dibuat. Dan sekiranya dakwaan yang dibuat itu salah dan disokong dengan fakta, tidak salah bagi mereka menelan ego dan menerimanya.

g) Sentiasa ukur baju di badan sendiri. Orang sebegini tidak suka membazirkan sumber mereka untuk perkara yang bersifat sia-sia. Bagi mereka, apa saja perkara yang mereka dapat merupakan satu anugerah yang patut disyukuri dan dihargai sepanjang masa.

Kebijaksanaan ini sebenarnya satu anugerah Tuhan kepada manusia yang harus disyukuri dan dimanfaatkan pada jalan yang baik. Dan ianya dimiliki oleh semua orang walaupun ianya berbeza mengikut bidang yang diceburi. Orang yang disangka bodoh dalam sesuatu perkara boleh saja berkebolehan dalam bidang-bidang lain. Hayati kenyataan Albert Einstein ini, “Everybody is a genius but if you judge a fish by its ability to climb a tree, it will live its whole life believing it is stupid.”

SUMBER:

  1. FinancesOnline.com. 13 Most Intelligent People In The History Of The World. https://financesonline.com/13-most-intelligent-people-in-the-history-of-the-world/
  2. Tobak, Steve. (2015). Entrepreneur.com. 10 Behaviors of Smart People. https://www.entrepreneur.com/article/245059
  3. Spicer, Andre. (2016). The Guardian. Why do smart people do stupid things? It’s simple. https://www.theguardian.com/global/commentisfree/2016/jun/06/smart-people-stupid-things-simple-answer

 

Previous articleSiapakah Yunus Emre Dalam Siri Netflix?
Next articleLegenda Buaya Dan Naga Dalam Masyarakat Kayan
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here