Bagaimana Kita Mahu Memindahkan Planet Bumi?

1
1530
views

Saya terbaca satu artikel ringkas yang menarik dari Fraser Cain, beliau merupakan seorang hos dalam rancangan Astronomy Cast bersama Dr Pamela Gay.

Saya ingin kongsikan bersama anda perkara menarik daripadanya dimana beliau mengemukakan persoalan bagaimanakah kita hendak memindahkan planet Bumi dalam jangkamasa 500 juta tahun akan datang kerana pada pendapat beliau, matahari semakin panas dan boleh menyebabkan kehidupan musnah.

Sekiranya planet Bumi dapat dipindahkan ke suatu tempat yang jauh daripada matahari, mungkin kehidupan di Bumi dapat diteruskan untuk 5 bilion tahun akan datang.

Lambat atau cepat, kita perlu menggerakkan Bumi jauh dari matahari. Ada beberapa teknik yang mungkin boleh melakukan perkara ini. Ia kelihatan sukar tetapi tidak mustahil untuk melaksanakannya.

Anda tinggal di sini, saya tinggal di sini dan semua orang tinggal di sini. Untuk masa sekarang.

500 juta tahun akan datang, matahari mula menjadi lebih panas daripada sekarang. Panas matahari itu akan menyebabkan kehidupan di permukaan Bumi musnah. Kemudian, kita perlu berpindah. Walaupun kita meletakkan jangkamasa 500 juta tahun sebagai ‘deadline’, matahari akan mati menjadi bintang merah gergasi lebih kurang 5 bilion tahun dari sekarang.

Mari kita lihat pilihan kita ? Kita mungkin akan mati, atau kita mungkin boleh MEMINDAHKAN planet Bumi ini. Seperti idea-idea gila lain dalam sains, ada pelbagai cara untuk melakukannya. Kita boleh melancarkan roket yang kuat dari Bumi yang mana ia boleh menolak Bumi kearah yang berlawanan sedikit dari waktu sekarang.

Kita juga mungkin boleh membina teleporter gergasi dan memisahkan Bumi sekecil atom demi atom dan membawanya ke lokasi baru. Kita juga boleh melancarkan tembakan ke Bumi beberapa kali supaya ia tersasar dari orbitnya lalu paksinya dan putarannya akan berubah.

Kita juga mungkin boleh menghentikan Bumi daripada berputar dan membiarkan matahari menolak kita jauh. Kita juga mungkin boleh menggali lubang raksasa hingga ke teras bumi dan meletakkan beberapa bom nuklear bersaiz besar dan meletupkannya. Kesannya, Bumi akan bergerak menerawang di angkasa lepas saling tak ubah seperti belon yang terbang kehilangan angin.

Semua ini mungkin bunyinya gila, kita juga boleh membina tug graviti dan secara perlahan-lahan menolak Bumi menjauhi matahari. Apakah tug graviti ? Saya gembira jika anda ada yang bertanyakan soalan ini.

Kita juga boleh membina layar suria yang disambungkan dengan jisim raksasa padanya. Dengan cara ini, Bumi akan perlahan-lahan bergerak menjauhi matahari seperti kapal yang ditunda di tengah laut. Perkara ini jika dilakukan mengambil masa yang tersangat-sangat panjang.

Disini terdapat idea yang baik dari saintis, iaitu bantuan graviti. Pasangkan roket pada asteroid, komet atau objek-objek lingkaran Kuiper dan halakannya berhampiran Bumi. Bila ia hampir, pasti akan menghasilkan momentum yang mana menggerakkan Bumi menjauhi matahari.

Batu angkasa ini akan menggerakkan sedikit Bumi ke orbit barunya. Bila berada pada orbit baru yang jauh daripada matahari, maka pergerakan Bumi akan menjadi laju sedikit. Untuk melakukan ini, sebanyak jutaan kali perlu dilakukan supaya Bumi benar-benar menjauhi daripada matahari.

Anda mungkin berfikir, ini kerja gila. Bagaimana kita mampu mendapatkan semua benda ini untuk menggerakkan Bumi dari orbitnya yang asal ? Jangan bimbang, awan Oort memiliki bilion objek-objek di angkasa yang purata saiznya 30 kali jisim planet Bumi.

Untuk menghadapi malapetaka akibat kepanasan matahari, jika kita bermula sekarang, kita patut mengambil objek-objek besar dari angkasa lepas dan membawanya ke Bumi dengan jarak 10,000 kilometer untuk menghasilkan kesan tolakan ke atas Bumi. Kaedah ini dikhuatiri bakal menyaksikan fenomena lain seperti perubahan air pasang laut dan ribut petir.

Objek angkasa lepas yang dimaksudkan ini hendaklah jauh lebih besar daripada asteroid yang pernah menghentam Bumi pada jutaan tahun dahulu lalu mengakibatkan pupusnya dinosaur. Jika satu asteroid yang besar berdiameter 100 kilometer bila melanggar Bumi akan menyebabkan perubahan pada biosfera.

Jika kita menolak Bumi sejauh 1.5 kali dari orbit asal sekarang. kita mungkin telah memberi ruang kepada kehidupan di Bumi untuk 5 bilion tahun akan datang. Ketika matahari berubah menjadi gergasi merah dan kemudian mati menjadi bintang kerdil putih, Bumi pun turut mati jika tidak diubah kedudukannya. Apa cadangan anda untuk selamatkan Bumi?

Begitulah adanya, saya kongsikan pendapatnya kepada anda, saya tidak tertarik dengan Bumi yang akan musnah kerana kita semua akan mati akhirnya, cuma Saya tertarik dengan idea-ideanya untuk menyelamatkan Bumi. Bagi saya, kerana idea-idea gila inilah yang memacu kepada munculnya teknologi baru dalam sains untuk kemudahan umat manusia sejagat.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here